MAKNA PRAGMATIK DI BALIK TELEFILEM POK YA CONG CODEI

Saya cuba membuat sedikit ulasan tentang telefilem Pok Ya Cong Codei yang tular dan heboh dibicarakan oleh warga media sosial.
Berdasarkan dialog antara watak yang terdapat dalam telefilem tersebut, banyak potensi makna yang berunsur nasihat yang cuba disampaikan kepada para penonton.
Dalam telefilem tersebut, kita dapat melihat bahawa Pok Ya seorang yang hebat; dihormati kawan, digeruni lawan dan dipercayai oleh majikan.
Tutur bicara Pok Ya juga melambangkan beliau seorang yang hebat walaupun suka bercakap besar; tidak gentar terhadap musuh, tidak mengkhianati kawan dan berani kerana benar.
Namun hakikatnya, kehebatan tersebut hanya terserlah di luar rumah sahaja. Sedangkan di rumah beliau tidak hebat seperti yang disangkakan.
Sekalipun Pok Ya mampu menengking dan memarahi isterinya, tetapi isterinya berani melarikan diri daripada Pok Ya sewaktu beliau sibuk dengan urusan kerja di Kuala Lumpur.
Mengapa isteri Pok Ya berani berbuat demikian?
Mungkin Pok Ya bukan seorang suami yang hebat; yakni dari segi tenaga batin, kasih sayang, akhlak, agama dan lain-lain yang bersifat batiniah.
Telefilem Pok Ya Cong Codei dengan jelas ingin memberi mesej kepada kaum lelaki supaya jangan asyik dan terpersona dengan kehebatan jasmaniah yang ada, seolah-olah kehebatan tersebut boleh memberi kebahagiaan kepada isteri dan ahli keluarga.
Kaum lelaki jangan beranggapan bahawa kehebatan jasmaniah mampu menambat isteri di tiang rumah untuk selama-lamanya.
Sayangi isteri dan ahli keluarga dengan nilai agama bukan dengan kehebatan jasmaniah atau lahiriah semata-mata.

GURU YANG BAIK IALAH GURU YANG BERKATA TENTANG KEBENARAN



Seusai saya menunaikan Solat Maghrib di Masjid ini (gambar di bawah), saya sempat mendengar Kuliah Maghrib. 

Berkata penceramah, "guru yang baik ialah guru yang berkata tentang kebenaran."

Beliau memberi contoh, seorang pelajar bertanya kepada seorang guru agama tentang hukum merokok.

Jawab guru itu, "hukumnya haram."

Pelajar tersebut bertanya lagi, "saya pernah melihat ustaz merokok, apakah hukumnya?"

Balas guru tersebut, "hukumnya tetap haram. Saya merokok disebabkan kelemahan diri saya dan saya dalam proses meninggalkannya (berhenti merokok)".

AYAT PERINTAH BERSULAMKAN SINDIRAN!

Seorang kawan telah mengirimkan gambar poster tersebut kepada saya. Beliau bertanya kepada saya, di manakah letaknya nilai keindahan Islam dalam ayat tersebut? 


Seharian saya cuba memikirkan soalan tersebut. Saya juga tercari-cari di manakah letaknya nilai keindahan Islam dalam ayat tersebut, tetapi saya gagal menemuinya. 


Apa yang saya temui hanyalah ayat perintah yang bersulamkan sindiran. 

Ya, tidak dinafikan bahawa berlakunya pembaziran air ketika pengambilan wuduk. Perkara tersebut perlu ditegur dan dicegah. Seeloknya dengan cara yang berhemah atau berhikmah.

Oleh itu, sewajarnya bahasa yang digunakan untuk mencegah perbuatan tersebut haruslah mencerminkan keindahan Islam, iaitu mengandungi unsur kesantunan berbahasa.

Saya tidak menafikan ada kalanya lakuan niat pengucapan bagi sesuatu ujaran boleh berbentuk sindiran, tetapi dalam hal ini, yakni penulisan ayat dalam poster yang kekal lama, penulis seharusnya mengutamakan matlamat sosial pembaca daripada matlamat ilokusi penulis.

Yang dimaksudkan matlamat sosial pembaca ialah rasa dihormati, dikasihi, disantuni dan lain-lain.

Dengan cara memenuhi matlamat sosial pembaca, secara tak langsung matlamat ilokusi penulis (arahan, suruhan, nasihat, teguran dan lain-lain) dapat dicapai.

Pepatah Inggeris menyatakan bahawa "kill two birds with one stone", atau pepatah Melayu menyebut "sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terlampau", maksudnya ialah mencapai dua maksud sekali gus dengan melakukan satu kerja atau tindakan.

Pantai Cahaya Bulan (PCB)

Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, Kelantan.
Sebut PCB, pasti semua rakyat negeri Kelantan mengenalinya.
Nama asalnya ialah Pantai Cinta Berahi, kemudiannya ditukar kepada Pantai Cahaya Bulan oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat (semoga Allah merahmati beliau) pada zaman 1990-an.
Namun begitu, menurut masyarakat setempat, nama dahulukala bagi pantai ini ialah Pantai Semut Api.
Terletak di Mukim Semut Api, jaraknya lebih kurang 10 kilometer dari Pusat Bandar Kota Bharu.
Dahulunya pantai ini cukup cantik dan bersih. Pasir pantainya gebu serta putih. Sekelilingnya dihiasi dengan pokok-pokok ru yang besar lagi rendang. Suasananya teduh dan nyaman.
Aku masih ingat ketika aku kanak-kanak, untuk berjalan kaki dari jalan raya ke persisir pantai jaraknya antara 700 meter hingga 900 meter.
Berbeza dengan sekarang, persisir pantainya sudah tiada, diganti dengan tembok batu-batu yang dijadikan penghadang daripada bedilan dan hakisan ombak.
Masih terbayang di mataku kubu-kubu Jepun yang terpacak di tengah-tengah pantai PCB. Kini kubu-kubu tersebut sudah hilang ditelan ombak.
PCB terbahagi kepada satu kepala dan dua sayap (aku punya definisi). Kepalanya terletak di pantai utama. Sayap pertama terletak di Pantai Kuda, manakala sayap kedua terletak di Muara.
Dahulunya, terdapat banyak perahu nelayan yang berlabuh dan bermukim di pantai ini, terutamanya di Pantai Kuda dan Muara.
Masih aku ingat, waktu petang merupakan waktu yang paling sibuk di pantai kerana para nelayan akan berlabuh bersama hasil tangkapan mereka. Pada ketika inilah, kelihatan kanak-kanak dan para remaja datang beramai-ramai untuk menolong menolak dan menarik perahu para nelayan naik ke pantai.
Selepas menolak dan menarik perahu-perahu tersebut, mereka akan menunggu para nelayan memunggah hasil tangkapan mereka naik ke darat, semasa proses tersebut berjalan, banyak ikan, udang dan sotong yang jatuh ke pasir atau gigi air. Inilah rezeki yang mereka tunggu, mereka akan memungutnya dengan penuh perasaan seronok dan riang untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.
Dahulunya juga, banyak kuda bermain di gigi air dan mandi di pantai ini, khususnya di Pantai Kuda. Pada setiap tahun akan diadakan acara berkuda di sana. Pelbagai jenis kuda yang boleh dilihat sewaktu acara tersebut.
Aku juga tidak ketinggalan untuk turut serta, jika bernasib baik aku dipelawa untuk menunggang dan memandikannya.
Selain itu, di pantai ini juga tempat berkumpul peminat wau dan layang-layang, pemancing ikan, penyandat sotong, pendikir barat, penjual ubat, dan lain-lain lagi.
Sebenarnya, banyak lagi cerita menarik tentang pantai ini yang boleh aku nukilkan untuk bacaan generasi yang akan datang, sama ada dari sudut budaya, makanan, masyarakat, permainan rakyat dan sebagainya, tetapi aku berhenti di sini dahulu untuk memberi ruang kepada sahabat-sahabat yang lain untuk menyambungnya. Mungkin selepas itu boleh dibukukan.