TEORI MEANING IN INTERACTION : JENNY THOMAS 1995

Ghani bin Ismail telah menjalankan kajian untuk tesis Doktor Falsafahnya yang bertajuk “Makna Ujaran Dalam Novel Karya Arena Wati Dari Sudut Pragmatik” pada tahun 2005. Berdasarkan kajian, beliau telah mengemukakan teori Thomas (1995) yang memberi penekanan kepada prinsip-prinsip tertentu iaitu makna abstrak, makna penutur yang merangkumi konteks dan niat penutur serta interpretasi pendengar menjadi landasan perbincangan selanjutnya.

Dalam kajiannya juga, beliau berpendapat bahawa Thomas telah melihat bidang pragmatik sebagai suatu bidang yang mengkaji makna dalam interaksi atau perbualan. Kajian tentang makna perbualan mesti berlandaskan prinsip-prinsip tertentu, dengan mengambil kira makna abstrak, makna penutur dan interpretasi pendengar. Hal ini diperjelaskan oleh Thomas sebagai:

“... that meaning is not something which is inherent in the words alone, not is it produced by the speaker alone. Making meaning is a dynamic process, involving the negotiotion of the meaning between speker and hearer, the context of utterebce (physical, sosial and linguistic) and the meaning potential of an utterance.” (1995:22-23)

Dalam setiap ujaran, penutur mempunyai niat tertentu, manakala pendengar akan menginterpretasi ujaran yang didengarinya bagi memahami maksud sebenar penutur. Proses ini akhirnya akan melahirkan makna bersama antara penutur dengan pendengar. Untuk mengetahui maksud ujaran secara lebih jelas, sesuatu ujaran akan dianalisis berdasarkan makna yang terkandung di dalamnya, dengan menagmbil kira makna abstrak, makna penutur dan interpretasi pendengar. Rajah 1 di bawah menunjukkan proses menganalisis makna ujaran dari sudut pragmatik mengikut prinsip yang telah dikemukakan oleh Thomas (1995):



BACA KESEMUANYA DAN BINA RAJAH BERDASARKAN KEFAHAMAN ANDA 




Rajah 1: Proses menentukan makna ujaran dari sudut pragmatik. (Diubahsuai berdasarkan prinsip yang telah dikemukakan oleh Thomas, 1995)

Makna Abstrak

Secara umumnya, makna abstrak ialah makna kamus atau makna leksikal, iaitu makna perkataan, frasa dan ayat yang diperolehi dengan melihat keseluruhan penggunaanya dalam sesuatu ayat. Dengan sebab itu, makna abstrak tidak akan diperoleh hanya dengan satu perkataan sahaja. Makna abstrak akan diketahui dengan melihat penggunaannya di dalam frasa atau ayat. Sebagai makna abstrak, makna leksikal (lexical meaning) juga merupakan makna kata yang disediakan oleh kamus. Sebahagian besar kelas kata mempunyai makna leksikal, iaitu makna yang mempunyai kaitan dengan tatabahasa (Arbak Othman dan Ahmad Mahmood, 2000:146-147). Setiap item leksikal mempunyai kedua-dua makna iaitu makna leksikal dan makna nahu.

Makna abstrak juga dikenali sebagai makna literal. Dalam bidang terjemahan, makna literal sesuatu kata atau ayat tidak menggambarkan makna sebenar seperti yang dihajatkan oleh penuturnya. Makna literal bagi sesuatu ayat akan mendatangkan masalah sekiranya konteks diabaikan (Nor Hashimah, 1991:986). Untuk menterjemahkan ayat-ayat figuratif dalam bahasa Inggeris berdasarkan makna literal (makna kamus), penterjemah seharusnya menentukan konteks bahan yang bakal diterjemahkannya. Hal ini penting bagi mendapatkan makna sebenar ayat tersebut.

Makna Penutur

Makna penutur (speaker meaning) merupakan salah satu elemen yang penting dalam bidang pragmatik. Makna penutur adalah maksud sebenar penutur terhadap apa-apa yang dituturkan ketika itu. Dalam perbualan biasa, jarang sekali seseorang itu menapis semula interpretasinya terhadap sesuatu perkara atau rujukan berdasarkan konteks. Wujudnya pengabaian konteks pendengar menyebabkan keraguan terhadap potensi sesuatu ujaran. Namun demikian, dalam keadaan yang sebenar penginterpretasian maksud ujaran mengikut konteks bukanlah suatu perkara yang sukar. Makna penutur yang sebenar akan diperolehi sekiranya sesuatu ujaran itu dikaji berdasarkan tahap-tahap tertentu iaitu makna ujaran dan niat penutur.

Makna Ujaran Mengikut Konteks

Pengetahuan tentang konteks amat berperanan bagi menentukan makna sebanr sesuatu ujaran. Dalam proses penginterpretasian ujaran, pembinaan konteks dan kesan konteks adalah sangat penting.


Konteks dan Kesan Konteks

Menurut Thomas (1995:16-17) makna ujaran (utterance meaning) ialah “a sentence – context pairing” atau makna konteks (contextual meaning). Konteks ialah seberkas andaian mengenai dunia, yang dibina secara psikologis oleh pendengar. Sesuatu konteks tidak terhad kepada maklumat mengenai persekitaran fizikal dan ujaran terdahulu. Ujaran terdahulu merujuk kepada topik pertama sesuatu perbualan walaupun terdapat topik-topik lain yang hadir selepasnya (Nor Hashimah, 1990:453). Dalam hal ini, Sperber dan Wilson (1986:15) menjelaskan bahawa konteks merangkumi perkara-perkara yang melibatkan masa depan, hipotesis saintifik atau kepercayaan keagamaan. Kenangan lucu, andaian am tentang budaya dan kepercayaan terhadap pemikiran si penutur. Kesemua ini sangat berperanan dalam penginterpretasian sesuatu ujaran.

Kesan konteks pula merupakan beberapa andaian yang dibina dan diproses oleh pendengar sebagai pembuka wacana. Set andaian itu sentiasa ditambah mengikut keperluan semasa menginterpretasikan sesuatu ujaran. Konteks yang berbeza akan menghasilkan interpretasi pragmatik yang berbeza. Kesan konteks boleh diperolehi dengan cara penggabungan konteks yang sedia ada, menguatkan lagi andaian yang sedia wujud, melakukan pertentangan maklumat dan menggugurkan andaian yang lemah.


Perkembangan Konteks

Konteks pemula yang ditetapkan oleh seseorang merupakan titik permulaan bagi sesuatu proses perbualan (Nor Hashimah, 1992:38). Perluasan sesuatu konteks dapat dilakukan dengan melihat kembali konteks yang sedia ada dan ditambah dengan andaian yang telah digunakan atau berdasarkan proses deduktif yang terdahulu. Terdapat tiga cara sesuatu konteks permulaan dapat dikembangkan, iaitu:

i. Melihat ke arah ujaran yang terdahulu

ii. Melihat ke arah alam persekitaran

iii. Merujuk kepada catatan ensiklopedia bagi istilah-istilah yang telah digunakan dalam ujaran dan konteks.


Jenis-Jenis Konteks

Konteks Fizikal dan Persekitaran

Menurut Palmer (1992:59), konteks fizikal dan persekitaran merujuk kepada objek fizikal di sekeliling tempat berlangsungnya sesuatu komunikasi atau perbualan. Konteks fizikal (keadaan) yang dicadangkan oleh Malinowski (1949) merupakan sebahagian daripada proses masyarakat yang boleh dipertimbangkan sebagai satu rentetan peristiwa sebenar. Hal ini menjadikannya sesuai digunakan sebagai satu kerangka tersusun yang baik bagi peristiwa-peristiwa bahasa seperti perbualan. Elemen-elemen seperti ciri-ciri peserta (gerak ujaran dan gerak bukan ujaran), objek-objek yang sesuai dan kesan gerak ujaran tersebut perlu dianalisis agar maksud diketahui dengan jelas.

Menurut Schiffrin (1994:50), konteks fizikal merujuk kepada konteks latar sesuatu perbulan secara spesifik. Dengan memahami latar peristiwa secara jelas, pendengar akan dapat mengaitkan ujaran dengan latar tersebut bagi memahami maksud setiap ujaran secara optimum. Dalam sesuatu peristiwa bahasa, konteks fizikal amat berperanan dalam menentukan maksud sebenar sesuatu ujaran. Ini kerana konteks fizikal merangkumi perkara-perkara yang menjadi latar atau persekitaran sesuatu perbualan. Elemen-elemen ini amat penting bagi membantu pendengar mengaitkannya dengan andaian-andaian maknayang sekaligus akan membantu pendengar memahami ujaran-ujaran yang terdapat dalam peristiwa bahasa tersebut.


Konteks Sosial dan Budaya
Makna sesuatu ujaran juga ditentukan oelh faktor sosial dan budaya sesuatu masyarakat penuturnya. Akmajian et. al (2002:356) telah menjelaskan kepentingan konteks situasi sosial dalam komunikasi seperti yang berikut:

“... komunikasi ialah perkara sosial, biasanya berlaku dalam konteks situasi sosial yang jelas. Dalam konteks seperti itu, kita bergantung antara satu sama lain untuk berkongsi tanggapan kita tentang situasi itu.”


Konteks Linguistik

Konteks linguistik yang dimaksudkan adalah bentuk penggunaan bahasa yang bukan merupakan sebahagian daripada makna bagi ucapan, iaitu menyatakan sesuatu tetapi tidak bermaksud demikian (Nor Hashimah, 1992:26). Bentuk bahasa sedemikian sering digunakan dalam perbualan seharian sebagai ragam bahasa. Perkataan-perkataan yang digunakan mempunayi makna yang berlawanan daripada maksud sebanar penutur. Pendengar akan memahami ujaran tersebut berdasarkan konteks penggunaannya.

Sebagai contoh, “Pergi panjat pokok itu lagi.” akan membawa dua maksud yang bertentangan. Jika ditinjau dari sudut semantik, ujaran tersebut merupakan ayat perintah yang menyuruh seseorang memanjat pokok. Namun demikian, sekiranya dianalisis dari sudut pragmatik, ayat tersebut secara implisitnya bermaksud ayat larangan “Jangan panjat pokok itu lagi.” Ayat larangan itu timbul setelah diambil kira penggunaannnya mengikut konteks, iaitu peristiwa yang menyebabkan lahirnya ujaran tersebut.

Huraian di atas menunjukkan peri pentingnya konteks dalam penentuan maksud sebenar sesuatu ujaran. Penutur yang menuturkan sesuatu ujaran mempunyai maksud tertentu yang cuba disampaikan dengan menggunakan bentuk bahasa tersendiri. Pendengar pula akan cuba mentafsir maksud ujaran tersebut berdasarkan interpretasinya sendiri. Dengan mengambil kira konteks ujaran tersebut, pendengar dapat menyelami hajat sebenar penutur.

Makna Ujaran Berdasarkan Niat Penutur

Penutur menggunakan bahasa untuk tujaun tertentu seperti untuk berjanji, menempelak, bersetuju, mengkritik dan sebagainya. Hal inilah yang dikatakan sebagai penggunaan bahasa untuk sesuatu tujuan yang dimanifestasi melalui ujaran (Kempson, 1991:62). Apabila seseorang menggunakan bahasa, yang menjadi fokus ilah sesuatu yang dibuat dengan kata-kata dalam situasi tertentu. Oleh itu, hal-hal yang berkaitan dengan niat, tujuan, kepercayaan dan keinginan yang ada pada penutur ketika bercakap sewajarnya diberi perhatian (Akmajian, 2002:356).

Dalam pengucapan sesuatu ayat, penutur itu lazimnya terlibat dalam tiga gerak laku yang berlainan, iaitu pelakuan pengucapan, pelakuan niat pengucapan dan pelakuan tindak balas pengucapan. Menurut Austin (1962:101), pelakuan pengucapan merupakan gerak laku menuturkan satu-satu ayat dengan makna tertentu. Pelakuan niat pengucapan pula merujuk kepada niat penutur ketika mengujarkan ujaran tersebut sama ada berniat memuji, mengkritik, menyutujui dan sebagainya. Manakala tindak balas pengucapan pula merupakan gerak laku yang diperoleh secara langsung akibat daripada ujaran tersebut. Ketiga-tiga gerak laku yang berlainan ini merupakan perlakuan pertuturan yang biasa dalam proses perbualan.

Niat penutur merupakan perkara pokok yang perlu diambil kira oleh pendengar bagi mentafsir maksud sebenar penutur selain konteks. Hubungan yang baik di antara penutur dengan pendengar ketika berlangsungnya sesuatu perbulan menjadikan proses penginterpretasian maksud penutur lebih mudah dilaksanakan oleh pendengar. Apabila pendengar benar-benar memahami maksud yang diujarkan oleh penutur, menjadikan perbualan berlaku dalam situasi yang saling faham memahami serta mesej yang ingin disampaikan oleh kedua-dua pihak akan tercapai dengan jayanya.

Interpretasi Pendengar

Maksud sesuatu perbualan akan diketahui dengan jelas apabila pendengar dapat menginterpretasi sepenuhnya maksud setiap ujaran yang dilahirkan oleh penutur. Dalam konteks ini, pendengar sewajarnya memberi perhatian pada setiap kalimat yang dituturkan oleh penutur, sama ada dari segi penggunaan kata, sebutan, nada serta intonasi. Hakikatnya, proses menginterpretasi sesuatu ujaran melibatkan pendekatan kognitif. Hal ini telah diperjelaskan oleh Thomas (1995:2) sebagai:

“...which is favoured by those who take a broadly cognitive approach, avoids this fault, but at the cost of focusing too much on the receiver of the message, which in practice means largely ignoring the sicial constraints on utterance productions.”

Menurut Akmajian (2002:358), proses komunikasi antara penutur dan pendengar labih berfokus kepada mesej dalam sesuatu perbualan. Keupayaan penutur menginterpretasi makna ujaran yang didengarinya amat bergantung kepada kemampuan minda penutur menerima sejelas-jelasnya ujaran yang didengarinya. Model mesej dalam perbualan menyatakan bahawa seseorang penutur mempunyai beberapa mesej dalam fikirannya yang ingin disampaikan kepada pendengar. Pendengar pula menghasilkan beberapa ungkapan daripda bahasa yang mengekod mesej mengikut maknanya. Apabila mendengar permulaan ungkapan itu, pendengar akan memulakan proses interpretasi dengan menyahkod secara berurutan untuk mengenal pasti bunyi yang diterima, kategori sintaksis dan makna. Pendengar kemudiannya menggubah makna ini ke dalam mesej yang dinyahkod dengan jayanya.

Interpretasi pendengar merupakan proses dinamik berterusan yang melibatkan minda (kognitif) dalam memahami setiap ujaran yang didengarinya. Keupayaan pendengar mentafsir makna ujaran yang didengarinya itu banyak bergantung kepada faktor-faktor lain. Dalam menginterpretasi ujaran tersebut, faktor konteks sama ada konteks latar dan situasi banyak membantu pendengar memahami maksud sebenar penutur.

Disunting oleh: Fendi Zaini
Sumber: Ghani Ismail (2005) Tesis Doktor Falsafah Bahasa Melayu : Makna Ujaran dalam Novel Karya Arena Wati. Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Universiti Putra Malaysia.

Tiada ulasan: