PERSEKOLAHAN PADA ZAMAN ABDULLAH MUNSYI DAN ALAT-ALAT MENGHUKUM MURID.

Secara ringkasnya, menurut Zahari A. Rashid (2008: 206-209) dalam karangan beliau yang berjudul Kenangan-Kenangan Abdullah Munsyi bahawa sistem persekolahan dahulu (1800-1840) tidak sistematik.

Pelajaran hanya tertumpu kepada belajar membaca dan menulis Al-Quran dan bahasa Arab.

Peraturan untuk memasukkan anak ke sekolah ialah ibu bapa akan datang menyembah guru dengan membawa sirih secarana, kuih muih sedulang dan membekalkan anak mereka dengan kalam resam, papan loh serta dakwat beras.

Anak akan diserahkan kepada guru dan terserahlah kepada guru untuk melakukan apa sahaja kepada anak tersebut untuk menjadi pandai. Hanya dua perkara sahaja yang tidak boleh dilakukan oleh guru, iaitu membutakan mata dan mematahkan kedua tangan kaki.
Pelbagai jenis hukuman dan alat yang digunakan untuk "menyeksa" murid-murid yang malas, jahat, ponteng sekolah, tidak menghormati ibu bapa dan berlaku biadab terhadap guru, antaranya ialah:

1) Melakukan singgang, iaitu tangan kiri memegang telinga kanan, tangan kanan memegang telinga kiri serta dikehendaki bangun dan duduk tanpa henti.

2) Kedua-dua kaki akan dipegang, ditunggangkan ke atas asap dari sabut kering, dan kadangkala dibubuh cili dalam api supaya berasa pedih.

3) Apit Cina digunakan untuk mengepit jari-jari.

4) Pinggang murid diikat dengan rantai besi dan disuruh memikul sekerat kayu berat mengelilingi sekolah.

5) Dirantai semalaman di dalam sekolah, dan lain-lain lagi.

Hukuman ini bukan terhad kepada anak orang kebanyakan sahaja, tetapi terpakai untuk anak raja dan anak bangsawan.

Tiada ulasan: