TARIKH FATHANI


Pernahkah anda mendengar nama Syeikh Daud al-Fathani? Beliau merupakan salah seorang ulama tersohor di Alam Melayu.

Banyak kitab yang telah dihasilkan oleh beliau. Dianggarkan sebanyak 60 buah kitab telah dihasilkan oleh beliau dan terdapat juga kitab atau manuskrip beliau yang masih belum dicetak hingga ke hari ini.

Beliau juga merupakan pentahqiq (penyunting) Kitab Sejarah Patani (Tarikh Fathani). Kitab asal karangan Syeikh Safuiddin ini dipercayai ditulis pada akhir kurun ke-15 atau awal kurun ke-16.

Kitab yang bertema pengkisahan Sejarah Tamadun Patani ini amat penting untuk dibaca oleh semua umat Islam kerana ianya bukan sahaja memberi maklumat tentang kewujudan kerajaan dan bangsa Melayu, bahkan turut memerikan perkembangkan agama Islam di Alam Melayu pada ketika itu.

Selain dari aspek kesusasteraan, kitab ini dianggap penting kerana ia merupakan karya asli ilmuan Melayu Islam terawal yang masih wujud.

Di samping itu, kitab ini berbeza dengan kitab kesusasteraan sejarah Melayu yang lain kerana kitab ini bukanlah kitab yang berbentuk hikayat. Kitab ini bersih daripada unsur mitos dan khurafat seperti kesaktian, dewa-dewi, alam kayangan dan lain-lain.

Mengapakah kitab ini bersih daripada unsur mitos dan khurafat? Kerana disebabkan kitab ini diulas dan dimurnikan oleh seorang ulama.

Oleh sebab itu, peranan ulama dan ahli agama diperlukan dalam semua disiplin ilmu. Dakwah mereka bukan hanya di pentas atau dalam penulisan kitab agama semata-semata, bahkan mereka perlu menyelusup masuk ke dalam semua bidang supaya syiar Islam dapat dikembangkan semaksimum yang mungkin.


RUJUKAN:

Mat Rofa Ismail. 2016. Malayonesia : Kerdipan bintang Melayu di langit Melayu. Shah Alam: Grup Buku Karangakraf Sdn. Bhd

Tiada ulasan: