PEMBAJAK BAHASA


Umpama pembajak berpanasan di tengah sawah,
dengan segala kudrat memerah keringat,
melebur tanah gersang membajai fitrah,
benih bahasa disemai, dengan tangan bergerutu,
membersih belukar liar perosak nilai,
sekali ditebas, beratus pula yang membiak.

Mondok bukan lagi ancaman, burung pun bukan,
tapi benih lama yang sial,
melukut dengan kepandaian,
kononnya berilmu berpandangan jauh kehadapan,
habis laman bahasa temurun disialkan.

Jangan sangka pembajak kerdil ini memandang sahaja,
laman bahasa temurunnya ditumbuhi lalang belukar,
pasti usaha dilipat gandakan,
pasti fikiran digemblengkan,
takkan lalang belukar yang hendak diwariskan
kepada cucu cicit masa hadapan,
nasi makanan kita, bahasa Melayu bahasa kita.

Tiada ulasan: