KONSEP BAHAGIA DALAM PEMIKIRAN MASYARAKAT MELAYU

1.0 PENDAHULUAN

1.0 Pengenalan

Kebahagian merupakan suatu rasa yang ingin didambakan oleh setiap insan. Bahagia adalah perasaan senang, tenteram atau lepas dari segala yang menyusahkan. Tetapi kesenangan belumlah seerti dengan kebahagiaan. Kesenangan boleh dilihat sebagai keselesaaan hati tetapi keadaan ini belumlah disamakan dengan rasa bahagia. Takrif dan definisi bahagia itu dapat dilihat dan dinilai dengan cara yang berbeda-beda, mengikut citarasa meraka yang mengecapinya. Begitulah halnya dalam konteks masyarakat Melayu, mereka sudah tentu menpunyai ukuran dan gambaran bagaimana konsep kebahagian tersebut dapat diterjemahkan dalam kehidupan mereka sesuai dengan budaya dan agama mereka.


2.0 Masyarakat Melayu Bahagia Dengan Cara Hidup Sederhana

2.1 Islam Menganjurkan Umatnya Hidup Bersederhana

Masyarakat Melayu terkenal dengan adat resam dan cara hidupnya. Biar pun zaman di telan zaman, gaya kehidupan masyarakatnya masih terpelihara. Hidupnya berpandukan agama dan adat. Paling utama adalah agama, adat yang elok dibudayakan dalam kehidupan. Adat yang bercanggah dengan nilai agama dikeji serta dipinggirkan daripada kehidupan masayarakat. Melayu dan Islam tidak dapat dipisahkan. Islam telah bertapak di tanah Melayu sudah berkurun lamanya. Pelbagai teori dan catatan sejarah telah kedatangan islam ke Tanah Melayu. Sering kedatangan Islam ke Alam Melayu dikaitkan dengan para pedagang Hadramaut (Yaman), Gujerat (India) atau Kwantung (China).

Menurut catatan sejarah Cina, orang-orang Arab telah sampai ke Tanah Jawa dan membuat penempatan mereka di Pantai Barat Sumatera sekitar tahun 684 Hijrah. Di penempatan ini, orang-orang Arab bermukim dan bernikah dengan penduduk tempatan. Lama-kelamaan, terbinalah masyarakat Islam.

Profesor Haji Abdul Malek Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan nama Hamka, dalam bukunya Sejarah Umat Islam, menceritakan tentang duta Daulah Umayyah telah singgah ke Pulau Jawa dalam perjalanan ke China. Malah, kononnya Muawiyah bin Abu Sufyan, pengasas Daulah Umayyah, ikut belayar ke Pulau Jawa.

Walau apa pun, sumber-sumber catatan ahli sejarah China menunjukkan Islam telah sampai ke Nusantara sejak awal kurun hijrah iaitu sejak zaman khalifah Usman bin Affan lagi. Sebenarnya, sebelum Islam muncul di pentas dunia, telah wujud hubungan di antara orang Arab dan Parsi dengan penduduk Nusantara.

Berdasarkan bukti-bukti yang telah dikaji oleh pakar sejarah, ajaran Islam telah lama subur di nusantara khususnya di tanah Melayu ini. Ajaran inilah yang menjadi teras panduan kepada masayarakat Melayu dahulu dan kini. Maka dengan demikian alam pemikiran, cara hidup dan budaya masyarakat Melayu dibentuk melalui nilai-nilai yang ada pada Islam itu sendiri. Islam adalah agama yang mulia. Ajarannya menitikberatkan pengabdian kepada tuhan yang Esa, mengamalkan segala ajaran yang terkandung dalam Al-Quran dan menjadikan Nabi Muhammad sebagi contoh tauladan yang paling utama.

Sudah menjadi kewajiban bagi orang Islam untuk mendapat kebahagian dalam kehidupan, baik kehidupan di dunia dan di akirat. Sebenarnya ketentuan kebahagian seseorang insan iu telah pun ditetapkan oleh Allah S.W.T sejak azali lagi. Kebahagian itu juga telah dicipta berbeda-beda bagi setiap insan. Oleh itu, dalam konteks masyarakat Melayu, sudah tentu konsep bahagia itu berbeda-beda mengikut setiap individu. Apa yang pasti konsep bahagia itu adalah berteraskan nilai ajaran Islam yang berpadu dalam adat dan budaya masyarakat Melayu.

Islam menganjurkan agar umatnya sentiasa bersederhana dalam semua aspek, lebih-lebih lagi dalam kehidupan seharian. Atas tuntutan inilah maka masyarakat Melayu sentiasa mengamalkan konsep kesederhanaan dalam kehidupan. Kita dapat melihat dengan kesederhanaan inilah masyarakat Melayu hidup dengan penuh kebahagiaan. Dalam Islam, konsep kesederhanaan bukan hanya dilihat pada kebendaan semata-mata. Sederhana juga dikaitkan dengan amalan kehidupan yang bersih dari perlakuan dan sifat-sifat buruk, keji, hina dan lain-lain yang negatif. Ini adalah disebabkan oleh sifat-sifat itu sebenarnya adalah racun kepada usaha-usaha mencapai kebahagiaan hidup. (Idris Zakaria 2007: 9)

Titik tengah dalam kontek mencari kebahagiaan hidup ini disamping falsafah dan gaya hidup sederhana ialah nilai dan peribadi manusia atau umumnya adalah akhlak. Akhlak buruk yang menghiasi diri manusia bermakna ia jauh dari landasan kebahagiaan. Akhlak yang baik serasi dengan fitrah manusia, adalah syarat terbaik untuk mengecapi kebahagiaan. Manusia perlu akhlak yang baik ini. Dan akhlak baik atau tidak ini dapat diukur berasaskan perbuatan yang dilakukan secara sedar. Demikian kata Imam Al-Ghazali. Untuk mencapai tahap baik ini Ibnu Sina pula menekankan perlunya jiwa manusia dikendalikan dengan baik. Ia perlu dihubungkan dengan mengenal dan taat pada Tuhan. Akhirnya ia membawa kepada kebahagiaan.

Hamka (1977 : 163 : 172-179) berkata bahawa “Dapat makan dua kali sehari, dapat pakaian sua persalinan, dapat rumah yang cukup udaranya untuk tempat diam (tinggal), dapat menghirup udara yang bergerak, kita sudah dapat hidup. Cuma nafsu jugalah yakni nafsu manusia meminta lebih dari itu, sehingga didalam mencari cita-cita hendak berlebih itu, kerapkali manusia lupa akan kesederhanaan”. Hamka telah bandingkan hal sikap manusia terutamanya yang tamak dengan binatang.Katanya lagi “Cubalah lihat binatang apabila kenyang perutnya, dia akan terus tidur, istirahat. Tetapi manusia walaupun mereka telah kaya, bertambah kaya bertambah tidak senang diam hidupnya, bahkan bertambah tamaknya dan lobanya, bertambah sayang hatinya akan bercerai dengan harta itu”. Sambung beliau lagi “sebab itu dapatlah diperhatikan bahawa orang yang lebih banyak terjauh daripada kesenangan hati didalam hidup ialah orang yang banyak harta. Mereka lebih banyak was-was, lebih jauh daripada nikmat ketenteraman hati. Itulah sebabnya maka berkeras hukama berkata bahawasanya bahagia itu tidaklah pada banyak harta, tetapi pada rasa tenteram dan redha”. Dalam hal ini Hamka menekankan soal nafsu; “sayang sekali nafsu! Dia tidak mahu berhenti hingga itu. Angan-angan yang tak putus sentiasa memanggil-manggil sehingga kering darahnya, musnah umurnya, hilang kesempatanya berbuat bakti, lantaran digila oleh angan-angan. Oleh itu menurut Hamka hati kita perlu dijaga. Kebahagiaan hidup terletak dihati, bukan pada kekayaan atau banyak wang.

Hamka akui harta adalah satu keperluan untuk hidup dan manusia mencarinya melalui pelbagai cara termasuk cara haram atau tidak beretika. Banyak sekali huru-hara, fitnah dan kesulitan yang timbul didalam dunia ini kerana harta.Ada dua perkara yang menyebabkan orang menjadi tamak; Pertama, kerana mereka memandang bahawa jiwa kehidupan itu adalah harta., Kedua, bukan itu sahaja tetapi laba itulah yang dituju di dalam tiap-tiap pekerjaan. Pendirian ini adalah salah dan tidak membantu manusia untuk menikmati kebahagiaan.

Kalau dirujuk kepada tabii ajaran Islam pun didapati aspek pertengahan juga yang ditekankan. Cuba lihat beberapa contoh berikut; (1) Makan dan minum. Islam menyuruh “makan dan minumlah kamu tetapi jangan melampau kerana Allah benci kaum pelampau. ( Al-A’raf: 31). (2) Beribadat; “Apabila selesai tunai sembahyang (jumaat) maka keluarlah kamu bertebaran dibumi dan carilah nikmat-nikmat dari limpah kurnia Allah dan perbanyakan sebutan mu kepada Allah supaya kamu beroleh kejayaan dan keuntungan” (Al-Jum’ah: 10). (3) soal kehidupan; “ Rebutlah habuan yang disediakan Allah buat kamu diakhirat tetapi jangan lupa pula nasib kamu didunia ini (Al-Qasas: 77), (4) Jangan boros atau kedekut apabila berbelanja. “ Dan orang-orang yang apabila berbelanja mereka tidak boros dan tidak kikir, tetapi pertengahan antara keduanya (Al-Furqan: 67).

Sarjana Islam kontemporari Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi (1986: 16) ada menjelaskan bahawa Islam adalah jalan tengah dalam segala hal, baik hal akidah, ibadah, perilaku, hubungan sesama manusia mahupun dalam perundangan. Hal ini juga dijelaskan dalam bukunya Wawasan Islam antara Keaslian dan kemodenan (terj) 1992:37. Beliau menyebut istilah al-Wasatiyyah yakni sikap pertengahan dan Al-Tawazun-seimbang, yakni tidak terlalu ekstrim ke kiri atau pun ekstrim. ke kananMenurut beliau juga inilah yang dinamakan oleh Allah s.a.w. sebagai jalan yang lurus, iaitu jalan yang membezakan manusia daripada jalan para pemeluk berbagai agama dan falsafah yang menjadi anutan rorang-orang yang dimurkai Allah dan juga jalan orang yang sesat iaitu mereka yang konsep hidupnya melampaui batas. Jadi sikap pertengahan atau seimbang adalah ciri asli ajaran Islam.Maka amat wajarlah umat Islam menyedari dan membudayakannya dalam kehidupan harian.


2.2 Kekayaan Dan Kemewahan Bukan Syarat Utama Untuk Mencapai Kebahagian Bagi Masyarakat Melayu.

Orang Melayu dahulu sinonim dengan kehidupan sebagai petani, pesawah, nelayan, tukang ukir, bekerja di istana dan lain-lain lagi. Jika diteliti sebahagian besar orang Melayu, hidup mereka banyak bergantung kepada alam sekeliling mereka. Mereka menjadikan alam sekeliling sabagai sumber pendapatan utama mereka. Jika hidup di tepian laut, mereka akan ke laut. Hasil lautan dijadikan sumber ekonomi yang sepadan untuk mereka. Masyarakat di kampung pula akan mengusahakan kebun di halaman atau di belakang rumah mereka. Mereka senang dengan cara sebegini, cara hidup yang diperturunkan oleh nenek moyang mereka dari generasi ke generasi.

Maka tidak timbul istilah kemewahan dan kekayaan yang dapat menjamin kebahagian dalam kehidupan masayarakat Melayu. Walaupun terdapat segelintir yang kaya raya, hidup mewah dengan tanah beratus hektar, kebun dan dusun berekar-ekar, sawah terbentang luas saujana mata memandang, tapi prinsip mereka tatap sama sahaja, usaha tangga kejayaan. Tanpa kerajinan, hasil tidak ke mana, tidak dapat tidak mereka perlu mengotorkan kaki mereka dengan lumpur dan menghitamkan kulit demi memperolehi sekelumit kekayaan dan kemewahan. Namun kekayaan dan kemewahan itu bukan kebahagian bagi mereka, kebahagian sebenar ialah rasa yang dikecapi dalam membanting tenaga dan kudrat dalam meniti kehidupan seharian.

Hakikat ini tidak boleh dinafikan. Dalam masyarakat melayu, sering kali kita melihat suami isteri bekerjasama dalam mencari rezeki seharian. Bagi petani dan pesawah mereka suami isteri sama-sama mengusahakan kebun dan sawah mereka. Hubungan sebegini telah memberi ruang yang cukup luas untuk mereka membina hubungan yang lebih erat dan mesra. Perasaan kasih dan sayang bertambah utuh yang mampu menerbitkan kebahagian yang ikhlas dalam kehidupan mereka. Secara tidak lansung kebahagian ini turut dikongsi oleh ahli keluarga mereka yang lain.

Dalam konteks masyarakat Melayu kini, ramai orang Melayu memilih untuk bekerja sebagai kakitangan kerajaan. Sebagaimana yang dimaklumi bahawa bekerja di sektor kerajaan tiada menjamin untuk memperolehi kekayaan dan kemewahan yang melimpah ruah. Hakikat ini sememangnya diakui oleh semua orang. Kenapa orang Melayu tidak menceburi bidang perniagaan? Sedangkan bidang perniagaanlah yang mampu memberi kemewahan dan kekayaan yang berlipat ganda. Realitinya di Malaysia kini, bidang perniagaan dimonopoli oleh kaum Cina. Kebanyakan permis perniagaan dimiliki oleh kaum ini.

Dua persoalan yang timbul kini; pertama; apakah orang Melayu tidak mempunyai kehidupan yang bahagia sedangkan orang cina hidup mewah berharta dan punyai wang yang berjuta-juta dengan berniaga. Menurut Idris Zakaria (2007), manusia yang bekerja dalam apa sektor pun atau taraf jawatan sekalipun akan mengharapkan pekerjaan atau jawatan yang dipegang dengan pendapatan atau upah yang dibayar majikan akan mencorak kehidupanya ke arah kebahagiaan. Kebahagiaan hidup boleh dikecapi dalam apa saja sektor yang dimasuki.Seorang penjawat awam atau swasta mampu mendapat ketenangan hati dan minda melalui kepatuhan kepada peraturan-peraturan serta etika kerja yang diwujudkan majikan. Dalam perkhidmatan kerajaan umpamanya telah ada mekanisma kearah mewujudkan pasukan kerja yang baik dan cemerlang. Buku Nilai dan Etika Perkhidmatan Awam terbitan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN; 1971) banyak menekankan nilai-nilai universal yang berfungsi membimbing para pekerja menjalankan tanggung-jawab dengan sempurna dan cemerlang. Nilai baik seperti amanah, taat setia, bertanggung-jawab dan sebagainya adalah antara sifat dan kriteria yang mampu membentuk keselesaan bekerja. Keselesaan sangat penting untuk mewujudkan suasana keseronokan dan ketenangan dalam menjalankan tugas-tugas harian. Suasana ini berkesan pula kepada keamanan jiwa dan minda seterusnya mempengaruhi kesihatan badan. Dalam pekerjaan harian, terdapat berbagai kemudahan yang disediakan oleh majikan selain dari upah atau gaji. Kita ada peluang untuk mendapat pinjaman wang untuk membeli kenderaan atau rumah apabila semua syarat yang diperlukan ada. Ada cuti sakit atau bersalin bagi kaum wanita. Ada juga bantuan kecemasan apabila berlaku sesuatu musibah. Ada kursus atau latihan bagi meningkatkan mutu dan kualiti kerja. Bagi pegawai tinggi pula ada beberapa lagi kemudahan seperti kereta dan pemandu. Kakitangan rendah pula ada kemudahan untuk tahapnya. Maknanya hak dan kebajikan pekerja dijaga agar kita senang bekerja. Apabila hati senang kita akan bekerja dengan aktif kecuali pekerja-pekerja yang malas. Maka sudah tentu penggerak utama disini ialah para pekerja ataupun petugas. Merekalah jentera penting yang berkuasa memundur atau memajukan sektor pekerjaan diseluruh Negara. Justeru tumpuan penting dalam makalah ini ialah kepada insan para pekerja itu sendiri dan bukan sistem, peralatan atau kewangan dan lain-lain yang berkaitan.

Persoalan kedua; apakah wang ringgit yang banyak menjadi faktor penentu kebahagiaan? Soalan ini dibangkitkan di sini memandangkan ramai yang beranggapan wang adalah segala-galanya. Wang adalah lambang kejayaan. Wang adalah bukti status yang baik dalam masyarakat. Dengan wang cakap kita laku dan dengan wang juga banyak perkara boleh dilaksanakan. Apakah benar pandangan-pandangan ini? Cuba kita amati kenyataan-kenyataan berikut:

(i) John E.Gibson (1978)

“Kajian dan penyiasatan menunjukkan bahawa daripada orang-orang yang menganggap WANG sebagai faktor yang penting untuk kebahagiaan, didapati hanya kebahagiaan kecil sahaja yang menganggap mereka bahagia. Sebaliknya orang-orang yang menggolongkan mereka berbahagia ialah orang-orang yang menganggap cinta, keluarga dan kebijaksanaan lebih penting daripada perhitungan wang yang banyak. Kebanyakkan orang tidak pernah belajar untuk menyelaraskan hidup dengan pendapatanya. Walaupun sebanyak mana wang yang mereka dapati. Mengurus dengan bijaksana wang yang kita perolehi lebih penting kepada ketenangan fikiran kita daripada sebanyak mana wang yang kita perolehi”.

(ii) S.N. Bremer. (1989 : 72)

“Money is good. Too much money is bad. “Too much” is “too much” when it is more than we need or more than we are capable of utilizing for the umpliment of humanity. Food is good. Too much food is damaging to the body and punishes the glutton with pain and illness. Light is good but too much will blind the eyes. Water is good. There could be no life for us without it, but too much will destroy us. Heat is good but too much will burn us. Any excuse in the use or activity of a good thing is temperance and therefore, evil can be avoided”.

Perkara menarik dalam petikan di atas ialah wang bukanlah segala-galanya dalam hidup. Memang betul wang adalah perlu. Dengan wang kita boleh membina kehidupan yang baik. Namun sikap dan tanggapan yang menganggap wang adalah segala-galanya, dan ia perlu dicari atau dicapai tanpa mengira wajar atau tidak, halal atau haram, maka orang itu telah tersalah falsafah hidupnya. Itu bukan lagi wang tetapi nafsu. Sifat nafsu ialah ia tidak pernah cukup sepanjang masa. Sesiapa yang sudah dikuasai nafsu, akan selama menjadi hamba kepada tamak-haloba. Hidup tidak pernah reda dengan pemberian Tuhan. Tidak ada sikap terima kasih apalagi syukur dengan rezeki yang ditentukan. Perkara kedua dalam petikan pertama itu ialah kebanyakan orang tidak pernah belajar untuk menyelaraskan hidup dengan pendapatannya. Apabila hilang penyelarasan antara gaji dengan tuntutan hidup, maka terbuka jalan untuk mencari tambahan tanpa berfikir kewajaran atau halal-haram. Ini berlaku tanpa melihat kepada pangkat, gaji dan kedudukan. Gaji besar bukan jaminan mengelak rasuah. Pangkat besar, mungkin rasuah lagi besar. Sukar untuk kita lihat periuk besar keraknya kecil. (Dr. Idris Zakaria. 2007.14-15)

Berdasar dua persoalan yang dirungkaikan di atas, nyata bagi masyarakat Melayu kebahagian bagi mereka bukanlah terletak pada kekayaan dan kemewahan semata-mata. Yang paling penting kebahagian perlulah terbit daripada rasa yang selesa dan ceria terhadap kemampuan untuk mentadbir kehidupan secara harmoni dengan mengambil kira nilai-nilai ajaran agama dan norma kehidupan yang terpuji.


2.3 Pengertian Bahagia Yang Berbeda Menjadikan Bahagia Juga Berbeda.

Lain orang, lain hati, jiwa dan perasaannya. Kelainan inilah yang menyebabkan pentafsiran sesuatu rasa adalah berbeda. Begitulah juga halnya dengan bahagia. Menurut HM Tuah Iskandar Al-Haj (2004) dalam bukunya yang bertajuk Membina Hati Bahagia, bahagia itu adalah suatu rasa yang mengatasi keselesaan hati, mengatasi kesenangan yang berputik dari keupayaan memiliki dan mengatasi rasa tenang melalui bilah-bilah hari. Dengan kata lain bahagia adalah perasaan senang, tenteram atau lepas dari segala yang menyusahkan. Tidaklah merupakan suatu kepastian bahawa setiap orang yang senang dan sejahtera itu bahagia. Begitu juga sebaliknya setiap bahagia itu tidak akan selalu menggambarkan kesenangan.

Aristotle (384-322SM) ahli falsafah Greek kenamaan. Menurutnya kebahagiaanbagi orang miskin adalah kekayaan. Bagi orang sakit pula ialah kesihatan. Orang cacat menurutnya tidak berjaya mengecapi kebahagaian. Orang miskin pula perlu bekerja kuat hingga senang baru bahagia. Mempunyai “nama” dalam masyarakat juga disifatkan antara syarat perlu untuk mencapai kebahagiaan.

Hamka di dalam bukunya Tasauf Moden berkata bahawa kita jangan terpedaya dengan kebahgiaan secara lahiriah ini . Katanya “Jangan engkau terpedaya oleh kulit lahir, kerana dunia ini hanya komedi. Boleh jadi di balik keindahan perkakas, di balik senyuman dan tertawa itu ada beberapa kepahitan yang mereka tertanggungkan, yang tidak diketahui oleh banyak orang. Banyak orang tertawa sedangkan hatinya luka parah. Banyak orang yang tertipu melihat cahaya panas di waktu terik di tanah lapang luas , disangka cahaya itu air. Demi bila dia sampai ke sana hanya pasir belaka.

Menurut Mohd Khairi dalam artikelnya yang bertajuk “Apakah itu Kebahagian?” (2006: 1-4), orang budiman berpendapat tentang bahagia, bahawa orang yang berpegang teguh kepada agama, kebahagiaanya ialah meninggalkan barang yang dilarang, mengikut apa yang tersuruh, menjauhi yang jahat dan mendekati yang baik. Bahagianya ialah mengerjakan agama. Menurut Ibnu Khaldun. Bahagia itu ialah tunduk dan patuh mengikut garis-garis yang telah ditentukan Allah dan berperikemanusiaan.

Imam Al-ghazali pula menyatakan . Bahagia dan kelazatan sejati ialah bilamana dapat mengingati Allah. Menurut beliau lagi “Ketahuilah bahagia tiap-tiap sesuatu ialah bila kita merasai nikmat kesenangan dan kelazatan ialah menurut tabiat kejadian masing-masing. Kenikmatan mata ialah apabila melihat sesuatu yang indah, kenikmatan telinga ialah apabila mendengar suara yang merdu, demikianlah pula bagi sekalian anggota yang lain di tubuh manusia. Adapun kelazatan hati ialah teguh ma`rifat kepada Allah, kerana tujuan hati dijadikan ialah untuk mengingat Tuhan.”


3.0 PEPATAH MELAYU MENGAMBARKAN RASA BAHAGIA

3.1 Sedangkan Lidah Lagi Tergigit, Inikan Pula Suami Isteri

Pepatah Melayu ini cukup sinonim dengan hubungan kebahagian rumah tangga, khususnya hubungan mesra di antara suami dan isteri. Pepatah ini mengambarkan betapa kebahagian dalam rumah tangga ada pasang surutnya. Adakalanya kasih sayang diuji antara suami dan isteri. Ujian yang datang adalah dalam pelbagai bentuk. Pembentukan keluarga yang berjaya ialah yang mampu mengikat perasaan suami isteri dengan ikatan yang saling mengerti antara satu sama lain.

Ikatan yang melahirkan suasana bahagia dengan hiasan cahaya mata yang menjadikan kehidupan rumah tangga aman sejahtera dan bahagia. Kebahagiaan rumah tangga bergantung kepada kedamaian. Tanpa kedamaian, kehidupan berumah tangga tiada ertinya. Malah ia akan menjadi suatu gelanggang permusuhan dan pergaduhan di antara suami dan isteri. Bila perkara ini berlaku sudah tentu sebuah rumah tangga tersebut terdedah kepada kehancuran. Maka bagi mewujudkan kedamaian rumah tangga, tanggungjawab adalah kunci yang paling utama di mana tanggungjawab tersebut bukan sahaja terbatas sekadar menyediakan tempat tinggal dan memenuhi segala tuntutan fizikal seperti pakaian, makan minum, kenderaan dan sebagainya. Malah tanggungjawab yang lebih khusus dan lebih utama ialah memberi kasih sayang, menjaga hati dan perasaan pasangan. Oleh itu Islam mengadakan undang-undang yang lengkap bermula daripada seseorang itu merancang hendak berkahwin hinggalah ke peringkat perceraian sekiranya hubungan suami isteri itu tidak dapat diperbaiki lagi.

Kedamaian hidup berumah tangga mestilah diatur sejak di awal perkenalan iaitu mesti diselidiki latar belakang pasangan di peringkat pemilihan pasangan lagi. Sekiranya pihak lelaki atau wanita mengikut kriteria yang dianjurkan oleh Islam, pasti akan ada kerukunan dalam perkahwinan. Selain itu pasangan yang ingin berkahwin juga hendaklah memahami dengan sebenarnya apakah tujuan di sebalik sesuatu perkahwinan tersebut. Andainya perkahwinan itu sekadar memenuhi tuntutan nafsu dan melayan kehendak tanpa memikirkan tujuan yang sebenarnya, maka perkahwinan tersebut akan lebih terdedah kepada kehancuran. Justeru, bagi menjamin keharmonian, sesebuah keluarga Islam mestilah mempunyai kekuatan iman dan taqwa, pengetahuan dan tatacara hidup serta akhlak yang mulia.

Menurut Islam dan masyarakat Melayu, kebahagiaan seorang isteri terletak pada keredhaan si suaminya. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab bagi seorang isteri untuk mentaati segala perintah suaminya selagimana perintah atau suruhan tersebut tidak melampaui batasan syariah. Apa juga kekurangan dan kelemahan suami tidak menjadi halangan untuk isteri yang sedar dengan petunjuk agama terus berbakti dalam rumah tangga. Semua dilakukan untuk mendapatkan keredaan suami yang akhirnya menjadi keredaan Allah.

"Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka..." (Surah An-Nisa':34)

Isteri yang baik atau solehah juga adalah isteri yang mahu menjadi teman berunding bagi suami dan menjadi sahabat dalam menyelesaikan pelbagai masalah. Itulah hubungan suami isteri itu diertikan orang sebagai "teman hidup". Jika suami menghadapi masalah untuk mencapai cita-citanya dan cita-cita keluarga maka bermotivasilah kepadanya dan hiburkanlah hatinya. Isteri teladan disamping ia memberi dorongan dan bermotivasi kepada suami ia juga merupakan sumber ilham bagi suami. Ini membuatkan hati suami tenteram apabila bersama isteri dan segala masalah dihadapinya bersama-sama.

Dalam sebuah hadis yang Rasulullah S.A.W bersabda:

"Mahukah kamu aku beritahu dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seorang lelaki?" Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira , jika suaminya menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara kehormatan dirinya." (HR:Ibnu Majah)

Manakala seorang suami pula adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan semua ahli keluarga mendapat kebahagian yang sewajarnya. Kebajikan isteri dan anak-anak perlulah diutamakan. Sebagai ketua keluarga, suami haruslah menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada ahli keluarganya. Bagi memastikan keadaan rumah tangga sentiasa harmoni dan bahagia, suami juga haruslah mempunyai sikap sentiasa bersabar dan bertolenrasi. Segala masalah yang timbul dalam keluarga perlulah ditangani dengan matang dan bijaksana. Sememangnya hubungan antara suami isteri tidak akan lekang daripada perselisihan faham. Perkara ini berlaku mungkin disebabkan oleh masalah-masalah yang remeh temeh, percanggahan pendapat tentang sesuatu perkara, tekanan yang terbit daripada masalah pekerjaan dan lain-lain lagi. Ketika inilah kesabaran dan keimanan masing-masing teruji. Jika pasangan tersebut dapat menangani masalah tersebut dengan bijaksana, sentiasa bersikap sabar dan bertoleransi, akhirnya suatu yang perkara positif , indah dam bahagia dapat dijelmakan daripada perselisihan faham tersebut. Tapi sebaliknya, pasti sesuatu yang negatif akan berlaku malah yang lebih dahsyat kemungkinan akan berlaku penceraian antara pasangan suami isteri tersebut. Tiada lagi kebahagian, tiada lagi kemesraan. Natijah daripada penceraian tersebut akan menimbulkan pelbagai lagi konflik dan masalah dalam institusi kekeluargaan.

Masyarakat Melayu amat mementingkan institusi kekeluargaan. Hubungan kekeluargaan yang erat dan bahagia banyak mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Sebab itulah istilah perkahwinan dianggap suatu perkara yang besar dalam masyarakat. Perkahwinan tidak boleh dilakukan dengan sebarangan. Memandangkan perkahwinan dan pembentukan keluarga ini sangat penting maka perkahwinan tidak boleh dianggap sebagai suatu perkara yang mudah dan ringan kerana kewajipan yang dipertanggungjawabkan adalah sangat besar. Oleh itu setiap pasangan yang hendak berkahwin terutama yang masih muda hendaklah disedarkan apakah dia sudah layak untuk berumah tangga atau mampu untuk berkahwin? Sudahkah bersedia dengan ilmu pengetahuan? Sekurang-kurangnya sekadar yang patut diketahui oleh bakal seorang suami atau isteri, kewajipan menjadi seorang suami contohnya, hukum hakam yang berkaitan dengan soal suami isteri dan tatasusila hidup berkeluarga.

Oleh hal yang demikian banyak aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum seseorang itu melangsungkan perkahwinan, ini kerana aspek-aspek inilah yang akan menjamin kebahagian yang berpanjangan dalam ikatan perkawinan tersebut. Salah satu contohnya ialah calon pilihan. Dalam masyarakat Melayu yang kuat berpegang pada ajaran Islam, mereka mempunyai kriteria tersendiri dalam memilih calon atau pasangan. Kriteria-kriteria tersebut semestinya selari dengan kehendak Islam. Bagi mereka pasangan pilihan, samada lelaki atau pun wanita, mereka perlulah lahir daripada benih yang mulia dan mempunyai keturunan yang sejahtera, suasana soleh atau baik termasuk dalam tiga keadaan iaitu, kehidupan harian, keluarga dan akhlak mulia.

Yusof Ali Bedewi, Yusuf Ali Bedewi, (terj), Mohd Asri Hashim dan Abd Latif Muda, dalam buku Asas-asas Kebahagiaan Rumah tangga Dalam Islam, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Kuala Lumpur, 1996, hlm, 42. menyenaraikan wanita-wanita yang perlu dijauhi daripada dipilih menjadi calon isteri iaitu Al-Annanah yang bermaksud wanita yang banyak mengadu dan setiap masa kepalanya merasa terbeban apabila melakukan pekerjaan sama ada untuk dirinya sendiri atau untuk suaminya.

Selain itu, Al-Mannanah pula bermaksud wanita yang mengungkit-ungkit apa yang dilakukan untuk suaminya, contohnya, aku buat itu dan ini untuk mu dan kerana kamu manakala faktor seterusnya ialah al-Hannanah iaitu wanita yang merindui suami orang, atau anaknya hasil daripada perkongsian (perkahwinan) dengan lelaki lain.

Sementara itu Al-Haddaqah pula ialah wanita apabila melihat sesuatu, dia ingin memilikinya dengan itu dia akan mendesak-desak dan memaksa suami supaya membelinya. Ciri seterusnya ialah Al-Barraqah iaitu wanita yang menghabiskan masanya 24 jam di hadapan meja solek supaya wajahnya kelihatan menarik hasil solekan yang dilakukan, bukan untuk suaminya tetapi untuk kepuasan diri dan orang lain dan Al-syaddaqah iaitu wanita yang bermulut murai, iaitu banyak berleter kerana bercakap banyak dengan menyebut perkataan-perkataan yang boleh menyakiti hati suami dan orang lain.Wanita seperti ini samalah juga dengan wanita yang tidak akan berpuas hati dengan pemberian suami, malah setiap pemberian suami sentiasa dinafikan.

Maka berpandukan pepatah Melayu “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”, jelas memberi gambaran betawa kebahagiaan dalam hubungan antara suami isteri tidaklah terbit daripada perkara yang indah dan manis semata-mata. Kadang kala perselisihan faham, pertengkaraan, bermasam muka itulah yang membangkitkan aroma kebahagiaan dalam hubungan perkahwinan antara suami dan isteri. Apa yang lebih menarik ialah pepatah Melayu ini tidak sekadar terhad memberi gambaran tentang hubungan kebahagiaan antara suami isteri sahaja, jika diteliti ianya lebih mendalam daripada itu. Pepatah Melayu ini menganjurkan kepada kita semua agar tidak memandang mudah terhadap perkara-perkara yang melibatkan perkahwinan. Untuk memastikan kebahagian dalam perkahwinan banyak perkara yang perlu dititik beratkan. Bermula dari memilih calon pasangan hinggalah kepada perkara-perkara yang boleh meruntuhkan institusi perkahwinan tersebut. Semuanya perkara tersebut perlu diberi perhatian agar kelak perkahwinan yang didirikan tersebut mempunyai kebahagiaanya.

3.2 Jauh Bau Bunga, Dekat Bau Tahi

Pepatah Melayu ini membawa maksud bahawa sanak saudara apabila jauh selalu terkenang tetapi apabila dekat selalu bertengkar. Ini menggambarkan betapa masyarakat Melayu dahulu merasai nikmat kebahagiaan sesama keluarga walaupun pada hakikatnya apabila mereka sering bersama mereka selalu bertengkar, tetapi apabila berjauhan mereka saling rindu dan terkenang antara satu sama lain. Pepatah ini ada hubung kaitnya dengan kata bidalan “air dicencang tiada putus” maksudnya: dua orang yang bersaudara tidak dapat dipisahkan oleh perselisihan.

Sesungguhnya masyarakat Melayu melihat tali persaudaraan itu boleh menerbitkan rasa kebahagian dalam kehidupan. Keluarga yang saling bersengketa dan bermusuhan sesama sendiri akan mengakibatkan lahirnya masyarakat yang tidak harmoni dan mendatangkan perlbagai masalah kepada anggota masyarakat sekeliling bahkan kepada bangsa dan negara. Perkara ini sememangnya diakui oleh Islam sendiri. Maksud firman Allah S.W.T yang berbunyi:

“ Ditimpa kehinaan ke atas mereka walau di mana mereka berada melainkan mereka berpegang teguh dengan agama Allah dan menjalinkan hubungan baik sesama manusia. ” (Surah A-li ‘Imran : Ayat 112)

Islam sentiasa menganjurkan umatnya agar sentiasa memelihara tali persaudaraan baik antara keluarga, saudara-mara, jiran-tetangga dan seluruh manusia amnya. Persaudaraan (ukhuwah) adalah satu nikmat yang sangat besar yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang beriman kerana ia adalah satu hubungan yang mana tidak ada hubungan yang lebih kukuh daripadanya.
Allah mengingatkan hamba-hambanya tentang nikmatnya yang besar ini serta mengajak mereka kepada perpaduan serta menjauhi perpecahan dengan firmannya yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika mana kamu semua bermusuhan lalu Allah menyatukan di antara hati-hatimu maka kamu menjadi bersaudara dengan nikmatnya. (Ali Imran: 103)

Masyarakat Melayu menyifatkan bahawa “carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga. Betapa kesungguhan yang dipamerkan oleh masayarakat Melayu dalam membina kebahagiaan dalam hubungan kekeluargaan haruslah dicontohi. Kesungguhan ini memberi erti kepada kita semua terutama generasi muda bahawa sebagai manusia kita tidak boleh hidup berseorangan, tanpa keluarga tanpa saudara-mara. Kehidupan kita lebih bermakna dengan kehadiran mereka. Oleh sebab itulah masyarakat Melayu amat mementingkan hubungan kekeluargaan. Hubungan erat ini dapat dilihat dalam masyarakat Melayu dalam semua kegiatan dan aktiviti, terutamanya aktiviti yang melibatkan keluarga seperti majlis kenduri kahwin, majlis tahlil arwah, majlis kesyukuran, majlis doa selamat dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti sebeginilah yang menerbitkan perasaan kasih sayang dan kemesraan antara ahli keluarga yang mampu memupuk rasa bahagia yang mana kebahagian tersebut tidak mampu dibayar oleh wang ringgit dan hatra benda.

3.3 Setinggi-Tinggi Terbang Bangau, Hinggap Di Belakang Kerbau Juga.

Pepatah Melayu ini cukup berguna kepada kita semua terutamanya kepada generasi muda mudi sekarang. Pepatah Melayu ini mengajar kepada kita agar kita selalu mengetahui dari mana asal usul kita dan tidak seharusnya kita melupakannya. Pepatah Melayu yang lain ada menyatakan “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri” Sekalipun kita hebat dan berjaya di tempat orang, jangan lupa bahawa perasaan bahagia di tempat asal kita tidak sama nilainya dengan apa yang kita alami di tempat orang.

Ini menunjukkan masyarakat Melayu meletakkan keluarga sendiri, kampung halaman dan negara pada suatu nilai tersendiri. Mereka melihat kebahagiaan ada pada tempat asal usul mereka. Sekalipun mereka hidup susah “ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan makan petang,” namun kebahagian yang ada sudah cukup untuk menebus segala kepayahan hidup mereka tersebut. Bagi masyarakat Melayu kebahagiaan yang dituntut oleh mereka bukanlah dari segi kemewahan dan kekayaan, tetapi sesuatu yang lebih bermakna daripada nilai kemewahan dan kekayaan tersebut. Mungkin ianya menjuruskan kepada kehidupan yang sederhana, tiada dibebani oleh hutang, hidup dalam suasana rukun sesama keluarga dan ahli kampung. Ataupun keadaan persekiraan yang damai dengan flora dan fauna yang mampu menggamit kenangan silam mereka. Kemungkinan kesemua faktor inilah yang menjadikan mereka merasa bahagia dan membuatkan meraka mampu untuk hidup dalam keadaan selesa dengan cara yang sedia ada tanpa jemu meskipun kesusahan dan kesukaran membelenggui persekitaran kehidupan mereka.


4.0 PENUTUP

4.1 Kesimpulan

Adalah menjadi tuntutan dalam Islam bahawa kesederhanaan dalam segala aspek kehidupan perlulah diamal dan dibudayakan. Berpandukan tuntutan inilah, maka masyarakat Melayu mengamalkan nilai kesederhanaan dalam kehidupan seharian mereka. Adalah menjadi amalan bagi masyarakat Melayu bahawa mereka berpendirian betapa kekayaan dan kemewahan tidak dapat menjamin kebahagiaan kehidupan seseorang. Bagi masyarakat Melayu, kebahagiaan boleh hadir di mana sahaja dan dalam apa jua bentuk sekalipun, apa yang penting kebahagiaan tersebut perlulah suatu kebahagiaan yang dirahmati, direstui dan diredhai oleh Allah S.W.T.

Masih banyak lagi pepatah Melayu yang dapat mencerminkan rasa kebahagiaan. Secara retoriknya, pepatah Melayu tersebut dicipta bagi dijadikan sebagai pedoman dan peringatan yang mana dalamnya tersirat seribu makna yang perlu dihayati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira tua, muda, lelaki mahupun perempuan. Mudahan-mudahan masyarakat Melayu tidak hidup dalam kealpaan, hanya mengejar kebahagiaan di dunia, tanpa mempedulikan kebahagiaan yang kekal iaitu kebahagiaan di akhirat sana.


BIBLIOGRAFI

Abdullah Muhammad Basamih .(perj). (2000). Tafsir Pimpinan Ar-Rahman. Kuala Lumpur: Darul Fikir

Aristotle. (1984). The Nichomachean Ethics. Trans by J.A.K Thomson.

Fathi Yakan. (2000). Apa Erti Saya Menganut Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Firdaus Mohd Khairi. (2006). Apakah itu Kebahagian? Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia: 1-4.

Hamka. (1977). Falsafah Hidup. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

Hamka. (1997). Tasauf Moderen. Singapura: Pustaka Nasional PTE LTD.

HM Tuah Iskandar Al-Haj. (2004). Membina Hati Bahagia. Selangor: Alaf 21 Sdn. Bhd.

Idris Zakaria. (2007). Hubungan Kebahagiaan Dan Kesederhanaan Hidup. Kertas Kerja kursus Pembangunan individu dan organisasi berintegriti anjuran Jabatan Mufti P.Pinang dengan kerjasama Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) UITM Kampus P. Pinang, 5 November, UITM Permatang Pauh.

Imam al-Ghazali. t.t. Kimia al-Sa’adah. (ed) oleh Muhammad abd al-Alim.
Misr. Al-Qahirah.

Majalah DIAN ( Kota Bharu) Kelantan Ogos 1978.

Nilai dan Etika Perkhidmatan Awam – INTAN 1991

S.N. Bremer. 1989. 366 Self Motivating Essays For Students an Adults: Thinker Library Sdn.bhd.

Dr. Yusof al-Qardhawi. (1986). Islam Ekstrem; Analisa dan pemecahannya.(terj): Thinker’sLibrary Sdn.Bhd.

Tiada ulasan: