TUAN GURU HARUN DIN (TGHD)


Bohong jika saya katakan bahawa hati saya tidak terkesan dengan berpulangnya TGHD.

Bohong juga jika saya katakan bahawa saya tidak mahu menitip kata-kata terakhir bagi memuliakan beliau.

Nama TGHD cukup melekat di jiwa saya kerana beliau merupakan salah seorang guru yang pernah saya bertalaqqi sehingga tamat pengajian (Perubatan Islam).

Ketika itu (akhir tahun 90-an), Pengajian Perubatan Islam masih pada peringkat muda lagi, tidaklah mendapat sambutan hebat seperti sekarang.

Saya hampir berputus asa ketika mengikuti kelas beliau disebabkan beliau amat tegas, fokus dan berdisiplin dalam pengajaran.

Bacaan dan hafazan saya sering kali ditegur dan diperbaiki oleh beliau, terutamanya bacaan Surah Al-Fatihah.

Saya bukanlah seorang yang mempunyai kelebihan dalam bidang tajwid dan taranum Al-Quran berbanding dengan rakan-rakan yang lain.

Namun dengan dorongan dan motivasi daripada pembantu khas beliau, iaitu Dato' Dr. Ustaz Amran bin Kasimin, akhirnya berjaya juga saya menamatkan pengajian.

Masih terasa hangat lagi tapak tangan beliau di atas ubun-ubun saya.

Antara pesanan beliau yang masih terngiang-ngiang di telinga saya ialah:

"Dalam menjalani rawatan perubatan Islam, pengamal dan pesakit perlulah mempunyai hati yang bersih, memenuhi segala perintah-Nya dan takut untuk melanggar hukum-Nya, Insya Allah, barulah Allah akan menyembuhkan."

Mudah-mudahan segala ilmu yang TGHD sumbangkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia dapat dijadikan bekalan yang secukupnya untuk beliau bawa bertemu Allah SWT.

Semoga Allah mengampuni segala dosa arwah dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang soleh dan bertaqwa.

Kepada anak-anak didik TGHD, teruskan perjuangan kalian, berilmu dan berakhlaklah seperti beliau. Perbaikilah lompong-lompong yang ada berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.

Maafkan saya, kerana saya tidak terpilih untuk berjuang bersama kalian disebabkan ilmu dan akhlak saya belum semantap kalian.

Tiada ulasan: