PESANAN KEPADA PENJUAL-PENJUAL DI BAZAR RAMADHAN

Aku dengan rendah dirinya kali ini terpanggil untuk berkongsi rasa sebagai salah seorang daripada ribuan pelanggan juadah makanan yang dijual di bazar-bazar ramadhan. Berkongsi rasa... untuk manfaat bersama bagi keuntungan dunia dan akhirat sana


PERTAMA: Juallah juadah yang terbaik yang dapat anda sediakan. Janganlah cincai, tiada rasa, tiada tergamak untuk tekak menelannya.

KEDUA: Jagalah aurat dan pakaian anda. Jangan sampai orang ramai tergamak untuk membeli dek ngiur kepada aurat anda bukan kerana juadahnya.

KETIGA: Teruslah berniaga dengan mengambil endah halal dan haram, bersih dan kotor, azan dan iqamah, sedekah dan jariah.

Anda semua membantu kami, Insya Allah besar ganjarannya. Yang penting keuntungan dicari keredhaan Allah jangan dilupa. Salam kemaafan aku titipkan moga ramadhan lebih dijadikan bulan untuk menambah pahala, keampunan dan keberkatan Allah Yang Esa.

RAMADHAN YANG DIRINDUI

Di celah-celah rimbunan Sya'ban kita mengintainya Ramadhan. Yang pasti kunjung tiba jua akhirnya. Persoalannya dapatkah kita mendakapinya awal hingga ke penghujungnya? Maka hadirlah prasangka bahawa kita pasti dapat bermesra bersamanya buat sekian kalinya.

Alhamdulillah jika begitu kiranya, persiapan akan mula direncana. Baik yang muda baik yang tua. Yang upaya mahupun yang tidak berdaya. Tidak sabar untuk menemuinya. Wahai Ramadhan yang dicintai semua, pilihlah kami bersamamu. Jadikan kami peneman setiamu. Pagi, petang dan malam inginku dakapimu. Agar keredhaan dan keampunan Allah menghiasi tiap ketika kami menemanimu.

Zuhey: Selamat Menjalani Ibadah Puasa Ramadhan. Tingkatkan amalan, mudahan bertambah darjat iman.

KANAK-KANAK RIANG EPISOD 1

"Jom ikut aku!",paksa Zilzikri kepada kawan-kawannya. Yang lain nampak keberatan. Takut pun ada. "Gila apa idea si Zilzikri ni." Masing-masing berkata-kata dalam hati. "Jomlah, apa yang terkulat-kulat lagi tu!" paksa Zilzikri lagi. "Aku tanggung semuanya beres. Gerenti selamat punya." "Habis kalau kena tangkap macam mana?" Jamal persoalkan. "Aku bukannya takut, tapi ini kerja gila wei!" Tambahnya. "Sudahlah korang, harap badan je besar, tapi penakut la pulak!" Kutuk Zilzikri pada kawan-kawannya. "Ayah aku imam sini tau, tak naklah aku ikut idea bodoh kau tu Zik. Nanti tak pasal-pasal dapat dosa." Zam mencelah. Sememangnya dalam kumpulan tersebut dialah yang baik sekali. "Mungkin dia anak imam, sebab itulah dia macam baik je. Ah, pedulikan dia! Ayah aku pun berjanggut macam ayah dia juga. Aku pun baik juga. Bukan salah pun idea aku ni." Zilzikri cuba mencari pertimbangan samada ingin meneruskan ideanya itu atau tidak."Jom, aku yang mula!", kelihatan Zilzikri bingkas menaiki tangga surau lalu masuk ke dalamnya. Zam, Jamal, Kutak dan Bakar menggigill kesejukan dalam hujan di luar surau. Memerhati sahaja. "Gum! Gum! Gung!" Tiba-tiba bunyi berdentum yang amat kuat sekali. Semua yang di luar surau terkejut dan terus melompat bagai katak melulu masuk ke dalam surau. Zilzikri menoleh ke belakang sambil mengelak daripada diterpa.

Bersambung...

KITA YANG SAMA

Kita yang tersempit pabila menghadapi orang yang turut sama tersempit,
kita yang merasa pabila berhadapan dengan orang yang sama merasa,
hati berkobar-kobar untuk sama turut serta berkongsi rasa,
pabila keupayaan mengekang semangat kita,
bila mana kesusahan turut sama membelenggui kita,
usaha telah diperah sedayanya,
hanya doa,
hanya doa yang termampu,
hanya doa yang mampu mengganti wang ringgit,
kita yang sama.
Doa kami untuk kesejahteraan kamu...
Dunia dan Akhirat.