WACANA DAN PEMIKIRAN POLITIK ULAMAK MELAYU

1.0 PENDAHULUAN

1.0 Pengenalan

Alam Melayu pernah melahirkan ramai ulama yang disegani, sasterawan yang prolifik, penulis yang kreatif dan aktivis masyarakat yang dihormati. Kebanyakan mereka banyak memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada agama, negara dan juga bangsa. Mereka inilah yang sering kali mewarnai suasana politik negara menerusi wacana dan pemikiran yang dibawa oleh mereka. Mereka bukan sahaja dihormati dan diteladani, bahkan sebaliknya ada sebahagian golongan yang tidak menyenangi dengan kehadiran mereka. Namun begitu segala wacana dan pemikiran yang dibuahkan oleh mereka tetap mendapat dukungan daripada mereka yang dahagakan ilmu dan keredhaan Allah S.W.T. Antara ulamak Melayu tersebut ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain (Syeikh Ahmad Al-Fathani), Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) dan Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (Tuan Guru Nik Abd. Aziz).


2.0 ULAMAK MELAYU YANG TERSOHOR

2.1 Wan Ahmad Bin Muhammad Zain

Wan Ahmad bin Muhammad Zain atau nama penuhnya Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain merupakan salah seorang daripada ulamak Melayu yang bertanggung jawab mengembangkan syiar Islam di nusantara. Syeikh Ahmad Al-Fathani disifatkan sebagai pemikir terbesar dunia Melayu dalam semua aspek merangkumi dunia dan akhirat. Kajian dan penyelidikan mendapati beliau menguasai 47 bidang ilmu termasuk politik, ekonomi, seni, budaya dan pentadbiran. Bertepatanlah dengan gelaran yang diberikan kepada beliau sebagai seorang ulamak.
(Lihat http://ms.wikipedia.org/wiki/Wan_Ahmad_bin_Muhammad_Zain)

Beliau dilahirkan di Kampung Jambu, Negeri Jerim, Patani pada 10 April 1856 dengan nama Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain bin Wan Mustafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin, Beliau mendirikan rumah tangga dengan anak saudara Syeikh Nik Mat Kecik iaitu Siti Saudah Wan Abdullah dan dikurniakan tiga anak, Wan Ismail Qadhi, Wan Fatimah dan Wan Zainab. Wan Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia pada malam Rabu, 11 Zulhijah 1325 bersamaan 14 Januari 1908.

Pada peringkat awal, beliau dibimbing oleh bapanya sendiri. Wan Muhammad Zain al-Fatani dan kemudian, berguru dengan bapa saudaranya, Syeikh Wan Abdul Kadir Wan Mustafa.Pada usia empat tahun, berhijrah ke Makkah kerana mengikuti ibu bapanya ke sana untuk mencari ilmu agama. Justeru, beliau dibesarkan dalam budaya menuntut ilmu. Di Makkah, beliau berkesempatan bergaul dengan ramai alim ulama. Kecerdasan otaknya terserlah pada usia yang muda iaitu 12 tahun. Dari Makkah, beliau ke Baitulmaqdis untuk menyambung pelajaran dalam bidang kedoktoran dan seterusnya ke Mesir. Ketika di Baitulmaqdis dan Mesir, beliau mula mengarang kitab. Pada usia belum mencecah 30 tahun, ilmu pengetahuannya begitu tinggi hingga tiada guru yang sanggup mengambilnya sebagai anak murid. Kepakarannya dalam bahasa Arab menarik minat Raja Makkah ketika lalu beliau dilantik sebagai ahli bahasa kerajaan.

Syeikh Ahmad al-Fathani mempunyai pengaruh besar dalam penggalian dan penyebaran pelbagai disiplin ilmu di Nusantara, khususnya ‘Alam Melayu’. Hal itu tidak menghairankan kerana beliau suatu ketika dulu pernah berada pada tahap nombor dua penting di Makkah selepas ulama Arab. Selain itu juga, Syeikh Ahmad al-Fathani mempunyai kehebatan tersendiri. Contohnya, beliau pernah dipilih oleh ulama Makkah untuk menjadi orang tengah dalam pertikaian khilafiah antara Syeikh Muhamad Abduh dengan Syeikh Yusuf Nabhani di Beirut. Syeikh Ahmad al-Fathani hidup dalam masa peralihan antara zaman klasik dengan moden. Beliau mengajar belajar dan bergaul dengan ulama tradisional dan sempat pula hidup dalam awal dunia moden, bergaul dan berdialog atau bertukar-tukar fikiran dengan tokoh reformasi/tajdid dunia Islam.

Syeikh Ahmad al-Fathani menguasai 47 bidang ilmu pengetahuan. Katanya, antaranya adalah pemikiran dan penulisan mengenai Islam serta Melayu; penerbitan kitab dan percetakan serta politik dan pentadbiran. Beliau juga terbabit dalam pemikiran ekonomi, sains, teknologi, pendidikan, perubatan, kemasyarakatan, sejarah, geografi, sosiologi, ilmu khat, ilustrasi dan pertanian. Perjuangan dan keilmuan serta pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani bersifat kepentingan umat Islam sejagat, terutama dunia Melayu.

2.1 Hamka Pemikir Dan Penulis Yang Berjasa

Hamka atau nama penuhnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah dilahirkan pada 17 Februari 1908 bersamaan 14 Muharram 1326 Hijrah di Sungai Batang, di pinggir Tasik Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Ayahnya Haji Rasul amat dikenali sebagai seorang pemimpin Kaum Muda di tanah Minangkabau. Pada tahun 1918 ketika berusia sepuluh tahun ayahnya telah mendirikan sebuah pesantren di Padang Panjang yang diberi nama Sumatera Thawalib. Ketika berusia 21 tahun setelah kembali dari Makkah, hamka telah berkahwin dengan Siti Raham binti Endah Sutan dan dikurniakan dengan sepuluh orang anak.

Hamka mendapat pendidikan awal daripada ayahnya. Walaupun mendapat pendidikan yang agak asas, namun beliau berjaya menguasai bahasa Melayu dan bahasa Arab dengan baik. Sepanjang hayatnya pembelajaran yang diterima oleh Hamka lebih merupakan tidak formal, termasuklah melalui pengalamannya melawat seluruh dunia. Beliau lebih banyak belajar sendiri dan melakukan penyelidikan meliputi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah, kesusasteraan, sejarah, sosiologi dan politik, sama ada Islam ataupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-?Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Freud, Toynbee, Jean Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Hamka juga rajin membaca dan bertukar-tukar fikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Chokroaminoto, Raden Mas Surjoparonoto, Haji Fakrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi.

Kerjaya Hamka bermula sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun 1929. Beliau kemudian dilantik sebagai pensyarah di Universitas Islam, Jakarta dan Universitas Muhammadiyah, Padang Panjang, dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Setelah itu, beliau dilantik sebagai Rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor Universitas Mustopo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun 1960, beliau dilantik sebagai Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi meletakkan jawatan apabila Sukarno memberi kata dua sama ada menjadi pegawai kerajaan atau bergiat dalam politik Majlis Syura Muslim Indonesia (Masyumi).

2.3 Tuan Guru Nik Abdul Aziz Ulamak Dan Menteri Besar

Nama beliau sebenar ialah Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Dilahirkan pada tahun1931 diKampung Pulau Melaka,Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal di Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut. Manakala pendidikan tinggi beliau bermula di Universiti Deoband India kemudian di Universiti Lahore Pakistan dan Universiti Al Azhar. Bidang pengajian khusus beliau ialah Sarjana Muda bahasa Arab danSarjana Perundangan Islam. (lihat juga http://www.blogtokguru.com/ ).

Ayah beliau Haji Nik Mat bin Raja Banjar adalah daripada keturunan Raja Jembal yang memerintah negeri Kelantan dalam kurun ke- 16. Keturunan Raja Jembal ini masih ramai lagi di negeri Kelantan, terutama sekali di Kedai Lalat, Pulau Melaka dan beberapa buah kampung lain di dalam jajahan Kota Baharu. Haji Nik Mat mempunyai empat orang isteri dan dikurniakan 27 orang cahaya mata. Sembilan daripadanya telah meninggal dunia dan yang masih hidup seramai 18 orang. Antara yang masih hidup itu ialah sepuluh lelaki dan lapan orang perempuan. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ialah anak yang kedua daripada isterinya yang pertama iaitu Cik Aminah binti Majid.

Tuan Guru mula menjadi ahli PAS pada tahun 1967, kini beliau adalah Mursyidul Am bagi parti tersebut. Semenjak tahun 1990, beliau telah memegang tampuk kepimpinan sebagai Menteri Besar Kelantan. Beliau juga adalah seorang ADUN bagi kawasan N.06 Chempaka, Kelantan. Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau adalah seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan. Maka tidak hairanlah beliau lebih mesra dengan gelaran 'Tuan Guru' di kalangan rakyat Malaysia. Malah sehingga kini, beliau masih lagi aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Pada hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam kepada Solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya.
( lihat juga http://ms.wikipedia.org/wiki/Nik_Abdul_Aziz_Bin_Nik_Mat)

Dalam sejarah perlantikan Menteri Besar pula belum ada seorang tok guru yang berserban dan berjubah dilantik sebagai Menteri Besar, selain daripada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Ada kalangan yang berpendapat bahawa sekiranya Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak memimpin PAS Kelantan, Angkatan Perpaduan Ummah tidak akan mencapai kemenangan mutlak sebagaimana yang dicapai dalam pilihanraya umum tahun 1990 itu. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bukan sahaja sebagai seorang Menteri Besar dan wakil rakyat yang luar biasa, malah beliau ialah seorang ulama dan pendakwah yang unik. Pendek kata, kepimpinan dan pengaruh peribadi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menjadi faktor utama dalam percaturan politik di negeri Kelantan pada masa kini.


3.0 WACANA DAN PEMIKIRAN SENUSANTARA

3.1 Al-Fathaniyah Wadah Pemikiran dan Perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani

Menurut Mohammad Redzuan Othman (2008) Syeikh Ahmad al-Fathani mempunyai prinsip yang jitu dalam pemikiran politiknya. Pemikiran politik Sheikh Ahmad al-Fathani dapat dilihat dalam beberapa kitab beliau, antaranya Hadiqah al-Azhar, Faridah Faraid, Jumanah At-Tauhid, dan Al-Fatawa Al-Fathaniyah. Syeikh Ahmad al-Fathani anti penjajah dan menyanjung tinggi peranan orang Turki Uthmaniyah sebagai pemimpin umat Islam. Pada awal abad ke-20 apabila lnggeris cuba meluaskan pengaruhnya di Kelantan, usaha tersebut tidak disenangi oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Ketika perundingan sedang dijalankan bagi memindahkan pentadbiran negeri daripada pemerintahan Siam kepada lnggeris, pada waktu yang sama terdapat usaha untuk memindahkan pemerintahannya kepada pemerintahan Turki Uthmaniyah. Inisiatif ini telah diambil oleh Syeikh Ahmad al-Fathani yang telah memainkan peranan sebagai orang tengah. Syeikh Ahmad al-Fathani berpendapat bahawa hanya orang Turki Uthmaniyah sahaja yang mampu menyelamatkan negeri Kelantan daripada dijajah dan hanya kuasa Islam ini sahaja yang dapat menjamin kepentingan Islam di negeri tersebut.

Syeikh Ahmad al-Fathani juga seorang ahli fikir yang hebat dari segi politik, pemerintahan dan pentadbiran negara. Pemikirannya dalam bidang ini terserlah melalui harapan dan wasiat yang ditulisnya untuk raja Melayu kerajaan Patani, Kelantan, Terengganu, Johor dan Deli. Antara kandungannya adalah meminta raja mengukuhkan perbendaharaan ilmu, pertandingan kepandaian dan membuka mata masyarakat untuk memandang kepada kebijaksanaan. Tujuannya supaya bangsa Melayu menjadi bangsa paling megah dalam dunia. Begitu juga paling tinggi nama antara semua anak Adam. Ia juga untuk menjadikan ulama Melayu mampu mengatasi ulama bangsa lain di dunia serta Islam menjadi agama yang semakin nyata dan mampu mengalahkan semua agama lain.

Menurut Wan Mohd. Shaghir Abdullah (2008) Sheikh Ahmad al-Fathani mengasaskan sebuah persatuan kaum cendekiawan Melayu di Mekah dengan nama Jam’iyah al-Fathaniyyah. Hampir semua ulama yang berasal dari dunia Melayu yang berada di Mekah pada zaman itu menjadi anggota persatuan itu. Sheikh Ahmad al-Fathani sendiri selaku ketuanya. Pada mulanya persatuan itu bergerak serentak, iaitu tidak saja mencetak kitab-kitab malah menyebarkannya ke dunia Melayu dan seterusnya ke tempat-tempat lain.

Tujuan persatuan itu juga untuk memberi kesedaran kepada putera-putera dunia Melayu agar berupaya membebaskan diri daripada cengkaman pihak penjajah. Sheikh Ahmad al-Fathani berasa insaf dan sedih kerana Patani dijajah oleh Siam yang beragama Buddha. Semenanjung Tanah Melayu dijajah oleh Inggeris yang beragama Kristian dan Hindia- Belanda (Indonesia) dijajah oleh Holanda (Belanda) juga beragama Kristian. Jika disemak catatan sejarah, maka dipercayai bahawa Al-Fathaniyah yang diasaskan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah itu adalah merupakan organisasi politik Melayu yang pertama sekali ditubuhkan (1290H/1873M). Organisasi ini jauh mendahului Syarikat Islam (1912 M) yang ditubuhkan oleh H.O.S. Tjokroaminoto di Jawa.

Setelah murid-murid beliau pulang ke tanah air, maka mereka mengasaskan berbagai-bagai organisasi di dunia Melayu, antaranya pada peringkat awal yang dapat disebutkan di sini seperti di Riau-Lingga berdiri Jam’iyah ar-Rusydiyah yang kemudian lebih popular dengan Jam’iyah Rusydiyah atau Rusydiah Kelab dan Jam’iyah al-Khairiyah. Tokoh politik yang menjadi murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang berasal dari Riau-Lingga ialah Raja Haji Ali Kelana dan Raja Haji Utsman.

Sheikh Ahmad al-Fathani telah membawa beberapa orang muridnya, di antaranya Raja Haji Ali Kelana Riau, berulang kali menemui Sultan Turki, Sultan Abdul Hamid ats-Tsani, kerana meminta bantuan untuk melepaskan dunia Melayu daripada tangan penjajahan bangsa asing. Raja Haji Ali Kelana Riau sekurang-kurangnya dua kali mengikut gurunya Sheikh Ahmad al-Fathani ke Turki, kali yang pertama dalam tahun 1301 H/1883 M dan yang kedua dalam tahun 1322 H/1904 M.

Pengetahuan dan pengalaman Sheikh Ahmad al-Fathani ketika membuat hubungan politik dengan negara luar menjadi sumber inspirasi kepada salah seorang muridnya iaitu Raja Haji Utsman/Raja Khalid Hitam bin Raja Hasan Riau. Beliau pergi ke Jepun sebanyak dua kali, iaitu pada 1912 dan 1913. Tujuannya meminta bantuan dari Kerajaan Jepun mengusir penjajah Belanda dan Inggeris dari bumi Melayu. Keberangkatannya ke Jepun adalah setelah mendapat persetujuan Raja Haji Ali Kelana dan beberapa kerabat Diraja Riau-Lingga dan Johor lainnya. Raja Khalid Hitam meninggal dunia di Jepun pada 11 Mac 1914.

Berdasarkan cerita ini dapat disimpulkan bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani turut terlibat dalam politik dunia Melayu pada peringkat awal hingga sampai ke pintu gerbang kemerdekaan. Beberapa pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani tentang politik adalah cukup jelas seperti yang telah dibicarakan. Untuk lebih lengkap lagi dapat dirujuk melalui surat-surat antara Sheikh Ahmad al-Fathani dengan sultan-sultan di dunia Melayu. Di antaranya termasuk surat beliau kepada Sultan Zainal Abidin III, Terengganu dan Sultan Manshur, Kelantan. Selain surat yang tersebut, banyak lagi surat Sheikh Ahmad al-Fathani yang membicarakan isu politik yang ditujukan kepada murid-muridnya.

Di antara surat beliau yang membicarakan isu politik termasuk beberapa pucuk yang ditujukan kepada Nik Mahmud bin Ismail Kelantan, yang ketika itu masih belajar di Mesir.

Surat dari raja-raja Melayu yang ditujukan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani juga banyak, termasuklah surat daripada Raja Muda Jambu bertarikh 30 Jamadilawal 1316 H/1898 M. Surat tersebut adalah sebagai bukti bahawa Raja Jambu termasuk salah seorang yang anti penjajah Siam-Buddha.

Kata Raja Jambu, dalam surat tersebut, “Maka sangatlah bertambah- tambah harap sahaya mi[n]ta Tuan tolong mendoakan bagi sahaya wal ‘iyal, mi[n]ta Tuhan li[m]pahkan kebajikan dunia dan akhirat dan lepaskan sekalian kekeruhan dan dijauhkan sekalian bala’-waba’ dan kesusahan kuffar Siam, sekarang ia masuk duduk memerintah di dalam Jerim pula. Maka jadi dua raja sangatlah kesusahan dan kepicikannya. Mi[n]ta Tuhan pindahkan dia dengan segeranya ...”

Daripada surat yang tersebut dan surat-surat raja-raja Melayu yang ditujukan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, dapat dirumuskan bahawa beliau menjadi rujukan pelbagai persoalan termasuklah politik bagi sultan-sultan di dunia Melayu.


3.2 Karya Sejarah Ummat Islam Melayu Memperkasakan bangsa Melayu

Hamka dipilih sebagai seorang ulamak yang telah banyak berjasa kepada dunia alam Melayu. Banyak suri tauladan yang mesti dipetik hikmahnya bagi generasi muda Islam kini. Beliau telah meninggalkan khazanah ilmu yang berupa karya buku sebanyak 118 buah buku. Suatu prestasi luar biasa yang jarang dicapai bahkan oleh seorang professor di universiti sekalipun. Hamka merupakan seorang pemikir Islam yang menyeru ke arah kemajuan dan kecemerlangan bangsa
Berikut merupakan sebahgian daripada karya-karya beliau: (lihat juga: http://ms.wikipedia.org/wiki/Hamka)

1. Khatibul Ummah, Jilid 1-3. Ditulis dalam huruf Arab.
2. Pembela Islam (Tarikh Saidina Abu Bakar Shiddiq),1929.
3. Ringkasan tarikh Ummat Islam (1929).
4. Kepentingan melakukan tabligh (1929).
5. Arkanul Islam (1932) di Makassar.
6. Laila Majnun (1932) Balai Pustaka.
7. Majalah 'Tentera' (4 nombor) 1932, di Makassar.
8. Majalah Al-Mahdi (9 nombor) 1932 di Makassar.
9. Di Dalam Lembah Kehidupan 1939, Pedoman Masyarakat, Balai Pustaka.
10. Tuan Direktur 1939.
11. Keadilan Ilahy 1939.
12. Tasawuf Moden 1939.
13. Falsafah Hidup 1939.
14. Lembaga Hidup 1940.
15. Lembaga Budi 1940.
16. Majalah 'SEMANGAT ISLAM' (Zaman Jepun 1943).
17. Majalah 'MENARA' (Terbit di Padang Panjang), sesudah revolusi 1946.
18. Negara Islam (1946).
19. Islam dan Demokrasi,1946.
20. Revolusi Fikiran,1946.
21. Revolusi Agama,1946.
22. Dibantingkan ombak masyarakat,1946.
23. Didalam Lembah cita-cita,1946.
24. Pidato Pembelaan Peristiwa Tiga Maret,1947.
25. Mandi Cahaya di Tanah Suci. 1950.
26. Sejarah Ummat Islam Jilid 1,ditulis tahun 1938 hingga 1950.
27. Sejarah Ummat Islam Jilid 2.
28. Sejarah Ummat Islam Jilid 3.
29. Sejarah Ummat Islam Jilid 4.
30. Pedoman Mubaligh Islam,Cetakan 1 1937 ; Cetakan ke 2 tahun 1950.
31. Pribadi,1950.
32. Agama dan perempuan,1939.
33. Muhammadiyah melalui 3 zaman,1946,di Padang Panjang.
34. Perkembangan Tasawuf dari abad ke abad,1952.
35. Pengaruh ajaran Muhammad Abduh di Indonesia (Pidato di Cairo 1958), utk Doktor Honoris Causa.
36. Islam dan Kebatinan,1972;Bulan Bintang.
37. Fakta dan Khayal Tuanku Rao,1970.
38. Ekspansi Ideologi (Alghazwul Fikri),1963 ,Bulan Bintang.
39. Hak Asasi Manusia dipandang dari segi Islam 1968.
40. Falsafah Ideologi Islam 1950(sekembali dr Mekkah).
41. Keadilan Sosial dalam Islam 1950 (sekembali dr Mekkah).
42. Cita-cita kenegaraan dalam ajaran Islam (Kuliah umum) di Universiti Keristan 1970.
43. Studi Islam 1973,diterbitkan oleh Panji Masyarakat.
44. Himpunan Khutbah-khutbah.
45. Doa-doa Rasulullah S.A.W,1974.
46. Sejarah Islam di Sumatera.
47. Muhammadiyah di Minangkabau 1975,(Menyambut Kongres Muhammadiyah di Padang).
48. Pandangan Hidup Muslim,1960.
49. Tafsir Al-Azhar Juzu' 1-30, ditulis pada masa beliau dipenjara oleh Sukarno.

Karya sejarah terbesar yang dihasilkan oleh Hamka ialah Sejarah Ummat Islam. Bagi menghasilkan buku ini Hamka telah mengambil masa selama 22 tahun dari tahun 1939 hingga tahun 1961 untuk membuat kajian dan menulisnya buku ini. Karya ini membicarakan sejarah perkembangan umat Islam mulai dari zaman jahiliyah dan memberi penelitian menyeluruh dan berliku. Bermula dari zaman pra-Islam, terus ke perutusan Nabi Muhammad, Khulafaur Rasyidin, pemerintahan Bani Umayah dan Abbasiyah, kerajaan Islam di Sepanyol, Afrika, Mesir, Syam dan Semenanjung Tanah Arab, penaklukan Monggol dan perkembangan di Asia.

Menurut Mohammad Redzuan Othman lagi (2008) menerusi kertas kerja beliau yang bertajuk “Pemerkasaan Islam dalam Masyarakat Melayu Melalui Teori Pengislaman Mengikut Pemikiran Hamka,” dalam tulisan Sejarah Umat Islam ini, beliau menyanggah pandangan yang diberikan oleh sarjana dan orientalis Barat kerana mereka menolak teori yang mengatakan bahawa Islam yang disebarkan ke Alam Melayu dibawa langsung dari Semenanjung Tanah Arab, Sebaliknya, fakta yang seolah-olah diterima secara mutlak mengatakan bahawa Islam yang disebarkan ke Alam Melayu dibawa dari benua kecil India. Antara sarjana barat yang mengatakan bahawa Islam yang berasal dari India ialah J.P. Moquette . Beliau merupakan sarjana dari Belanda yang mana hujahnya dengan merujuk kepada gaya batu nisan yang ditemui di Pasai pada tahun 1428 (17 Zulhijjah 831 H) yang didapati sama seperti gaya batu nesan yang ditemui di makam Maulana Malik Ibrahim (m. 1419) di Grisik. Berdasarkan penemuan ini Moquette membuat kesimpulan bahawa batu nesan yang ditemui di kedua-dua tempat ini, iaitu di Pasai dan di Grisik adalah sama dengan batu nisan yang ditemui di Cambay dan di Gujerat.

Dengan menjadikan penemuan ini sebagai bukti, beberapa orang sarjana yang terkemudian yang mengkaji tentang proses pengislaman orang Melayu seperti R.A. Kern, B. Schrieke, G.H. Bousquet, B.H.M. Vlekke, J. Gonda, T.W. Arnold, R.O Winstedt, Brian Harrison dan lain-lain juga membuat kesimpulan bahawa Islam diperkenalkan ke Alam Melayu adalah berasal dari Benua Kecil India. Penekanan yang mereka berikan kepada teori ini juga disokong oleh hakikat bahawa pelabuhan-pelabuhan di Gujerat merupakan bandar pelabuhan yang menjadi pusat kepada pembuatan kapal. Menjelang abad ke-15 pedagang-pedagang di sini yang ramai terdiri daripada mereka yang beragama Islam sudah agak biasa dengan orang Melayu melalui hubungan dagangan dengan pelabuhan-pelabuhan di Alam Melayu.

Teori yang dikemukakan yang mengatakan bahawa Islam yang disebarkan ke Alam Melayu berasal dari India, mendorong orientalis yang lain untuk menerima teori yang sama, dan malahan menambah dengan hujah-hujah-hujah lain. Antara orientalis penting yang berpegang kepada teori ini termasuklah seorang sarjana Belanda yang boleh berbahasa Arab dan mengkaji tentang Islam di Indonesia, iaitu Snouck Hurgronje.Sebagai hujah lanjut Hurgronje bukan setakat menerima pendapat bahawa Islam yang diperkenalkan ke Alam Melayu dibawa dari benua kecil India, dan malahan menambah dengan berpendapat bahawa Islam yang dibawa itu secara khusus datangnya dari India Selatan.

Seorang lagi sarjana Belanda iaitu G.E. Marrison yang mengkaji tentang pengenalan Islam ke Samudera-Pasai, juga menyimpulkan bahawa Islam yang diperkenalkan di Alam Melayu adalah berasal dari India. Pandangan yang beliau berikan ini bersandarkan kepada hakikat wujudnya hubungan yang erat antara rantau ini dengan India sejak zaman pra Islam lagi. Kajiannya tentang Hikayat Raja-Raja Pasai meyakinkan Marrison bahawa Islam di rantau ini dibawa dari India berdasarkan pewarnaan latar belakang India Selatan yang kuat di Pasai, sebagaimana yang diceritakan oleh hikayat tersebut.

Kenneth Hall seorang sejarawan Barat juga membuat kesimpulan yang sama, iaitu agama Islam yang diperkenalkan di rantau ini adalah di bawa dari India Selatan. Seorang lagi sejarawan Barat, iaitu A.H. Hill juga menerima teori bahawa Islam yang dibawa ke Alam Melayu ini berasal dari India, bukan dibawa secara langsung dari Semenanjung Tanah Arab. Beliau malahan turut mempercayai bahawa kedua-dua bahagian India, iaitu India Utara dan India Selatan telah memainkan peranan penting dalam proses pengislaman orang Melayu. Begitu juga dengan T.W. Arnold yang mengkaji tentang penyebaran ajaran Islam, termasuklah ke Alam Melayu turut berpendapat bahawa agama Islam yang diperkenalkan di rantau ini dibawa dari India Selatan, walaupun beliau tidak menolak sama sekali pendapat yang mengaitkan peranan dakwah yang dimainkan oleh orang Arab.

R.O Winstedt pula yang banyak mengkaji tentang sejarah dan kebudayaan Melayu juga cenderung menerima teori peranan pendakwah yang berasal dari Benua Kecil India dalam proses pengislaman orang Melayu. Walaupun dalam tulisannya Winstedt tidak menolak peranan penting yang dimainkan oleh orang Arab dalam proses pengislaman orang Melayu yang sebahagiannya disumbangkan melalui proses perkahwinan dengan wanita tempatan, namun beliau tidak yakin bahawa orang Arab mempunyai pengaruh yang besar dalam proses tersebut. Pada pendapat beliau, peranan penting yang dimainkan oleh orang Arab hanyalah dalam mempercepatkan proses ini dan hanya berlaku selepas penggunaan kapal asap. Orang Arab yang memainkan peranan ini pula datangnya dari Hadhramaut.

Menurut Mohammad Redzuan Othman lagi (2008) bagi Hamka, beliau dengan tegasnya berpendapat bahawa Islam yang disebarkan ke Alam Melayu dibawa langsung dari Semenanjung Tanah Arab, ini kerana menurut beliau bahawa terdapat bukti yang kukuh bahawa Islam yang dibawa ke rantau ini datang terus dari Semenanjung Tanah Arab. Peranan menyebarkan Islam ini dimainkan oleh orang Arab yang bergelar Shaykh, Sayyid atau Waliullah. Dengan merujuk kepada karya sastera Melayu tradisional seperti Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu, Hamka dengan jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh orang Arab dalam proses pengislaman orang Melayu. Dengan merujuk kepada Hikayat Raja-Raja Pasai, Hamka menulis tentang kisah bagaimana pengasas kerajaan Pasai, iaitu Merah Silu bermimpi bertemu dengan Rasulullah dan ketibaan Shaykh Ismail di pelabuhan yang dihantar oleh pemerintah Makkah bagi menyebarkan agama Islam kepada penduduknya. Turut dinyatakan bahawa dalam perjalanannya ke Samudera-Pasai Shaykh Ismail telah singgah di Mu’tabar (Malabar) dan bertemu dengan Sultan Muhammad yang berketurunan Saidina Abu Bakar.

Peranan yang telah dimainkan oleh dalam pengislaman Sultan Melaka juga dirujuk oleh Hamka dalam peristiwa kedatangan Sayyid Abdul Aziz ke pelabuhan Melaka. Meskipun Hamka tidak menyebut sumber tentang peristiwa tersebut, sebenarnya beliau merujuk kepada satu peristiwa dalam Sejarah Melayu. Dalam peristiwa ini sultan Melaka, iaitu Sultan Muhammad Shah, dikatakan bermimpi bertemu dengan Rasulullah, mengajarnya syahadah dan memintanya menjemput pada keesokan harinya di pelabuhan Sayyid Abdul Aziz, iaitu seorang pendakwah Arab yang datang dari Jeddah.

Dalam peristiwa pengislaman sultan Kedah pula, Hamka merujuk Hikayat Merong Mahawangsa yang menceritakan tentang seorang pendakwah Arab bernama Shaykh Abdullah al-Yamani yang dikatakan datang langsung dari Semenanjung Tanah Arab. Beliau telah menukarkan agama sultan Kedah kepada Islam dan seterusnya dikenali sebagai Sultan Muzaffar Shah. Kisah-kisah lain yang dipaparkan oleh Hamka dengan merujuk kepada karya Melayu tradisional, termasuklah peristiwa pengislaman yang berlaku di Aceh. Menurut sumber ini Islam telah diperkenalkan di kawasan tersebut pada sekitar tahun 1112 M oleh seorang pendakwah Arab bernama Shaykh Abdullah Arif. Salah seorang daripada pengikutnya iaitu Shaykh Burhanuddin, kemudiannya meneruskan misi dakwah Shaykh Arif jauh sehingga ke Priaman di pantai Sumatera Barat.



3.2 Hukum Hudud

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sering menekankan soal mendaulatkan Islam dan hukum Allah dalam kuliah, ceramah dan juga dalam pentadbiran beliau di negeri Kelantan. Maka tidak hairanlah soal yang paling utama dan mencabar yang dihadapi oleh beliau ialah soal melaksanakan hukum Hudud di negeri Kelantan.

Di negara ini, soal perlaksanaan hukum Hudud belum pernah dibincangkan dengan sebegitu serius sebelum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz membangkitkannya walaupun PAS di bawah tiga orang Menteri Besar telah menjalankan pemerintahan di Kelantan selama 18 tahun sebelum dijatuhkan oleh Barisan Nasional pada tahun 1978. Hanya apabila seorang Menteri Besar dari kalangan ulama dilantik sebagai Menteri Besar, maka barulah perlaksanaan hukum Hudud ini dibincang secara serius sekali. Hakikat inilah yang menjadikan perlaksanaan hukum Hudud menjadi satu perkara yang amat menarik ketika Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz memimpin kerajaan Kelantan. Ekoran daripada azam dan cita-cita kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah yang diterajui oleh PAS di Kelantan hendak melaksanakan hukum Hudud itu maka ramai intelek Islam termasuk pakar undang-undang Islam di Universiti Islam Antarabangsa, Tan Sri Professor Dr. Ahmad Ibrahim, telah memberi pandangan dan tafsiran tentang hukum Hudud itu. Masyarakat Islam dan bukan Islam telah mendapat gambaran yang jelas tentang kedudukan hukum Hudud itu melalui tulisan para intelek islam yang disiarkan oleh akhbar-akhbar tempatan.

Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah S.W.T di dalam Al-Quran dan Hadis. Hukuman hudud ini adalah hak Allah S.W.T yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini. Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T dan RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim.
( lihat juga http://ms.wikipedia.org/wiki/Hudud#cite_note-0)

Menurut Jabatan Mufti Negeri Melaka, hukuman hudud, qisas, diyat dan ta`zir diperuntukkan dalam qanun jinayah syar`iyyah adalah bertujuan untuk menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk di bawahnya lima perkara:
(lihat juga http://www.al-azim.com/masjid/infoislam/jinayat/tujuan.htm)

1. Menjaga agama, iaitu menjaga aqidah orang-orang Islam supaya tidak terpesong dari aqidah yang sebenar dan tidak menjadi murtad. Orang yang murtad akan disuruh bertaubat terlebih dahulu dan sekiranya dia enggan bertaubat maka hukuman bunuh akan dikenakan ke atas mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka bunuhlah dia." (Riwayat Bukhari)

2. Menjaga nyawa, iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuklah menjaga anggota tubuh badan seseorang dari dicederakan atu dirosakkan. Sesiapa yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh badan mereka itu dengan sengaja wajib dijatuhkan hukuman qisas atau diyat sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertaqwa." (Surah Al-Baqarah, 2:179)

3. Menjaga akal fikiran, iaitu memelihara akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan minum arak atau minuman-minuman yang memabukkan. Mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukuman sebat tidak lebih dari lapan puluh kali sebat sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Saiyidina Ali di dalam sebuah hadith yang bermaksud:

"Rasulullah s.a.w. telah menyebat orang yang minum arak sebanyak empat puluh kali sebat, dan Saiyidina Abu Bakar telah menyebat empat puluh kali sebat juga, dan Saiyidina Umar menyebat sebanyak lapan puluh kali.
4. Menjaga keturunan, iaitu memelihara manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, perwalian dan pewarisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak. Orang yang melakukan perzinaan wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya yang diriwayatkan daripada `Ubadah bin As-Somit r.a. yang bermaksud:

"Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah telah memberi jalan untuk mereka. Perawan dengan jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda dengan janda yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat dan direjam." (Riwayat Muslim dan Abu Daud)

5. Menjaga harta benda, iaitu memelihara harta benda manusia dari dicuri dan dirompak dengan menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak. Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu dilakukan sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan orang lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah Al-Ma'idah: 38)

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:

"Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan ) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas sahaja, atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab siksa yang amat besar." (Surah Al-Ma'idah: 33)

Pendirian Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tentang pelaksanaan hukum hudud amat kental sekali. Walaupun perbagai kritikan dan tomahan yang dilemparkan ke atas beliau oleh sebilangan masayarakat dan juga tokoh politik, beliau tetap bertahan dan berpegang teguh dengan pendirian beliau. Beliau pernah berkata bahawa pihaknya sedia menunggu hingga semua pihak sedia terima hudud dan qisas walaupun terpaksa mengambil masa 30 tahun lagi. PAS akan terus memberi penerangan kepada semua pihak terutama bukan Islam dalam usaha untuk mencapai hasrat mereka.
Katanya lagi:
"Kita tidak payah tekan atau paksa untuk orang ramai terima undang-undang Allah, 20 atau 30 tahun lagi orang terima pun tidak apa. Hudud ini benda besar dan ia makan masa lama untuk dilaksanakan. Dulunya bila Pas sebut politik Islam, orang tidak boleh terima. Mereka kata mana ada politik Islam tapi bila kami memerintah atas Islam orang boleh terima begitu juga dengan hudud.” (Azran Fitri Rahim, 2008)
Walaupun isu pelaksanaan hukum Hudud ini telah lama diperbahaskan baik dalam kalangan ahli politik, ahli cerdik pandai, alim ulamak dan juga masyarakat awam, isu ini tidak pernah sekali pun mendapat layanan yang adil daripada pihak media. Kelihatan sebahagian besar pihak media di Malaysia menyokong segala kenyataan yang dikeluar oleh pihak-pihak yang menentang pelaksanaan hukum Hudud ini. Malah mereka (pihak media) seolah-olah cuba mengelirukan segala kebenaran berhubung kewajiban melaksanakan hukum hudud dan kebaikan melaksanakannya. Maka melihat kepada senario ini, Pihak Persatuan Ulama Malaysia (PUM) melalui Presidennya iaitu Abdul Ghani Shamsudin telah menyeru media perdana yang saban hari menghentam, memburukkan dan menfitnah golongan tertentu agar menghentikannya segera demi mengembalikan semula keharmonian, kerasionalan, keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat.

Kata beliau, “dalam hubungan menafsirkan ayat-ayat Allah, masyarakat dan pemimpin Umno khasnya, perlu menghormati pandangan alim ulama rabbani yang memperjuangkan Islam dalam semua aspek termasuk politik tanpa banyak memikirkan kepentingan diri. Ilmuan agama yang berijazah dan ikhlas adalah berautoriti untuk memahamkan tafsiran al-Quran, istilah agama dan nama-nama tuhan kepada masyarakat awam dengan cara dan kaedah serta bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat setempat.”

PUM juga menyeru agar masyarakat menghormati dan menghargai peranan alim ulama seperti Nik Aziz dan lain-lain dalam mendidik rakyat Kelantan serta orang Islam amnya. Keluhan Presiden PUM ada benarnya kerana ramai orang di luar sana yang tidak mengetahui ilmu agama tetapi mereka berlagak seolah-olah merekalah pakar dalam bidang agama. Mereka ini dengan sewenang-wenangnya mengambil jalan mudah mentafsir segala kenyataan yang keluarkan oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, lebih-lebih lagi kenyataan yang mempunyai unsur keagamaan. Berikut adalah antara kenyataan dan kata-kata Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang telah menjadi wacana pemikiran ahli bijak pandai, ahli politik, editor-editor media massa di Malaysia yang dipetik daripada tulisan Azli Shukri (2009), 100 Kata-Kata Nik Aziz yang Paling Merbahaya dalam Sejarah Siri 1, 2 & 3:

1. "Terdapat unsur kafir dalam UMNO kerana parti itu menolakIslam dalam pentadbiran negara, UMNO juga ada ciri kafir" - Ceramah Nik Aziz Nik Mat di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, 3 Julai 1999.

2. "Jika melawan UMNO tiba-tiba meninggal dunia, maka kita dikira mati syahid." - Kuliah Nik Aziz Nik Mat di Masjid Kg Pulau Melaka.

3. "Allah sendiri gunakan perkataan memaki, mencemuh atau mencarut, jadi manusia sendiri berpeluang menggunakan maki hamun, tapi terserahlah kepada manusia di mana tempatnya." – Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 28 April 1999.

4. "Orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir atau haram" - Hukum Dewan Ulama PAS Kelantan, Ogos 1963.

5. “Islam tidak melarang umatnya mengeluarkan perkataan mencarut dan mencaci seseorang jika kena pada tempat dan masanya, kerana ia sudah menjadi salah satu naluri." - Nik Aziz Nik Mat, Berita Harian, 29 April 1999.

6. "Kelantan menggunakan hasil cukai arak, lesen anjing dan sebagainya bagi menampung kos membuat jalan dan lain-lain projek pembagunan. Arak itu sendiri boleh diminum oleh bukan Islam, jadi bila minum oleh mereka, makan untuk menjaga keselamatan, kerajaan mengambil duit dari mana?" - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 26 November 1994.

7. "Bagi penjualan arak, ia hanya dibenar jual oleh orang bukan Islam kepada golongan itu sahaja, kerana jika ia diharamkan sudah tentu menyulitkan orang bukan Islam untuk menikmatinya." - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 19 November 1992.

8. "Menentang PAS adalah Haram mengikut al-Quran." - Nik Aziz Nik Mat, Berita Minggu, 24 April 1994.

9. "Tidak ada orang yang berhak menjaga dunia ini, kecuali orang yang belajar ilmu agama Islam." - Nik Aziz Nik Mat, Berita Harian, 17 April 1995.

10. "Tiada sesiapa di muka bumi ini yang tahu menjaga dunia termasuk menguruskan soal budaya, ekonomi serta harta benda, melainkan ulama." - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 6 November 1999.

11. "Para imam hendaklah faham bahawa ada anak-anak mukim tidak mahu menuruti imam yang beraqidah politik suku, agama suku, kerana boleh menyebabkan sembahyang tidak sah." - Nik Aziz Nik Mat, Harakah, 4 Mac 2001.

12. "Negara kita Malaysia belum merdeka lagi kerana perlembagaannya masih perlembagaan kafir."- Khutbah Nik Aziz Nik Mat di Masjid Pengadang Baru, Marang, Oktober 2001.

Meskipun kebanyakan kenyataan di atas agak keras, sinis dan mengelirukan (bagi orang yang tidak mempelajari ilmu agama dan cabang-cabang di dalamnya), ianya cukup membawa erti bagi para pendakwah Islam dan para pengikutnya yang setia dengan ajaran Islam. Ini kerana segala kenyataan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tersebut menyedarkan mereka betapa kehidupan mereka di dunia ini hanyalah dengan satu tujuan sahaja iaitu menjadi hamba dan khalifah yang mentaati segala kehendak Allah dan Rasul Nya.



4.0 PENUTUP

4.1 Kesimpulan

Ternyata sekali bahawa wacana dan pemikiran politik ulamak Melayu banyak mempengaruhi gerakan nasionalisme Melayu di tanah Melayu. Mereka inilah yang berada di barisan paling hadapan dalam membela agama Allah di muka bumi ini. Ketiga-tiga tokoh ulamak ini Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain (Syeikh Ahmad Al-Fathani), Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) dan Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (Tuan Guru Nik Abd. Aziz) dipilih sebagai seorang ulamak yang telah banyak berjasa kepada dunia alam Melayu. Banyak suri tauladan yang mesti dipetik hikmahnya bagi generasi muda Islam kini. Mereka ini meletakkan kepentingan dakwah Islamiah melebihi kepentingan diri dan kelompok serta mengelakkan pertelingkahan yang merugikan umat Islam terutama di antara kaum Tua dan kaum Muda.. Secara ringkasnya, kita mendapati bahawa wacana dan pemikiran para ulamak Melayu bukan sekadar berkisar pada mempersoalkan hukum hakam agama semata-mata, tetapi telah berkembang memperkatakan soal tugasan dan tanggungjawab para pemimpin Islam, membentuk kesedaran tentang kewajipan umat Islam berjihad menegakkan Negara Islam, mengejar kemajuan seiring dengan tuntutan semasa dan sebagainya.


BIBLIOGRAFI

Abdullah Muhammad Basamih .(perj). (2000). Tafsir Pimpinan Ar-Rahman. Kuala Lumpur: Darul Fikir

Azli Shukri. (2009, 19 Ogos). 100 kata-kata Nok Aziz Paling merbahaya dalam sejarah Siri 1, 2, & 3. Diakses pada 21 September, 2009, dari http://azlishukri.blogspot.com/2009/08/100-kata-kata-nik-aziz-paling merbahaya_20.html

Azran Fitri Rahim. (2008, 29 Disember). Hudud: Pas Sanggup Tunggu 30 Tahun. Diakses pada 21 September, 2009, dari http:// www.utusan .com.my/utusan/info .asp?y=2008&dt=1229 &pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_07.htm

Hamka. (2006). Sejarah Ummat Islam. Singapura: Pustaka Nasional PTE LTD.
Mohammad Redzuan Othman. (2008, 16 Nonember). Pemerkasaan Islam dalam Masyarakat Melayu melalui Tteori Pengislaman Mengikut Pemikiran Hamka (Bhg. akhir). Diakses pada 14 Oktober, 2009, darihttp://islamhadhari.net/?p=1495

Mohd Fadli Ghani. (2009). Sorotan Sejarah Pas Dan Kemerdekaan. Diakses pada 8 Ogos, 2009, dari http://akta.wordpress.com/2009/07/07/islam-dan nasionalisme- pemikiran-di-alam-melayu/

S.Q. Fatimi. (1963). Islam Comes to Malaysia, Singapore: Malaysian Sociological Research Institute Ltd.

Wan Mohd. Shaghir Abdullah. (2008, 28 September). Sheikh Ahmad Al- Fathani,Organisasi Dan Politik. Diakses pada 8 Ogos, 2009, dari http://ulama- nusantarabaru.blogspot.com/2008/09/sheikh-ahmad-al-fathaniorganisasi-dan.html

Tiada ulasan: