WANGIAN PAGI : MAHA SUCI ALLAH

Dah lama terfikir aku untuk membuat coretan tentang tajuk ini. Setiap pagi! Ya, setiap pagi aku menaiki motosikal ke tempat kerja melewati kawasan yang punyai rimbunan pokok-pokok gelang (entah dah lupa apa nama sebenarnya pokok itu). Wangiannya menusuk tajam ke hidung ku hingga mengimbau segala memori ketika bersekolah rendah dahulu. Ini kerana pokok-pokok tersebut di tanam di sekeliling sekolah aku SK Semut Api, Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu. Seolah-olah wangian tersebut cukup akrab dengan kenangan tersebut.

Alhamdulillah buat masa sekarang Allah masih mengurniakan kepada aku deria bau yang baik untuk menikmati segala wangian alam yang berada di sekeliling aku. Bagi aku, wangian alam terutama ketika waktu pagi amat memberahikan. Pasti anda semua perasan bahawa anda juga pernah dapat menikmati wangian-wangian tersebutkan? Setiap wangian tersebut berbeza dan punyai tarikannya yang tersendiri.

Sebagai contoh wangian kawasan laut ketika pagi. Laut juga ada punyai wangian yang berzeza. Aku orang laut, aku memang tahu bezanya. Kawasan yang dipenuhi pelaut ada wangianya tersendiri berbeza dengan kawasan pelancongan. Hamis angin dan percikan air laut laut, hamis ikan-ikan kering, pukat, hamis pasir-pasirnya, camar-camar laut, pokok-pokok rhu mengadunkan wangian yang mengasyikkan.



Wangian hutan yang segar dengan titisan embun dialunkan dengan sayup-sayup kedengaran desiran air terjun membadai batu. Subhanallah, amat menarik sekali. Suatu ketika dahulu setahun pasti 3 kali aku akan berkhemah di hutan. Dingin paginya masih terasa di seluruh badan.



Mungkin ramai dalam kalangan anda yang dapat merasai wangian bunga pokok kemboja. Terutama di waktu pagi. Ini kerana kalau tidak silap aku di zaman 80-an dan 90-an dahulu, pokok-pokok bunga ini banyak di tanam di permis-permis kerajaan. Termasuklah di Kem Tentera tempat ayah aku bekerja.



Wangian bendang / sawah yang digauli dengan bau dedak itik, ayam, bau lembu kerbau. Kecil-kecil apabila balik kampung, aku selalu menghalau itik-itik arwah datuk aku ke bendang. Amat menyeronokkan.

Anda ingin turut sama merasai nikmatnya? Bangunlah awal pagi dan lewatilah kawasan-kawasan yang anda fikirkan punyai wangian alam semula jadi. Seperti Kawasan kebun getah, kawasan kebun sawit, laut, sungai, hutan, muara, paya bakau, sawah padi, kebun durian, kawasan sekolah, bilik darjah, padang bola, masjid, surau dan lain-lain lagi. Pasti anda merasai betapa berbezanya wangian bagi setiap kawasan yang anda lewati.



Dan banyak lagi wangian alam yang melimpahi alam sekeliling kita. Sesungguhnya Allah Maha Hebat dan Maha Kaya. Setiap wangian tersebut amat berbeza baunya dan mampu untuk mengubati segala dosa-dosa kita sekiranya kita mengagumi Keindahan dan Kehebatan Ciptaan Allah Taala.

Zuhey : Bagaimana ya bau wangian dalam syurga?

Tiada ulasan: