NILAI POLITIK YANG TERNODA

Ke mana hilang nilai kesucian politik negara?
ternoda dan sedang diperkosa,
setiap inci bangsa, negara rakus dijilat dan diraba,
penuh bernafsu oleh mereka yang punyai penyakit kusta,
kerana kusta bahasa, agama dan negara dijadikan pengerasnya.

Segelintir cuma yang berhati mulia,
itu pun bagai lalang menunggu mangsa,
diracun dan diragut oleh omnivor pengamal demokrasi nista,
mana perginya nilai luhur dan amanah raya,
yang jadi teras dan sauh pejuang dahulu kala.

Hormatilah pendeta bahasa, hormatilah tok guru agama,
jangan mereka disembelih dan diperhamba,
sesungguhnya keringat dan akal mereka
amat tinggi karamahnya untuk tamadun kita.

Suburkan kembali nilai-nilai mulia,
nilai mulia tidak perlu didemokrasikan,
demokrasi seutamanya...
yang perlu disusukan dengan nilai mulia...
bukan dengan nafsu dan logika semata-mata.

DUGA + AN = Dugaan

Kadang-kadang manusia menduga kita dengan pujian,
maka kita mula berbangga.
Kadang-kadang manusia menduga kita dengan makian,
maka kita mula berdendam.
Berbangga dengan pujian, kita menghampiri kekufuran.
Berdendam kerana makian orang, kita yang kecundang.
Duga manusia tidak sehebat dugaan tuhan.
Berwaspadalah apabila manusia menduga.
Bersabarlah bila tuhan memberi kita dugaan Nya.

KESEMPURNAAN MILIK ALLAH

Hati ku seakan hilang,
musnah lumat dimamah syaitan,
mahu goyangkan iman dan kepercayaan ku,
terhadap kepergantungan ku kepada tuhan,
Berambus engkau wahai syaitan,
Keyakinan ku tetap akan ku pertahankan.

Sempurna itu anugerah tuhan,
jangan dibolak balik dengan kegusaran,
hanya Allah yang mencipta kesempurnaan,
Kun Fa Ya Kun dengan perintah tuhan,
kesempurnaan jadi, kesempurnaan hilang.

Wahai jiwa yang bernafsu,
diamlah kamu sebagai makhluk tuhan,
jangan cuba merosakkan iman ku,
jangan diperdaya oleh syaitan,
tenteramlah kamu bersama iman,
yakinlah kamu akan Kudrat Tuhan mu.

Wahai Allah tuhan yang Maha Sempurna,
hempuskanlah nikmat kesempurnaan,
kepada ku, isteri ku juga bayi dalam kandungan,
segala keputusan akan ku terima,
hanya ku pohon Engkau kabulkan permintaan ku,
Anugerahkan...Limpahkan...Palitkan...Sisipkan
khususnya kepada bayi dalam kandungan
Kesempurnaan yang berkekalan.
Amin.
KU MENCARI CINTAMU

Ketika diri ini membuka tirai
Melakar kata
Melayar rasa…
Begitu terasa diri ini kerdil pada pandangan Maha Esa
Sering diri ini bertanya…
Siapa aku di sisiNya Yang Maha Kuasa…

Ketika pula diri ini menadah tangan
Memohon doa…
Penuh pengharapan…
Seakan malu pada Pencipta diri
Kerana dosa membaluti jasad ketika ini…

Bila mana diri ini letih dan
Hilang pergantungan…
Bila mana tangisku berpanjangan dan
Hatiku dalam kedukaan…
Bila mana ku merasakan hidupku ketingalan dan
Masa telah meninggalkan…
Dia setia bersamaku…


Dia tahu betapa aku telah sedaya upaya mencuba…
Dia mengira setiap titisan air mataku dan
Dia tidak jemu mendengar padaku…
Aku malu padaMu ya Allah…
Aku hanya insan penuh dosa…
Betapa aku kerdil di sisiMu ya A’zim…
Betapa mulianya diriMu ya Latif

Saat ini…
Bagaimanakah pula dengan diriku??
Adakah aku akan setia padaMu??
Sujud hanya untukMu??
Hidup dan mati hanya keranaMu??

Wahai Allah…
Berilah aku kesempatan waktu
Untuk menebus manik-manik dosa
Dan hidup hanya untuk cintaMu
Jika itu yang bakal ku peroleh ya Allah…
Aku tidak akan pernah...
Berpaling dariMu…
Sungguh!!!

epah080190

SIAPA SEBENAR MELAYU

Aku bukan mahu menjadi penderhaka bangsa,
bukan ku mahu jadi pengkhianat nusa,
cuma aku meluah bicara,
meluat terhadap mereka yang mengaku Melayu,
tapi lidah berkudis rakus menghisap darah sesama sebangsa.

Siapa Melayu, siapa yang palsu?
kenapa Melayu sesama Melayu berseteru?
Sultan dicerca, semua jadi murai yang tercabut ekor.
Kenapa tak menjadi harimau jadian,
siang keris dihunuskan, malam taring yang jadi tombaknya.

Aku Melayu, tiada kuasa, tiada senapang,
di luar sana ramai Melayu, ada kuasa, ada wang,
di luar sana ramai juga Melayu, tapi cuma DNA sahaja jadi pengenalan.
di luar sana ramai juga Melayu palsu, mencari mangsa menunggu peluang.

Tak perlulah kita berseteru wahai Melayu,
marilah kita bersatu berdamai,
masih banyak lagi sawah yang perlu kita bajak dan tuai,
ketepikan pangkat, parti dan fahaman,
Esok kenduri sama-sama kita bergembira,
Di masjid kita berdoa,
Insya Allah, Tuhan akan kurniakan kita ganjaran,
Hidup aman sentosa senang dan tenteram.

DADIH BUAT DIRI KU TERSENTUH


Situasi: Di Sebuah Masjid Universiti Tempatan ; Hari Jumaat

Di kaki jalan jadi medan,
hari jumaat pasti lumayan,
anak-anak membantu,
ayah khusyuk berdoa,
panas hujan tidak perlu dipedulikan,

Walau RM1 perlu dibayar,
pernah tak kita bersyukur?
ada manusia berusaha keras,
tanpa peduli perkara yang remeh,
demi keluarga, muka direndahkan.
Aku berbumbung, mereka berpanas,
mereka keletihan, aku kesegaran,
Aku yang tersentuh, mereka tetap dengan senyuman,
Dadih mereka aku telan, ekonomi islam mereka janakan,
dadih yang kecil, rupanya terselit seribu KENIKMATAN.
Zuhey : Nikmat yang paling besar ialah nikmat Iman dan Islam



SI DURJANA YANG BERPOLITIK

Ramai durjana yang sedang berpolitik,
di belakang mereka beratus lanun menunggu masa,
untuk menyamun dan merompak,
harta rakyat dibaham mereka,
harta anak yatim disonglak mereka,

Kepentingan diri dan parti jadi DASAR utama,
manis mulut bak kilang gula,
tebu ditanam di segenap pelosok desa dan kota,
akibatnya rakyat mati disebabkan RACUN gula dan tebu mereka,

Lompat kiri, lompat kanan,
tabiat kanggaro jadi amalan,
ke mana hilang otak dan akal yang Tuhan bekalkan,
takkan digadai demi suatu pangkat dan jawatan yang hina di sisi Tuhan?

Sedarlah wahai si durjana di dalam sana,
berpolitiklah kamu seperti manusia yang bermoral dan beriman,
belalah rakyat, kayakan semua,
bantu si miskin, pulihkan akhlak remaja belia,

Allah itu tuhan yang Maha Perkasa,
segala pertimbangan kamu dalam pengetahuanNYA,
jangan disebabkan kamu,
kami semua mendapat bala petaka...

KERANGKA PEMIKIRAN KITA

Siapa kita? Tengoklah pada kerangka pemikiran kita...
Kita mesti tertanya-tanya apa itu KERANGKA PEMIKIRAN?
kita juga mungkin terkial-kial untuk merumus corak kerangka pemikiran kita?
Pada masa sekarang, tidak semestinya orang timur condong untuk berfikiran secara orang timur seperti nenek moyang mereka, begitu jugalah sebaliknya orang barat

Apa yang penting sangat tentang kerangka pemikiran ini? Siapa yang peduli?
Apa yang pincang dengan barat? Apa yang mulia dengan timur?
Mungkin kita perlu sama-sama merenung sejenak, fikir sedalam-dalamnya tentang permasalahan ini..demi kebaikan masa depan generasi kita yang bakal untuk menerusi perjuang kita membela bangsa, bahasa dan agama.

zuhey : Aku pun amat khuatir tentang kerangka pemikiranku! Seperti lalang dihujung sabit, penuh lumpur bersalut racun, akar berserabut menjadi rumah bagi cacing dan semut.

INSPIRASI DUNIA

Di sini bermula tamadun dunia,
jatuh dan bangunnya suatu bangsa,
mekar bahasa dan budaya,
adalah kerna dia,
Wanita yang menjadi inspirasi dunia,
punyai anugerah istimewa dari Tuhan yang Maha Esa.

Ibu kepada makhluk bernyawa bernama manusia,
Anak kepada insan yang dilahirkan sebagai ibu bagi manusia,
darjatnya tinggi di sisi manusia,
kasihnya ditagih oleh seluruh manusia.

Adakah kita menghargai kehadirannya?
Ataupun kita sekadar seronok dengan kelahirannya,
meratapi kasihnya takkala Tuhan memanggilnya,
Ataupun sekadar tersenyum bangga takkala diijabkabul denganya?

Adapun kiranya ya Allah,
Kamu jadikanlah ibu ku, ibu dan isteri yang solehah,
jadikanlah isteri ku, isteri dan ibu yang solehah,
anak-anak perempuan ku, sebagai anak, isteri dan ibu yang solehah.