CERITA BENAR SIRI 1 : Doa Seorang Anak

Aku dari jauh memerhati gelagat anak-anak murid ku membersihkan kelas.Itulah kebiasaan yang menjadi kelaziman sebelum sesi sekolah di tamatkan. Kelas mesti dibersihkan!

Dari satu sudut, mata ku terberhenti, aneh melihat seorang murid perempuan sedang terkumit-kumit sambil tangan menadah langit menyorok di sebalik tingkap kelas. Dia ni memang pendiam sedikit berbanding dengan rakan-rakannya yang lain. Ini apa kes terkumit-kumit macam bomoh meroyan sorang-sorang. Lantas aku menghampirinya yang sedang khusyuk dengan dunia peliknya itu. Asyik dan bersungguh-sungguh benar kelakuannya.

"Nadia (bukan nama sebenar), apa yang kamu buat tu?", tanya ku. "Eh, cikgu, takda apa-apalah. Cikgu ni kacau oranglah", balasnya sambil menjengkilkan mata kepada ku seolah-olah memberi amaran supaya tidak kepoh dan ambil tahu pasalnya. "Mari sini ke belakang, cuba cerita kat cikgu apa masalah sebenarnya ni, cikgu janji takkan beritahu orang lain" pujuk ku dengan begitu beria dan penuh harapan. Dia menoleh ke kanan, kiri depan dan belakang, seolah-olah mahu kepastian bahwa tiada orang yang memerhatikan perbualan yang terjadi antara kami. Dia pelahan-lahan ke belakang kelas mengekori ku. "Cikgu janji tau, sumpah ek! Jangan bagitahu kat orang". Aku mengangguk sambil tersenyum. "Cuba cerita kat cikgu.." aku terus memotong cakapnya agar dia tak merapu minta janji yang bukan-bukan. Biasalah murid-murid ni kadang-kadang banyak pula songehnya bila disuruh sesuatu perkara, lagi-lagi yang melibatkan masalah peribadi.

"Ayah saya dah enam bulan tak kerja cikgu, dia kena diberhentikan kerja. Saya pun tak tahu kenapa. Itu yang hari-hari saya berdoa kat Allah agar ayah saya dapat kerja macam biasa, tapi ayah masih tak dapat-dapat lagi kerja. Dah puas saya berdoa ni cikgu, " jelasnya dengan nada yang lemah. Sebutir air jernih mengalir daripada matanya disusuli berpuluh-puluh yang lain pula. Namun pantas disapunya air jenih itu dengan tapak tangannya.



Aku terkedu, murid tahun empat yang masih mentah ni telah menggetarkan perasaanku. Bukan kerna simpati dek masalah yang menimpa keluarganya, tapi ketelusan hati seorang anak yang penuh pengharapan kepada Tuhan telah menggoncangkan imanku! Biar pun dia masih tidak mengerti sepenuhnya pengharapan pada Tuhan, tapi itulah hakikatnya bahawa anak-anak lagi punyai hati yang kudus dalam mendambakan pengharapn dan kasih sayang. Selama ini kita masih buta dan tuli dengan kedewasaan kita tanpa mengerti sepenuhnya perasaan dan harapan seorang anak terhadap ayah dan ibunya dalam menuntut kasih sayang dan kebahagiaan.

Tiada ulasan: