PERSEKOLAHAN PADA ZAMAN ABDULLAH MUNSYI DAN ALAT-ALAT MENGHUKUM MURID.

Secara ringkasnya, menurut Zahari A. Rashid (2008: 206-209) dalam karangan beliau yang berjudul Kenangan-Kenangan Abdullah Munsyi bahawa sistem persekolahan dahulu (1800-1840) tidak sistematik.

Pelajaran hanya tertumpu kepada belajar membaca dan menulis Al-Quran dan bahasa Arab.

Peraturan untuk memasukkan anak ke sekolah ialah ibu bapa akan datang menyembah guru dengan membawa sirih secarana, kuih muih sedulang dan membekalkan anak mereka dengan kalam resam, papan loh serta dakwat beras.

Anak akan diserahkan kepada guru dan terserahlah kepada guru untuk melakukan apa sahaja kepada anak tersebut untuk menjadi pandai. Hanya dua perkara sahaja yang tidak boleh dilakukan oleh guru, iaitu membutakan mata dan mematahkan kedua tangan kaki.
Pelbagai jenis hukuman dan alat yang digunakan untuk "menyeksa" murid-murid yang malas, jahat, ponteng sekolah, tidak menghormati ibu bapa dan berlaku biadab terhadap guru, antaranya ialah:

1) Melakukan singgang, iaitu tangan kiri memegang telinga kanan, tangan kanan memegang telinga kiri serta dikehendaki bangun dan duduk tanpa henti.

2) Kedua-dua kaki akan dipegang, ditunggangkan ke atas asap dari sabut kering, dan kadangkala dibubuh cili dalam api supaya berasa pedih.

3) Apit Cina digunakan untuk mengepit jari-jari.

4) Pinggang murid diikat dengan rantai besi dan disuruh memikul sekerat kayu berat mengelilingi sekolah.

5) Dirantai semalaman di dalam sekolah, dan lain-lain lagi.

Hukuman ini bukan terhad kepada anak orang kebanyakan sahaja, tetapi terpakai untuk anak raja dan anak bangsawan.

STRATEGI LAUTAN BIRU : PERLU DIWUJUDKAN ANTARA KPM DENGAN PDRM.

Strategi ini sebenarnya telah lama dipraktikan oleh orang-orang tua kita di kampung dalam melangsungkan "survival" kehidupan seharian mereka.


Contohnya, seorang pengusaha buah kelapa menggunakan kepakaran beruk untuk memetik buah kelapa. Dengan kaedah ini, pengusaha tersebut dapat menjimatkan tenaga dan masa dalam proses memetik buah kelapa. Beruk tersebut pula terbela dan tidak meliar mengganggu orang kampung.


Itu contoh yang mudah untuk difahami oleh umum. Dalam konteks zaman kini, strategi ini lebih kompleks serta pelaksanaannya lebih saintifik dan sistematik.Strategi ini diperkenal oleh dua orang pofesor, iaitu W. Chan Kim and Renée Mauborgne sekitar tahun 2005.


Rentetan itu, Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan National Blue Ocean Strategy (NBOS) pada tahun 2009.[Penulis tidak berhajat untuk mengulas lanjut tentang konsep dan pelaksanaan NBOS. Anda boleh menelaahnya secara mendalam di laman sesawang yang tercatat di akhir tulisan ini.]


Dalam memperkatakan tentang strategi ini dalam konteks dunia pendidikan, penulis merasakan perlu diwujudkan satu kerjasama yang erat antara KPM dengan PDRM dalam membentuk sahsiah, jati diri dan disiplin para pelajar.


Kedua-dua jabatan kerajaan ini perlu berkolaborasi bagi merangka satu pelan induk tentang kemenjadian disiplin para pelajar yang diselaras di peringkat kebangsaan. Pelan induk ini mengariskan tentang pendekatan, kaedah dan teknik yang sewajarnya digunakan untuk menangani salah laku para pelajar dan jenis hukum yang boleh dikenakan berpandukan undang-undang yang sedia ada.


Sekiranya Biro Tatanegara boleh ditubuhkan bagi menyemarakkan semangat kenegaraan dalam kalangan warganegara, maka tidak rugi andai kata pihak KPM dan PDRM menubuhkan satu unit khas untuk memberi kursus dan latihan kepada para guru disiplin dalam aspek "perundangan dan kepolisan persekolahan" bagi memantapkan tahap disiplin para pelajar.


Apa yang penting, pelan induk ini mestilah diseragamkan dan dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. Pelan induk ini juga perlu dirangka dalam jangka masa yang panjang dan sentiasa "diaudit" sepanjang masa. Alangkah moleknya jika pelan ini turut dimasukkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.


Program PLKN telah membuktikan bahawa strategi lautan biru yang dilaksanakan oleh KPT dan ATM telah membuahkan kejayaan yang cukup cemerlang dalam memupuk semangat patriotisme, perpaduan, kesukarelaan dan integriti nasional.


Semoga usaha dan kejayaan tersebut dapat dicontohi oleh pihak KPM dan PDRM dalam membangunkan generasi masa hadapan yang berilmu dan beradab.Jangan pandang remeh masalah disiplin para pelajar kerana mereka pemimpin kita di masa hadapan. "Punah mereka, binasalahlah kita."



RUJUKAN :
https://www.blueoceanstrategy.com/malaysia-nbos/

SELAMAT BERSARA TAN SRI.


Sebagai orang awam, saya mengenali beliau sebagai Mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM ke-11. Secara peribadi, saya pernah berurusan dengan beliau khususnya dengan anak-anak beliau.

Saya pernah mengajar anak beliau di rumah, setiap kali beliau pulang daripada kerja, beliau tidak akan menggunakan pintu hadapan (pintu utama) sebaliknya menggunakan pintu belakang (dapur), apabila ingin naik ke bahagian atas rumah, beliau akan meminta izin dan memohon maaf kepada saya.

Pelik tetapi benar. Itulah beliau, seorang yang menghormati tetamu dan memuliakan guru kepada anak beliau. Kelibat beliau dan anak lelakinya selalu kelihatan di Surau Al-Mustaqimah Seksyen 7 dan Masjid Seksyen 7 Shah Alam, terutamanya solat Maghrib dan solat Isyak.

Orangnya santun dan sentiasa merendah diri. Gaya hidup beliau dan keluarga cukup sederhana dan ringkas. Ketika itu (sudah memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya) beliau dan isteri hanya memakai kereta Toyota Innova dan Toyota Vios, manakala anak-anak dewasa beliau memakai kereta Proton Satria dan Proton Aeroback (kedua-duanya model lama dan kelihatan usang).

Saya masih ingat tentang satu peristiwa di mana keluarga beliau meminta saya untuk membaca doa selamat di majlis kesyukuran yang beliau anjurkan. Seusai daripada majlis tersebut, isteri beliau telah memberi satu "sampul" berupa wang sebagai sedekah, tetapi saya menolak secara baik.
Ketika saya ingin masuk ke dalam kereta, beliau sendiri datang kepada saya dan menyerahkan sampul tersebut dan berkata "terimalah sedekah ini. Sampul ini bukannya rasuah." Kata beliau sambil ketawa.

Saya terpaksa menerimanya, dan selepas kejadian tersebut saya telah menolak beberapa kali permintaan keluarganya untuk membaca doa disebabkan perasaan malu.

Dalam bidang pekerjaan, saya hanya mengenali beliau melalui pembacaan di akhbar, media sosial dan internet sahaja. Tak banyak yang saya tahu tentang cara beliau bekerja, namun begitu melalui pengamatan saya, beliau merupakan seorang yang berprinsip dan bermaruah.

Selamat bersara Tan Sri Dr. Abu Kassim bin Mohamed. Teruskan perjuangan tuan. Semoga Allah memelihara dan merahmati tuan sekeluarga di dunia dan akhirat.