JADI GURU YANG SEBENAR-BENAR GURU

Sambil membaca buku, terlintas dalam benak fikiranku tentang pekerjaan yang telah bertahun-tahun aku lakukan ini. Adakah aku menjiwainya dengan sepenuh perasaanku? Atau sebaliknya?
Banyak kisah guru yang hebat yang pernah aku saksikan dengan mata telingaku sendiri. Mereka sememangnya hebat dan patut dimuliakan.
Namun begitu, terdapat juga sebilangan guru yang membuatkan aku berasa malu dengan sikap mereka. Tiada nilai sebagai seorang guru.
Kerja guru bukan kerja untuk menempa publisiti, mencari kekayaan, mengejar pangkat dan sebagainya. Kerja yang "low profile" ini memerlukan otak dan perasaan untuk bekerja selama 24 jam, bahkan kudrat juga perlu dibanting berbelas-belas jam lamanya.
Sekiranya anda para guru bekerja sekadar "cari makan", letaklah jawatan. Berilah peluang kepada mereka yang betul-betul berjiwa raga seorang guru. Carilah pekerjaan yang lebih sesuai dengan gaya "cari makan" anda tersebut.
Gambar yang aku kepilkan ini menunjukkan salah seorang daripada ribuan guru yang hebat. Gambar ini aku ambil pada awal tahun 2016 selepas tamat sesi persekolahan.
Seusai solat Zohor di surau sekolah, aku melihat seorang ustazah sedang tekun menyantuni seorang murid yang sedang belajar bersolat. "One to one", "face to face" and "heart to heart".
Aku bertanya kepada beliau adakah ini kelas intensif atau kelas berbayar? Jawab beliau, kelas kerana Allah Taala.
Maka dengan jawapan tersebut aku mengerti faham. Aku terasa amat malu kerana sepatutnya itulah yang perlu aku lakukan terhadap murid tersebut, bukannya beliau. Allah Akbar, hujan dihatiku.
Ini salah satu contoh kehebatan yang ditunjukkan oleh seorang yang disebut guru atau dieja G U R U atau dipanggil cikgu.
Pekerjaan guru pekerjaan yang mulia. Letaklah ia sesuai dengan martabatnya. Jangan sesekali merendahkannya.