Linguistik (Kesusateraan)

1.0 Pendahuluan

Manusia tidak dapat dipisahkan daripada bahasa. Sejarah telah membuktikan bahasa, manusia sejak berzaman menggunakkan dan berminat menkaji bahasa. Ini kerana bahasa merupakan satu komponen yang penting dalam kehidupan manusia selain daripada keperluan-keperluan asas yang lain. Dengan bahasa manusia boleh berkomunikasi, bersatu padu, berkuasa dan bertamadun.
Manusia juga berusaha menkaji asal-usul bahasa dan juga dari aspek penggunaan seperti, puisi, nyanyian, doa, pidato dan sebagainnya.


1.2 Objektif

Berdasarkan tajuk kertas kerja ini “Kesusasteraan dan Linguistik”, objektif yang digariskan adalah seperti berikut:
Menyatakan pengenalan ilmu kesusasteraan dan ilmu linguistik.
Mengenal pasti hubungan di antara kesusasteraan dan linguistik.
Mengenal pasti kepentingan kesusasteraan dan linguistik kepada masayarakat.

1.3 Kaedah

Kaedah yang digunakan dalam usaha menyiapkan dan memurnikan kertas kerja ini adalah dengan penggunaan kaedah perpustakaan iaitu dengan buku-buku ilmiah berkaitan dengan kesusasteraan dan linguistik, jurnal, artikel, majalah dan kertas-kertas kerja.

1.4 Batasan

Kertas kerja ini akan meneliti dan memfokuskan perbincangan mengenai ilmu kesusasteraan dan ilmu linguistik secara umum. Untuk maksud pembatasan kajian, perbincangan dihadkan kepada pada kesusasteraan Melayu dan kajian linguistik di Malaysia.


Perkembangan Ilmu Kesusasteraan

Menerusi catatan sejarah bahawa pemikiran kesusasteran telah melalui proses sejarah yang amat panjang. Pemikiran tentang kesusasteraan bermula sejak lebih kurang 400 sebelum Mesihi ( Ali Ahmad , 1994) , iaitu apabila Plato, ahli falsafah Yunani, memperkatakan sastera sebagai hasil peniruan terhadap alam semesta. Pandangan beliau diperbaiki Oleh Aristotle, iaitu muridnya, yang kemudiannya mendapat ikutan dan ubahsuaian oleh pemikir dari Rom seperti Horece dan seterusnya mempengaruhi sebahagian pandangan-pandangan mutakhir. Pembaikan terhadap pandangan yang lama dan pembentukan fikiran baru menjadi landasan kepada pengkhususan yang amat ketara.

Manakala di tanah air kita Malaysia, kesusasteraan yang wujud adalah hasil dari tinggalan zaman lampau. Walaupun terdapat sesetengah pandangan yang membuat pembahagian terhadap kesusasteran Melayu sama ada lama atau baharu, ianya hanya merupakan kajian ilmu pengetahuan tentang sastera. Ia tidak bermaksud untuk memisahkan antara lama dan baru itu dari segi nilainya, hanya sekadar membuat perbandingan antara keduanya.

Mengikut pembahagian yang dibuat oleh ahli-ahli bahasa dan budaya umumnya, yang dikatakan kesusasteraan Melayu lama adalah hasil-hasil sastera yang telah sedia wujud sebelum zaman Abdullah Munsyi. Permulaan kesusasteraan Melayu lama yang dapat dikesan dengan jelas ialah sekitar tahun 1500, iaitu setelah agama Islam masuk ke alam Melayu.
Hasil-hasil kesusasteran lama sebelum tahun 1500 merupakan sastera lisan. Belum ada hasil kesusasteraan yang ditulis, ianya berkembang melalui pertuturan atau penceritaan dari mulut ke mulut. Orang-orang yang mengetahui tentang sastera, disebut sebagai tukang cerita yang digelar penglipur lara. Antara tokoh pencerita yang amat terkenal ialah Pawang Ana. ( Asmad, 1990).

Bidang Pengajian Kesusasteraan

Menurut Ali Ahmad (1994) terdapat bidang bidang utama dalam pengajian kesusasteraan dan dua subbidangnya. Tiga bidang utamanya ialah seperti berikut:

1. Teori Kesusasteraan

Teori Kesusasteran berkaitan dengan pengajian tentang prinsip-prinsip kesusasteraan, pengkelasannya; atau dengan kata lain, pandangan bahawa kesusasteraan itu mempunyai susunan, dan untuk memahami susunannya memerlukan peraturan-peraturan yang digubal setelah melihat ciri-ciri yang umum, yang khusus, dan yang tersendiri.

2. Kritikan Kesusasteraan.

Melihat sastera yang khusus, iaitu karya terpilih untuk dinilai kedudukannya sama ada berjaya atau tidak, kukuh atau lemah.

3. Sejarah Kesusasteraan

Melihat karya sastera dari sudut kronologi atau perkembangan dari semasa ke semasa.

Manakala subbidangnya adalah seperti berikut;

1. Kesusasteraan Rakyat

Kesusasteraan rakyat, atau dalam bahasa Inggeris dinamakan folklore, merupakan satu bidang pengajian tentang sastera warisan yang disampanikan secara lisan.

2. Kesusasteraan Bandingan

Paksi bagi kajian kesusasteran bandingan ialah teori dan permasalahan genre dalam sastera dua masyarakat atau lebih

Bentuk Kesusasteraan Melayu


Menurut Asmad (1990) bentuk kesusasteraan Melayu terbahagi kepada dua bentuk iaitu bentuk prosa dan bentuk puisi. Dari segi corak dan isinya ianya dibahagikan pula kepada prosa lama, prosa baru; puisi lama dan puisi baru. Terdapat juga ahli-ahli bahasa yang menggunakan istilah satera klasik dan sastera moden.

Puisi

Puisi lama adalah terdiri daripada:

1) Mantera
2) Jampi
3) Pantun
4) Syair
5) Gurimdam
6) Seloka
7) Talibun
8) Nazam
9) Masnawi
10) Kut’ah
11) Rubi’ah
12) Bahasa berirama

Dari segi bentuknya terdapat juga beberapa jenis ragaman bahasa yang berunsurkan puisi yang dikenali sebagai:

1) Peribahasa
2) Perumpamaan
3) Bidalan
4) Pepatah
5) Perbilangan
6) Bahasa kiasan
7) Simpulan bahasa

Menurut Asmad (1990) lagi ragaman bahasa yang tersebut di atas ada yang tidak memenuhi cirri-ciri yang lengkap sebagai karya puisi. Ianya boleh digolongkan dalam satu kumpulan yang dinamakan sebagai bunga bahasa. Manakala Puisi Melayu baru ialah sajak.

Prosa

Prosa lama atau prosa klasik Melayu adalah terdiri daripada:

1) Cerita-cerita rakyat
2) Sastera epik
3) Sastera sejarah
4) Sastera roman

Terdapat pengkaji-pengkaji sastera membahagikan karya prosa lama itu kepada jenis-jenis, iaitu :

1) karangan-karangan yang berhubung dengan agama Islam.
2) sastera yang bercorak kebangsaan.
3) Sastera yang berasal daripada sastera asing
4) Cerita-cerita berbingkai.
5) Cerita-cerita binatang.
6) Cerita-cerita penglipur lara.
7) Cerita-cerita jenaka.
8) Cerita-cerita panji dan hikayat.

Bagaimanapun pembahagian tersebut bukanlah mutlak, ianya boleh dibahagikan mengikut pendapat dan pengertian masing-masing. Paling penting, berbagai-bagai bentuk karya prosa lama tersebut merupakan perbendaharaan kesussateraan Melayu yang diwarisi daripada masyarakat zaman silam. Sebahagian daripadanya merupakan karya klasik Melayu yang amat berharga.

Dari segi bentuk dan isi prosa baru berbeda daripada prosa lama atau prosa klasik. Dua bentuk yang utama dalam prosa baru ialah novel dan cerpen. Istilah novel baru dipakai dalam kesusasteraan Melayu, ianya mula diperkenalkan dalam tahun 50-an. Sebelum itu istilah novel lebih dikenali sebagai cerita roman.

Satu lagi bentuk yang boleh digolongkan dal;am prosa baru ialah penulisan drama. Drama adalah seni lakonan.Seni lakon bangsawan pada masa dahulu tidak memakai skrip seperti lakonan drama kini. Cerita dalam lakonan drama ditulis dalam bentuk prosa yang dinamakan skrip drama.. Perkembangan drama menjadikan skrip drama mempunyai beberapa nama iaitu skrip nama pentas, skrip drama radio, skrip darama televisyen dan skrip filem.

Kepentingan Kesusasteraan
Kesusasteraan itu sangat dekat dengan kehidupan kita kerana menjadi bahan utamanya adalah manusia dan lingkungannya dan persoalan yang diutarakan pula adalah persoalan yang berhubungan rapat dengan manusia dan kehidupan. Dibantu oleh daya kreatif pengarang, kesusasteraan adalah cermin kehidupan atau pentafsiran kehidupan manusia. (Nur’Ainy Ali, 2004). Jika dikaji dan diselidiki secara mendalam, terdapat banyak kepentingan dan sumbangan kesusasteraan terhadap kita semua. Antara kepentingan dan sumbangan kesusateraan adalah seperti berikut:

1. Kesusasteraan adalah alat perantaraan ampuh yang memainkan peranan penting dalam mengeratkan lagi perhubungan dan pertalian antara masyarakat serta mengeratkan perhubungan dan persefahaman antara satu bangsa dengan bangsa yang lain. Ini adalah kerana dalam karya kesusasteraan itu terdapat nilai-nilai yang dianuti dan cara hidup sesuatu bangsa.
2. Kesusasteraan selain berfungsi untuk mendidik, juga dilihat sebagai berfungsi membersihkan diri jiwa manusia atau penawar jiwa.
3. Gambaran atau ciri-ciri ketaatan dan kepimpinan masa lampau dalam masyarakat Melayu ditinjau di luar hubungan sejarah dapat digali daripada sumber kesusasteraan terutama kesusasteraan klasik.
(Nur’Ainy Ali, 2004).
4. Bidang kesusasteraan mengajar kita untuk mengerti hakikat hidup beragama dan sejarah setiap rumpun bangsa Melayu dan lain-lainnya
5. Bidang kesusasteraan menguji kekuatan minda kita sebagai pemikir dan pengkritik yang konstruktif dan sistematik tentang kehidupan yang dapat dikesan dalam sesebuah karya.
6. Dalam konteks ilmu, kesusasteraan adalah sebuah disiplin ilmu yang menjana, mengasah, mencanai, membentuk akal dan fikiran manusia supaya kreatif dan imaginatif. Digabung pula dengan ilusi, fantasi serta bakat, pengalaman, unsur, misteri, rasa, kepekaan, minat dan kecenderungan terhasillah gambaran seni yang cukup halus dan suci. (Noriah Taslim, 2004)
7. Sejak beribu-ribu tahun yang lalu peranan sastera dalam pembagunan tamadun dan budaya manusia sudah teriktiraf. Sastera muncul sebagai melahirkan keinginan manusia primitive untuk mengatasi dan mengubah alam sekitarnya (Fisher, 1963) dan juga untuk membangunkan kesedaran kekelompokan, kewujudan kolektif yang merupakan permulaan kepada hidup bermasyarakat.
Kepentingan Linguistik

Linguistik adalah ilmu mengkaji bahasa. Kajian linguistik pula untuk melihat bentuk bahasa bahasa dan ada juga kajian yang meliputi perkaitan antara bahasa dan penutur serta masyarakat sekeliling. Jadi semestinya linguistik mempunyai kepentingan dan memberi sumbang yang tersendiri kepada masyarakat, lebih-lebih lagi kepada pengguna sesuatu bahasa. Antara kepentingan dan sumbangannya adalah seperti berikut:

1. Kegunaan ilmu linguistik ialah untuk menghuraikan segala aspek bahasa terutama sekali berkaitan dengan struktur dan sistem dalam sesuatu bahasa
2. Kajian linguistik memberi pemahaman kepada masyarakat tentang cirri- ciri bahasa dan peranan yang boleh dimainkannya. Contohnya untuk pembangunan sesebuah negara yang akan atau baru merdeka, satu bahasa perlu diangkat sebagai bahasa rasmi untuk berfungsi sebagai bahasa pembangunan dan pembagunan. Dalam hal ini juga, bahasa tersebut dapat digunakan sebagai alat untuk menyatupadukan rakyat yang bersifat pelbagai kaum
3. Seorang kaunselor, selain memerlukan pengetahuan yang baik dalam bidang tersebut, mereka perlu mahir dan mengetahui selok belok ayat dan perkataan yang sesuai bagi mempengaruhi pesakit atau pelanggan mereka.
4. Kepada juru bahasa ataupun penterjemah, mereka perlu mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang baik dalam bidang linguistik. Ini kerana penterjemahan akan melibatkan factor bahasa dan kebudayaan. Untuk itu, kedua factor ini mesti dipertimbangkan supaya hasil terjemahan dapat disampaikan dengan maksud yang sejelas-jelasnya.
5. Kajian linguistik berguna secara khusus kepada orang-orang yang terlibat dengan bahasa, seperti guru dan perancang bahasa. Kepada guru-guru bahasa, pengetahuan tentang ciri-ciri bahasa seperti struktur dan sistemnya akan memudahkannya memberikan huraian serta penjelasan aspek-aspek bahasa yang diajar kepada para pelajar. Umpamanya dalam struktur susunan bunyi, aspek sebutan, perkataan atau ayat bahasa Melayu.
(Nor Hisham Osman, 2001)

Hubungan antara Kesusasteraan dan linguistik.

Para sarjana sastera dan bahasa berpendapat bahawa, sastera dan linguistik adalah seiring, sejalan dan sehaluan sejak berabad-abad lamanya, kerana kajian puisi pada zaman Aristotle (384-322 S.M). menjadi salah satu cabang kajian tatabahasa ( M. Simanjuntak, 1979) Malahan pada abad ke-18, retorik dan puisi digabung dalam satu disiplin (C.W. Hayes, 1969). Pada pertengahan abad ke-20, hubungan yang erat di antara bahasa dengan sastera diberi perhatian dengan bersungguh-sungguh oleh ahli linguistik Barat seperti John Spencer, James P. Thorne, I.A. Richards, Richard Ohmann, Nils Eric Enkvist, Michael J. Gregory dan lai-lain lagi. Dalam masa lebih kurang satu dekat kebelakangan ini, tumbuh aras baru dalam linguistik yang ada hubungannya dengan sastera, iaitu linguistik teks seperti yang dikemukakan oleh Van Dyk (1972), Dressler (1972) serta Beaugrand dan Dressler (1981)
Menurut Shahnon Ahmad (1991), dalam kesusasteran, bahasa menjadi alat yang sering dilentur-lentur untuk menyatakan emosi dan perasaan yang pelbagai peringkat juga tentang kesan-kesan daripada emosi itu. Pengarang yang kreatif akan cuba menggunakan bahasa seluas mungkin meliputi pemilihan sintaksis, diski, ungkapan-ungkapan yang khusus dan meluaskan penggunaan bahasa-bahasa kiasan untuk mencapai kesan seberapa maksimum yang boleh dan. Dalam kesusasteraan juga pengarang akan memberi tugas yang lebih luas kepada bahasa dengan beberapa kuasa baru dalam menyatakan perasaan, situasi, perwatakan dan sebagainya. Pengarang juga mungkin mencipta kata-kata yang beraneka erti sifatnya untuk memperkayakan kuasa pengucapan bahasa.
Bahasa yang digunakan dalam karya sasatera sesuatu masyarakat tetaplah dalam lingkungan bahasa masyarakat tersebut. Hal ini demikian kerana sastera merupakan salah satu aspek komunikasi masyarakat. Oleh sebab itu bahasa dalam satera masih tetap berdasar pada aturan-atarun bahasa umum (M.S. Hutagalung, 1968). Daripada kacamata linguistik, aturan-aturan bahasa umum yang disebut itu dikenal sebagai tatabahasa. Dalam hubungannya dengan kewujudan bahasa, tatabahasa mencerminkan sistem sesuatu bahasa. Teori linguistik Transformasi Generatif mengatakan bahawa tatabahasa ialah himpunan rumus-rumus yang menerbitkan jumlah ayat gramatis yang tidak terbatas dalam sesuatu bahasa.
Walaupun kesusasteraan banyak menerokai bidang pemakaian bahasa dalam berbagai-bagai gaya untuk menerangkan berbagai-bagai situasi namun ianya tetap tertakluk kepada tatabahasa yang betul. Sekalipun kebebasan yang luas diberi dalam penggunaan gaya bahasa sastera, ianya tetap dikawal daripada melanggar peraturan-peraturan tatabahasa yang diterima ramai. Dalam pemakaian bahasa bagi penciptaan karya sastera kebebasan hanya diberi dalam bidang gaya sahaja bukannya dalam aspek tatabahasa. Hakikat ini dikukuhkan lagi oleh Umar Junus (1968) yang berkata, “ kelainan yan pada bahasa dalam sastera yang “biasa” bukanlah kelainan sistem, tetapi perbedaan pemilihan pola-pola yang ada.” Baharuddin Zainal (1974) juga berpendapat bahawa walaupun dalam tulisan kreatif penulis mencipta dan mneghasilkan sesuatu yang asli dan unik, tetapi ia tidak pula memperlakukan bahasa dengan sewenang-wenangnya. Betapa pun kreatif dan imaginatifnya dia, namun dia tidak boleh menyimpang jauh daripada pola-pola bahasa yang diterima oleh masyarakatnya.
M.Z.Z.M

Tiada ulasan: