Pantai Cahaya Bulan (PCB)

Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, Kelantan.
Sebut PCB, pasti semua rakyat negeri Kelantan mengenalinya.
Nama asalnya ialah Pantai Cinta Berahi, kemudiannya ditukar kepada Pantai Cahaya Bulan oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat (semoga Allah merahmati beliau) pada zaman 1990-an.
Namun begitu, menurut masyarakat setempat, nama dahulukala bagi pantai ini ialah Pantai Semut Api.
Terletak di Mukim Semut Api, jaraknya lebih kurang 10 kilometer dari Pusat Bandar Kota Bharu.
Dahulunya pantai ini cukup cantik dan bersih. Pasir pantainya gebu serta putih. Sekelilingnya dihiasi dengan pokok-pokok ru yang besar lagi rendang. Suasananya teduh dan nyaman.
Aku masih ingat ketika aku kanak-kanak, untuk berjalan kaki dari jalan raya ke persisir pantai jaraknya antara 700 meter hingga 900 meter.
Berbeza dengan sekarang, persisir pantainya sudah tiada, diganti dengan tembok batu-batu yang dijadikan penghadang daripada bedilan dan hakisan ombak.
Masih terbayang di mataku kubu-kubu Jepun yang terpacak di tengah-tengah pantai PCB. Kini kubu-kubu tersebut sudah hilang ditelan ombak.
PCB terbahagi kepada satu kepala dan dua sayap (aku punya definisi). Kepalanya terletak di pantai utama. Sayap pertama terletak di Pantai Kuda, manakala sayap kedua terletak di Muara.
Dahulunya, terdapat banyak perahu nelayan yang berlabuh dan bermukim di pantai ini, terutamanya di Pantai Kuda dan Muara.
Masih aku ingat, waktu petang merupakan waktu yang paling sibuk di pantai kerana para nelayan akan berlabuh bersama hasil tangkapan mereka. Pada ketika inilah, kelihatan kanak-kanak dan para remaja datang beramai-ramai untuk menolong menolak dan menarik perahu para nelayan naik ke pantai.
Selepas menolak dan menarik perahu-perahu tersebut, mereka akan menunggu para nelayan memunggah hasil tangkapan mereka naik ke darat, semasa proses tersebut berjalan, banyak ikan, udang dan sotong yang jatuh ke pasir atau gigi air. Inilah rezeki yang mereka tunggu, mereka akan memungutnya dengan penuh perasaan seronok dan riang untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.
Dahulunya juga, banyak kuda bermain di gigi air dan mandi di pantai ini, khususnya di Pantai Kuda. Pada setiap tahun akan diadakan acara berkuda di sana. Pelbagai jenis kuda yang boleh dilihat sewaktu acara tersebut.
Aku juga tidak ketinggalan untuk turut serta, jika bernasib baik aku dipelawa untuk menunggang dan memandikannya.
Selain itu, di pantai ini juga tempat berkumpul peminat wau dan layang-layang, pemancing ikan, penyandat sotong, pendikir barat, penjual ubat, dan lain-lain lagi.
Sebenarnya, banyak lagi cerita menarik tentang pantai ini yang boleh aku nukilkan untuk bacaan generasi yang akan datang, sama ada dari sudut budaya, makanan, masyarakat, permainan rakyat dan sebagainya, tetapi aku berhenti di sini dahulu untuk memberi ruang kepada sahabat-sahabat yang lain untuk menyambungnya. Mungkin selepas itu boleh dibukukan.











Tiada ulasan: