DALAM HATI ADA CINTA

Dalam hati ada cinta,
cinta murni takkan ternoda,
cinta yang manis, tak perlukan coklat dan bunga,
cinta sejati sampai bila-bila,
cinta istimewa, berkongsi kita semua.

Cinta pada Allah, Cinta akan RasulNya

Menghidu Bau Bulan

Aku cuba menghidu bau bulan,
pelbagai rasa baunya,
ada manis di awalnya,
ada masin di tengahnya,
tak kurang juga kelat dan pedas di akhirnya.

Bagaimana menghidu boleh merasa?
Hidu dengan hidung atau telinga?
Bagi aku menghidu juga perlukan mata, otak, akal dan jiwa raga.

Menghidu bau bulan bairlah berpada,
akhirat jangan dilupa,
kubur hanya menerima keranda dan kain kapan sahaja.

Oh bulan, aku dapat menghidu bau mu!
Tak jauh, tak dekat, di mana-mana, setiap masa ...
bau mu sentiasa ada.

SEMANGAT RAMADHAN

Ada yang sebut ramadhan, ada juga yang sebut romadhon.. Tiada dosa pahala di situ.
Yang lebih utama adakah kita sempat bertemu dengannya untuk tahun ini?
Juga yang utama adakah kita betul-betul bersedia untuk melayannya dengan penuh ikhlas dan taqwa kepada Allah S.W.T?

Justeru pada bulan ramadhan, adalah menjadi tanggungjawab diri saya dan anda semua untuk berusaha ke arah mengabdikan diri kepada Allah S.W.T dengan lebih tekun dan dengan cara yang lebih baik iaitu mengikut sunnah rasulNya Muhammad S.A.W.

Bermula daripada penyediaan makanan sahur dan iftar hinggalah kepada perkara-perkara fardhu, semuanya adalah mengikut amalan Nabi Allah Muhammad S.A.W.

Bolehkah saya mengamalkan dan mempraktikkannya pada bulan ramadhan kali ini? Seterusnya istiqamah mengamalkannya pada bulan-bulan berikutnya, hinggalah ketemu semula ramadhan pada tahun yang akan datang? Allahu akbar. Sesungguhnya saya seorang insan yang imannya lemah, tiada daya melainkan taufiq, hidayah dan rahmat daripada Allah S.W.T.

Zilzikri : Kenapa dalam coretan-coretan yang aku nukilkan banyaknya dinyatakan soalan? Jawapannya ada pada orang yang suka berfikir dan cuba menjawabnya..

GELORA HATI

Gelora hati,
hanya pemilikNya yang tahu,
ingin ketemu, pasti.
Lebih daripada segan, lebih daripada malu,
takut sudah tentu.

Layakkah diriku?
berbaik sangka terhadapNya, pengubat gelora hati.

DUA HA' DUA H

Sewaktu menelusuri jalan pulang dari Kelantan ke Lembah Klang, corong suara kereta aku bingit dengan syarahan agama yang disampaikan oleh seorang ustaz jemputan sebuah stesen radio tempatan. Dengan kelucuan loghat kelantannya ternyata ustaz tersebut dapat menambat hati aku untuk terus layan syarahannya.

Dalam suasana memandu yang agak tegang dek kegilaan anak-anak muda yang baharu dapat kereta memotong depan dan belakang, kiri dan kanan bagaikan nyawa boleh dibeli timbang kati dikedai potong, sedikit sebanyak syarahan ustaz tersebut dapat menenangkan suasana yang tengah "sawan" tu . Apa yang aku dapat kongsikan, katanya;

Al Imam Ghazali ada berkata bahawa apabila seseorang pergi ke majlis ilmu, dia akan pulang bersama dua Ha' (H). Samada dia akan membawa Ha' yang pertama atau Ha' yang kedua.

Apakah dua Ha' tersebut?

Pertama; Hikayat, kedua; Hidayah.

Maknanya, jika seseorang pergi atau hadir ke sesebuah majlis ilmu dengan nawaitu yang salah, penuh kebendaan, maka dia hanya akan membawa pulang hikayat semata-mata. Yakni dia akan bercerita tentang kehebatan majlis tersebut, makan minum yang disediakan, gosip, kritikan dan komen terhadap keburukan dan kelemahan penganjur, penceramah dan sebagainya.

Sebaliknya, jika seseorang itu pergi atau hadir ke sesebuah majlis ilmu dengan nawaitu kerana Allah, maka dia akan pulang bersamanya membawa hidayah daripada Allah s.w.t. Tiada sebarang gosip, kritikan, dan komen yang liar, tiada sebarang adu domba, tiada sebarang cerita kehebatan kebendaan. Yang ada hanyalah ilmu yang benar, kebaikan dan manfaatnya.

Masya Allah. Kita tergolong dalam kalangan mana tu?

KITA YANG PERNAH SAKIT

Kita yang pernah sakit,
macam-macam sakit yang pernah kita rasa,
ada sakit yang membawa penyakit,
sakit yang mendatangkan gembira pun turut ada yang merasa.

Sakit yang dirasa telah membuat kita berwaspada dan bersedia,
kita berkorban apa sahaja untuk sembuh daripada rasa sakit,
kita berikhtiar supaya kita tidak mendapat lagi apa-apa sakit,

Tapi kita lupa kepada sakit yang maha sakit,
kita tidak bersedia untuknya,
langsung kita tidak memikirkan betapa maha sakitnya dia,
seolah-olah sakit maha sakit bukanlah urusan terpenting untuk kita sedia merasainya,
sakit SAKARATUL MAUT menanti semua.

Tiada guna ada takaful dunia, takaful akhirat kita lupa untuk menabungnya.

DUDUK

Duduk  i'tikaf di masjid lebih baik,
duduk berzikir lebih baik,
duduk membaca al-Quran lebih baik,
duduk di majlis ilmu lebih baik,
duduk mengasihi menyayangi anak dan isteri lebih baik,

Duduk dan diam lebih  baik.
Duduk daripada jauhnya perkara syubahah amatlah lebih baik,
daripada duduk membikin amarah, memerah nafsu menjadi buas dan ganas.

Bila marah ajar dan paksa diri duduk,
Orang yang hebat, sabarnya lebih.
Orang berjihad, duduknya taqwa, berdirinya taqwa.





UCAPAN YANG BAIK ADALAH SEDEKAH

"Ucapan yang baik adalah sedekah". (Riwayat Al-Bukhari no. 662 & Muslim no. 669)
- Boleh juga ditelaah dalam Kitab RIYADHUS SOLIHIN karya Imam Nawawi -

Jadi bagaimana dengan kita? Adakah sebelum ini kita pernah mengetahui tentang hal ini?
Mungkin selama ini saya, anda dan kalian semua sering kali mengucapkan kata-kata yang baik kepada orang sekeliling kita, baik terhadap ibu bapa, isteri, anak-anak, adik beradik, saudara mara, kawan-kawan dan lain-lain, persoalannya, adakah kita lakukannya atas tuntutan agama dan kerana Allah serta Rasul Nya? Atau mungkin kita berkata-kata baik hanya kerana ingin mengurangkan konflik, mengambil hati, menjaga perasaan, dan sebagainya yang mana ianya hanya kerana manusia semata-mata? 

Nampaknya, aku perlukan ruang masa untuk muhasabah diri sebentar ...  Hingga bersua lagi di coretan hadapan.

MAKAN SEMUA HATI MERPATI

Di dalam hutan, sedang bermesyuarat sekumpulan binatang. Agenda mereka cukup besar, Raja Rimba mahu datang ke kawasan mereka. Dalam kelam kabut Sang Kancil membentangkan SOP program bagi meyambut kedatangan Raja Rimba, tiba-tiba Sang Anjing menyalak dan membantah serta merta.

Sang Anjing : Wang! Wang! Wang! Hoi, Sang Kancil! Engkau tahu tak kenapa Raja Rimba dijemput dan bersetuju datang ke mari ke sini? Boleh engkau jawab?

Sang Kancil : (Senyum sinis) Tolong la jawab!

Sang Anjing : Wang! Wang! Wang! Kawasan kita ni dah jadi sarang merpati! Membiak berpinak dah mereka kat sini! Itu ha yang kita orang nak bawa Raja Rimba ke sini, kasi makan hati semua merpati!

Sang Anjing : (Mengangguk kepala) Ooo, bukan nak halau pembalak kat sini?

Sang Anjing : Wang! Wang! Wang! urusan pembalak tu yang kesepuluh, yang terutama tahi merpati dah tak bersepah-sepah lagi kat sini. Ada engkau faham? Mana yang utama, mana yang terkemudian?

Sang Kancil : (Sinis) Ooo, barulah aku tahu! Maaf, selama ni aku tak pernah bergaul dengan geng karnivor.

Sang Anjing : Wang! Wang! Wang! (Meleleh-leleh air luirnya yang bernajis itu keluar, kerana terlalu riak dan besar kepala) Engkau dah tahu kan? Jadi lebih baik ikut saja SOP aku. Betul tak ketua?

Sang Kancil mula berwaspada, mula curiga. Dia sudah terjebak dengan geng karnivor. Dia juga mungkin jadi mangsa mereka sekiranya dia alpa.

PERSIMPANGAN MALAM




Antara persimpangan malam,
yang saban hari ditelusuri ramai,
sama melalui,
 tetap melangkahi, hingga kemati,
tanpa singgah, 
tanpa berfikir panjang. tiada pernah muhasabah.
Sarat dengan bebanan, kotoran dibawa beradu, nyenyak lena bersama kealpaan.
Tuhan Semesta Alam, dilupakan.
Yang senang dipayahkan,
yang palsu dibuat kesayangan.
Mimpi indah, bersanding anggun di atas sejadah,
kelu direnjis kepenatan.
Kaku tersipu bersama kemalasan.
Lidah tak pernah basah dengan huruf-huruf hijaiyah, air mata tak pernah ke tanah.
Terus larut bersama malam,
yang umpama tiada persimpangan dan selekoh.
Pasti rugi pabila rebah!


AMALAN KITA

Zikir masih kurang,.
Baca Quran masih kurang,.
Solat sunat masih kurang,.
Solat malam langsung tiada dalam diari amalan.

Senyum masih kurang,.
Bersedekah masih kurang,.
Menolong orang yang kesusahan masih kurang,.
Solat jemaah jarang-jarang datang.

Habis apa yang bertambah?
Semuanya kurang, semuanya jarang-jarang,
semuanya kadang-kadang.

Apa yang kita perbanyakkan dalam kehidupan seharian?
Dosa dan pahala bercampur-baur,
umpama segelas air jernih terpalit segelas nanah,
berkeladak di atas, dosa.
yang berkeladak di bawah, dosanya juga.

Memang kita kena akui, yang kita lemah iman,
dan kurang amalan soleh, amalan kebajikan.

DESIRAN KIPAS

Lantunan bunyinya yang menyamankan,
malah mengujakan.
Anginnya rawak untuk dikongsi ramai,
biar kuat desirannya, jangan tinggi bilnya,
untuk hidup nyaman bukannya percuma.

Desirannya dibayar, walau peluh kering tak sekata.
Jangan disia-siakan nyamannya,
walau anginnya menyapa di hujung rambut sahaja.

Zuhey : Mudah untuk difaham, tapi payah untuk diamalkan.

HOBI SAYA MENYEBARKAN KEBURUKAN PERIBADI SESEORANG

Dek terpengaruh dengan rentak dan budaya yang ditunjukkan oleh bapak-bapak sang politikus yang tak bermoral, semakin hari semakin bertambah anak-anak muda yang lantang  memaki, mencela, mengumpat akan keburukan peribadi seseorang. Bukan sekadar itu sahaja , bahkan dihebah dan disiarkan oleh mereka ke serata pelusok dunia.

 Semuanya buta!!! Buta hati dan buta agama!!!

Tak kisahlah yang dimaki itu dari kalangan pemimpin berhaluan kiri atau kanan, bila mana menyentuh peribadi mereka, itu bukan ajaran agama kita Islam. Kenapa perlu kita menambah-nambah lagi keburukan dan kecelaan yang ada pada peribadi mereka? Perlukah dicanang-canangkan, ditayangkan, didedahkan keburukan dan kecelaan peribadi mereka? Dari mana kita belajar semua ini kawan-kawan? Nak disandarkan kepada siapa? Rasulullah kah? Iman Syafie kah? Atau syaitan laknatullah?

Belajarlah Islam sebetulnya, dan belajarlah Islam dengan dengan iman dan taqwa. Islam sememangnya membenarkan kita menegur dan memperbetulkan kelemahan, keburukan dan kecelaan yang dilakukan oleh pemimpin. Tetapi ada cara dan ada batas-batasnya. Yang pasti, keburukan peribadi seseorang bukan boleh dicanang dan "dipromosikan" semenang-menangnya, lebih-lebih lagi jika dia adalah seorang muslim.

Hentikanlah segera penyakit suka menyebarkan dan menceritakan keburukan dan kecelaan peribadi seseorang secara umum, baik di FB, di BLOG, di Masjid, di ceramah-ceramah, di forum-forum atau di mana-mana sahaja. Terutamanya apabila status perkara tersebut belum lagi dijamin kesahihan dan kebenarannya. Berwaspadalah, kerana di akhir zaman ini ramai golongan fasik yang berkeliaran menyebarkan fitnah dan berita palsu.

Takutlah Allah. Moga Allah mengampunkan dosa saya dan dosa kita semua.

Zuhey: Jangan kritik urusan peribadi mereka, tapi kritiklah kepimpinan mereka.

WAHAI TANAH

Wahai tanah,
tidak sedarkah engkau, yang bahawa engkau adalah TANAH,
berlumut, berdaki, bernajis.

Wahai tanah,
dari mana datang mu, dan ke mana kembali mu,
ke langit atau ke laut?

Wahai tanah,
sedarkanlah akan oleh mu, yang sesunggungnya engkau adalah TANAH,
pasti kembali jua ke TANAH.

Wahai tanah,
sebaik-baik mu pasti akan juga ke TANAH,
sejahat-jahat mu sudah barang tentu akan ke TANAH,

Wahai tanah,
apakah jenis mu?
liat atau gambut?
bersediakah mu untuk dibajak dan digembur?
dengan cangkul yang tumpul.....

Zuhey: A'uzubillahi min zalik