SAJAK TERAWAL DI TUNAS 2011

Setiap tahun masa dan umur silih berganti,
adakah tahun ini,
kita masih belum mengerti?
Masih belum menginsafi?
Belum tekad untuk mensucikan diri?

SAJAK TERAKHIR DI KEMUNCAK 2010

Berduyun memecah tradisi malam,
hanya dek kerana pesta bunga api awal tahun,
halal dan haram sama dijamah sama ditelan.

RASUAH: SYABAS SPRM

Meskipun pelbagai tohmahan direnjiskan ke muka SPRM, hakikatnya kerja telah mereka jalankan. Syabas aku ucapkan kepada seluruh warga SPRM di atas komitmen yang ikhlas dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Memerangi jenayah rasuah bukan suatu tugas yang mudah untuk dilaksanakan. Tanpa badan khusus seperti SPRM mana mungkin negara kita dapat membasmi jenayah rasuah secara tegas dan berkesan.

Amat bodoh bagi mereka yang mem"perkentut"kan cara dan jalan kerja yang dilaksanakan oleh SPRM. Jelas mereka ini adalah golongan yang diibaratkan bagai anjing menyalak bukit semata-mata. Apa salahnya kita sama-sama membantu pihak SPRM membanteraskan jenayah rasuah secara harmonis, tanpa perlu mempolitikkan isu-isu tertentu dengan melibatkan pihak SPRM.

Pada hemat aku, jenayah rasuah boleh diumpamakan sebagai api dalam sekam. Sekiranya api tersebut tidak dipadamkan maka seluruh bendang boleh hangus terbakar. Peliharalah tangan kita daripada dibakar hidup-hidup di akhirat sana akibat rasuah yang kita ambil di dunia ini. Jenayah rasuah tidak mengenal siapa jua, baik bapak menteri, tukang kasut, guru, petani, imam, janda, teruna mahupun pelajar sekolah. Sesungguhnya mata dan hati kita boleh dikaburi oleh kemewahan dan kesenangan dunia. Moga Allah pelihara iman kita semua dan mudah-mudahan kita terselamat daripada melakukan jenayah rasuah



Zuhey: Adakah tangan penerima dan pemberi rasuah akan dibakar oleh api neraka kelak?

50 DUNIA 50 AKHIRAT : BETULKAH KONSEP INI?

Sering kali kedengaran orang awam menganjurkan konsep 50 dunia 50 akhirat. Baik ilmuan, negarawan, agamawan dan lain-lain. Aku bukan mahu mengiyakan atau menidakkan. Aku sekadar mahu berkongsi persoalan. Sekiranya ada bijak pandai agama yang mampu menjawap persoalan ini bolehlah berkongsi pandangan.



Baiklah mari kita sama-sama hayati dan empati perumpamaan yang akan diberi. Segelas cawan yang akan digunakan oleh tuannya untuk membancuh air teh yang cukup rasa. Maka pasti segelas air masak diperlukan samada panas atau suam ditambah dengan sedikit teh dan gula. Betulkan? Tiada pernah sesiapa pun menyediakan air teh yang mana bahan yang digunakan adalah sama banyak kuantitinya. Iaitu segelas air, segelas teh dan segelas gula. Sekiranya perkara ini berlaku, apa yang akan terjadi?

Begitulah jua dengan kita manusia, cawan tersebut ibarat medium kehidupan kita (masa dan nyawa). Manakala tuan kita ialah Allah S.W.T. Apakah kehendak Allah ciptakan kita? Semestinya beribadah kepadanya dan kembalinya kita adalah ke akhirat sana berjumpa dengan Nya. Jadi mana mungkin boleh kita mengisi ruang masa dan nyawa kita dengan kuantiti yang sama banyak antara akhirat dan dunia?

Sama-sama kita memikirkannya. Moga petunjuk dan hidayah Allah S.W.T bersama mereka yang menginginkan kebenaran Nya.

Zuhey : Dunia yang dilakukan kerana Allah semata-mata adalah sebahagian ibadah juga.

MEROKOK DI LAMAN RUMAH ALLAH



Semua sedia maklum bahawa merokok itu membahayakan kesihatan. Tidak perlu aku bahas dan syarahkannya di sini. Fatwa merokok sudah pun dah dikeluarkan, yang merokok itu bolehlah rujuk ke pejabat mufti negeri masing-masing atau terus je ke talian Majlis Fatwa Kebangsaan.

Cuma apa yang terkilan dalam hatiku ni adalah melihat gelagat perokok yang tiada rasa hormat terhadap masjid/surau/madrasah. Kita boleh lihat tidak kira di mana sahaja, perokok-perokok bebas merokok di laman-laman masjid atau surau. Bukan setakat merokok, puntung rokok yang dah habis dihisap tu dibalingnya sesukahati tanpa memikirkan kebiadapan perbuatan mereka tersebut. Siapalah aku nak melabelkan mereka ini biadap, akan tetapi inilah realitinya. Mungkin bukan aku sahaja yang meyampah, ribuan jemaah yang lain pun turut menyampah dengan perbuatan tersebut.

Maaf ya pakcik-pakcik, abang-abang dan adik-adik sekalian, sekiranya anda perokok tak semuanya dalam kalangan anda yang merokok di laman-laman masjid atau surau. Terima kasih atas rasa hormat dan keprihatinan anda terhadap masjid/surau dan para jemaah yang lain. Ketahuilah masjid atau surau itu tempatnya suci. Rumah Allah. Ramai yang mengunjunginya. Oleh itu sebagai muslim yang sejati sama-samalah kita menjaga kesucian rumah Allah dan jagalah kesenangan dan keselesaan para jemaah yang lain juga. Moga keredhaan Allah bersama dengan kita yang menjaga kesucian rumah Nya baik kita perokok mahupun tidak.

SUBUH

Sihat
aman dan tenteram
bagai sembuh dari sakit
bagai terlepas daripada seribu beban

Subuh
bukti kita kuat iman
jihad yang mantap
melawan nafsu dan syaitan

subuh
lazat dan nikmat
segar
kuat
mengalahkan seribu
pahlawan yang nyenyak ditilam

subuh
sifir yang senang untuk dihafaz
tapi sukar untuk dipraktikkan
melainkan
mereka yang telah diberi hidayah
taufik oleh Tuhan

KAWAN : BAGAIMANA KITA MEMILIH KAWAN?



Ini ialah arwah datuk aku bernama Hj Mohamad Bin Dato' Boyok. Arwah seorang yang mempunyai amat banyak pengalaman hidup. Pernah hidup zaman sebelum perang dunia kedua, zaman perang dunia kedua, zaman Jepun menjajah Tanah Melayu hinggalah ke zaman alaf 2000. Datuk aku ini boleh dianggap salah seorang perwira bagi Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Beliau pernah berkhidmat dengan British bagi menentang Jepun dan Komunis hingga telah dikurniakan Pingat Jasa Keberanian oleh Ratu Elizabeth. Beliau juga pernah dilantik oleh British menjadi mandor untuk membina lapangan terbang Singapore. Menurut beliau juga moyang aku Dato' Boyok adalah peneroka pertama tanah di Cangkak Gombak Selangor. Dalam keluarga kami mengalir darah pahlawan, pantang berundur apabila ditentang. Ketika arwah masih hidup, aku sering mencungkil rahsia dan pengalaman hidup beliau.

Antara nasihat beliau yang aku ingat sehingga kini ialah tentang memilih kawan. Kata beliau pada aku, kawan biarlah beribu, tetapi musuh jangan dicari. Biar kita berkawan dengan semua orang hatta kanak-kanak sekalipun. Tapi kita mesti berwaspada apabila berkawan. Ada kawan yang boleh kita berkawan ditengah jalan sahaja. Ada kawan yang boleh kita bawa berbincang dan berkongsi suka dan duka. Ada kawan yang boleh dibawa balik ke rumah. Ada kawan yang boleh kita benarkan bermalan di rumah. Ada kawan yang kita senyum dan bertegur sapa sahaja, tiada lebih daripada itu dan ada kawan yang boleh berkongsi makan semangkuk dan tidor sebantal dengan kita. Tidak semua kawan menganggap kita sebagai kawannya. Jadi pilih dan berhati-hatilah kamu (akulah) semasa berkawan.

Anda bagaimana? Aku sudah ada sifirnya, diadun dengan nasihat di atas maka eloklah kita berkawan dengan mereka yang alim dalam agama, kuat dan tinggi taqwanya, boleh menegur dan menasihati kita ke arah kebenaran ketika kita lalai dan leka. Kawan yang baik adalah kawan yang boleh mengingatkan kita tentang betapa pentingnya kehidupan selepas dunia.

Zuhey : Moga Allah merahmati kehidupan arwah datuk aku di kubur sana dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan mereka yang ikhlas dalam mempertahankan tanah airnya. Al-Fatihah buat arwah. Terima Kasih.

SUARA DARIPADA JALAN IBU KOTA

Meriah tidak kenal masa,
diwarnai dengan tol yang mesra,
besi laju memecut,
ada yang merangkak,
ada juga yang sesat!

Iman jadi penebat,
nafsu dan syaitan tak henti menggoda,
meroyan dan gila mainan anak muda,
mencelah memotong bagai ada puluhan nyawa.

Sakit dan penyakit bila-bila boleh merebak,
tidak kenal yang "berjuruh" mahupun yang tiada otak,
sumpah seranah mantera yang popular,
solat dan zikir boleh sahaja "terbabas",
dek besi-besi bernyawa asyik bercinta dan bercumbu,
kerana jalan yang disedia...
cukup selesa untuk beradu dan berniaga.

ANAK PANDAI BERGAYA DAN BERHIAS: IBU BAPA PERLU PANDAI MENUTUP AURAT



Ini gambar puteri aku yang bernama Daneen Imany. Sehari selepas bergaya depan kamera, alahai kasihan kena tahan wad pula. Moga cepat sembuh ya!

Anak-anak sekarang memang suka dan pandai bergaya serta berhias. Tidak kiralah tinggal di kampung mahupun di bandar. Mereka cukup mudah terkesan dengan suasana masa kini. Pengalaman aku dalam bidang pendidikan banyak menyaksikan anak-anak seawal usia 12 tahun sudah pandai bergaya dan berhias mengalahkan artis dan mak orang. Apa yang merisaukan pakaian mereka ini menjolok mata dan tiada tegahan daripada ibu bapa terutama anak-anak di bandar. Aku bukan nak menuduh dan mengata, tapi inilah realiti kini.

Tidak salah anak-anak nak bergaya dan berhias, tapi ibu bapa perlulah memberi panduan dan tauladan. Seelok-eloknya apabila anak sudah memasuki fasa baligh, ibu bapa perlu menyediakan anak mereka menjadi muslim dan muslimah yang tahu menutup aurat mereka. Tapi bagaimana anak mahu menutup aurat sekiranya ibu dan bapa mereka aurat pun tidak dijaga. Inilah yang menjadi masalah utamanya. Aku sudah banyak kali bersembang dengan anak murid yang ada kesediaan untuk memakai tudung ke sekolah, tetapi ibu bapa mereka yang menjadi halangan utama mereka. Menurut anak murid tersebut, ibu mereka menegah mereka memakai tudung kerana takut rimaslah, tunggu apabila besar nantilah, comotlah dan lain-lain lagi. Apa nak dikata? Nanti dilabel sibuk jaga tepi kain orang pula.

Oleh itu, bagi kawan-kawan muslimin dan muslimah di luar sana, berilah contoh yang baik kepada anak-anak kita dalam bergaya dan berhias. Tidak salah mereka mahu bergaya dan berhias, apa yang mustahak aurat perlu dijaga. Sebagai ibu bapa kita yang sepatutnya mengajar mereka cara bergaya dan berhias. Bergaya dan berhiasalah mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah. Kita dahulu yang perlu bergaya dan berhias dengan cara menutup aurat.

Zuhey : Bagaimana bayang tongkat mahu lurus sedangkan tongkatnya bengkok?

1432 H: KE ARAH YANG LEBIH BAIK



Suatu permandangan dalam bulan akhir di tahun 1431 H yang sempat ditangkap oleh aku menggunakan kamera murah. Subhanallah! Lokasi Elite-KLIA

Alhamdulillah berlabuh sudah tahun 1431 Hijrah. Mungkin tak terkira dosa yang kita kumpul tahun yang sudah. Apa yang terdaya bagi aku, pinta keampunan daripada Allah. Berbaik sangka dengan Allah, mudah-mudahan Allah mengampunkan semua.

Terlanjur (sepatutnya kita besyukur masih dikurniakan nyawa) kita di tahun yang baharu 1432 H ni, eloklah kita berazam untuk memanfaatkannya sebaik-baiknya. Hitung kira tolak darab bahagi dosa pahala kita tahun lepas (muhasabah la tu namanya) agar tahun yang baharu ini kita lebih baik daripada tahun yang lepas. Semak semula jadual solat kita, kalau asyik solat akhir waktu, eloklah tahun yang baharu ini kita cuba solat di awal waktu. Semak punya semak, gerenti banyak yang perlu kita ubahkan? Jangan risau, Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengasih. Kita berazamlah buat yang termampu dahulu, yang penting ikhlas dan istiqamah (berterusan). Insya Allah sama-sama kita berusaha ke arah yang lebih baik dalam semua pekerjaan seharian kita. Lillahi Taala. Semuanya semata-mata kerana Allah Taala.

Zuhey: Insya Allah! Tidak lupa juga ucapan Selamat Tahun Baharu Hijrah buat semua muslimin dan muslimat di luar sana.

MISAI VS JANGGUT : SIRI 2

Sambung kembali tentang tajuk misai vs janggut ni. Kali ini aku nak “intro” dengan diri aku sendiri. Tak perlu susah payah nak kumpul dosa cerita pasal orang, lebih baik aku muhasabah diri sendiri lagi elok. Baiklah, dari umur 18 tahun (tumbuh kumis da, hehe) hinggala ke umur 25 tahun aku tidak pernah potong misai. Aku jaganya dengan cukup rapi, sesetengah kawan-kawan panggil misai P. Ramlee da... Hahaha! Aku tak kesah yang penting aku suka dengan misai aku. Selepas itu simpan janggut pula. Tapi janggut selalulah dipotong, kasi nipis. Yela misai dan janggut untuk cari “makan”. Hehehe! Biasalah orang bujang, darah muda lagi masa itu.



Bersama "otai" yang bermisai tebal da! Kami panggil beliau CIO.



Masa simpan misai dan janggut! Kadang-kadang serabut pun ada.



Sudah "bogel" da muka aku!

Bila sudah masuk umur 26 tahun, aku mula rimas ada misai dan janggut. Rasanya mahu beralih angin pula. Lalu ku potong misai yang ku bela sejak 8 tahun yang lalu. Maka muka kelakian ku berubah menjadi muka jambu gitu (orang yang cakap). Timbul rasa malu pun ada. Yela, mana tidaknya orang panggil jambu! Aku bukannya jambu, aku manusia da! Maka setelah bermonolog dengan diri sendiri, maka aku dah dapat apa yang sepatutnya aku perlu buat dengan misai dan janggut ni. Suatu kesedaran telah timbul…



Ini yang dah ada kesedaran sedikit...Hehehe (moga-moga Allah tetapkan aku dalam Iman)


Sebenarnya dalam Islam, terdapat perintah bagi kaum lelaki untuk membiarkan tumbuhnya janggut dan memotong misai. Perkara ini jelas dengan terdapatnya banyak hadith Nabi s.a.w yang memperkatakan hal ini, antaranya sabda Nabi s.a.w yang bererti :

"Berbezalah daripada kaum Musyrik, bebaskanlah (biarkanlah sebagaimana adanya) janggut dan cukurlah kumis (misai)." (Hadith riwayat Bukhari, Sahih Bukari, vol 5, hlmn 2209; dan Muslim, Sahih Muslim, vol 1, hlmn 222)

Akan tetapi para ahli feqah berbeza pendapat di dalam memahami perintah Nabi s.a.w ini. Apakah ia menunjukkan bahawa hukumnya (janggut) wajib ataupun sunnah?

Jumhur fuqaha' (ahli feqah) berpendapat bahawa (menyimpan janggut) adalah wajib. Sementara, para ulama' Mazhab Syafie berpendapat hukumnya (menyimpan janggut) adalah sunnah.

Oleh itu, untuk kepastian yang lebih tepat tentang hukum dan kaifiatnya, anda semua haruslah berjumpa dengan ustaz atau mereka yang berkelayakan dalam ilmu fekah bagi mendapatkan penjelasan yang sewajarnya. Bukan bermakna omongan aku ini bohong dan tak berasas, tapi apa yang penting dalam mendalami ilmu agama ini, seelok-eloknya kita pelajarinya secara terus bersama ustaz atau mereka yang mahir dalam bidangnya. Ini kerana mungkin semasa pembelajaran tersebut timbul sebarang kemusykilan dan persoalan yang bermain dalam benak fikiran kita yang boleh diajukan terus kepada ustaz tersebut. Hal ini adalah bertujuan bagi mengelakkan berlakunya sebarang kekeliruan dan kesalahan dari segi I'tiqad (pegangan) kita terhadap sesuatu hukum.

MISAI VS JANGGUT : SIRI 1

Mungkin kedengaran agak klise sedikit tajuk aku kali ini. Mungkin ada dalam kalangan hawa yang mengimpikan jejaka mereka bermisai atau berjanggut. Ada yang jijik dan alah dengan misai dan janggut. "Geli-geli" pun ada barangkali. Tepuk dada tanya lah selera cik kak oi! Yang penting anda semua "berpuas hati."

Baiklah, anda mungkin kenal benar dengan gambar si minah di bawah ini?



Cukup manis dan anggun orangnya kan. Hehehe. Itu hanyalah ilusi pelukis semata-mata. Bayangkan kalau orang perempuan bermisai atau berjanggut? Adakah anda kaum lelaki sanggup...? Tepuk dada tanyalah nafsu masing-masing!



Misai. Pada hematku sekiranya sebut sahaja tentang misai maka ianya cukup sinonim dengan lelaki ini. Hitler. Jaguh Nazi pada suatu masa dahulu. Dengan misai inilah Hitler telah berjaya dalam hidupnya. Ya, berjaya dengan cemerlang sekali! Berjaya menghuru-harakan dunia ini buat suatu masa seketika dahulu. Si Misai inilah yang telah mensengsarakan ramai umat manusia.

Kematianya dikatakan cukup misteri. Mengikut sebahagian fakta sejarah setelah lama berperang dan setelah mengalami kekalahan di setiap medan pertempuran, Hitler menyedari bahawa kekalahan sudah tidak dapat dielakkan. Hitler kemudiannya mengahwini wanita simpanannya Eva Braun, dan kemudiannya membunuh diri bersama-sama pada 30 April 1945. Mayatnya dibakar untuk mengelak daripada jatuh ke tangan musuh.
Yang pasti misainya tetap abadi dalam lipatan sejarah sehingga kini! Tiada lagi misteri tentang misai Hitler. Ianya dibakar bersama tuannya bagi menemui Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Perkasa untuk bicarakan atas segala dosa yang telah dilakukannya.



Berbicara pula tentang janggut, maka kita terkenang akan kesatriaan Tok Janggut Pahlawan Ulung Negeri Cik Siti Wan Kembang. Nama sebenar Tok Janggut ialah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas. Beliau mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Dipendekkan cerita, mengikut fakta sejarah dalam pertempuran di Kampung Pupuh menentang "petualang" Negeri Kelantan, Tok Janggut telah terkena tembak lalu meninggal dunia. Mayat Tuk Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa satu hari. Mayat beliau digantung songsang (kaki di atas dan kepala di bawah)beberapa hari di Padang Bank (Padang Merdeka).Kemudian mayatnya itu telah ditembak oleh sepasukan pihak British sehingga putus dua badannya. Selepas itu mayatnya dibungkus dan dibawa dengan perahu ke Pasir Pekan untuk dikebumikan.



Inilah jasad pahlawan kebanggaan kita semua.



Jangan dibilang orang yang bermisai itu hebat. Jangan dicemuh orang berjanggut itu jijik. Jangan dibilang orang yang tidak bermisai dan berjanggut itu metroseksual. Yang harus kita bilang adalah kebaikan dan jasa mereka terhadap agama dan negara!

FAKTA SEKS REMAJA MALAYSIA



Kali ini aku ingin berkongsi tentang fakta yang mungkin tidak diketahui oleh anda semua.

Fakta 1- hingga 4 adalah peratusan siswa dan siswi (umur 18-25) yang bersetuju dengan kenyataan berikut:

1. Saya percaya tidak mengapa untuk remaja belia lelaki dan perempuan berciuman,
berpelukan dan menyentuh satu sama lain < L: 59.4% P: 45.0% >

2. Saya percaya tidak salah untuk remaja dan belia lelaki dan perempuan untuk
mengadakan hubungan seks jika mencintai satu sama lain < L: 33.6% P: 20.0% >

3. Seorang remaja perempuan akan kehilangan kehormatan dan harga dirinya jika dia
melakukan hubungan seks sebelum berkahwin < L: 41.7% P: 60.4% >

4. Seorang remaja lelaki akan kehilangan kehormatan dan hatga dirinya jika dia
melakukan hubungan seks sebelum berkahwin < L: 19.1% P: 29.6% >

5. Menurut Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-4 LPPKN (2004)Sebanyak 2.2
peratus golongan muda berumur 13 hingga 24 tahun (kira-kira 132,000
orang) pernah melakukan seks luar nikah.

6. Kajian di Negeri Sembilan (2006) mendapati 5.4 peratus remaja melakukan seks buat
pertama kali pada umur 15 tahun manakala kajian media LPPKN pada tahun 1998
mendapati 27.2 peratus golongan muda mengadakan hubungan seks pertama ketika
berusia 16 tahun dan umur paling muda pernah direkodkan ialah 9 tahun.

7. Berdasarkan rekod klinik dan hospital kerajaan yang dikaji, 19 peratus kes hamil
luar nikah membabitkan remaja di bawah 18 tahun dan yang lebih menyedihkan, 65
peratus daripada mereka adalah remaja Melayu.

8. Soal selidik seksualiti ke atas 1,303 remaja berusia 15 hingga 24 tahun mendapati
lebih ramai remaja mula berpacaran pada usia awal (15 hingga 18 tahun) berbanding
mereka yang tamat sekolah (18 hingga 20 tahun).

Sumber : Mazli UKM, LPPKN, METRO 28/11/2010.

Zuhey : Ya Allah jauhkan diriku, keluargaku dan keturunanku daripada fitnah dan dosa tersebut.

NIKMAT & SUJUD SYUKUR

Betapa pemurahnya Allah S.W.T Ta'ala, diberikan Nya begitu banyak limpahan nikmat kepada kita semua. Antaranya kejayaan, kecemerlangan, naik gaji, naik pangkat, dapat isteri baharu, dapat suami kaya, melancong ke sana sini dan lain-lain.

Seingat aku nikmat kejayan terkini yang Allah kurniakan kepada aku ialah mendapat Master dengan keputusan yang agak baik iaitu 3.896 CGPA dan terus diberi peluang untuk membuat PHD. Siapa yang tidak gembira, bayangkan aku pernah mendapat 4.00 CPA pada semester kedua masa belajar Master dulu dan aku dapat habisnya dalam tempoh tiga semester sahaja. Memang Allah permudahkannya sangat-sangat. Tiada tekanan, tiada stress, tiada perlu belajar keras. Memang Allah telah permudahkan!

Eh! Macam bangga diri la pulakan? Bukan ke situ tujuan aku,(sebagai motivasi kepada adik-adik aku yang tengah belajar) fokus utama omongan aku di serambi bahasa kali ini ialah adakah aku pernah melakukan sujud syukur atas segala nikmat kejayaan yang Allah telah berikan selama ini kepada aku? Melompat horey memang ada! (dalam bilik air je). Tapi sujud syukur ini yang aku kurang pasti. Rasanya memang tiada.

Aduh! Itu yang buat aku serba salah ni. Moga-moga dengan coretan ini ianya akan dapat memberi kesedaran kepada aku (dan yang membaca juga) agar jangan menjadi hamba yang tidak mengenang budi. Bukanlah sukar untuk melakukan sujud syukur. Inilah yang dikatakan iman yang lemah, sujud syukur pun tak mampu nak lakukan. Anda bagaimana? Dah, aku tak nak berlengah lagi! Jom sama-sama kita menzahirkan tanda kesyukuran kita atas segala nikmat yang Allah kurniakan kepada kita semua selama ini...khususnya nikmat Iman dan Islam.



Zuhey: Terima kasih kepada Ayah dan Umi ku atas segala pengorbanan mereka. Begitu juga buat Isteri tercinta yang banyak membantu dan memberi dorongan tika senang dan susah. Jazakumullah khairan kathira.

SURAT KHABAR VS AL-QURAN



Memang setiap hari aku akan membeli surat khabar. Boleh katakan setiap hari. RM1.50 akan "dilaburkan" untuk senaskah surat khabar. Hari Ahad tambah lagi RM0.50. Sekiranya tidak beli, aku akan cuba curi baca kat kedai atau yang kawan punya. (Maksud curi tu ambik baca tanpa izin da.. hahaha.) Sampai tahap ketagih jadinya. Adakah anda pun begitu? Aku tidak tahu, yang aku tahu memang aku dah termasuk dalam kategori penagih tegar pembaca surat khabar.

Tapi ada seperkara yang selalu berputar-putar dalam akal fikiran yang selalu aku nak lakukan tetapi sentiasa tidak terlaksana hinggalah ke saat dan detik ini. Apa dia? Baca Al-Quran. Ya membaca Al-Quran. Alangkah baik dan beruntungnya kalau Al-Quran dapat aku baca setiap hari juga. Aku memang hairan kenapa aku tak boleh nak lakukan seperti mana aku baca dan beli surat khabar setiap hari. Anda hairan? Aku tidak tahu, yang aku tahu memang aku hairan...! Betapa besarnya pangkat syaitan yang mendampingiku ini. Jeneral Mejar ke apa?

Anda jangan contohi aku, contohilah sahabat-sahabat nabi dan tabiin dan tabiin-tabiin yang terdahulu. Ada dalam kalangan mereka yang dapat khatam Al-Quran dalam satu malam sahaja. Hebatkan? Kita? Aku...? Insya Allah sama-sama kita usahakan. Sekurang-kurannya paling malas pun, kita cuba lah usaha baca 5 potong ayat satu hari. Insya Allah, moga Allah permudahkan dengan taufik dan hidayah Nya

SUKAN ASIA GUANGZHOU 2010



Berbaki beberapa hari lagi, sukan Asian Guangzhou 2010 akan melabuhkan tirainya. Banyak perkara yang boleh boleh dipelajari daripada edisi kali ini. Sebagai rakyat Malaysia, aku tumpang berbangga atas kejayaan dan semangat yang ditonjolkan oleh atlit-atlit kita di sana. Antara acara yang mencuri tumpuan aku adalah sepak takraw, badminton, bola sepak dan basikal.


Acara sepak takraw kali ini amat menarik sekali kerana ianya telah menjadi tumpuan ramai peminat di sana (kata pemberita). Namun yang pasti acara ini nampaknya sudah mula mendapat perhatian yang serius daripada negara China dan Korea. Kedua-dua negara ini pasti pada masa akan datang bakal memberi tentangan yang hebat kepada pasukan negara kita dan Thailand. Pada saingan kali ini kedua-dua negara ini telah memperlihatkan kebolehan mereka beraksi dalam acara ini. Awas! Sekiranya mutu permainan pasukan negara kita masih lagi di takuk yang lama, pasti pasukan sepak takraw negara kita akan diperbudakkan oleh mereka.



Tahniah Chong Wei. Aku sebagai penggiat aktif dalam sukan ini amat berbangga dengan gaya dan corak permainan anda. Tewas tidak bermakna permainan anda teruk. Kita kena akui sememangnya Lin Dan hebat dan berada dalam kelas yang tersendiri dalam acara badminton ini. Hanya Chong Wei sahaja yang mampu bermain dengan beliau. Bila la nak pi berguru dengan kamu ni Chong Wei? Aku main asyik kalah je! Hehehe.



Acara yang telah menyumbangkan pingat emas kepada Malaysia. Tahniah Azizol. "Kecil-kecil batang ubi, berisi!" Seronok aku tengok Azizol ni memecut. Sekiranya mahu dibandingkan dengan atlit negara lain, memang kita kalah dari segi saiz, tapi siapa sangka urat dawai tulang besi si Azizol ni memang hebat. Kudratnya aku cukup kagumi! Yang terbaik masa di Komanwel yang lepas, memang berani dan penuh bergaya lagaknya, tapi sayang kemenangan beliau dibatalkan! Akhirnya tertebus juga di Giangzhou. Tahniah Zol!



Apa boleh buat, sudah yang terbaik mereka lakukan. Aku pun turut kecewa atas kekalahan mereka unuk sekian kalinya. Apa-apa pun syabas atas semangat yang telah ditonjolkan. Sekurang-kurang ada alasan untuk diberikan. Pengadil! Ya pengadil! Hahaha. Cuba lagi ya FAM dan Rajagobal. Kami (mewakili kawan-kawan lain yang asyik dok kutuk FAM) amat berharap untuk melihat pasukan bola sepak Malaysia bermain bola dengan cara yang betul dan bermaruah. Hidup Bola Sepak Malaysia. Gomo Kelate Gomo!(terselit juga hehe)

SENYUM : TERSIRAT SEJUTA KEBAIKAN




Senyum. Suatu perilaku yang amat mudah sebenarnya. Namun dibalut dengan bertan batu kepayahan. Ramai yang tahu bahawa senyum itu dapat memberi banyak faedah dan manfaat kepada diri sendiri mahupun orang yang menerima senyuman tersebut. Senyum adalah ubat kedukaan, senyum penambah kemesraan, senyum pengirat silaturahim, senyum penghias diri bagi orang beriman. Namun senyum itu bagai permata yang mahal untuk dipertontonkan. Sukar dan berat bagi segelintir masyarakat kita untuk mengukirkan senyuman.

Realiti hari ini, pergilah ke masjid, sukar untuk melihat iman, bilal dan AJK masjid untuk menghadiahkan senyuman kepada ahli jamaah. Di pejabat, bos-bos ibarat botol cuka digantung dibibir. Di sekolah, guru-guru ego untuk senyum kepada murid-murid. Ke mana sahaja bila melibatkan "Tuan Besar" maka mereka ini selalunya kedekut untuk bersedekah dengan senyuman.

Bagaimana mahu membentuk masyarakat yang harmoni sedangkan "Tuan Besar" selalunya tidak memberi contoh tauladan yang baik kepada "anak-anak kecil". Wahai "Tuan Besar", ukirlah senyuman. Kerana senyuman anda amat bermakna bagi kami yang bekerja keras untuk anda. Sekurang-kurangnya senyuman anda dapat kami balas dengan doa. "Tuan Besar" Dapat pahala kami juga dapat berkonsi sama.


BENIH YANG BERPENYAKIT

Lewati di sekitar denai,
lewati di pelusok bendang,
lewati di kebun bunga,

gersangya lebih berbanding hijau,
daun reput berselerak menyampahi bumi,
panaskah matahari?
beracunkah lopak dan perigi?
baja yang bersubsidi, tiada cukupkah lagi?

Masakan mahu hijau mahu harum,
benih yang disemai datang daripada semaian Uncle Sam,
masakan mahu berkuntum apatahlagi punyai akar,
benihnya kuning kering kontang tak berisi

Oh tidak... ini benih padi kami!
oh tidak... ini benih bunga raya kami!
oh tidak... ini benih bakau kami!

Mahal, tapi benih tak berkuali,
ISO, tapi benih berkulat mengeri,
Import, tapi benih punyai virus yang tersembunyi...
benih berpenyakit akhirnya tetap disemai...
bangga akhirnya...pokok yang rosak memenuhi alam.

ETIKA PERHUBUNGAN AWAM

1.0 Pengenalan

Kebiasaannya perkerjaan yang diiktiraf sebagai profesional mempunyai etika kerja yang perlu dipatuhi oleh mereka yang terlibat dalamnya, seperti peguam, doktor, guru, pensyarah dan lain-lainya. Ianya bertujuan bagi membina dan menjaga imej profesional sesuatu pekerjaan tersebut dan bagi memastikan para pekerjanya mempunyai imej yang bersih, cekap, dedikasi, amanah dan yang paling penting bertanggungjawab dalam menjaga reputasi dan taraf pekerjaan tersebut.

Etika perhubungan awam telah disediakan bagi mereka yang terlibat dalam bidang ini. Ianya berasaskan hak asasi manusia dan telah mendapat pengiktirafan Pertubuhan Badan-Badan Bersatu. Pengamalnya adalah daripada kalangan mereka yang mengamalkan aktiviti perhubungan awam. Perhubungan awam secara mudahnya dimaksudkan sebagai hubungan dengan masyarakat awam. Manakala masyarakat pula merujuk kepada hubungan dengan sesuatu institusi atau organisasi ataupun individu sama majikan, kerajaan, pelanggan, pengedar, pengguna dan sebagainya.

2.0 Apakah Itu Etika Perhubungan Awam

Mengikut Kamus Dewan, etika adalah sebagai berikut: a). ilmu bukan dasar-dasar akhlak atau moral; b). suatu sistem dasar-dasar akhlak atau tingkahlaku bagi sesuatu kumpulan (persatuan, pekerjaan dan lain-lain). Menurut Kamus besar bahasa Melayu Utusan (1995) etika membawa maksud ilmu kesusilaan. Kamus Webster’s (1998), mendefinisikan etika sebagai disiplin yang membezakan antara baik dan jahat, betul dan salah, atau tanggungjawab sosial dan obligasi. Fletcher (1966), Banner (1968), dan Mabbott (1969) pula mengatakan bahawa etika adalah salah satu cirri-ciri perlakuan yang betul. Ilmu berkaitan dengan dasar-dasar akhlak atau moral. Sesetengah sarjana berpendapat bahawa etika adalah merupakan sistem dasar-dasar akhlak, hukuman-hukuman, tingkahlaku atau kelakuan. Ada juga yang mengatakan ianya adalah satu sistem dasar-dasar akhlak atau tingkahlaku bagi sesuatu kumpulan atau organisasi.

Pelbagai pengertian dan definisi yang diberikan oleh sarjana-sarjana mengenai istilah etika. Selain itu, ianya bergantung pada penganutan budaya dan kefahaman masing-masing berlandaskan adat resam sesuatu kaum. Sesuatu kaum pula mempunyai pengertian tersendiri bagi menilai apakah yang disebut etika. Penulis memetik pandangan Kichener (1984) yang menghuraikan 5 prinsip etika sebagai berikut:
(a) Autonomi,
(b) Mengelak daripada mencederakan,
(c) Melakukan sesuatu yang baik
(d) Bersifat adil;
(e) Bersifat taat setia.

Lima prinsip etika yang digariskan oleh Kichener menampilkan satu panduan umum yang sememangnya ada pada sesetiap individu yang waras fikirannya. Tidak ada seorang manusia yang ingin bersikap menzalimi oleh lain. Walaupun bangsa sekalipun ataupun apa agama anutannya, tetap mempunyai prinsip dalam kehidupan iaitu mengindari keburukan yang tidak disenangi oleh semua manusia. Etika pula, mempunyai definisi sebagai berikut:

(i) Prinsip moral, khususnya yang berkaitan dengan soal betul (right) atau salah (wrong) sesuatu tindakan itu,
(ii) Peraturan bertingkahlaku (rules of conduct) bagi ahli sesuatu profesion,
(iii) Satu sains penelitian mengenai tingkahlaku manusia yang pragmatik (yang kita perlukan dalam situasi pekerjaan kita) iaitu konsep tentang tingkahlaku yang baik.

Manakala Perhubungan awam juga terdapat pelbagai pengertian. Antaranya ada menyatakan, "perhubungan awam merupakan satu usaha yang dirancang untuk mempengaruhi pendapat melalui perwatakan yang baik dan prestasi yang bertanggungjawab, berdasarkan kepada komunikasi dua hala yang saling memuaskan antara kedua-dua pihak". (Cutlip, Center & Broom, 1994).

Hamdan (1988) pula mengatakan bahawa perhubungan awam ialah satu reputasi. Ia merupakan satu kegiatan yang sangat penting untuk manusia yang normal. Ramai pengamal perhubungan awam berpendapat bahawa profesion mereka akan lebih mudah difahami jika istilahnya merujuk kepada "hubungan dengan masyarakat awam."
Webster’s New International Dictionary, Third Edition mendefinisikan perhubungan awam sebagai:

a) Promosi untuk menjalinkan hubungan yang rapat dan baik antara perseorangan, firma dengan individu lain, masyarakat sasaran yang khusus, atau masyarakat umum melalui penyebaran bahan-bahan yang senang difahami, perkembangan pertukaran di antara jiran, dan penilaian reaksi masyarakat sasarannya.
b) Taraf persefahaman dan hubungan baik yang dicapai antara orang perseorangan, organisasi, atau institusi dengan masyarakat sasaran.
c) Penggunaan teknik untuk mencapai perhubungan yang baik dan satu sains bagi menjalinkan perhubungan yang baik di samping persefahaman yang berbalas (Hamdan, 1988).

Istitut Perhubungan Raya Antarabangsa (IPRA) telah mendefinisikan perhubungan awam adalah fungsi pengurusan yang bersifat berterusan dan dirancang di mana orang awam dan firma serta institusi swasta mencari jalan untuk mendapat dan mengekalkan persefahaman, simpati dan sokongan daripada mana-mana pihak yang terlibat dengan cara menilai pendapat orang awam terhadap organisasi mereka supaya dapat menghubungkan atau menyampaikan dasar, polisi atau peraturan-peraturan mereka dan mencapainya melalui perancangan yang lebih cekap untuk kepentingan bersama.

Manakala Edward L. Bernays, seorang pelajar perhubungan awam di Amerika Syarikat memberi definisi perhubungan awam dari segi maklumat, pujukan dan sikap. Dari segi maklumat ialah satu penerangan untuk dihebahkan kepada orang ramai. Manakala pujukan pula memainkan peranan penting untuk mempengaruhi orang ramai supaya sikap dan tindakan mereka boleh diperbetulkan. Faktor sikap dilihat dari segi komitmen untuk menyatukan tindakan sesebuah institusi dengan masyarakat sasaran atau sebaliknya.

Oleh itu dapat dirumuskan bahawa etika perhubungan awam ialah suatu peraturan mengenai tingkahlaku yang wajib dipatuhi oleh pengamalnya. Kebanyakan etika perhubungan awam sesebuah organisasi perhubungan awam berasaskan etika Persatuan Perhubungan Raya Antarabangsa (IPRA) yang digelar “Code of Athens”.

3.0 Kenapa Etika Perhubungan Awam Diperlukan Dan Siapakah yang Terlibat
Menggunakannya?

Etika perhubungan awam di Malayasia diamalkan oleh mereka yang terlibat dalam profesion perhubungan awam samada dalam Kerajaan, swasta atau sesebuah organisasi. Sebelum kita melihat kepada perlunya etika perhubungan awam, adalah lebih elok kiranya kita mengupas mengenai betapa pentingnya etika itu sendiri kepada manusia sejagat. Hakikatnya adalah isu etika bukan saja merujuk pada peristiwa ataupun kejadian yang luar biasa, besar-besar, dan berkenaan orang lain, akan tetapi yang lebih pentingnya isu etika merujuk pada tingkahlaku kita sendiri, tingkahlaku harian yang kita biasa lakukan dalam kapasiti kita sebagai pekerja, pelajar, pelanggan atau sebaginya. Sama ada disedari mahupun tidak, seseorang melanggari etika dirinya sendiri. Contohnya, niat hatinya jarang dapat ditepati dengan janji yang dilafazkan melalui mulut. Kata pepatah Melayu, “menanam tebu di bibir, janji tak serupa bikin.”
Dengan kata lain, manusia itu sendiri kurang pasti tindak tanduknya mengikut landasan beretika iaitu berakhlak sebagai manusia sejati. Jadi istilah etika merujuk pada dasar tingkahlaku manusia, individual ataupun kelompok masyarakat sama ada buruk ataupun baik. Sesebuah masyarakat sememangnya telah membentuk etika tersendiri yang diklasifikasikan sebagai adat resam. Begitu juga kehidupan manusia dalam pelbagai sektor pekerjaan mempunyai etika. Seorang wartawan menggunakan etika kewartawanan bila melaporkan setiap berita. Secara umumnya, seseorang wartawan pula melaporkan berita tepat, benar dan mempunyai sumber sahih yang boleh dipercayai. Begitu juga seorang pensyarah ataupun guru mempunyai etika bekerja. Maksudnya, mereka perlu mengikuti landasan etika yang telah digaristetapkan oleh pemerintah sama ada di pihak sekolah mahupun kerajaan. Justeru, kehidupan seseorang tidak terlepas daripada rintangan dan halangan yang dikenalkan melalui etika tersebut supaya kehidupan mereka di lorong yang betul dan benar. Di sini diberikan beberapa kepentingan etika terhadap kehidupan kita sebagai manusia;

(a) Menentukan arah dan memberi makna kepada pemikiran,tindakan dan tingkahlaku bagi memenuhi tanggungjawab atau amanah
(b) Memberi penyatuan dan penyelarasan di antara anggota perkhidmatan awam sebagai institusi utama pembangunan tamadun.
(c) Merupakan standard bagi mendorong anggota dengan ikhlas dan berkesan

Memandangkan pada zaman kini, dunia pengurusan menjadi semakin kompleks dan mencabar, maka tidak dapat dinafikan betapa pentingnya adanya perhubungan awam. Perhubungan awam bukan lagi dianggap sebagai kegiatan pinggiran dalam pengurusan mana-mana organisasi tetapi ianya telah dijadikan sebagai nadi bagi sistem pengurusan masa kini, terutamanya bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia. Secara jelasnya perhubungan awam merupakan suatu kegiatan yang penting kepada setiap manusia yang normal. Kegiatan ini melibatkan hampir setiap orang yang mempunyai perhubungan awam dengan orang lain. Oleh itu komunikasi akan berjalan seiringan dengan matlamat tersebut. Selain dapat memudahkan komunikasi, perhubungan awam itu sendiri mempunyai faedah-faedah seperti berikut:

(a) Membantu menyedarkan pihak pengurusan akan kepentingan pendapat awam dan bagaimana patut bertindak balas terhadapnya;
(b) Menolong membentuk tingkah laku perhubungan individu dalam organisasi;
(c) Membantu pihak pengurusan mengendalikan masalah masyarakat sasaran mereka;
(d) Mengendalikan berbagai-bagai kegiatan yang sesuai pada waktu-waktu yang diperlukan;
(e) Menentukan apa saja kegiatan atau tindakan yang diadakan itu berkesan, ikhlas, dan difahami.

Selain itu, Persatuan Perhubungan Awam Amerika (PRSA) merumuskan bahawa perhubungan awam antara lainnya berperanan sebagai;

(1) Alat untuk mencapai penyesuaian bersama antara institusi dan kumpulan bagi mewujudkan hubungan yang boleh memanfaatkan publik.
(2) Elemen penting dalam system komunikasi yang mendorong dan membolehkan individu mendapat maklumat mengenai segala perkara yang memberi kesan kepada kehidupan individu berkenaan.
(3) Pengetahuan yang perlu dikuasai oleh kakitangan organisasi bagi menggiatkan tanggungjawab sosial organisasi.
(4) Prinsip asas bagi mendapatkan penerimaan dan kerjasama daripada pihak lain.
(5) Alat untuk memberi peluang kepada publik untuk bertindak secara melalui pengedaran maklumat yang menyeluruh mengenai perkara yang berkepentingan dengan publik.

4.0 Di manakah Etika Perhubungan Awam Diamalkan Dan Bagaimana Amalan Etika Perhubungan Awam Di Malaysia?

Pada dasarnya etika perhubungan awam digunakan dan di amalkan di setiap organisasi perhubungan awam yang berurusan dengan sesuatu kumpulan, individu, kerajaan, swasta, pelanggan dan lain-lain lagi. Di Malaysia perhubungan awam telah diamalkan dalam sektor kerajaan di Jabatan Publisiti dan Percetakan. Tarikh penubuhan Jabatan Publisiti dan Percetakan (Department of Publicity and Printing) pada bulan September 1945. Walau bagaimanapun sebelum itu terdapat agensi kerajaan yang menjalankan tugas-tugas perhubungan awam iaitu Malay States Information Agency yang ditubuhkan pada tahun 1926. Jabatan ini disusun semula untuk disesuaikan dengan pentadbiran sivil mulai 1 April 1946 dan diberi nama baru iaitu Jabatan Perhubungan Raya (Department of Public Relations). Pada tahun 1950 nama itu ditukar kepada Jabatan Penerangan dengan tugas-tugas yang tersusun dan diperluaskan lagi. Jabatan ini diletakkan di bawah Kementerian Penerangan yang ditubuhkan pada tahun 1961.

Laporan Jabatan terawal yang terdapat di Arkib Negara ialah laporan bulanan bagi bulan September 1945 yang menyebut bahawa jabatan telah ditubuhkan semenjak 24 September 1945. Minit mesyuarat D.C.C.A.O. Conference bertarikh 22 September 1945 mencatatkan bahawa Jabatan Publisiti dan Percetakan telah diwakili oleh Colonel Dumeresque (Director, Department of Publicity and Printing, British Military Administration, Singapore) dan Major Walker (mewakili Department of Publicity and Printing, Kuala Lumpur). Jabatan ini ditubuhkan dengan tujuan mengembalikan imej Kerajaan British yang telah terjejas akibat pendudukan Jepun. Pentadbiran Tentera British berlangsung dari 5 September 1945 dan tamat pada 31 Mac 1946. British Military Administration menghadapi keadaan kucar kacir selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Sebahagian rakyat telah hilang kepercayaan terhadap mereka. Pada masa itu beberapa pertubuhan kebangsaan telah tumbuh dengan matlamat membebaskan Tanah Melayu dari sebarang penjajahan kuasa asing.

Pada awal penubuhannya, jabatan menjalankan tugas utama sebagai penghubung di antara pemerintah British dengan rakyat tempatan. Peranan ini menjadi lebih penting kerana rakyat tempatan masih ramai yang buta huruf dan anggota pentadbiran British pula keseluruhannya kurang mahir dengan bahasa dan adat resam tempatan. Anggota-anggota jabatan telah menjadi penterjemah dan penghubung di antara mereka.

Peranan jabatan semakin penting untuk memperjelas dan menyebarkan peraturan-peraturan dan undang-undang yang dikeluarkan oleh pemerintah hingga keseluruh ceruk rantau tanah air. Jabatan juga diperlukan oleh kerajaan British untuk memberi penerangan dan maklum balas tentang reaksi dan pandangan rakyat serta menerangkan kepada para pentadbir mengenai situasi ekonomi dan sosial di sesuatu tempat. Boleh dikatakan peranan jabatan adalah untuk memupuk persefahaman rakyat dan mengawal kestabilan negara.

Menurut Hamdan (1987), pada tahun 1962 Institut Perhubungan Awam telah ditubuhkan. Ianya ditubuhkan adalah kerana bagi meningkatkan amalan perhubungan awam yang berkesan dan beretik. Dalam perlembagaan IPRM dikemukakan kod tingkah laku Perhubungan Awam bagi para anggotanyaa. Kod tingkah laku IPRM berasaskan Kod Etik Persatuan Perhubungan Awam Antarabangsa (IPRA) yang digelarkan ”Code of Athens”. Asas Kod Athens ialah terhadap ”hak asasi manusia” dan ingkah laku baik pengamal Perhubungan Awam. Kod ini diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai piagam dunia bagi sesiapa yang bekerja dalam bidang perhubungan Awam. Kod Athens ini mengandungi 13 fasal. Kod Etika Tingkahlaku IPRM mengandungi 14 fasal dengan empat fasal menggariskan apa yang sewajarnya dilakukan oleh ahli, dan 10 fasal lagi merupakan panduan larangan tindakan di kalangan ahli. Fasal-fasal kod etika IPRM berkenan adalah sebagai berikut;

(1) Seseorang ahli hendaklah mengendalikan aktiviti profesionalnya dengan menghormati kepentingan publik.
(2) Seseorang ahli hendaklah sentiasa bersikap adil dan jujur terhadap pelanggan atau majikannya terdahulu dan sekarang, ahli-ahli IPRM dan dengan masyarakat umum.
(3) Seseorang ahli tidak boleh dengan sengaja menyebarkan maklumat palsu atau mengelirukan, dan mesti berusaha untuk mengekalkan perbuatan tersebut. Ahli mempunyai tanggungjawab yang positif untuk menegakkan kebenaran, ketepatan dan kesuciannya.

(4) Seseorang ahli tidak boleh terlibat dalam sebarang amalan yang cenderung untuk mencemarkan integriti saluran-saluran komunikasi publik.
(5) Seseorang ahli tidak boleh membentuk atau menggunakan sebarang organisasi yang mengaku menjalankan suatu perkhidmatan yang baik tetapi sebenarnya menonjolkan kepentingan khusus atau persendirian seseorang ahli atau pelanggan atau majikan secara berselindung.

(6) Seseorang ahli hendaklah menjaga kepercayaan pelanggan atau majikannya yang terdahulu dan sekarang. Ahli tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat sulit yang didapatinya semasa tugas rasmi tanpa mendapat kebenaran daripada pelanggan dan majikan berkenaan kecuali dengan perintah mahkamah.

(7) Seseorang ahli tidak boleh mewakili kepentingan yang bertentangan atau berasingan tanpa mendapat kebenaran daripada orang yang diwakili, iaitu setelah fakta lengkap dijelaskan kepada mereka.

(8) Seseorang ahli yang mengendalikan perkhidmatan kepada pelanggan atau majikan tidak boleh menerima bayaran, komisyen atau sebarang pertimbangan berharga daripada sesiapa pun selain daripada pelanggan atau majikannya kecuali amalan itu dipersetujui oleh pelanggan atau majikan berkenaan.

(9) Seseorang ahli tidak boleh menyebabkan atau membenarkan sebarang perkara dilakukan bagi tujuan mengiklankan atau mendapatkan urusan perniagaan secara tidak adil.

(10) Seseorang ahli tidak boleh mencadangkan kepada pelanggan atau majikan bahawa bayaran atau ganti rugi lain yang diperolehinya adalah tertakluk kepada pencapaian hasil yang tertentu; serta membuat persetujuan bayaran yang memberi kesan yang sama.

(11) Seseorang ahli tidak boleh secara sengaja merosakkan reputasi atau amalan profesional ahli lain, tetapi jika ahli mempunyai bukti bahawa ahli lain bersalah atau tidak beretika, melakukan amalan haram atau tidak adil, maka menjadi tanggungjawb ahli untuk melaporkannya kepada institut berdasarkan memorandum dan fasal perlembagaan IPRM.

(12) Seseorang ahli tidak bleh terlibat atau mempunyai sebarang kaitan dengan pekerjaan atau urusan yang menutur pendapat Lembaga (IPRM) tidak selaras dengan keahlian institut.

(13) Seseorang ahli tidak boleh mencari jalan untuk menggantikan ahli lain daripada majikan atau pelanggannya, serta mencampuri urusan pekerjaan profesional ahli lain kecuali kedua-dua pihak yakin bahawa konflik kepentingan tidak akan terlibat, dan terus mendapat maklumat mengenai perundingan yang berlaku.

(14) Seseorang ahli hendaklah bekerjasama dengan ahli lain dalam mempertahankan dan menguatkuasakan kod ini.

Setiap perkara di atas tersebut perlulah difahami, dihayati dan diamalkan dengan sebaik mungkin oleh pengamalnya. Sebagi contoh perkara kelima; tujuan utama perkara kelima ini ialah untuk mengelak terjadinya pembentukan organisasi “depan” yang nampaknya mengendalikan sesuatu kegiatan yang boleh mendatangkan seranta yang baik, tetapi sebaliknya mempunyai matlamat yang tersembunyi, semata-mata untuk kepentingan sendiri atau kumpulan tertentu. Oleh itu amat penting bagi pengamal perhubungan awam menyatakan kepentingan yang dimajukan dengan jelas dan dia mengaku mengendalikan kepentingan itu.

Bagi Jabatan Penerangannya Malaysia, bahagian perhubungan awamnya telah menyediakan beberapa etika yang perlu dipatuhi oleh kakitangannya . Iaitu;
“Atas amanah melalui jawatan dan kuasa yang diberikan, saya bertekad untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya dengan setia, mesra dan amanah ke arah matlamat jabatan. Oleh yang demikian saya akan;

1) Mendisiplinkan diri supaya bertindak untuk menggalakkan setiap amalan baik, mencegah penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah;
2) Bekerja dengan semangat berpasukan melalui permuafakatan,persefahaman dan sentiasa bersyukur serta berkongsi dalam setiap kejayaan atau kegagalan;
3) Memastikan segala arahan dan tugas dilaksanakan dengan penuh ketaatan, menyemaikan sifat amanah dan bertanggungjawab menjalankan tugas;
4) Bersikap terbuka, sanggup menghadapi cabaran dan saingan dalam perubahan semasa dengan membentuk sikap yang positif demi menjaga imej jabatan; dan
5) Berusaha untuk meningkatkan lagi kecekapan,profesionalisme serta kecemerlangan diri melalui ilmu pengetahuan, amanah dan kemahiran secara berterusan.

5.0 Kesimpulan

Kesimpulan yang dapat diberikan ialah bahawa etika perhubungan awam amat penting diamalkan dengan baik oleh seluruh organisasi perhubungan awam. Secara amnya pihak kerajaan adalah antara pihak yang paling banyak mengamalkan etika perhubungan awam. Segala kod etika perhubungan awam yang disediakan perlulah diaplikasikan dan diadaptasikan dalam setiap urusan yang berkaitan. Semua kod etika yang digunakan haruslah berasaskan kod etika yang disediakan oleh Persatuan Perhubungan Raya Antarabangsa (IPRA) yang digelarkan sebagai “Code of Athens”. Kod ini mengandungi 13 fasal dan telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bnagsa-Bangsa Bersatu. Di Malaysia kod etika perhubungan awam telah disediakan oleh IPRM. Ianya mengandungi 14 fasal dan ianya berasaskan Code Athens.

BIBLIOGRAFI

Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan. (1995). Selangor: Percetakan Klim Sdn. Bhd.
Kamus Dewan Edisi Ketiga. (1994). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Hamdan Adnan. .(1985). PR di Malaysia. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.
____________.1987). Prinsip Perhubungan Awam. Shah Alam: Penerbit Biroteks ITM
Muhammad Rosli Selamat. (2007). KOC 3431 Strategi Perhubungan Awam. Selangor: Universiti Putra Malaysia
Muhmood Nazar Mohamed. (1995). Hubungan Manusia dalam organisasi. Kuala Lumpur: Utusan

KEMAHIRAN KOMUNIKASI ANTARA PERSEORANGAN : AYAHKU ZAINAL MUHAMAD

Manusia tidak dapat dipisahkan daripada aktiviti berkomunikasi. Manusia tidak dapat hidup tanpa berkomunikasi. Komunikasi adalah suatu yang asas seperti mana keperluan kita untuk makanan, tempat tinggal dan pakaian. Begitu jugalah pentingnya komunikasi kepada kita kerana kita tidak dapat makanan atau pakaian mahupun tempat tinggal sekiranya kita tidak dapat berkomunikasi.

Atas kesedaran inilah maka wujudlah bidang-bidang ilmu yang berkaitan dengan, komunikasi, teori komunikasi dan yang bersangkutan dengannya. Perkembangan bidang komunikasi diasaskan oleh mereka-mereka yang pakar dari bidang-bidang lain seperti sosiologi, antropologi, psikologi, psikologi social, dan sainns politik yang terlebih dahulu awal bertapak.

Apakah itu Komunikasi? Komunikasi sebenarnya adalah konsep yang sukar untuk didefinisikan atau ditafsirkan. Tetapi di sini diutarakan beberapa pandangan ahli sarjana mengenai definisi komunikasi mengikut pandangan mereka masing-masing. Ruesch (1957) menyatakan bahawa komunikasi adalah suatu proses yang menghubungkan bahagian-bahagian yang terasing di dunia ini. Miller (1966) mentakfirkan komunikasi sebagai situasi di mana sumber memancarkan mesej kepada penerima dengan cara secara sedar bertujuan mempengaruhi perlakuan penerima. Bagi Gode (9159) berpendapat bahawa komunikasi merupakan proses mewujudkan persamaan di antara dua orang atau lebih sesuatu yang dimonopoli oleh seseorang atau beberapa orang. Hoben (1954) pula menyatakan komunikasi merupakan pertukaran secara verbal sesuatu idea atau pandangan. Manakala Bereslson dan Steiner (1964) berpendirian bahawa komunikasi adalah proses pemancaran maklumat.

Komunikasi antara perseorangan melibatkan interaksi antara dua orang dalam usaha untuk membentuk hubungan. Menurut Beebe, Beebe & Redmond (1999) komunikasi antara perseorangan ialah komunikasi kemanusian yang berlaku apabila seseorang berinteraksi secara serentak dengan orang lain dan saling mempengaruhi di antara satu sama lain dengan tujuan untuk mengendalikan hubungan. Manakala menurut Adler, Rosenfeld dan Towne (1999), komunikasi antara perseorangan ialah suatu proses transaksi yang berterusan, melibatkan komunikator-komunikator daripada persekitaran yang sama atau pun berbeza dan mewujudkan hubungan melalui pertukaran mesej yang kebanyakkannya dipengaruhi oleh gangguan atau halangan luaran, fisiologi dan psikologi.

Saya mempunyai seorang ayah yang bernama Zainal Bin Muhammad. Saya menganggap ayah saya adalah seorang komunikator yang cukup baik dan disegani. Beliau merupakan anak kelahiran Negeri Selangor berdarah kacukan Arab dan Minangkabau. Beliau berhijrah ke Kelantan dan bertemu jodoh dengan ibu saya Khuzaimah Bt. Abdul Ghani. Sekarang ini beliau menetap di Kelantan bersama-sama ibu dan adik-adik saya. Manakala ibu saya pula merupakan anak kelahiran kelahiran Negeri Kelantan berdarah kacukan Siam dan Bugis.

Ayah saya bekerja sebagai pegawai perhubungan dalam Angkatan Tentera Malaysia bertempat di Kem Desa Pahlawan Kelantan. Beliau masih lagi mempunyai khidmat selama 2 tahun dengan Angkatan Tentera Malaysia sebelum berpencen. Sebelum ini beliau pernah berkhidmat di beberapa buah kem iaitu Kem Udara Sungai Besi Selangor , Kem Askar Melayu Tapah dan Kem 8 Brigade Pengkalan Chepa Kelantan. Sepanjang perkhidmatanya, beliau bekerja dengan cemerlang dan telah beberapa kali di naikkan pangkat.

Beliau adalah seorang yang kuat berpegang pada ajaran agama Islam, mesra, peramah dan cukup baik hati orangnya. Beliau cukup senang untuk memberi senyuman meskipun kepada kanak-kanak Beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Sebagai seorang Iman Masjid, dalam seminggu beliau akan sentiasa melawat kenalannya dan ahli qariah masjidnya. Pendek kata beliau adalah seorang yang cukup disegani di kawasan kampungnya dan kampung-kumpung yang berhampiran. Ini kerana beliau mempunyai ramai kenalan dan sentiasa menjalankan hubungan yang baik terhadap semua orang yang beliau kenali.

Dalam keluarga, ayah saya banyak berkomunikasi dan berinteraksi dengan isteri dan anak-anaknya. Setiap malam selepas solat Insyak, kami sekeluarga akan berkumpul selama satu jam untuk berinteraksi antara kami di samping untuk mempelajari ilmu agama yang akan di sampaikan oleh ayah saya. Amalan ini telah pun diamalkan oleh ayah saya kira-kira umur saya lingkungan 7 tahun. Antara percakapan beliau yang pernah saya ingat sampai sekarang ialah “ Kita sebagai seorang Islam perlulah berusaha keras untuk kejayaan kita di dunia dan akhirat. Dunia ini adalah sementara, akhirat adalah kekal selamanya-lamanya. Kejayaan, kekayaan yang kita miliki di dunia adalah pinjaman daripada Allah. Ianya bersifat sementara. Tetapi sebaliknya kejayaan di akhirat adalah selama-lamanya. Ianya akan jadi milik kita kekal abadi. Oleh itu berusahalah untuk dunia ini seolah-olah kita akan hidup seribu tahun dan berusahalah untuk akhirat seolah-olah esok kita akan mati. Sentiasalah merendah tinggi, suka menolong orang, banyakkan beribadah dan menimba ilmu.”

Saya cukup senang apabila berkomunikasi dan berinteraksi dengan ayah saya. Beliau boleh dikatakan bijak dan pandai berkomunikasi. Setiap kali berkomunikasi bersama beliau, saya akan rasa selesa dan komunikasi tersebut akan berakhir dengan suasana yang harmoni. Beliau mempunyai konsep kendiri diri lahiriah, konsep kendiri diri sosial dan konsep kendiri batiniah. Secara fizikal, beliau memiliki tubuh badan yang sasa dan rupa yang kacak. Semua ini membuatkan beliau mempunyai keyakinan diri yang tinggi apabila berkomunikasi dengan orang ramai, lebih-lebih lagi beliau mempunyai senyuman manis yang boleh membuatkan orang ramai yang berkomunikasi dengannya akan tertarik dan senang bersamanya. Beliau juga memiliki bakat kepimpinan, pandai mengambil hati orang dan yang paling penting beliau begitu popular di kalangan kenalannya. Tidak hairanlah apabila bergaul dengan orang ramai, beliau mudah didekati dan mudah menyesuaikan dirinya. Pengalaman berkerja, merantau banyak tempat dan kenalan ramai ini merupakan faktor yang besar bagi membentuk konsep kendiri sosial bagi beliau.

Di samping itu, beliau merupakan tempat bagi keluarga kami dan orang ramai meminta pandangan dan mengadu masalah. Apabila kami sekeluarga atau orang ramai datang mengadu dan meminta pendapat kepada beliau, beliau sering berkata “ Bersabarlah atas apa yang berlaku. Banyakkan solat hajat dan berdoa kepada Allah mudah-mudahan Allah akan mempermudahkan dan menyelesaikan segala masalah yang kita hadapi. Tidak rugi orang yang bermesyuarat dan tidak akan menyesal orang yang beristikharah. Oleh itu marilah kita sama-sama berbincang untuk menyelesaikan masalah ini dan dirikan solat berdoa kapada Allah. Insya Allah semuanya akan selamat.” Seperkara lagi yang menarik tentang beliau ialah, beliau mempunyai nilai kendiri yang positif. Apabila ada orang memujinya, beliau akan memuji orang itu balik. Sebagai contoh, “ Abang Haji pandaila”. Maka beliau akan membalas, “Saya pandai, tuan lagi pandai daripada saya.” “ Ayah ni manisla.”, pasti beliau akan membalas, “Ayah manis, anak ayah lagi manis.”

Berdasarkan konsep kendiri dan nilai kendiri ayah saya tersebut, semestinya beliau juga mempunyai gaya komunikasi yang tersendiri. Antaranya ialah, meninggalkan impresi (impression-leaving), tenang (relaxed), mengambil perhatian (attentive), terbuka (open), dan peramah (friendly). Tidak dinafikan ayah saya memiliki gaya komunikasi tersebut terutamanya gaya meninggalkan impresi dan tenang. Contohnya beliau pernah berkata kepada saya tentang kerjaya saya, “ Kamu jadilah guru yang baik. Anggaplah anak murid kamu nanti macam anak-anak sendiri. Insya Allah, Allah akan berkati hidup kamu.” (sambil mengukir senyuman).

Sebenarnya ayah saya berbeza dengan orang lain, semasa berkomunikasi beliau boleh mempamerkan perlakuan yang berbeza-beza mengikut keadaan dan topik yang dibualkan. Iaitu perlakuan responsif dan tegas (assertife). Apabila bercakap mengenai hal keduniaan beliau akan lebih mempamerkan perlakuan responsif manakala apabila bercakap mengenai ajaran Islam, beliau akan mempamerkan perlakuan tegas (assertife).

Ayah saya juga seorang pencerap yang baik. Kebolehan ini membuatkan beliau dianggap sebagai komunikator yang berkesan. Beliau sering melakukan pencerapan aktif dan memberi respons berempati, terutamanya semasa berinteraksi bersama ahli keluarganya. Apabila saya ingin berinteraksi dan mengadu masalah kepada beliau, beliau dengan senang hatinya menerima pelawaan saya. Biasanya beliau akan memilih masa yang sesuai dan memilih tempat yang sesuai serta jauh daripada gangguan-gangguan yang boleh menyebabkan ienteraksi antara kami terbantut. Seperti contoh dalam bilik solat, masjid dan tepi laut.

Semasa berjalannya proses interaksi, beliau jarang mengemukakan idea atau nasihat kepada saya, kecuali apabila diminta oleh saya. Beliau juga jarang membuat pertanyaan. Sekalipun beliau membuat pertanyaan, beliau akan bertanyakan soalan-soalan yang ikhlas seperti contoh, “Kamu katakan isteri kamu sakit? Boleh tolong bagi tahu kepada ayah apa yang dia sakit?” Saya boleh rasakan apabila berinteraksi ataupun mengadu masalah kepada beliau, beliau akan memberi penumpuan yang penuh terhadap apa yang saya katakan dan tidak pernah sesekali beliau cuba membanding bezakan serta mengaitkan segala apa yang saya perkatakan dengan apa yang pernah beliau lalui baik pengalaman hidupnya mahupun peristiwa kehidupan beliau.

Ketika saya sedang berinteraksi bersama ayah saya, beliau juga akan menggunakan komunikasi bukan verbal untuk berinteraksi dan berkomunikasi seperti contoh mengangguk-ngangkuk kepala tanda bersetuju atau mengerut dahi untuk memberi mesej bahawa beliau tidak faham dengan kata-kata saya. Senyum tanda setuju atau gembira. Menggeleng kepala serta memuncungkan bibir tanda tidak setuju. Kadang-kadang beliau akan menggunakan bunyi “mmm”. Mengangkat bahu tanda tidak tahu dan lain-lain lagi.

Apabila bercakap, ayah saya banyak menggunakan gaya bahasa divergence dan negation. Divergence ialah penyesuaian percakapan yang menunjukkan perbezaan untuk solidarity. Contohnya, ayah saya akan bercakap bahasa Minang apabila bertemu dengan keluarga dan saudara maranya, bercakap bahasa Kelantan bersama isteri, anak-anaknya serta apabila bertemu dengan kawannya yang menetap di negeri Kelantan. Seperti contoh percakapan Kelantan, “Zuhey masuk belajar dekat UPM tu paka duit mano? Cukup ko duit nok make, baya duit keto dan rumoh? Kalu susoh-susoh tok payohla kireng duit lagi ko umi tu. Ayoh kijo lagi, bolehla wi make dan belanjo hok mano cukup ko umi dan adik-adik tu.” Negation pula ialah cara menyatakan sesuatu yang tidak disukai dengan cara terselindung atau indirect. Sering kali saya mendengar ayah menggunakan bahasa ini bila ibu saya meminta komen tentang masakannya. Sudah tentu ayah saya akan memuji ibu saya kalau masakannya sedap, dan mendiamkan diri sekiranya masakan kurang enak dan akan berkata “Oklah ni.”, “Bolehla tahan.” Kebiasaanya bahasa yang digunakan oleh ayah saya adalah bahasa yang positif dan ianya akan meninggalkan kesan pada kami semua. Kami akan meresa selesa apabila bercakap dengan beliau.

Tidak dinafikan setiap manusia dan hubungan mempunyai konflik. Begitulah saya bersama ayah saya. Biasanya saya akan cuba menangkan diri saya apabila berhadap konflik dengan ayah saya, ini mungkin disebabkan saya adalah anak yang sulung dan mahu menunjukkan kepada adik-adik saya yang lain bahawa saya juga mempunyai kuasa untuk bersuara. Biasanya apabila berlaku kejadian sebegini ayah saya akan cuba menyelesaikannya konflik ini seberapa cepat yang mungkin. Beliau tidak suka menyimpan sesuatu konflik atau masalah melanda keluarga kami dalam tempoh yang lama. Apabila berhadapan dengan situasi ini, beliau akan berkata, “Marilah kita duduk sama-sama, berbincang, tengok mana yang kurang, betulkan mana yang silap. Sekiranya ayah ada salah kamu tegur-tegurkanlah dan sekiranya kamu yang silap ayah cuba perbetulkan. Kamukan anak ayah.” Di sini jelas kepada saya bahawa setiap kali kami berhadaan dengan konflik ayah saya akan mengendalikan konflik tersebut dengan pendekatan gaya bekerjasama (cooperative). Melalui pendekatan ini ianya akan mewujudkan situasi menang-menang, pisahkan lawan daripada masalah yang berbangkit, tumpuan kepada persamaan. Ianya juga boleh mewujudkan lebih banyak pilihan untuk diselesaikan masalah di samping mengasaskan keputusan kepada kriteria yang objektif. Tidak semua konflik boleh menjejaskan hubungan di antara individu, tetapi sekiranya kita bijak dan mahir berkomunikasi dan pandai menanganinya , pasti konflik tersebut menjadi konflik yang membina boleh menguatkan hubungan di antara dua individu. Contoh yang nyata ialah antara saya dengan ayah saya, walaupun sudah banyak kali kami menghadapi konflik bersama sejak dari saya remaja hinggalah berumahtangga, tetapi kami tetap akrab malah semakin hari semakin mesra.

Kesimpulannya boleh dikatakan bahawa ayah saya dapat dikategorikan sebagai komunikatur yang hebat dan mahir. Kehebatan dan kemahiran ini beliau perolehi melalui pengalaman hidup beliau yang luas. Beliau mungkin juga mempelajari semua ini melalui pemerhatian dan pergaulan di antara ahli keluarga, kenalan serta ahli masyarakat sekelilingnya yang berlainan budaya dan bahasa seperti Minangkabau, Selangor, Kelantan, Bugis, Siam, Perak dan Rawa.

Beliau juga dianggap mentor kepada kami sekeluarga dan masyarakat sekelilingnya. Sememangnya kebolehan beliau tidak dapat diwarasi begitu sahaja tanpa diteladani dan dicontohi. Untuk mencapai ke tahap beliau, kita perlulah berusaha keras, menimba ilmu sebanyak mungkin, rajin berkomunikasi dan mesra serta sentiasa bersikap positif baik dalam berbahasa mahupun dalam fikiran kita.

BAHAN RUJUKAN

Beebe, S. A, Beebe, S.J., and M.V. (1999). Interpersonal Communication: Relating to others. Boston: Allyn and Bacon

Cragan, J F dan Shields, DC. (1998). Understanding Communication Theory Singapore. Allyn and Bacon

Griffin, E. (1997). A First Look at Communication Theory 3rd ed. New York. Mc: Graw Hill.

Ishak Abdul Hamid, Jusang Bolong (2007) KOH 3432 Kemahiran Komunikasi Antara Perseorangan. Selangor: Universiti Putra Malaysia.

Narimah Ismail. (2000) KOM 3021 Pengenalan Kepada Teori komunikasi. Selangor: Universiti Putra Malaysia

Ruesch, J (1957). Technology and Social Communication In Communication Theory and Research L. Thayer (ed). Springfield, Ill Thomas.

FUNGSI MEDIA MASSA

1. Pendahuluan

Komunikasi media massa merupakan komunikasi umum atau sehala yang menggunakan perantaraan untuk mengaplikasikan unsure-unsur komunikasi seperti sumber, mesej, saluran, penerima, kesan, dan bagaimana proses maklumat disampaikan kepada audiens. Oleh itu, segala aspek komunikasi antara perseorangan, kumpulan, dan organisasi amat berkaitrapat dengan komunikasi media massa. Kebiasaannya, komunikasi media massa menggunakan saluran tertentu seperti media cetak atau elektronik untuk memberitahu, membuat pembujukan dan pendidikan dalam melaksanakan peranan media massa yang penting untuk pembangunan nasional Negara-negara membangun seperti di Malaysia.
Istilah komunikasi bolehlah dijelaskan sebagai satu proses pemindahan mesej atau proses interaksi untuk berhubungan antara individu dengan individu lain dengan bertujuan untuk mempengaruhi tingkah laku individu, perkongsian maklumat serta mewujudkan hubungan.

Manakala menurut Prof. Charles Wright, media massa adalah komunikasi tersusun, yang dalam segi relatifnya ditujukan kepada orang perseorangan atau berkumpulan, dan mesej yang disampaikan adalah berbentuk umum, sementara, dan sekaligus untuk audiens yang menerima maklumatnya. Mengikut pendapat McCombs dan Shaw(1977), media massa berupaya untuk memindahkan kepentingan sesuatu isu berita yang dipaparkan di muka depan akhbar dan tajuk utama berita radio dan televisyen kepada agenda umum untuk dibincangkan oleh audiens.

Justeru itu, pengaruh komunikasi media massa kepada audiens bergantung kepada kredibiliti media itu sendiri dalam membincangkan isu tertentu sama ada media massa akan dipercayai atau sebaliknya. Selain itu, jumlah maklumat bertentangan yang ditanggap oleh masyarakat berdasarkan pengalaman sebenar masyarakat sendiri. Dan, seterusnya setakat mana individu berkongsi nilai dengan media dan masyarakat memerlukan bimbingan dalam membuat pilihan.

Media massa terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu media cetak yang menjurus kepada buku, majalah, dan akhbar; manakala media elektronik pula termasuk radio, televisyen, filem/VCD; dan media pelbagai/interaktif atau multimedia pula menekankan kepada perkara hom pej / homepage/personal dan penggunaan laman web atau web site menerusi internet.

2. Fungsi Media Massa

Memandangkan media massa di Malaysia dianggap sebagai sebuah institusi komunikasi untuk menyampaikan atau menyebarkan maklumat kepada audiens, beberapa peranan dan fungsi media massa mesti dilaksanakan walaupun fungsi media massa akan sentiasa berubah mengikut kesesuaian teknologi dan kecenderungan khalayak dalam menerima isu yang dibincangkan. Dalam hal demikian, tiga komunikasi media massa yang utama di Malaysia seperti media cetak, elektronik, dan media interaktif masa kini, memainkan peranan sebagai agen perubahan dalam mendidik, memberitahu, menggalak, dan menghibur dengan cara yang berbeza serta mencapai kemajuan yang berbeza juga.

Dengan kata lain, fungsi media massa yang berperanan dalam menyampaikan hal-hal masyarakat untuk pengetahuan khalayak umum secara cetakan, siaran, mahupun melalui interaktif/multimedia, komunikasi media massa memainkan beberapa fungsi yang perlu dilaksanakan oleh pengamal komunikasi media massa, seperti:-
1. media membentuk dasar, meluaskan proses membuat keputusan dan memungkinkan
penglibatan yang menyeluruh,

2. media massa bertindak sebagai pemerhati tentang situasi persekitaran, kemudiannya
menyediakan sumber dan maklumat berkaitan situasi tertentu kepada audiens sama ada
sumber lama ataupun yang baru,

3. media massa berperanan sebagai pengajar kepada audiens agar wujudnya dalam diri
mereka perasaan semangat kebangsaan jika isu yang dibincangkan bertemakan
patriotisme. Ini bermaksud , fungsi media berperanan sebagai pembantu untuk
memindahkan maklumat tentang isu-isu tertentu,

4. Media massa sebagai mekanisme kesan yang besar terhadap isu yang diperbincangkan
dan bertindak sebagai pemerhati dalam keadaan tertentu. Ianya memberikan gambaran tepat tentang keadaan persekitaran yang dipaparkan melalui media massa serta
mengawal daripada berlakunya penyelewengan kuasa,

5. Media massa juga berperanan sebagai penghibur kepada masyarakat sekitar dengan
menyampaikan sesuatu tajuk untuk mengisi masa lapang audiens yang terluang, dan

6. Selain itu, media massa memberikan kesan pengganda suatu kegiatan perubahan yang
berlaku dengan menyebarkan keputusan yang diperolehi untuk kepentingan bersama.

Dalam perkara ini, media massa berfungsi sebagai agen perubahan dalam menyalurkan
berita tentang kejayaan usaha-usaha baru dan cara-cara untuk menyampaikannya
kepada pihak lain. Jelaslah bahawa, peranan media massa sebagai suatu institusi sosial, adalah mekanisme untuk perlakuan perubahan dan penghubung yang mengikat
masyarakat.

Dalam hal ini, komunikasi media massa yang akan, sedang, dan telah berlaku perlunya kewujudan satu iklim komunikasi yang positif bagi menghasilkan sumber maklumat yang boleh diterima dengan baik oleh semua audiens. Antaranya ialah setiap pihak yang terlibat merasakan pendirian mereka akan dihormati oleh pihak lain, saling percaya-mempercayai, dan harga-menghargai.

Secara umumnya, fungsi media massa atau cara media massa berfungsi kepada masyarakat dapat dikelaskan kepada empat peranan utama iaitu berfungsi sebagai pemerhati atau untuk memantau(to survey), fungsi sebagai pentafsir atau untuk mentafsir(to interpret), berfungsi sebagai penghubung (untuk menghubung/to linkage), dan fungsi media massa yang keempat sebagai penghibur(untuk menghibur/to entertain).

2.1 Fungsi Media Massa Sebagai Pemerhati (To Survey)

Peranan media massa sebagai pemerhati membawa gambaran tentang fungsi media massa yang mengawasi sebarang peristiwa yang berlaku di sekeliling masyarakat. Dalam hal ini, media massa berperanan untuk melaporkan sesuatu topik dan isu yang dikenali sebagai berita dan maklumat yang dianggap relevan dan signifikan sahaja kepada masyarakat umum. Dalam situasi ini, pihak media massa akan mentakrif isu yang bakal dijadikan berita, kemudiannya mengumpul bahan dan seterusnya menerbitkan/mencetak melalui saluran media kepada masyarakat. Setiap laporan berita yang dilaporkan oleh media massa menumpukan kepada dua aspek penting iaitu amaran/warning – yang melaporkan tentang perkara yang memerlukan tindakan pantas dan segera seperti bencana, rebut taufan, banjir besar, dan sebagainya, manakala aspek instrumental pula hanya melaporkan peristiwa yang tidak memerlukan tindakan segera seperti rencana, dan lain-lain liputan yang tidak memerlukan tindakan segera oleh para audiens. Melalui fungsi tersebut, beberapa kesan baik dapat diperoleh antaranya ialah seseorang itu tidak perlu keluar untuk mencari dan mendapatkan berita tentang apa yang berlaku kerana hamper kesemua berita akan diperoleh daripada laporan media massa. Selain itu, kesan baik fungsi pemerhati ini ialah setiap sifat maklumat yang didapati lebih bersifat terkini dan pantas yang mana seseorang itu dapat membuat persiapan rapi jika sesuatu perkara yang melanda dapat diketahui dengan segera.

2.2 Fungsi Media Massa Sebagai Pentafsir (To Interpret)

Sesuatu peristiwa atau isu yang dibincangkan berbentuk rencana, forum, analisis peristiwa dan pengamatan penyunting terhadap perkembangan semasa banyak melibatkan peranan dan fungsi media massa sebagai pentafsir. Ini menjelaskan tentang fungsi media massa sebagai pentafsir adalah menjelaskan tentang media yang membantu masyarakat mentafsir berita atau peristiwa dari bahasa asing kepada bahasa yang difahami masyarakat serta mentafsir sesuatu kejadian atau data yang sukar difahami masyarakat. Dalam kata lain, media massa akan melakukan pentafsiran ke atas sesuatu berita, kemudian akan melaporkan berita tersebut berdasarkan pemahaman mereka terhadap peristiwa tersebut.

Pentafsiran berlaku ke atas sesuatu berita yang dilaporkan itu berpunca daripada pelbagai aspek maklumat data atau fakta yang hendak disampaikan sama ada bersifat teknikal dan baru di mata khalayak masyarakat.

Fungsi media massa sebagai pentafsir memberikan kesan baik kepada media itu sendiri bila mana kita akan dapat memahami sesuatu laporan yang dibincangkan dengan bantuan tafsiran media massa dengan berkesan dan akan menjadikan khalayak audiens swemakin berilmu pengetahuan. Selain daripada itu, kesan baik fungsi ini juga ialah dapat mendidik dan membentuk pemikiran masyarakat daripada buta maklumat kepada celik maklumat.

2.3 Fungsi Media Massa Sebagai Penghubung (To Linkage)

Dalam fungsi ini, media massa berperanan dalam menghubungkan individu dengan individu, organisasi dengan organisasi, Negara dengan Negara, ahli masyarakat dengan ahli masyarakat lain yang mungkin terpisah sama ada terpisah kerana persaudaraan, perpisahan mahupun disebabkan oleh masalah geografi, masyarakat peristiwa dengan masyarakat, persekitaran dengan masyarakat mahupun sejarah silam dan budaya dengan masyarakat semasa. Dalam kata lain, fungsi media massa bagi penghubung ini berperanan sebagai penyatuan hubungan dari segi sosial, politik, mahupun ekonomi.
Antara kesan baik fungsi media massa sebagai penghubung ialah ianya memainkan peranan dalam menyatukan atau menjalinkan semula hubungan antara ahli masyarakat dengan masyarakat dalam kasih sayang, misalannya dalam program Cari Menantu terbitan TV9. Kesan baik yang lain ialah media massa berfungsi dalam menyatukan rakyat yang mengalami pelbagai krisis dan cabaran semasa. Misalnya isu kenaikan bayaran tol di lebuh raya. Kita boleh melihat dan menilai sendiri bagaimana pihak media massa merancang strategi dalam membentuk dan membina keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Selain itu, media massa dalam menghubungkan masyarakat dengan masa lampau dari segi sejarah mahupun budaya juga memberikan kesan baik kepada fungsi media massa sebagai penghubung. Contoh terkini program media massa yang menjurus kepada kesan baik ini ialah program Eksotika Malaysia terbitan TV1/RTM.

2.4 Fungsi Media Massa Sebagai Penghibur (To Entertain)

Fungsi ini merupakan satu fungsi media massa yang paling dominant kerana ianya memberi sumber keuntungan kepada organisasi yang mengawal sesuatu media massa. Fungsi penghibur kepada media massa ini bermaksud penghibur kepada masyarakat melalui program-program hiburan yang bermaklumat atau sekadar sebagai hiburan kepada masyarakat umum. Ada kalanya media massa hanya sekadar bahan hiburan untuk didengari oleh audiens semasa berehat, atau membuat kajian mahupun sekadar memenuhi masa lapang masyarakat sahaja.

Antara kesan baik daripada fungsi penghibur media massa ini ialah meliputi hampir kesemua aspek hidup yang bercirikan hiburan semata-mata seperti mengetahui tentang pelancaran album baru, fesyen terkini, anugerah bintang popular, dan sebagainya. Kesan seterusnya ialah hiburan yang disalurkan sekadar memecah ruang kesunyian individu yang inginkan ketenangan, menghidupkan suasana harmoni, ceria, gembira, ketawa, dan sebagainya. Misalnya dalam program Salam Pantai Timur terbitan RTM 1, dan program Mr. Bean siaran di TV3.


3. Analisa Fungsi Pada Keratan Akhbar Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris

Dalam tugasan berkumpulan ini, akhbar yang digunakan untuk dianalisis fungsi-fungsi media massanya ialah akhbar Berita Harian dan Berita Minggu untuk akhbar berbahasa Malaysia, manakala akhbar New Straits Times dan New Sunday Times digunakan untuk akhbar berbahasa Inggeris. Pengumpulan keratan tajuk utama akhbar-akhbar tersebut bermula dari 06 Januari 2008 hingga 12 Januari 2008 (hari Ahad hingga Sabtu).

3.1 Analisa Keratan Tajuk Utama Akhbar Berita Minggu dan Berita Harian

3.1.1 Fungsi Media Massa pada hari Ahad (06 Januari 2008)

Fungsi media massa yang dikenal pasti pada tajuk utama akhbar hari Ahad bertajuk “BERNAS diberi Amaran” ialah fungsi pemerhati. Secara keseluruhannya, maklumat yang diperolehi melalui tajuk berita tersebut berkehendakkan agar pihak BERNAS dapat memperbaiki kelemahan sistem pengurusan dan pentadbiran organisasi mereka.

3.1.2 Fungsi Media Massa pada hari Isnin (07 Januari 2008)

Dengan tajuk utama, “Kuota Minyak Masak Ditambah”, fungsi media massa yang dikenal pasti ialah pemerhati. Secara amnya, artikel ini meminta rakyat tidak perlu panic kerana bekalan minyak masak akan pulih seperti sediakala setelah kuota bekalan minyak ditambah.

3.1.3 Fungsi Media Massa pada hari Selasa (08 Januari 2008)

Melalui keratan akhbar pada hari Selasa pula, bertajuk, “Bekalan Dijamin Pulih”, fungsi media massa yang dikesan ialah fungsi pemerhati. Mengikut analisa yang diperoleh daripada artikel tersebut, kuota pengeluaran minyak bersubsidi akan ditingkatkan dan pihak kerajaan akan memperketatkan pengawasan penyeludupan.

3.1.4 Fungsi Media Massa pada hari Rabu (09 Januari 2008)

Tajuk berita,”Perhebat Banteras Jenayah”, pula menjelaskan tentang fungsi pemerhati. Dalam perkara ini, fungsi media massa tersebut menjelaskan tentang peningkatan indeks jenayah yang membimbangkan dan perlunya langkah-langkah untuk mengatasinya. Antaranya ialah pemasangan CCTV pada bangunan, premis-premis perniagaan dan sebagainya.

3.1.5 Fungsi Media Massa pada hari Khamis (10 Januari 2008)

Fungsi media massa yang dikenal pasti pada artikel utama akhbar bertarikh 10 Januari 2008 bertajuk, “Tambang Naik Bulan Depan”, ialah fungsi pemerhati. Dalam kata lain, analisa berita tersebut menerangkan tentang pengusaha bas sekolah akan menaikkan tambang bas kerana kos kenaikan opeerasi dan subsidi diesel yang diterima sangata sedikit.

3.1.6 Fungsi Media Massa pada hari Jumaat (11 Januari 2008)

Berita keratan akhbar Berita Harian, “Cari Sharlinie seluruh Negara”, menjurus kepada fungsi media massa sebagai penghubung. Dalam makluman artikel ini, seluruh rakyat Malaysia diseru oleh pihak berkuasa dan kerajaan agar bersama-sama mencari Sharlinie yang diculik oleh seseorang yang tidak dikenali secara besar-besaran.

3.1.7 Fungsi Media Massa pada hari Sabtu (12 Januari 2008)

Fungsi media massa yang dikenal pasti daripada artikel keratan akhbar pada hari ini ialah fungsi pemerhati. Tajuk berita,”Hubungan erat terus terjalin”, menumpukan kepada kerjasama serantau antara Malaysia dengan Indonesia dalam usaha menubuhkan EPG untuk membincangkan pelbagai isu ekonomi, kebudayaan, dan agama.

3.2 Analisa Keratan Tajuk Utama Akhbar New Sunday Times dan New Straits Times

3.2.1 Fungsi Media Massa pada hari Ahad (06 Januari 2008)

Dalam keratan akhbar New Sunday Times dengan tajuk,”Go Ahead, Get Your Refund”, fungsi media massa yang dikenal pasti ialah fungsi pemerhati. Melalui maklumat artikel tersebut, dinyatakan bahawa adakah bayaran yuran tambahan yang dicadangkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia membebankan pihak ibu bapa atau sebaliknya. Sekiranya ibu bapa memikirkan tentang kemajuan anak-anak mereka, perkara bebanan ini tidak akan timbul dan dipersoalkan oleh mereka.

3.2.2 Fungsi Media Massa pada hari Isnin (07 Januari 2008)

Fungsi yang dikenal pasti pada artikel akhbar bertajuk,”363,000 road accidents last year 5,670 deaths”, ialah fungsi pemerhati. Dijelaskan dalam maklumat tersebut bahawa kemalangan maut dan kecederaan dalam kemalangan dapat dikurangkan sekiranya para pemandu mengenakan tali pinggang keledar dan para penunggang motosikal memakai topi keledar dengan betul.

3.2.3 Fungsi Media Massa pada hari Selasa (08 Januari 2008)

“Oil’s Well”, tajuk berita dalam akhbar New Straits Times pada hari ini menimbulkan fungsi pemerhati. Secara amnya, artikel ini menjelaskan bahawa masyarakat akan mentafsirkan bahawa sekiranya bekalan minyak masak telah pulih, maka tidak akan ada kenaikan harga minyak dan harga barang-barang keperluan yang lain.

3.2.4 Fungsi Media Massa pada hari Rabu (09 Januari 2008)

Berita “Crime Rate Up 13.4%”, menunjukkan bahawa fungsi media massa yang dikenal pasti ialah fungsi pemerhati. Dalam kata lain, artikel ini menerangkan akan kebimbangan Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia akan jumlah jenayah yang meningkat setiap tahun.

3.2.5 Fungsi Media Massa pada hari Khamis (10 Januari 2008)

Pada hari ini juga, maslah jenayah di Malaysia masih dipersoalkan. Dengan tajuk akhbar, “Let,s Do It!”, fungsi media massa yang diketahui ialah fungsi pemerhati. Dalam makluman yang dianalisa daripada artikel ini, menerangkan tentang Perdana Menteri meminta kerjasama pihak polis dan masyarakat menangani masalah jenayah yang semakin meningkat secar bekerjasama.

3.2.6 Fungsi Media Massa pada hari Jumaat (11 Januari 2008)

Dengan tajuk akhbar, “Hunt For Linie”, fungsi media massa yang terdapat dalam artikel tersebut ialah fungsi penghubung. Apa yang diharapkan melalui kenyataan dalam artikel tersebut ialah harapan kepada seluruh masyarakat Malaysia dapat bekerjasama dan bersama-sama dalam usaha mencari Sharlinie yang telah diculik.

3.2.7 Fungsi Media Massa pada hari Sabtu (12 Januari 2008)

Fungsi media massa yang terdapat dalam artikel akhbar dengan tajuk, “Common Ground”, ialah fungsi pemerhati berbentuk instrumental. Ini menunjukkan tentang kerjasama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Indonesia yang akan mengadakan rundingan damai dan persahabatan tentang pelbagai isu yang membabitkan kedua-dua negara.

4. Analisis Keseluruhan Keratan Akhbar

4.1 Fungsi Media Massa Paling Dominan


5. Kesimpulan
Dalam mempertingkatkan fungsi media massa pada masa kini, seharusnya media massa perlu mempunyai tanggungjawab dalam memberi penekanan terhadap perkara sebenar dan bukan mereka-reka isu untuk mengalih pandangan masyarakat terhadap isu-isu sebenar. Dalam perkara ini, komunikasi media massa yang berkesan diharapkan dapat membuatkan masyarakat mempercayai sesuatu isu atau perkara itu penting dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

Ini membuktikan lagi bahawa komunikasi media massa yang menggunakan perantaraan dalam bentuk visual seperti media cetak, media elektronik, dan media interaktif masa kini, banyak memberi kesan yang besar kepada pembangunan Negara, kerana komunikasi media massa sendiri memberikan peranan dalam menyebar dan menyalurkan maklumat atau mesej dalam bentuk idea baru, teknologi moden dan berita. Selain itu, komuniksi media massa juga berperanan sebagai sumber utama pembangunan dan pengembangan idea serta berperanan dalam memujuk, mendorong kumpulan sasaran agar berubah sikap, pendirian tegas, dan sebagainya melalui pendidikan formal dan tidak formal.

Secara keseluruhannya, media massa di Malaysia berfungsi dalam menyedarkan tanggungjawab sosial setiap media kepada masyarakat majmuk dan berperanan juga sebagai ‘pelindung’ kepada pihak yang menghadapi penindasan pihak lain. Media massa terbuka kepada pihak tertentu dalam menyampaikan pendapat mereka selain berperanan dalam menyokong dasar-dasar kerajaan untuk kepentingan bangsa, dan Negara.

Bibliografi

1. Abdullah Hassan, Ainon Mohd.(2005). Kemahiran Interpersonal Untuk Guru.
Bentong: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
2. Narimah Ismail(2007). Nota KOM 3207. Pengenalan Teori Komunikasi. Serdang :PPL
Universiti Putra Malaysia.
3. Sulaiman Masri(1983). Peranan Media Massa di Negara-negara Membangun.
Kuala Lumpur: Penerbitan Sarjana Sdn. Bhd.
4. …http://planet.time.net.my/KLCC/azmo1/ge6433/ge6433_tugasan4_1.html.Diakses
pada 15 Februari 2006.
5….http://misay2k.tripod.com/mb2404/kdbab 1.htm. Diakses pada 15 Februari 2007.

Penulis Bersama :
MOHD YUSOFF BIN ABDULLAH
ZAINI BIN MAD LAZIM
MUHD HAFIZ BIN ISMAIL
MOHD BABA BIN SAMAH