SAJAK TERAWAL DI TUNAS 2011

Setiap tahun masa dan umur silih berganti,
adakah tahun ini,
kita masih belum mengerti?
Masih belum menginsafi?
Belum tekad untuk mensucikan diri?

SAJAK TERAKHIR DI KEMUNCAK 2010

Berduyun memecah tradisi malam,
hanya dek kerana pesta bunga api awal tahun,
halal dan haram sama dijamah sama ditelan.

RASUAH: SYABAS SPRM

Meskipun pelbagai tohmahan direnjiskan ke muka SPRM, hakikatnya kerja telah mereka jalankan. Syabas aku ucapkan kepada seluruh warga SPRM di atas komitmen yang ikhlas dalam menjalankan tugas yang diamanahkan. Memerangi jenayah rasuah bukan suatu tugas yang mudah untuk dilaksanakan. Tanpa badan khusus seperti SPRM mana mungkin negara kita dapat membasmi jenayah rasuah secara tegas dan berkesan.

Amat bodoh bagi mereka yang mem"perkentut"kan cara dan jalan kerja yang dilaksanakan oleh SPRM. Jelas mereka ini adalah golongan yang diibaratkan bagai anjing menyalak bukit semata-mata. Apa salahnya kita sama-sama membantu pihak SPRM membanteraskan jenayah rasuah secara harmonis, tanpa perlu mempolitikkan isu-isu tertentu dengan melibatkan pihak SPRM.

Pada hemat aku, jenayah rasuah boleh diumpamakan sebagai api dalam sekam. Sekiranya api tersebut tidak dipadamkan maka seluruh bendang boleh hangus terbakar. Peliharalah tangan kita daripada dibakar hidup-hidup di akhirat sana akibat rasuah yang kita ambil di dunia ini. Jenayah rasuah tidak mengenal siapa jua, baik bapak menteri, tukang kasut, guru, petani, imam, janda, teruna mahupun pelajar sekolah. Sesungguhnya mata dan hati kita boleh dikaburi oleh kemewahan dan kesenangan dunia. Moga Allah pelihara iman kita semua dan mudah-mudahan kita terselamat daripada melakukan jenayah rasuah



Zuhey: Adakah tangan penerima dan pemberi rasuah akan dibakar oleh api neraka kelak?

50 DUNIA 50 AKHIRAT : BETULKAH KONSEP INI?

Sering kali kedengaran orang awam menganjurkan konsep 50 dunia 50 akhirat. Baik ilmuan, negarawan, agamawan dan lain-lain. Aku bukan mahu mengiyakan atau menidakkan. Aku sekadar mahu berkongsi persoalan. Sekiranya ada bijak pandai agama yang mampu menjawap persoalan ini bolehlah berkongsi pandangan.



Baiklah mari kita sama-sama hayati dan empati perumpamaan yang akan diberi. Segelas cawan yang akan digunakan oleh tuannya untuk membancuh air teh yang cukup rasa. Maka pasti segelas air masak diperlukan samada panas atau suam ditambah dengan sedikit teh dan gula. Betulkan? Tiada pernah sesiapa pun menyediakan air teh yang mana bahan yang digunakan adalah sama banyak kuantitinya. Iaitu segelas air, segelas teh dan segelas gula. Sekiranya perkara ini berlaku, apa yang akan terjadi?

Begitulah jua dengan kita manusia, cawan tersebut ibarat medium kehidupan kita (masa dan nyawa). Manakala tuan kita ialah Allah S.W.T. Apakah kehendak Allah ciptakan kita? Semestinya beribadah kepadanya dan kembalinya kita adalah ke akhirat sana berjumpa dengan Nya. Jadi mana mungkin boleh kita mengisi ruang masa dan nyawa kita dengan kuantiti yang sama banyak antara akhirat dan dunia?

Sama-sama kita memikirkannya. Moga petunjuk dan hidayah Allah S.W.T bersama mereka yang menginginkan kebenaran Nya.

Zuhey : Dunia yang dilakukan kerana Allah semata-mata adalah sebahagian ibadah juga.

MEROKOK DI LAMAN RUMAH ALLAH



Semua sedia maklum bahawa merokok itu membahayakan kesihatan. Tidak perlu aku bahas dan syarahkannya di sini. Fatwa merokok sudah pun dah dikeluarkan, yang merokok itu bolehlah rujuk ke pejabat mufti negeri masing-masing atau terus je ke talian Majlis Fatwa Kebangsaan.

Cuma apa yang terkilan dalam hatiku ni adalah melihat gelagat perokok yang tiada rasa hormat terhadap masjid/surau/madrasah. Kita boleh lihat tidak kira di mana sahaja, perokok-perokok bebas merokok di laman-laman masjid atau surau. Bukan setakat merokok, puntung rokok yang dah habis dihisap tu dibalingnya sesukahati tanpa memikirkan kebiadapan perbuatan mereka tersebut. Siapalah aku nak melabelkan mereka ini biadap, akan tetapi inilah realitinya. Mungkin bukan aku sahaja yang meyampah, ribuan jemaah yang lain pun turut menyampah dengan perbuatan tersebut.

Maaf ya pakcik-pakcik, abang-abang dan adik-adik sekalian, sekiranya anda perokok tak semuanya dalam kalangan anda yang merokok di laman-laman masjid atau surau. Terima kasih atas rasa hormat dan keprihatinan anda terhadap masjid/surau dan para jemaah yang lain. Ketahuilah masjid atau surau itu tempatnya suci. Rumah Allah. Ramai yang mengunjunginya. Oleh itu sebagai muslim yang sejati sama-samalah kita menjaga kesucian rumah Allah dan jagalah kesenangan dan keselesaan para jemaah yang lain juga. Moga keredhaan Allah bersama dengan kita yang menjaga kesucian rumah Nya baik kita perokok mahupun tidak.

SUBUH

Sihat
aman dan tenteram
bagai sembuh dari sakit
bagai terlepas daripada seribu beban

Subuh
bukti kita kuat iman
jihad yang mantap
melawan nafsu dan syaitan

subuh
lazat dan nikmat
segar
kuat
mengalahkan seribu
pahlawan yang nyenyak ditilam

subuh
sifir yang senang untuk dihafaz
tapi sukar untuk dipraktikkan
melainkan
mereka yang telah diberi hidayah
taufik oleh Tuhan

KAWAN : BAGAIMANA KITA MEMILIH KAWAN?



Ini ialah arwah datuk aku bernama Hj Mohamad Bin Dato' Boyok. Arwah seorang yang mempunyai amat banyak pengalaman hidup. Pernah hidup zaman sebelum perang dunia kedua, zaman perang dunia kedua, zaman Jepun menjajah Tanah Melayu hinggalah ke zaman alaf 2000. Datuk aku ini boleh dianggap salah seorang perwira bagi Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Beliau pernah berkhidmat dengan British bagi menentang Jepun dan Komunis hingga telah dikurniakan Pingat Jasa Keberanian oleh Ratu Elizabeth. Beliau juga pernah dilantik oleh British menjadi mandor untuk membina lapangan terbang Singapore. Menurut beliau juga moyang aku Dato' Boyok adalah peneroka pertama tanah di Cangkak Gombak Selangor. Dalam keluarga kami mengalir darah pahlawan, pantang berundur apabila ditentang. Ketika arwah masih hidup, aku sering mencungkil rahsia dan pengalaman hidup beliau.

Antara nasihat beliau yang aku ingat sehingga kini ialah tentang memilih kawan. Kata beliau pada aku, kawan biarlah beribu, tetapi musuh jangan dicari. Biar kita berkawan dengan semua orang hatta kanak-kanak sekalipun. Tapi kita mesti berwaspada apabila berkawan. Ada kawan yang boleh kita berkawan ditengah jalan sahaja. Ada kawan yang boleh kita bawa berbincang dan berkongsi suka dan duka. Ada kawan yang boleh dibawa balik ke rumah. Ada kawan yang boleh kita benarkan bermalan di rumah. Ada kawan yang kita senyum dan bertegur sapa sahaja, tiada lebih daripada itu dan ada kawan yang boleh berkongsi makan semangkuk dan tidor sebantal dengan kita. Tidak semua kawan menganggap kita sebagai kawannya. Jadi pilih dan berhati-hatilah kamu (akulah) semasa berkawan.

Anda bagaimana? Aku sudah ada sifirnya, diadun dengan nasihat di atas maka eloklah kita berkawan dengan mereka yang alim dalam agama, kuat dan tinggi taqwanya, boleh menegur dan menasihati kita ke arah kebenaran ketika kita lalai dan leka. Kawan yang baik adalah kawan yang boleh mengingatkan kita tentang betapa pentingnya kehidupan selepas dunia.

Zuhey : Moga Allah merahmati kehidupan arwah datuk aku di kubur sana dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan mereka yang ikhlas dalam mempertahankan tanah airnya. Al-Fatihah buat arwah. Terima Kasih.

SUARA DARIPADA JALAN IBU KOTA

Meriah tidak kenal masa,
diwarnai dengan tol yang mesra,
besi laju memecut,
ada yang merangkak,
ada juga yang sesat!

Iman jadi penebat,
nafsu dan syaitan tak henti menggoda,
meroyan dan gila mainan anak muda,
mencelah memotong bagai ada puluhan nyawa.

Sakit dan penyakit bila-bila boleh merebak,
tidak kenal yang "berjuruh" mahupun yang tiada otak,
sumpah seranah mantera yang popular,
solat dan zikir boleh sahaja "terbabas",
dek besi-besi bernyawa asyik bercinta dan bercumbu,
kerana jalan yang disedia...
cukup selesa untuk beradu dan berniaga.

ANAK PANDAI BERGAYA DAN BERHIAS: IBU BAPA PERLU PANDAI MENUTUP AURAT



Ini gambar puteri aku yang bernama Daneen Imany. Sehari selepas bergaya depan kamera, alahai kasihan kena tahan wad pula. Moga cepat sembuh ya!

Anak-anak sekarang memang suka dan pandai bergaya serta berhias. Tidak kiralah tinggal di kampung mahupun di bandar. Mereka cukup mudah terkesan dengan suasana masa kini. Pengalaman aku dalam bidang pendidikan banyak menyaksikan anak-anak seawal usia 12 tahun sudah pandai bergaya dan berhias mengalahkan artis dan mak orang. Apa yang merisaukan pakaian mereka ini menjolok mata dan tiada tegahan daripada ibu bapa terutama anak-anak di bandar. Aku bukan nak menuduh dan mengata, tapi inilah realiti kini.

Tidak salah anak-anak nak bergaya dan berhias, tapi ibu bapa perlulah memberi panduan dan tauladan. Seelok-eloknya apabila anak sudah memasuki fasa baligh, ibu bapa perlu menyediakan anak mereka menjadi muslim dan muslimah yang tahu menutup aurat mereka. Tapi bagaimana anak mahu menutup aurat sekiranya ibu dan bapa mereka aurat pun tidak dijaga. Inilah yang menjadi masalah utamanya. Aku sudah banyak kali bersembang dengan anak murid yang ada kesediaan untuk memakai tudung ke sekolah, tetapi ibu bapa mereka yang menjadi halangan utama mereka. Menurut anak murid tersebut, ibu mereka menegah mereka memakai tudung kerana takut rimaslah, tunggu apabila besar nantilah, comotlah dan lain-lain lagi. Apa nak dikata? Nanti dilabel sibuk jaga tepi kain orang pula.

Oleh itu, bagi kawan-kawan muslimin dan muslimah di luar sana, berilah contoh yang baik kepada anak-anak kita dalam bergaya dan berhias. Tidak salah mereka mahu bergaya dan berhias, apa yang mustahak aurat perlu dijaga. Sebagai ibu bapa kita yang sepatutnya mengajar mereka cara bergaya dan berhias. Bergaya dan berhiasalah mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah. Kita dahulu yang perlu bergaya dan berhias dengan cara menutup aurat.

Zuhey : Bagaimana bayang tongkat mahu lurus sedangkan tongkatnya bengkok?

1432 H: KE ARAH YANG LEBIH BAIK



Suatu permandangan dalam bulan akhir di tahun 1431 H yang sempat ditangkap oleh aku menggunakan kamera murah. Subhanallah! Lokasi Elite-KLIA

Alhamdulillah berlabuh sudah tahun 1431 Hijrah. Mungkin tak terkira dosa yang kita kumpul tahun yang sudah. Apa yang terdaya bagi aku, pinta keampunan daripada Allah. Berbaik sangka dengan Allah, mudah-mudahan Allah mengampunkan semua.

Terlanjur (sepatutnya kita besyukur masih dikurniakan nyawa) kita di tahun yang baharu 1432 H ni, eloklah kita berazam untuk memanfaatkannya sebaik-baiknya. Hitung kira tolak darab bahagi dosa pahala kita tahun lepas (muhasabah la tu namanya) agar tahun yang baharu ini kita lebih baik daripada tahun yang lepas. Semak semula jadual solat kita, kalau asyik solat akhir waktu, eloklah tahun yang baharu ini kita cuba solat di awal waktu. Semak punya semak, gerenti banyak yang perlu kita ubahkan? Jangan risau, Allah itu Maha Penyayang dan Maha Pengasih. Kita berazamlah buat yang termampu dahulu, yang penting ikhlas dan istiqamah (berterusan). Insya Allah sama-sama kita berusaha ke arah yang lebih baik dalam semua pekerjaan seharian kita. Lillahi Taala. Semuanya semata-mata kerana Allah Taala.

Zuhey: Insya Allah! Tidak lupa juga ucapan Selamat Tahun Baharu Hijrah buat semua muslimin dan muslimat di luar sana.

MISAI VS JANGGUT : SIRI 2

Sambung kembali tentang tajuk misai vs janggut ni. Kali ini aku nak “intro” dengan diri aku sendiri. Tak perlu susah payah nak kumpul dosa cerita pasal orang, lebih baik aku muhasabah diri sendiri lagi elok. Baiklah, dari umur 18 tahun (tumbuh kumis da, hehe) hinggala ke umur 25 tahun aku tidak pernah potong misai. Aku jaganya dengan cukup rapi, sesetengah kawan-kawan panggil misai P. Ramlee da... Hahaha! Aku tak kesah yang penting aku suka dengan misai aku. Selepas itu simpan janggut pula. Tapi janggut selalulah dipotong, kasi nipis. Yela misai dan janggut untuk cari “makan”. Hehehe! Biasalah orang bujang, darah muda lagi masa itu.



Bersama "otai" yang bermisai tebal da! Kami panggil beliau CIO.



Masa simpan misai dan janggut! Kadang-kadang serabut pun ada.



Sudah "bogel" da muka aku!

Bila sudah masuk umur 26 tahun, aku mula rimas ada misai dan janggut. Rasanya mahu beralih angin pula. Lalu ku potong misai yang ku bela sejak 8 tahun yang lalu. Maka muka kelakian ku berubah menjadi muka jambu gitu (orang yang cakap). Timbul rasa malu pun ada. Yela, mana tidaknya orang panggil jambu! Aku bukannya jambu, aku manusia da! Maka setelah bermonolog dengan diri sendiri, maka aku dah dapat apa yang sepatutnya aku perlu buat dengan misai dan janggut ni. Suatu kesedaran telah timbul…



Ini yang dah ada kesedaran sedikit...Hehehe (moga-moga Allah tetapkan aku dalam Iman)


Sebenarnya dalam Islam, terdapat perintah bagi kaum lelaki untuk membiarkan tumbuhnya janggut dan memotong misai. Perkara ini jelas dengan terdapatnya banyak hadith Nabi s.a.w yang memperkatakan hal ini, antaranya sabda Nabi s.a.w yang bererti :

"Berbezalah daripada kaum Musyrik, bebaskanlah (biarkanlah sebagaimana adanya) janggut dan cukurlah kumis (misai)." (Hadith riwayat Bukhari, Sahih Bukari, vol 5, hlmn 2209; dan Muslim, Sahih Muslim, vol 1, hlmn 222)

Akan tetapi para ahli feqah berbeza pendapat di dalam memahami perintah Nabi s.a.w ini. Apakah ia menunjukkan bahawa hukumnya (janggut) wajib ataupun sunnah?

Jumhur fuqaha' (ahli feqah) berpendapat bahawa (menyimpan janggut) adalah wajib. Sementara, para ulama' Mazhab Syafie berpendapat hukumnya (menyimpan janggut) adalah sunnah.

Oleh itu, untuk kepastian yang lebih tepat tentang hukum dan kaifiatnya, anda semua haruslah berjumpa dengan ustaz atau mereka yang berkelayakan dalam ilmu fekah bagi mendapatkan penjelasan yang sewajarnya. Bukan bermakna omongan aku ini bohong dan tak berasas, tapi apa yang penting dalam mendalami ilmu agama ini, seelok-eloknya kita pelajarinya secara terus bersama ustaz atau mereka yang mahir dalam bidangnya. Ini kerana mungkin semasa pembelajaran tersebut timbul sebarang kemusykilan dan persoalan yang bermain dalam benak fikiran kita yang boleh diajukan terus kepada ustaz tersebut. Hal ini adalah bertujuan bagi mengelakkan berlakunya sebarang kekeliruan dan kesalahan dari segi I'tiqad (pegangan) kita terhadap sesuatu hukum.

MISAI VS JANGGUT : SIRI 1

Mungkin kedengaran agak klise sedikit tajuk aku kali ini. Mungkin ada dalam kalangan hawa yang mengimpikan jejaka mereka bermisai atau berjanggut. Ada yang jijik dan alah dengan misai dan janggut. "Geli-geli" pun ada barangkali. Tepuk dada tanya lah selera cik kak oi! Yang penting anda semua "berpuas hati."

Baiklah, anda mungkin kenal benar dengan gambar si minah di bawah ini?



Cukup manis dan anggun orangnya kan. Hehehe. Itu hanyalah ilusi pelukis semata-mata. Bayangkan kalau orang perempuan bermisai atau berjanggut? Adakah anda kaum lelaki sanggup...? Tepuk dada tanyalah nafsu masing-masing!



Misai. Pada hematku sekiranya sebut sahaja tentang misai maka ianya cukup sinonim dengan lelaki ini. Hitler. Jaguh Nazi pada suatu masa dahulu. Dengan misai inilah Hitler telah berjaya dalam hidupnya. Ya, berjaya dengan cemerlang sekali! Berjaya menghuru-harakan dunia ini buat suatu masa seketika dahulu. Si Misai inilah yang telah mensengsarakan ramai umat manusia.

Kematianya dikatakan cukup misteri. Mengikut sebahagian fakta sejarah setelah lama berperang dan setelah mengalami kekalahan di setiap medan pertempuran, Hitler menyedari bahawa kekalahan sudah tidak dapat dielakkan. Hitler kemudiannya mengahwini wanita simpanannya Eva Braun, dan kemudiannya membunuh diri bersama-sama pada 30 April 1945. Mayatnya dibakar untuk mengelak daripada jatuh ke tangan musuh.
Yang pasti misainya tetap abadi dalam lipatan sejarah sehingga kini! Tiada lagi misteri tentang misai Hitler. Ianya dibakar bersama tuannya bagi menemui Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Perkasa untuk bicarakan atas segala dosa yang telah dilakukannya.



Berbicara pula tentang janggut, maka kita terkenang akan kesatriaan Tok Janggut Pahlawan Ulung Negeri Cik Siti Wan Kembang. Nama sebenar Tok Janggut ialah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas. Beliau mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Dipendekkan cerita, mengikut fakta sejarah dalam pertempuran di Kampung Pupuh menentang "petualang" Negeri Kelantan, Tok Janggut telah terkena tembak lalu meninggal dunia. Mayat Tuk Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa satu hari. Mayat beliau digantung songsang (kaki di atas dan kepala di bawah)beberapa hari di Padang Bank (Padang Merdeka).Kemudian mayatnya itu telah ditembak oleh sepasukan pihak British sehingga putus dua badannya. Selepas itu mayatnya dibungkus dan dibawa dengan perahu ke Pasir Pekan untuk dikebumikan.



Inilah jasad pahlawan kebanggaan kita semua.



Jangan dibilang orang yang bermisai itu hebat. Jangan dicemuh orang berjanggut itu jijik. Jangan dibilang orang yang tidak bermisai dan berjanggut itu metroseksual. Yang harus kita bilang adalah kebaikan dan jasa mereka terhadap agama dan negara!