TARIKH FATHANI


Pernahkah anda mendengar nama Syeikh Daud al-Fathani? Beliau merupakan salah seorang ulama tersohor di Alam Melayu.

Banyak kitab yang telah dihasilkan oleh beliau. Dianggarkan sebanyak 60 buah kitab telah dihasilkan oleh beliau dan terdapat juga kitab atau manuskrip beliau yang masih belum dicetak hingga ke hari ini.

Beliau juga merupakan pentahqiq (penyunting) Kitab Sejarah Patani (Tarikh Fathani). Kitab asal karangan Syeikh Safuiddin ini dipercayai ditulis pada akhir kurun ke-15 atau awal kurun ke-16.

Kitab yang bertema pengkisahan Sejarah Tamadun Patani ini amat penting untuk dibaca oleh semua umat Islam kerana ianya bukan sahaja memberi maklumat tentang kewujudan kerajaan dan bangsa Melayu, bahkan turut memerikan perkembangkan agama Islam di Alam Melayu pada ketika itu.

Selain dari aspek kesusasteraan, kitab ini dianggap penting kerana ia merupakan karya asli ilmuan Melayu Islam terawal yang masih wujud.

Di samping itu, kitab ini berbeza dengan kitab kesusasteraan sejarah Melayu yang lain kerana kitab ini bukanlah kitab yang berbentuk hikayat. Kitab ini bersih daripada unsur mitos dan khurafat seperti kesaktian, dewa-dewi, alam kayangan dan lain-lain.

Mengapakah kitab ini bersih daripada unsur mitos dan khurafat? Kerana disebabkan kitab ini diulas dan dimurnikan oleh seorang ulama.

Oleh sebab itu, peranan ulama dan ahli agama diperlukan dalam semua disiplin ilmu. Dakwah mereka bukan hanya di pentas atau dalam penulisan kitab agama semata-semata, bahkan mereka perlu menyelusup masuk ke dalam semua bidang supaya syiar Islam dapat dikembangkan semaksimum yang mungkin.


RUJUKAN:

Mat Rofa Ismail. 2016. Malayonesia : Kerdipan bintang Melayu di langit Melayu. Shah Alam: Grup Buku Karangakraf Sdn. Bhd

UMMAT AL-MALAYU.

Untuk mengetahui tentang pengkisahan sejarah Tamadun Alam Melayu dari persepsi bangsa Arab, bacalah kitab ini. Judul asal kitab ini dalam tulisan Arab ialah Ummat Al-Malayu, karangan Saleh Jaudat, diterbitkan di Mesir pada tahun 1908.
Kitab ini dihasilkan oleh Saleh Jaudat atas dasar semangat persaudaraan dengan umat Islam di Alam Melayu khususnya dengan Tunku Mansor ibn Sultan Abdul Hamid Halim Shah, iaitu anak kepada Sultan Kedah pada ketika itu. Baginda Dilahirkan pada tahun 1889 dan mangkat pada tahun 1932.
Hasil daripada pembacaan kitab ini, kita akan dapat mengetahui banyak percanggahan maklumat tentang sejarah Tamadun Alam Melayu yang ditulis oleh sarjana Barat.
Siapakah yang benar dan siapakah yang silap? Anda sendiri boleh tentukan. Pastikan banyak membaca dan membuat kajian. Jangan bertaqlid dengan satu sumber semata-mata.

TUAN GURU HARUN DIN (TGHD)


Bohong jika saya katakan bahawa hati saya tidak terkesan dengan berpulangnya TGHD.

Bohong juga jika saya katakan bahawa saya tidak mahu menitip kata-kata terakhir bagi memuliakan beliau.

Nama TGHD cukup melekat di jiwa saya kerana beliau merupakan salah seorang guru yang pernah saya bertalaqqi sehingga tamat pengajian (Perubatan Islam).

Ketika itu (akhir tahun 90-an), Pengajian Perubatan Islam masih pada peringkat muda lagi, tidaklah mendapat sambutan hebat seperti sekarang.

Saya hampir berputus asa ketika mengikuti kelas beliau disebabkan beliau amat tegas, fokus dan berdisiplin dalam pengajaran.

Bacaan dan hafazan saya sering kali ditegur dan diperbaiki oleh beliau, terutamanya bacaan Surah Al-Fatihah.

Saya bukanlah seorang yang mempunyai kelebihan dalam bidang tajwid dan taranum Al-Quran berbanding dengan rakan-rakan yang lain.

Namun dengan dorongan dan motivasi daripada pembantu khas beliau, iaitu Dato' Dr. Ustaz Amran bin Kasimin, akhirnya berjaya juga saya menamatkan pengajian.

Masih terasa hangat lagi tapak tangan beliau di atas ubun-ubun saya.

Antara pesanan beliau yang masih terngiang-ngiang di telinga saya ialah:

"Dalam menjalani rawatan perubatan Islam, pengamal dan pesakit perlulah mempunyai hati yang bersih, memenuhi segala perintah-Nya dan takut untuk melanggar hukum-Nya, Insya Allah, barulah Allah akan menyembuhkan."

Mudah-mudahan segala ilmu yang TGHD sumbangkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia dapat dijadikan bekalan yang secukupnya untuk beliau bawa bertemu Allah SWT.

Semoga Allah mengampuni segala dosa arwah dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang soleh dan bertaqwa.

Kepada anak-anak didik TGHD, teruskan perjuangan kalian, berilmu dan berakhlaklah seperti beliau. Perbaikilah lompong-lompong yang ada berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.

Maafkan saya, kerana saya tidak terpilih untuk berjuang bersama kalian disebabkan ilmu dan akhlak saya belum semantap kalian.

THE PALACE OF PARLIAMENT ROMANIA DAN TRAGEDI MAUT FRANZ REICHELT

TILIK BUKU : Travelog Mr. Traveller.

Jikalau anda ingin menjelalahi dunia Eropah dengan menaiki kereta api, bacalah buku ini. 

Di dalam buku ini penulis telah berkongsi maklumat tentang cara untuk menggunakan keretapi bagi menakluki dunia Eropah dengan harga yang murah dan kaedah yang mudah.

Menelurusi buku ini dari bab ke bab akan membuat pembaca berasa kagum terhadap kegigihan, ketabahan dan disiplin yang ditunjukkan oleh penulis sepanjang perjalanan menjelajahi dunia Eropah dalam tempoh 15 hari.

Penulis juga ada menceritakan kisah bagaimana beliau mengerjakan ibadah solat sewaktu dalam pengembaraan tersebut. 

Beliau bersolat di hentian kereta api, di dalam kereta api, di dalam bilik hotel yang penghuninya terdiri daripada bukan Islam dan pelbagai lagi situasi. Sungguh hebat iman penulis.

Penulis ada mencatat banyak nama tempat dan kisah yang menarik, antara ialah The Palace Parliament dan Franz Reichelt.

Mari kita tilik.

The Palace Parliament terletak di Romania. Ia merupakan bangunan parlimen yang terbesar di dunia mengalahkan bangunan parlimen Amerika Syarikat, atau turut dikenali sebagai The Bicameral Legislature.

Berikut merupakan gambar The Palace Parliament:








Manakala di bawah merupakan gambar The Bicameral Legislature di Amerika Syarikat:


Selanjutnya, The Palace Parliament merupakan bangunan pentadbiran yang kedua terbesar selepas bangunan Pantegon di Amerika Syarikat.


Selain itu,  The Palace Parliament merupakan bangunan yang ketiga terbesar di dunia selepas bangunan Vehicle Assembly di Florida, Amerika Syarikat dan Temple of the Feathered Serpent di Teotihuacan, Mexico.

Gambar bangunan Vehicle Assembly Building:



Gambar bangunan Temple of the Feathered Serpent:



Bangunan The Palace Parliament bernilai 3 bilion Euro, menjadikannya antara bangunan pentadbiran yang paling mahal di dunia.

Dianggarkan sebanyak 3 juta USD diperlukan bagi setiap tahun untuk membayar kos pemanasan dan pencahayaan bangunan tersebut. Wah, banyaknya duit kerajaan mereka!

Apa yang pasti, bangunan ini 10 kali ganda lebih besar berbanding bangunan White House di Amerika Syarikat.

Jangan tertipu! Bangunan White House tidaklah gah seperti yang digembar-gemburkan oleh media barat. Panjang bangunan White House ialah 51.2 meter, mempunyai 6 tingkat dan berkeluasan 55,000 square feet sahaja.

Gambar bangunan White House di Amerika Syarikat:


Suatu masa nanti, semua bangunan ini akan runtuh menyembah Allah. Bagaimana dengan kita? Kembalilah mengingati-Nya.

Apa pula kisah Franz Reichelt? Jika pembaca ingin mengetahuinya, silalah tinggalkan pesanan di bawah, pasti kisahnya akan menyusul pada eposid seterusnya.

"Berah boh, jumpo lagi."

-----------------------------
Tajuk Buku : Travelog Mr. Traveller
Nama Penulis : Meor Farid Asyradi
Penerbit : Meor Farid Asyradi
Jumlah Muka Surat : 310
Tahun Terbit : 2015
Harga : SM RM25.00 SBH/SWK RM28.00



TAMAN NEGARA YOSEMITE DAN TAMAN NEGARA ARCHE

TILIK BUKU - Travelog Mr. Backpacker : Merentas Amerika.

Ketika membaca buku ini, pembaca pasti merasakan seolah-olah turut merentasi Amerika bersama penulisnya.

Sungguh menarik pengalaman yang dikongsikan oleh penulis. Beliau merentasi Amerika selama 25 hari bersama 2 orang rakannya dengan menaiki kereta sewa.

Perjalananan yang ditempoh oleh mereka sejauh 10,000 KM. Bayangkan betapa mencabar dan sukarnya pengembaraan mereka.

Pelbagai peristiwa yang dilalui oleh mereka, antaranya lemas di pantai Daytona dan ditangkap oleh polis koboi.

Mengujakan.

Di dalam buku ini tercatat nama Taman Negara Yosemite dan Taman Negara Acher. Ianya pasti menarik minat pembaca untuk mengetahui kedua-dua taman negera ini dengan lebih mendalam.

Mari kita tilik.

Taman Negara Yosemita merupakan antara 5 taman negara yang paling menarik dunia. Permandangan di taman negara ini amat indah dan mempersonakan.

Disebabkan taman negara ini sungguh luar biasa keajaibannya, dianggarkan seramai 3.8 juta pelancong datang berkunjung ke sini pada setiap tahun.

Keluasan Taman Negara Yosemita ini ialah 747, 956 ekar. Ia terletak di California dan telah digazetkan sebagai Kawasan Bersejarah Dunia oleh UNESCO.

Alangkah seronoknya jika dapat berkhemah dan memancing di sini.






Subhanallah, hebatnya ciptaan Allah.

Selanjutnya, gambar di bawah pula menunjukkan pemandangan yang terdapat di Taman Negara Arche. Ia terletak di timur Utah. Luasnya 76,679 ekar. Di sini terdapat lebih kurang 2,000 natural standstone arches. 

Yang pasti di sini tiada pokok durian.





Taman Negara Yosemite dan Taman Negara Arche merupakan sebahagian tempat yang telah dilawati oleh penulis buku ini semasa mengembara di Amerika.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kisah pengembaraan beliau merentasi Amerika, anda boleh membaca sendiri buku ini.

Ayuh, mari kita mendesa dunia melalui buku.

"Bereh boh, jumpo lagi."

...
Tajuk Buku : Travelog Mr. Backpacker : Merentas Amerika
Nama Penulis : Badrul Hisham
Penerbit : Badrul Hisham Bin Burhanuddin
Jumlah Muka Surat : 202
Tahun Terbit : 2016
Harga : SM RM25.00 SBH/SWK RM28.00



PENGENALAN TILIK BUKU

Adakah anda mengetahui tentang resensi buku, bedah buku dan kritikan buku?

Disiplin ilmu ini mungkin kurang dibicarakan di Malaysia berbanding dengan negara jiran, iaitu Indonesia.

Tidak ramai penulis yang ingin menceburkan diri dalam bidang ini kerana ianya terikat dengan format tertentu dan tidak mendapat sambutan daripada pembaca.

Maka, aku terpanggil untuk membudayakan disiplin ilmu ini di Malaysia dengan melakukan beberapa pendekatan, kaedah dan teknik yang baharu.

Aku namakannya sebagai "Tilik Buku". Aku sengaja menggunakan perkataan tilik kerana ia membawa maksud melihat sesuatu dengan bersungguh-sungguh.

Dengan kata lain, Tilik Buku merupakan satu cara untuk meneliti isi kandungan sesebuah buku luar dari konteks penulisannya.

Meskipun Tilik Buku berbaur klasik dan konservatif, namun ianya bersifat moden dan santai.

Tilik Buku akan cuba memberahikan pembaca untuk membaca sesebuah buku dengan cara mengetengahkan maklumat paling menarik yang terdapat di dalam buku tersebut. Olahan dan kupasan tentang maklumat tersebut akan dibuat luar dari konteks apa yang ditulis oleh penulis asalnya [sekiranya mampu].

Perkara ini mungkin sesuatu yang baharu, namun aku percaya dengan cara ini aku akan dapat mengumpan pembaca untuk lebih berminat terhadap sesebuah buku dan secara tak langsung akan menyuburkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kita perlu sedar bahawa dunia penulisan dan penghasilan buku di Malaysia semakin rancak, ditambahkan lagi dengan kewujudan ramai penulis indie yang memasarkan buku mereka secara online.

Secara tak langsung ia memberi kesan negatif [sudut yang lain mungkin positif] kepada penerbit-penerbit buku yang sedia ada dan menyebabkan lambakan buku yang tidak terjual di pasaran.

Oleh itu, sama-samalah kita membantu industri penulisan dan penerbitan buku di negara kita dengan membeli dan membacanya. Kita mengetahui bahawa membaca merupakan jambatan ilmu.

Tanpa buku maka berkuranglah ilmu. Meskipun terdapat banyak e-book dan bahan bacaan dalam internet, tetapi cara dan budaya yang lama tetap perlu kita kekal dan pertahankan walaupun hari demi hari kita dihambat oleh kecanggihan teknologi.

***

Buku pertama yang aku akan tilik ialah Travelog Mr. Backpacker : Merentas Amerika hasil tulisan Badrul Hisham.