SELAMAT BERSARA TAN SRI.


Sebagai orang awam, saya mengenali beliau sebagai Mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM ke-11. Secara peribadi, saya pernah berurusan dengan beliau khususnya dengan anak-anak beliau.

Saya pernah mengajar anak beliau di rumah, setiap kali beliau pulang daripada kerja, beliau tidak akan menggunakan pintu hadapan (pintu utama) sebaliknya menggunakan pintu belakang (dapur), apabila ingin naik ke bahagian atas rumah, beliau akan meminta izin dan memohon maaf kepada saya.

Pelik tetapi benar. Itulah beliau, seorang yang menghormati tetamu dan memuliakan guru kepada anak beliau. Kelibat beliau dan anak lelakinya selalu kelihatan di Surau Al-Mustaqimah Seksyen 7 dan Masjid Seksyen 7 Shah Alam, terutamanya solat Maghrib dan solat Isyak.

Orangnya santun dan sentiasa merendah diri. Gaya hidup beliau dan keluarga cukup sederhana dan ringkas. Ketika itu (sudah memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya) beliau dan isteri hanya memakai kereta Toyota Innova dan Toyota Vios, manakala anak-anak dewasa beliau memakai kereta Proton Satria dan Proton Aeroback (kedua-duanya model lama dan kelihatan usang).

Saya masih ingat tentang satu peristiwa di mana keluarga beliau meminta saya untuk membaca doa selamat di majlis kesyukuran yang beliau anjurkan. Seusai daripada majlis tersebut, isteri beliau telah memberi satu "sampul" berupa wang sebagai sedekah, tetapi saya menolak secara baik.
Ketika saya ingin masuk ke dalam kereta, beliau sendiri datang kepada saya dan menyerahkan sampul tersebut dan berkata "terimalah sedekah ini. Sampul ini bukannya rasuah." Kata beliau sambil ketawa.

Saya terpaksa menerimanya, dan selepas kejadian tersebut saya telah menolak beberapa kali permintaan keluarganya untuk membaca doa disebabkan perasaan malu.

Dalam bidang pekerjaan, saya hanya mengenali beliau melalui pembacaan di akhbar, media sosial dan internet sahaja. Tak banyak yang saya tahu tentang cara beliau bekerja, namun begitu melalui pengamatan saya, beliau merupakan seorang yang berprinsip dan bermaruah.

Selamat bersara Tan Sri Dr. Abu Kassim bin Mohamed. Teruskan perjuangan tuan. Semoga Allah memelihara dan merahmati tuan sekeluarga di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan: