DUA HA' DUA H

Sewaktu menelusuri jalan pulang dari Kelantan ke Lembah Klang, corong suara kereta aku bingit dengan syarahan agama yang disampaikan oleh seorang ustaz jemputan sebuah stesen radio tempatan. Dengan kelucuan loghat kelantannya ternyata ustaz tersebut dapat menambat hati aku untuk terus layan syarahannya.

Dalam suasana memandu yang agak tegang dek kegilaan anak-anak muda yang baharu dapat kereta memotong depan dan belakang, kiri dan kanan bagaikan nyawa boleh dibeli timbang kati dikedai potong, sedikit sebanyak syarahan ustaz tersebut dapat menenangkan suasana yang tengah "sawan" tu . Apa yang aku dapat kongsikan, katanya;

Al Imam Ghazali ada berkata bahawa apabila seseorang pergi ke majlis ilmu, dia akan pulang bersama dua Ha' (H). Samada dia akan membawa Ha' yang pertama atau Ha' yang kedua.

Apakah dua Ha' tersebut?

Pertama; Hikayat, kedua; Hidayah.

Maknanya, jika seseorang pergi atau hadir ke sesebuah majlis ilmu dengan nawaitu yang salah, penuh kebendaan, maka dia hanya akan membawa pulang hikayat semata-mata. Yakni dia akan bercerita tentang kehebatan majlis tersebut, makan minum yang disediakan, gosip, kritikan dan komen terhadap keburukan dan kelemahan penganjur, penceramah dan sebagainya.

Sebaliknya, jika seseorang itu pergi atau hadir ke sesebuah majlis ilmu dengan nawaitu kerana Allah, maka dia akan pulang bersamanya membawa hidayah daripada Allah s.w.t. Tiada sebarang gosip, kritikan, dan komen yang liar, tiada sebarang adu domba, tiada sebarang cerita kehebatan kebendaan. Yang ada hanyalah ilmu yang benar, kebaikan dan manfaatnya.

Masya Allah. Kita tergolong dalam kalangan mana tu?

Tiada ulasan: