HOBI SAYA MENYEBARKAN KEBURUKAN PERIBADI SESEORANG

Dek terpengaruh dengan rentak dan budaya yang ditunjukkan oleh bapak-bapak sang politikus yang tak bermoral, semakin hari semakin bertambah anak-anak muda yang lantang  memaki, mencela, mengumpat akan keburukan peribadi seseorang. Bukan sekadar itu sahaja , bahkan dihebah dan disiarkan oleh mereka ke serata pelusok dunia.

 Semuanya buta!!! Buta hati dan buta agama!!!

Tak kisahlah yang dimaki itu dari kalangan pemimpin berhaluan kiri atau kanan, bila mana menyentuh peribadi mereka, itu bukan ajaran agama kita Islam. Kenapa perlu kita menambah-nambah lagi keburukan dan kecelaan yang ada pada peribadi mereka? Perlukah dicanang-canangkan, ditayangkan, didedahkan keburukan dan kecelaan peribadi mereka? Dari mana kita belajar semua ini kawan-kawan? Nak disandarkan kepada siapa? Rasulullah kah? Iman Syafie kah? Atau syaitan laknatullah?

Belajarlah Islam sebetulnya, dan belajarlah Islam dengan dengan iman dan taqwa. Islam sememangnya membenarkan kita menegur dan memperbetulkan kelemahan, keburukan dan kecelaan yang dilakukan oleh pemimpin. Tetapi ada cara dan ada batas-batasnya. Yang pasti, keburukan peribadi seseorang bukan boleh dicanang dan "dipromosikan" semenang-menangnya, lebih-lebih lagi jika dia adalah seorang muslim.

Hentikanlah segera penyakit suka menyebarkan dan menceritakan keburukan dan kecelaan peribadi seseorang secara umum, baik di FB, di BLOG, di Masjid, di ceramah-ceramah, di forum-forum atau di mana-mana sahaja. Terutamanya apabila status perkara tersebut belum lagi dijamin kesahihan dan kebenarannya. Berwaspadalah, kerana di akhir zaman ini ramai golongan fasik yang berkeliaran menyebarkan fitnah dan berita palsu.

Takutlah Allah. Moga Allah mengampunkan dosa saya dan dosa kita semua.

Zuhey: Jangan kritik urusan peribadi mereka, tapi kritiklah kepimpinan mereka.