KEMAHIRAN KOMUNIKASI ANTARA PERSEORANGAN : AYAHKU ZAINAL MUHAMAD

Manusia tidak dapat dipisahkan daripada aktiviti berkomunikasi. Manusia tidak dapat hidup tanpa berkomunikasi. Komunikasi adalah suatu yang asas seperti mana keperluan kita untuk makanan, tempat tinggal dan pakaian. Begitu jugalah pentingnya komunikasi kepada kita kerana kita tidak dapat makanan atau pakaian mahupun tempat tinggal sekiranya kita tidak dapat berkomunikasi.

Atas kesedaran inilah maka wujudlah bidang-bidang ilmu yang berkaitan dengan, komunikasi, teori komunikasi dan yang bersangkutan dengannya. Perkembangan bidang komunikasi diasaskan oleh mereka-mereka yang pakar dari bidang-bidang lain seperti sosiologi, antropologi, psikologi, psikologi social, dan sainns politik yang terlebih dahulu awal bertapak.

Apakah itu Komunikasi? Komunikasi sebenarnya adalah konsep yang sukar untuk didefinisikan atau ditafsirkan. Tetapi di sini diutarakan beberapa pandangan ahli sarjana mengenai definisi komunikasi mengikut pandangan mereka masing-masing. Ruesch (1957) menyatakan bahawa komunikasi adalah suatu proses yang menghubungkan bahagian-bahagian yang terasing di dunia ini. Miller (1966) mentakfirkan komunikasi sebagai situasi di mana sumber memancarkan mesej kepada penerima dengan cara secara sedar bertujuan mempengaruhi perlakuan penerima. Bagi Gode (9159) berpendapat bahawa komunikasi merupakan proses mewujudkan persamaan di antara dua orang atau lebih sesuatu yang dimonopoli oleh seseorang atau beberapa orang. Hoben (1954) pula menyatakan komunikasi merupakan pertukaran secara verbal sesuatu idea atau pandangan. Manakala Bereslson dan Steiner (1964) berpendirian bahawa komunikasi adalah proses pemancaran maklumat.

Komunikasi antara perseorangan melibatkan interaksi antara dua orang dalam usaha untuk membentuk hubungan. Menurut Beebe, Beebe & Redmond (1999) komunikasi antara perseorangan ialah komunikasi kemanusian yang berlaku apabila seseorang berinteraksi secara serentak dengan orang lain dan saling mempengaruhi di antara satu sama lain dengan tujuan untuk mengendalikan hubungan. Manakala menurut Adler, Rosenfeld dan Towne (1999), komunikasi antara perseorangan ialah suatu proses transaksi yang berterusan, melibatkan komunikator-komunikator daripada persekitaran yang sama atau pun berbeza dan mewujudkan hubungan melalui pertukaran mesej yang kebanyakkannya dipengaruhi oleh gangguan atau halangan luaran, fisiologi dan psikologi.

Saya mempunyai seorang ayah yang bernama Zainal Bin Muhammad. Saya menganggap ayah saya adalah seorang komunikator yang cukup baik dan disegani. Beliau merupakan anak kelahiran Negeri Selangor berdarah kacukan Arab dan Minangkabau. Beliau berhijrah ke Kelantan dan bertemu jodoh dengan ibu saya Khuzaimah Bt. Abdul Ghani. Sekarang ini beliau menetap di Kelantan bersama-sama ibu dan adik-adik saya. Manakala ibu saya pula merupakan anak kelahiran kelahiran Negeri Kelantan berdarah kacukan Siam dan Bugis.

Ayah saya bekerja sebagai pegawai perhubungan dalam Angkatan Tentera Malaysia bertempat di Kem Desa Pahlawan Kelantan. Beliau masih lagi mempunyai khidmat selama 2 tahun dengan Angkatan Tentera Malaysia sebelum berpencen. Sebelum ini beliau pernah berkhidmat di beberapa buah kem iaitu Kem Udara Sungai Besi Selangor , Kem Askar Melayu Tapah dan Kem 8 Brigade Pengkalan Chepa Kelantan. Sepanjang perkhidmatanya, beliau bekerja dengan cemerlang dan telah beberapa kali di naikkan pangkat.

Beliau adalah seorang yang kuat berpegang pada ajaran agama Islam, mesra, peramah dan cukup baik hati orangnya. Beliau cukup senang untuk memberi senyuman meskipun kepada kanak-kanak Beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan. Sebagai seorang Iman Masjid, dalam seminggu beliau akan sentiasa melawat kenalannya dan ahli qariah masjidnya. Pendek kata beliau adalah seorang yang cukup disegani di kawasan kampungnya dan kampung-kumpung yang berhampiran. Ini kerana beliau mempunyai ramai kenalan dan sentiasa menjalankan hubungan yang baik terhadap semua orang yang beliau kenali.

Dalam keluarga, ayah saya banyak berkomunikasi dan berinteraksi dengan isteri dan anak-anaknya. Setiap malam selepas solat Insyak, kami sekeluarga akan berkumpul selama satu jam untuk berinteraksi antara kami di samping untuk mempelajari ilmu agama yang akan di sampaikan oleh ayah saya. Amalan ini telah pun diamalkan oleh ayah saya kira-kira umur saya lingkungan 7 tahun. Antara percakapan beliau yang pernah saya ingat sampai sekarang ialah “ Kita sebagai seorang Islam perlulah berusaha keras untuk kejayaan kita di dunia dan akhirat. Dunia ini adalah sementara, akhirat adalah kekal selamanya-lamanya. Kejayaan, kekayaan yang kita miliki di dunia adalah pinjaman daripada Allah. Ianya bersifat sementara. Tetapi sebaliknya kejayaan di akhirat adalah selama-lamanya. Ianya akan jadi milik kita kekal abadi. Oleh itu berusahalah untuk dunia ini seolah-olah kita akan hidup seribu tahun dan berusahalah untuk akhirat seolah-olah esok kita akan mati. Sentiasalah merendah tinggi, suka menolong orang, banyakkan beribadah dan menimba ilmu.”

Saya cukup senang apabila berkomunikasi dan berinteraksi dengan ayah saya. Beliau boleh dikatakan bijak dan pandai berkomunikasi. Setiap kali berkomunikasi bersama beliau, saya akan rasa selesa dan komunikasi tersebut akan berakhir dengan suasana yang harmoni. Beliau mempunyai konsep kendiri diri lahiriah, konsep kendiri diri sosial dan konsep kendiri batiniah. Secara fizikal, beliau memiliki tubuh badan yang sasa dan rupa yang kacak. Semua ini membuatkan beliau mempunyai keyakinan diri yang tinggi apabila berkomunikasi dengan orang ramai, lebih-lebih lagi beliau mempunyai senyuman manis yang boleh membuatkan orang ramai yang berkomunikasi dengannya akan tertarik dan senang bersamanya. Beliau juga memiliki bakat kepimpinan, pandai mengambil hati orang dan yang paling penting beliau begitu popular di kalangan kenalannya. Tidak hairanlah apabila bergaul dengan orang ramai, beliau mudah didekati dan mudah menyesuaikan dirinya. Pengalaman berkerja, merantau banyak tempat dan kenalan ramai ini merupakan faktor yang besar bagi membentuk konsep kendiri sosial bagi beliau.

Di samping itu, beliau merupakan tempat bagi keluarga kami dan orang ramai meminta pandangan dan mengadu masalah. Apabila kami sekeluarga atau orang ramai datang mengadu dan meminta pendapat kepada beliau, beliau sering berkata “ Bersabarlah atas apa yang berlaku. Banyakkan solat hajat dan berdoa kepada Allah mudah-mudahan Allah akan mempermudahkan dan menyelesaikan segala masalah yang kita hadapi. Tidak rugi orang yang bermesyuarat dan tidak akan menyesal orang yang beristikharah. Oleh itu marilah kita sama-sama berbincang untuk menyelesaikan masalah ini dan dirikan solat berdoa kapada Allah. Insya Allah semuanya akan selamat.” Seperkara lagi yang menarik tentang beliau ialah, beliau mempunyai nilai kendiri yang positif. Apabila ada orang memujinya, beliau akan memuji orang itu balik. Sebagai contoh, “ Abang Haji pandaila”. Maka beliau akan membalas, “Saya pandai, tuan lagi pandai daripada saya.” “ Ayah ni manisla.”, pasti beliau akan membalas, “Ayah manis, anak ayah lagi manis.”

Berdasarkan konsep kendiri dan nilai kendiri ayah saya tersebut, semestinya beliau juga mempunyai gaya komunikasi yang tersendiri. Antaranya ialah, meninggalkan impresi (impression-leaving), tenang (relaxed), mengambil perhatian (attentive), terbuka (open), dan peramah (friendly). Tidak dinafikan ayah saya memiliki gaya komunikasi tersebut terutamanya gaya meninggalkan impresi dan tenang. Contohnya beliau pernah berkata kepada saya tentang kerjaya saya, “ Kamu jadilah guru yang baik. Anggaplah anak murid kamu nanti macam anak-anak sendiri. Insya Allah, Allah akan berkati hidup kamu.” (sambil mengukir senyuman).

Sebenarnya ayah saya berbeza dengan orang lain, semasa berkomunikasi beliau boleh mempamerkan perlakuan yang berbeza-beza mengikut keadaan dan topik yang dibualkan. Iaitu perlakuan responsif dan tegas (assertife). Apabila bercakap mengenai hal keduniaan beliau akan lebih mempamerkan perlakuan responsif manakala apabila bercakap mengenai ajaran Islam, beliau akan mempamerkan perlakuan tegas (assertife).

Ayah saya juga seorang pencerap yang baik. Kebolehan ini membuatkan beliau dianggap sebagai komunikator yang berkesan. Beliau sering melakukan pencerapan aktif dan memberi respons berempati, terutamanya semasa berinteraksi bersama ahli keluarganya. Apabila saya ingin berinteraksi dan mengadu masalah kepada beliau, beliau dengan senang hatinya menerima pelawaan saya. Biasanya beliau akan memilih masa yang sesuai dan memilih tempat yang sesuai serta jauh daripada gangguan-gangguan yang boleh menyebabkan ienteraksi antara kami terbantut. Seperti contoh dalam bilik solat, masjid dan tepi laut.

Semasa berjalannya proses interaksi, beliau jarang mengemukakan idea atau nasihat kepada saya, kecuali apabila diminta oleh saya. Beliau juga jarang membuat pertanyaan. Sekalipun beliau membuat pertanyaan, beliau akan bertanyakan soalan-soalan yang ikhlas seperti contoh, “Kamu katakan isteri kamu sakit? Boleh tolong bagi tahu kepada ayah apa yang dia sakit?” Saya boleh rasakan apabila berinteraksi ataupun mengadu masalah kepada beliau, beliau akan memberi penumpuan yang penuh terhadap apa yang saya katakan dan tidak pernah sesekali beliau cuba membanding bezakan serta mengaitkan segala apa yang saya perkatakan dengan apa yang pernah beliau lalui baik pengalaman hidupnya mahupun peristiwa kehidupan beliau.

Ketika saya sedang berinteraksi bersama ayah saya, beliau juga akan menggunakan komunikasi bukan verbal untuk berinteraksi dan berkomunikasi seperti contoh mengangguk-ngangkuk kepala tanda bersetuju atau mengerut dahi untuk memberi mesej bahawa beliau tidak faham dengan kata-kata saya. Senyum tanda setuju atau gembira. Menggeleng kepala serta memuncungkan bibir tanda tidak setuju. Kadang-kadang beliau akan menggunakan bunyi “mmm”. Mengangkat bahu tanda tidak tahu dan lain-lain lagi.

Apabila bercakap, ayah saya banyak menggunakan gaya bahasa divergence dan negation. Divergence ialah penyesuaian percakapan yang menunjukkan perbezaan untuk solidarity. Contohnya, ayah saya akan bercakap bahasa Minang apabila bertemu dengan keluarga dan saudara maranya, bercakap bahasa Kelantan bersama isteri, anak-anaknya serta apabila bertemu dengan kawannya yang menetap di negeri Kelantan. Seperti contoh percakapan Kelantan, “Zuhey masuk belajar dekat UPM tu paka duit mano? Cukup ko duit nok make, baya duit keto dan rumoh? Kalu susoh-susoh tok payohla kireng duit lagi ko umi tu. Ayoh kijo lagi, bolehla wi make dan belanjo hok mano cukup ko umi dan adik-adik tu.” Negation pula ialah cara menyatakan sesuatu yang tidak disukai dengan cara terselindung atau indirect. Sering kali saya mendengar ayah menggunakan bahasa ini bila ibu saya meminta komen tentang masakannya. Sudah tentu ayah saya akan memuji ibu saya kalau masakannya sedap, dan mendiamkan diri sekiranya masakan kurang enak dan akan berkata “Oklah ni.”, “Bolehla tahan.” Kebiasaanya bahasa yang digunakan oleh ayah saya adalah bahasa yang positif dan ianya akan meninggalkan kesan pada kami semua. Kami akan meresa selesa apabila bercakap dengan beliau.

Tidak dinafikan setiap manusia dan hubungan mempunyai konflik. Begitulah saya bersama ayah saya. Biasanya saya akan cuba menangkan diri saya apabila berhadap konflik dengan ayah saya, ini mungkin disebabkan saya adalah anak yang sulung dan mahu menunjukkan kepada adik-adik saya yang lain bahawa saya juga mempunyai kuasa untuk bersuara. Biasanya apabila berlaku kejadian sebegini ayah saya akan cuba menyelesaikannya konflik ini seberapa cepat yang mungkin. Beliau tidak suka menyimpan sesuatu konflik atau masalah melanda keluarga kami dalam tempoh yang lama. Apabila berhadapan dengan situasi ini, beliau akan berkata, “Marilah kita duduk sama-sama, berbincang, tengok mana yang kurang, betulkan mana yang silap. Sekiranya ayah ada salah kamu tegur-tegurkanlah dan sekiranya kamu yang silap ayah cuba perbetulkan. Kamukan anak ayah.” Di sini jelas kepada saya bahawa setiap kali kami berhadaan dengan konflik ayah saya akan mengendalikan konflik tersebut dengan pendekatan gaya bekerjasama (cooperative). Melalui pendekatan ini ianya akan mewujudkan situasi menang-menang, pisahkan lawan daripada masalah yang berbangkit, tumpuan kepada persamaan. Ianya juga boleh mewujudkan lebih banyak pilihan untuk diselesaikan masalah di samping mengasaskan keputusan kepada kriteria yang objektif. Tidak semua konflik boleh menjejaskan hubungan di antara individu, tetapi sekiranya kita bijak dan mahir berkomunikasi dan pandai menanganinya , pasti konflik tersebut menjadi konflik yang membina boleh menguatkan hubungan di antara dua individu. Contoh yang nyata ialah antara saya dengan ayah saya, walaupun sudah banyak kali kami menghadapi konflik bersama sejak dari saya remaja hinggalah berumahtangga, tetapi kami tetap akrab malah semakin hari semakin mesra.

Kesimpulannya boleh dikatakan bahawa ayah saya dapat dikategorikan sebagai komunikatur yang hebat dan mahir. Kehebatan dan kemahiran ini beliau perolehi melalui pengalaman hidup beliau yang luas. Beliau mungkin juga mempelajari semua ini melalui pemerhatian dan pergaulan di antara ahli keluarga, kenalan serta ahli masyarakat sekelilingnya yang berlainan budaya dan bahasa seperti Minangkabau, Selangor, Kelantan, Bugis, Siam, Perak dan Rawa.

Beliau juga dianggap mentor kepada kami sekeluarga dan masyarakat sekelilingnya. Sememangnya kebolehan beliau tidak dapat diwarasi begitu sahaja tanpa diteladani dan dicontohi. Untuk mencapai ke tahap beliau, kita perlulah berusaha keras, menimba ilmu sebanyak mungkin, rajin berkomunikasi dan mesra serta sentiasa bersikap positif baik dalam berbahasa mahupun dalam fikiran kita.

BAHAN RUJUKAN

Beebe, S. A, Beebe, S.J., and M.V. (1999). Interpersonal Communication: Relating to others. Boston: Allyn and Bacon

Cragan, J F dan Shields, DC. (1998). Understanding Communication Theory Singapore. Allyn and Bacon

Griffin, E. (1997). A First Look at Communication Theory 3rd ed. New York. Mc: Graw Hill.

Ishak Abdul Hamid, Jusang Bolong (2007) KOH 3432 Kemahiran Komunikasi Antara Perseorangan. Selangor: Universiti Putra Malaysia.

Narimah Ismail. (2000) KOM 3021 Pengenalan Kepada Teori komunikasi. Selangor: Universiti Putra Malaysia

Ruesch, J (1957). Technology and Social Communication In Communication Theory and Research L. Thayer (ed). Springfield, Ill Thomas.

Tiada ulasan: