PEMEROLEHAN BAHASA KANAK-KANAK


Peranan Ibu Hamil Dalam Pembentukan Otak Bayinya
Oleh Muhammad Zuhair Zainal


Setiap pasangan ibu bapa mengimpikan untuk mendapatkan seorang anak yang sihat, cergas, pintar dan dapat berbahasa dengan baik. Sering kali kita melihat betapa terujanya ibu bapa yang baru melahirkan anak ingin mendengar anaknya bercakap. Bagi mereka yang mempunyai anak yang lambat dapat bercakap, ianya merupakan suatu debaran dan dugaan bagi mereka. Pelbagai cara dan kaedah dilakukan agar anak ini dapat bercakap dan berbahasa seperti anak-anak yang lain. Secara sainstifiknya aktiviti bercakap memerlukan bahasa. Bahasa merupakan intipati aktiviti manusia. Setiap kanak-kanak normal yang dilahirkan pasti dapat bertutur dan berbahasa.

Perbincangan mengenai pemerolehan bahasa oleh kanak-kanak telah pun diutarakan oleh ahli-ahli psikolinguistik. Menurut Chomsky (1965), setiap manusia lahirnya dilengkapi alat pemerolehan bahasa. Chomsky menamakan alat ini LAD atau Language Acquisition Device. LAD inilah yang membezakan manusia dengan haiwan. LAD ini terletak di dalam bahagian minda dan otak manusia. Oleh itu otak sebenarnya memainkan pengaruh yang besar dalam pembentukan LAD yang baik. Faktor ibu semasa mengandung amat penting dalam pembentukan otak bayinya. Semasa di dalam kandungan, otak bayi mula terbentuk seawal hari yang ke-27 kehamilan. Pada masa ini, pertumbuhan otak berlaku dengan cepat, di mana sel-sel otak berkembang pada kadar 250,000 sel per minit. Sel-sel otak memerlukan pemakanan dan rangsangan yang betul untuk memastikan perkembangan otak yang optimum.


Para doktor menyarankan kepada ibu-ibu yang mengandung agar mengambil pemakanan yang sihat dan seimbang bagi tumbesaran anak dan otaknya. Sebagai contoh pengambilan asid folid dan asid lemak (EFA). Pengambilan EFA amat penting sewaktu hamil kerana bahan ini membantu dalam perkembangan otak bayi, mata dan sel sarafnya. EFA mengandungi asid linoleic dan acid alphalilolenic. Minyak sayuran seperti minyak jagung, minyak kacang soya, minyak matahari, kekacang adalah sumber yang baik untuk membekalkan EFA yang diperlukan oleh tubuh ibu untuk disalurkan kepada bayi.


Manakala Asid folid pula ialah vitamin B yang penting untuk mengekalkan kesihatan ibu dan kandungannya. Dalam beberapa minggu yang pertama, bahan ini amat diperlukan untuk perkembangan saraf utama bayi. Ini kerana, kekurangan asid folid akan mengganggu perkembangan otak bayi. Majlis Penasihat Pengambilan Nutrien Malaysia (2005) menyatakan wanita yang berumur 19 tahun ke atas memerlukan 400 ug folik sehari. Semasa hamil, wanita hamil memerlukan 600 ug untuk memenuhi keperluan diri dan bayi. Sebagai tambahan, digalakkan juga untuk mengambil makanan asid folik sebanyak 400 ug mg sehari untuk
sebulan pertama kehamilan untuk mengurangkan risiko mendapat bayi NTD (Neural Tube Defects). Makanan yang kaya dengan asid folid ialah seperti sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, brokoli dan kubis Brussels. Buah-buahan seperti oren, pisang, avocado dan anggur. Makanan yang diperkayakan seperti roti dan bijirin juga mengandugi asid folik. Tetapi awas, harus diingat bahawa hati dan produk hati seperti adunan daging dan lain-lain adalah tinggi kandungan folik di dalamnya. Jadi ianya tidak disarankan untuk ibu hamil kerana boleh mengakibatkan risiko terjadinya listeriosis (jangkitan daripada makanan yang mengandungi listeria), sejenis penyakit di mana boleh membawa maut terhadap bayi di dalam kandungan.
Pada masa sekarang juga, terdapat ubat serta susu yang dijual di pasaran yang dapat membantu perkembangan dan kecerdasan otak bayi semasa dalam kandungan. Seelok-eloknya untuk mengambil bahan ini, para ibu perlulah terlebih dahulu mendapatkan khidmat nasihat para doktor yang pakar terlebih dahulu.


Banyak penyakit ketika hamil disebabkan oleh pemakanan yang tidak seimbang. Ini kerana makanan yang seimbang dapat melindungi ibu dan bayi daripada menghadapi masalah yang membahayakan. Salah satu daripadanya ialah kecacatan pada otak bayi. Tumbesaran otak yang terbantut juga mungkin akan menyebabkan bayi yang dilahirkan kurang cerdas ataupun hiperaktif. Hal ini disebabkan oleh kerana tugas-tugas mengawal badan dikawal selia dan dijana oleh otak Setiap otak manusia terbahagi kepada dua bahagian iaitu hemisfera kanan dan hemisfera kiri. Hemisfera kiri mengawal badan sebelah kanan dan ianya mendominasi fungsi bahasa, operasi-operasi logik, analatik dan matematik. Manakala hemisfera kiri pula bertugas mengawal badan sebelah kanan dan ianya mendominasi fungsi emosi, mengecam muka, dan mengawal struktur benda. Kedua-dua bahagian ini amat penting bagi manusia.
Menurut pakar perubatan, semasa dalam kandungan pada minggu ke-18, bayi sangat aktif bergerak. Bayi juga dikatakan mula peka terhadap bunyi-bunyian daripada luar. Pada minggu ke-22 bayi mungkin mula berhubung dengan ibunya melalui tendangan ataupun gerakan yang dilakukan. Minggu ke-23 dan ke-24 bayi tersebut sudah boleh mendengar kata-kata ibunya dengan jelas. Manakala pada minggu ke-31, otak bayi dikatakan masih dalam proses perkembangan tetapi semakin laju dan bayi sekarang boleh mendapat dan memproseskan maklumat dengan cepat.


Minggu-minggu inilah dikatakan masa yang tebaik bagi para ibu untuk berinteraksi dan merangsangkan otak bayinya. Saat ini hubungan bayi dan ibu amat akrab. Ibu digalakkan sentiasa bercakap dengan bayi dalam kandungannya. Selain aspek pemakanan yang sihat dan seimbang, gaya hidup ibu juga mempengaruhi perkembangan otak bayi. Bersenam, membaca, mendengar muzik dikatakan dapat mempengaruhi genetik otak bayi yang baik dan cerdas.


Aspek penjagaan fizikal juga harus diutamakan. Pastikan kesihatan diri dan bayi dalam kandungan terjamin sehingga bayi tersebut dilahirkan. Kerja-kerja berat seperti kerap turun naik tangga dan mengangkat barang berat harus dielakkan, ianya boleh membahayakan kandungan.


Menurut Islam, selain penjagaan daripada aspek pemakanan, gaya hidup dan fizikal, persedian jiwa dan mental perlu dimantapkan. Para ibu yang hamil diminta agar sentiasa berdoa kepada Tuhan yang Esa agar diri dan anak yang dikandung dipelihara selamat daripada sebarang gangguan dan kejahatan. Banyakkan membaca Al-Quran terutama Surah Luqman kerana surah ini elok diamalkan dengan niat ingin memperolehi anak yang soleh dan punyai minda yang cerdas serta bijak sepertimana Luqmannul Hakim.


Didikan anak-anak bermula sejak dalam kandungan lagi. Pengalaman dan perasaan seorang ibu sewaktu mengandung mempunyai pengaruh yang besar terhadap minda, sikap dan jiwa anak-anak yang bakal dilahirkan. Seorang ibu yang kerap bergaduh tatkala mengandung dikhuatiri akan membentuk generasi yang kasar dan ganas. Sebaliknya, ketenangan jiwa ibu sewaktu mengandung sangat membantu dalam membentuk peribadi yang tenang pada diri anak-anak kelak. Kecerdasan minda dan akal anak-anak juga ada kaitan dengan kecerdasan minda dan akal ibunya ketika mengandung.


Oleh itu alat LAD yang dikatakan berada secara semula jadi dalam minda dan otak bayi yang dilahirkan pasti ada hubung kaitnya dengan ibu yang mengandungnya. Dikatakan bahawa alat LAD ini telah membolehkan bahasa pertama atau bahasa ibunda dapat dikuasai dengan mudah oleh semua kanak-kanak normal. Proses pemerolehan pengetahuan bahasa pertama juga dikatakan tidak memerlukan apa-apa bentuk pendidikan formal. Di dalam alat pemerolehan bahasa semula jadi ini dikatakan wujud pengetahuan bahasa semula jadi. Pengetahuan bahasa yang bersifat semula jadi ini dikatakan wujud dalam akal budi manusia secara genetik dalam bentuk pengetahuan nahu yang bersifat universal atau sejagat. (Zulkifley Hamid : 2004) Secara ringkasnya proses pemerolehan bahasa kanak-kanak dibentuk oleh 4 peringkat.
1. Vokalisasi (bebelan)
2. Pertuturan satu Kata (holofrasa)
3. Pertuturan dua dan tiga kata (telegrafik)
4. Perkembangan Ayat-Ayat
Kompleks.

Jelas terbukti bahawa ibu yang hamil memainkan peranan yang penting dalam pembentukan serta perkembangan otak bayinya. Ini kerana otak adalah merupakan salah satu bahagian dalam tubuh manusia yang sangat penting. Pembentukan otak selama pertumbuhan janin dalam rahim, diawali dengan timbulnya sejumlah sel otak yang masih terpisah-pisah. Pembentukan sel otak terbentuk daripada bahan yang tinggi mutunya. Oleh itu ibu yang hamil perlulah memastikan dan meneliti segala aspek baik dari segi pemakanan, gaya hidup, kesihatan dan sebagainya, agar kesemua aspek ini dapat menyumbangkan bahan yang bermutu tinggi dalam pembentukan sel-sel otak bayi dalam kandungannya. Dengan pertumbuhan otak yang sihat dan sempurna sifatnya semasa dalam rahim, pasti bayi yang dilahirkan mempunyai otak dan minda yang cerdas dan pintar, seterusnya dapat menjalani proses pemerolehan bahasa dengan baik dan mudah suatu masa kelak.

Tiada ulasan: