teori moral

1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Kehidupan manusia masa kini tidak dapat lari dari menggunakan pelbagai teknologi. Teknologi ciptaan manusia seringkali membantu mereka dalam mempercepatkan sesuatu tindakan tanpa menghiraukan kesan yang bakal dihadapi di kemudian hari. Walaupun teknologi maklumat masa kini mempunyai pelbagai unsur positif namun hakikatnya, pengguna mestilah bijak dalam mengendalikan teknologi ini agar ianya tidak mendatangkan kesan negatif. Pelbagai pendapat daripada lapisan masyarakat seperti ahli politik, golongan koparat, penjawat awam, pelajar dan suri rumah, kesemuanya mempunyai pandangan yang berbeza dalam memperkatakan isu teknologi maklumat ini.

Kertas kerja ini menghuraikan isu teknologi maklumat dalam kehidupan manusia berdasarkan etika moral terhadap masyarakat. Pengaruh dan ancaman teknologi maklumat terhadap masyarakat akan dapat memberi peluang kepada kita melihat sejauh manakah etika moral yang ada pada setiap lapisan masyarakat dalam menghadapi situaisi ini.

1.2 Objektif

Pada akhir kertas kerja ini, pengkaji dapat memahami dengan lebih jelas tentang pengaruh positif dan ancaman teknologi maklumat terhadap masyarakat serta etika moral dalam menghadapinya.

1.3 Kaedah

Kaedah yang digunakan dalam kertas kerja ini ialah perbincangan,rujukan ke perpustakaan dan melayari laman web yang berkaitan.

1.4 Batasan

Dalam kertas kerja ini, kami bataskan kepada pengaruh positif dan ancaman teknologi maklumat terhadap masyarakat dan etika moral dan menghadapinya.

1.5 Definisi Teknologi Maklumat

Teknologi Maklumat (TM) pula bila dilihat dari perspektif proses boleh diertikan sebagai satu proses dan teknologi bersepadu untuk memperolehi, memproses, menyimpan dan menyebarkan maklumat dalam bentuk suara (voice), gambar (imej/grafik), teks dan angka dengan menggunakan alat-alat elektronik. Teras kepada perkembangan TM adalah teknologi elektronik, komputer dan komunikasi. Ianya boleh dalam bentuk sehala atau dua hala serta boleh dalam bentuk sebaran umum atau dikhususkan kepada pihak tertentu sahaja. TM menjadi alat untuk sebaran am, bantuan dalam mempercepatkan proses dan penghubung antara dua pihak atau lebih. Ringkasnya TM adalah merupakan satu mekanisme atau cara interaksi (perhubungan) antara manusia dengan manusia, manusia dengan mesin serta manusia dengan alam.

Beberapa komponen yang berkaitan dengan TM dan perhubungan berkomputer adalah rangkaian pengangkutan maklumat asas, perisian dan peralatan telekomunikasi atau penerimapancar (transceiver). Secara keseluruhannya, TM tidaklah terhad kepada pencapaian internet dan multimedia sahaja kerana penggunaannya melibatkan urusan dalam semua bidang.


2.0 TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN PENGARUHNYA

Sejak terbinanya tamadun manusia berkurun-kurun lamanya dahulu, komunikasi dan interaksi sosial sesama mereka adalah agak terbatas. Seiring dengan peredaran masa, manusia dengan bantuan akal fikiran yang dianugerahkan tuhan mula mengorak langkah dalam semua lapangan kehidupan sekaligus mencetuskan pembaharuan demi pembaharuan. Bermula dengan tercetusnya revolusi pertanian pada akhir kurun ke-17, tamadun manusia terus berkembang sehinggalah menempuhi zaman revolusi perindustrian pada kurun ke 18 dan 19. Pada abad ke - 20 ini pula, kita menyaksikan ledakan maklumat yang berlaku secara global dan membawa kepada tercetusnya revolusi dunia ketiga iaitu revolusi era digital atau teknologi maklumat sebagai peneraju dunia yang akan mengubah peradaban dan tamadun manusia.

2.1 Bidang Pembangunan

Menyedari hakikat kepentingan teknologi maklumat, maka bagi menggerakkan Malaysia menongkah wawasan negara. Yang Amat Berhormat bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. mahathir Mohammad telah mengumumkan Projek Koridor Raya Multimedia (MSC) dalam persidangan Multimedia Asia pada 1 Ogos 1996 yang lalu. Projek mega ini telah dicanangkan bukan sahaja di dalam negara, bahkan ke seluruh dunia. Sejak adanya MSC, Malaysia telah diiktiraf sebagai penggerak inisiatif IT di Rantau Asia dan juga sebagai perintis paradigma ekonomi digital baru. Malahan anjakan itu telah berubah kepada wujudnya semangat yang membara terutamanya dikalangan warga seluruh Asia. Selain daripada MSC di Malaysia, terdapat juga inisiatif lain yang serupa seperti Singapore One dan Hong Kong Digital Port. Dengan terbinanya beberapa rangkaian multimedia seperti itu, rantau Asia mempunyai pelbagai peluang untuk turut memainkan peranan utama dalam memajukan ekonomi digital di seluruh dunia.

2.2 Bidang Perhubungan

Perkembangan di dalam bidang komputer dan telekomunikasi ini telah membolehkan manusia berinteraksi sesama sendiri menerusi saluran yang tidak mudah dikesan atau dikawal oleh pihak-pihak tertentu. Salah satu alat komunikasi yang semakin mendapat perhatian ialah internet iaitu satu rangkaian komputer antarabangsa. Pada asasnya, internet tidak dimiliki sesiapa dan tidak dikawal oleh mana-mana pusat kawalan. Hampir keseluruhan isi kandungan yang terdapat dalam web itu digunakan sebagai bahan -untuk pengetahuan, pendidikan dan juga hiburan. Tiga kegiatan yang paling popular dalam internet adalah mengirim dan menerima e-mail, membaca mesej dalam Newsgroup dan melayari World Wide Web. Pada masa ini, dilaporkan bahawa terdapat kira-kira 25 juta orang yang mengaplikasikan internet di serata dunia dan angka ini dijangka bertambah pada kadar 15 peratus sebulan.

Penggunaan Internet dan komputer multimedia telah mencetuskan perpindahan teknologi tradisional kepada era digital yang menakjubkan. Mengimbau realiti suatu ketika dahulu, telefon dan surat menyurat ataupun "snail mail" hanyalah wahana perhubungan ringkas yang kurang dalam monopoli perhubungan antarabangsa. Namun hari ini, telefon era digital mampu melakukan perantauannya jauh melepasi sempadan dunia sehingga boleh diaplikasikan di semua kawasan dan iklim. Di perkampungan global inilah, manusia bertukar-tukar informasi dan perkhidmatan tanpa mengira perbezaan warna kulit, bangsa mahupun ideologi. Untuk menjengah maklumat-maklumat terkini dalam apa jua aspek, pengguna internet hanya perlu menggunakan hujung jari dan menekan kata kunci pada papan keyboard. Secara ringkasnya kecanggihan dan keupayaan teknologi maklumat telah mewujudkan beberapa jagon baru yang mempermudah komunikasi dua hala sesama manusia dan negara.

2.3 Bidang Perdagangan

Turut dikaitkan bersama penggunaan internet adalah perdagangan menerusi talian atau lebih dikenali sebagai e-dagang. Menerusi perdagangan elektronik ini, aspek geografi tidak lagi menjadi halangan bahkan potensi pasaran semakin meningkat dan lebih berbentuk global. Di alam internet inilah, peniaga-peniaga boleh mendirikan kedai-kedai maya mereka yang dapat mempamer dan mempromosikan jualan mereka secara lansung 24 jam sehari. Malahan, proses-proses perniagaan seperti penghantaran pesanan, penyerahan bil bayaran serta penghantaran produk dapat dilaksanakan dengan cepat, sistematik dan terjamin. Boleh dikatakan bahawa e-dagang dengan hanya berbekalkan kad kredit yang sah dapat menyediakan perlindungan dan keselamatan yang lebih daripada penggunaan wang secara fizikal. Maka tidak hairanlah apabila kita melihat banyak syarikat sama ada syarikat kerajaan mahupun swasta berlumba-lumba menjadikan e-dagang sebagai alternatif utama perniagaan mereka memandangkan faedah dan kebaikan yang ditawarkan itu.

Selain daripada terciptanya sistem e-dagang, dengan berkembangnya teknologi maklumat dan internet, kini pihak bank pula menawarkan perkhidmatan e-banking. Bank pada dasarnya adalah salah satu daripada sistem ekonomi yang penting kepada negara. Bank yang mengendalikan urus niaga kewangan biasanya melibatkan wang bernilai jutaan ringgit dan mengendalikan rekod-rekod pelanggan yang banyak hampir setiap hari. Urusan-urusan ini perlu dilakukan dengan cekap dan pantas kerana melibatkan kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan bank. Atas dasar keperluan inilah e-banking diwujudkan.

Perkhidmatan ini membolehkan pelanggan-pelanggan bank mengakses akaun mereka dibank melalui internet dan seterusnya dapat melakukan urusan-urusan perbankan seperti menyemak akaun, memindahkan wang dari satu akaun ke akaun yang lain, memohon buku cek, memohon kad kredit dan sebagainya. Pendek kata, pelanggan bank kini tidak perlu lagi mengunjungi bank dan terpaksa menunggu berjam-jam untuk menyempurnakan urusan bank mereka.

2.4 Bidang Pendidikan

Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat ini juga telah membawa pendidikan sedunia mara setapak ke hadapan dengan membolehkan pendidikan jarak jauh dilaksanakan. Mengikut sistem ini, para pelajar dapat mengambil kursus menerusi mana-mana institusi pengajian tinggi di dalam mahupun diluar negara melalui internet. Mereka tidak perlu menghadiri kuliah di institusi pengajian tersebut. Asalkan ada sambungan internet, mereka dapat mempelajari kursus yang diambil tanpa mengira masa dan tempat. Di Malaysia umpamanya, sebuah universiti maya yang pertama iaitu Universiti Tun Abdul Razak atau UniTAR telah ditubuhkan dan akan mempelopori pendidikan jarak jauh secara multimedia di negara ini. UniTAR mempunyai ciri-ciri istimewa seperti pendidikan bebas, interaksi dalam talian, kelas maya, belajar secara berkumpulan, penilaian dan peperiksaan. Perkembangan ini telah membuka lebih banyak peluang pendidikan dan seterusnya akan melahirkan masyarakat madani yang mahir dalam teknologi maklumat

Kesimpulannya, masyarakat yang buta teknologi maklumat sememangnya akan terus terpinga-pinga ditenggelami arus kemajuan yang dicetuskan oleh zaman era digital. Walau bagaimanapun, teknologi maklumat dan internet seolah-olah satu paradoks, adakalanya memberi manfaat dan adakalanya membinasakan manusia. Jesteru, kemajuan teknologi ini haruslah digunakan dengan berhemat dan bijaksana agar terbentuk tamadun manusia yang tinggi akhlak, sahsiah dan keintelektualannya

3.0 ANCAMAN-ANCAMAN MELALUI TEKNOLOGI MAKLUMAT

Era globalisasi yang melanda dunia tidak lengkap tanpa kewujudan perkembangan teknologi maklumat. Sememangnya diakui bahawa teknologi maklumat akan memberi bentuk baru kepada corak hidup manusia. Melalui penyebaran maklumat secara besar-besaran sudah tentu akan membawa kita ke suatu peradaban elektronik. Seperti yang kita ketahui bahawa teknologi maklumat berkaitan dengan pelbagai cara menerima dan menyampaikan maklumat seperti perkataan, gambar, bunyi dan nombor yang dapat dibuat secara elektronik. Dengan ini, teknologi maklumat menggabungkan komputer telekomunikasi supaya dapat membentuk sistem-sistem bagi menguruskan maklumat. Internet ialah satu wadah yang digunakan untuk mendapatkan informasi dan maklumat terkini. Kini internet digunakan secara meluas bagi mendapatkan maklumat untuk kegunaan dalam semua bidang seperti dalam bidang pengiklanan, pendidikan, berita terkini dan juga sebagai bahan rujukan. Biarpun teknologi maklumat mendatangkan banyak manfaat namun sistem ini tidak terlepas daripada ancaman-ancaman yang boleh mendatangkan impak buruk kepada semua pihak.

3.1 Melalui Internet

Antara ancaman yang dihadapi oleh pengguna teknologi maklumat ialah fenomena penggodam komputer atau 'hackers'. Penggodam komputer bolehlah ditakrifkan sebagai orang yang boleh mendatangkan ancaman kepada komputer dan sistem rangkaian. Mereka akan cuba menyalahgunakan kemudahan ini untuk kepentingan mereka. Namun terdapat juga golongan penggodam komputer yang hanya menjalankan aktiviti khianat ini sebagai salah satu keseronokan dan hobi semata-mata tanpa memikirkan kesan buruk yang akan dihadapi kelak. Golongan yang seterusnya pula menjalankan aktiviti ini bertujuan untuk menceroboh sistem rangkaian komputer lain dan mencuri maklumat atau data penting. Ada juga golongan yang menghantar kod jahat atau virus bagi mengganggu sistem rangkaian komputer lain dan menyebabkan kerosakan teruk. Sesetengah penggodam komputer menceroboh sistem rangkaian komputer untuk meniru atau mencuri data. Ini terbukti kerana menurut satu laporan, terdapat seorang pelajar kolej di Texas telah dikenakan undang-undang setelah terlibat dalam aktiviti menggodam dengan menceroboh sistem komputer Texas dan mencuri maklumat peribadi pelajar, fakulti dan kakitangan dari universiti berkenaan. Oleh itu benarlah teknologi maklumat internet menghadapi ancaman daripada pihak penggodam

3.2 Melalui Teknologi

Selain itu, kelebihan teknologi maklumat kini juga telah diperalatkan dengan mudah oleh pengganas dan juga kartel dadah. Mereka telah menyalahgunakan kelebihan teknologi maklumat untuk menjalankan kegiatan yang mampu melumpuhkan masyarakat. Seperti yang kita ketahui, zaman maklumat semakin menghapuskan zaman perindustrian dan zaman pertanian manakala globalisasi pula menerobos ke setiap seantero dunia, sedangkan keselamatan masih merupakan satu agenda utama dan penting. Di samping itu, revolusi maklumat adalah bahan yang amat berkuasa untuk menubuhkan atau menggulingkan sesebuah kerajaan. Ini terbukti jika seseorang pembekal dadah menggunakan sistem rangkaian internet untuk berurusan dengan pengedar dadah yang lain untuk mengadakan pertemuan melalui kod-kod rahsia. Jadi keadaan ini sudah tentu tidak dapat dihalang oleh pihak berwajib kerana mereka tidak dapat mengenalpasti tempat perjumpaan tersebut dengan tepat. Begitulah juga seandainya wujud manusia yang ingin menghancurkan sesebuah negara dengan melakukan hasrat mereka di sebalik komputer dan rangkaian. Justeru, keselamatan zaman maklumat masih lagi diragui lantaran wujudnya aktivis-aktivis tanpa sempadan ini yang boleh menggugat sistem keselamatan.

Di samping itu, teknologi maklumat kini telah dieksplotasikan dengan begitu rakus bagi mencapai pelbagai tujuan. Teknologi secanggih internet ini telah digunakan untuk melaksanakan pelbagai jenayah tradisional seperti memeras ugut, menipu, menyebarkan bahan lucah dan juga mencuri nombor kad kredit. Sememangnya fenomena ini amat menyedihkan kerana teknologi yang dibangunkan bersama arus kemodenan telah digunakan untuk merosakkan manusia, biarpun teknologi maklumat membawa kemajuan dan kebaikan dalam hidup manusia. Sebenarnya masyarakat kita semakin bergantung kepada komputer dan sistem rangkaian sebagaimana kita bergantung kepada keperluan asas iaitu bekalan air dan elektrik. Namun alat ini akhirnya menimbulkan kegemparan awam dengan menggugat keselamatan para pengguna. Oleh yang demikian, semua pengguna dalam masyarakat maklumat hendaklah mempunyai kesedaran dan fahaman yang mendalam tentang isu keselamatan dan keperluan untuk membangunkan budaya keselamatan. Maka benarlah antara ancaman melalui teknologi maklumat ialah pengeksploitasian daripada pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab.

Seterusnya teknologi maklumat juga terdedah kepada ancaman virus. Virus sebenarnya berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud racun. Bersesuaian dengan maksudnya, virus telah dicipta untuk melindungi fail-fail daripada dicerobohi. Namun kini virus telah disalahgunakan dengan tujuan untuk mengganggu sistem rangkaian komputer dan meniru hak ciptaan orang lain. Selain itu, virus juga dicipta untuk mengelakkan penjiplakan. Apabila virus menyerang komputer, kita dapat melihat saiz sesebuah fail itu bertambah besar dan terdapat perubahan tarikh walaupun fail itu tidak digunakan. Selain itu, komputer akan lambat beroperasi dan menjadi perlahan. Disket juga tidak terkecuali daripada mengalami masalah cepat rosak atau tidak dapat dibaca dan dibuka. Pengaturcaraan komputer juga tidak dapat berfungsi seperti biasa. Masalah ini sememangnya akan memberikan kesan buruk kepada para pengguna kemudahan teknologi maklumat. Sebenarnya virus boleh diklasifikasikan kepada beberapa kategori berdasarkan cara jangkitan dan cara merosakkan sistem fail dalam sesebuah komputer. Virus jenis Logic Bomb ini dipercayai mungkin berupa tarikh virus itu diaktifkan. Oleh itu terbuktilah bahawa teknologi maklumat juga tidak terlepas daripada mendapat ancaman virus.

Sebagai kesimpulannya, teknologi maklumat masa kini tidak terlepas daripada menjadi bahan perantaraan ancaman dan juga diancam sejajar dengan pengembangan dan pemodenan teknologi maklumat. Antaranya ialah ancaman penggodam komputer, kelebihan teknologi maklumat diperalatkan oleh pihak tertentu dan sebagainya. Seharusnya semua pihak hendaklah mengemblengkan tenaga untuk mengatasi masalah-masalah ini yang dikuatiri akan merencatkan kemajuan negara. Para pengguna juga perlulah sentiasa berwaspada semasa menggunakan perkhidmatan teknologi maklumat seumpamanya bagi mengatasi masalah serangan virus, penggunaan anti virus hendaklah dimanfaatkan. Anti virus ini bukan sahaja dapat membantu menghalang serangan virus, malah dapat menyekat kegiatan penggodam komputer. Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa di pasaran kini, terdapat pelbagai komputer yang direka khas untuk kanak-kanak. Komputer ini boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti contohnya menulis dan membaca. Namun ibubapa perlulah mengawal anak-anak dan menggalakan mereka menggunakan komputer sejak kecil lagi kerana aktiviti ini boleh meningkatkan daya ingatan anak-anak. Sesungguhnya, kewujudan teknologi maklumat sememangnya membawa kebaikan dan keburukan di samping menghadapi pelbagai ancaman daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.




4.0 Teori-Teori Moral

4.1 Teori Kemoralan Sosial

Perkembangan industri muzik kini seiringan dengan kemajuan teknologi maklumat, industri muzik mula berkembang pesat ke seluruh negara. Kehebatan teknologi maklumat telah memberi idea yang mencurah-curah kepada pengamal seni untuk mencipta lebih banyak aliran muzik bersesuaian dengan alat-alat muzik yang semakin canggih. Aliran-aliran muzik yang berkembang banyak memberi kesan kepada pertumbuhan industri muzik malah ianya turut memberi impak kepada penggemarnya yang rata-rata terdiri dari golongan remaja. Seperti contoh Hip Hop, Rock, Punk, Alternatif, Black Metal, Skin Head, dan lain-lain lagi. Aliran ini mempunyai pengikut yang tersendiri. Ianya bukan sahaja mepunyai identiti sendiri malah gaya hidup yang cuba diketengahkan pun berbeza antara satu sama lain. Kita akan dapat mengenali kumpulan penggemar muzik rock dengan identiti berambut panjang, berseluar koyak rabak. Manakala berseluar besar, berbaju lapuh adalah indentiti bagi kumpulan Hip Hop. Malah yang lebih hebatnya adalah berambut berduri, memakai subang di mulut dan hidung adalah identiti yang dibawa oleh kumpulan Punk.

Remaja kini semakin mudah terpengaruh akibat perubahan zaman yang dibuai dengan kecanggihan teknologi yang semakin memuncak. Malah, keadaan itu juga memungkinkan berlaku pergolakan jiwa. Pengaruh Black Metal adalah antara alternatif yang dianggap golongan remaja sebagai ruang untuk mengeluarkan diri mereka daripada norma biasa kehidupan sebagai manusia. Remaja sedemikian lebih senang memilih aliran berbeza dengan lumrah kehidupan sambil menepis norma batasan hingga mengamalkan gaya hidup melampau yang akhirnya membawa kepada kerosakan akidah. Satu masa dahulu, sekitar tahun 60-an budaya hippies meracuni pemikiran anak muda diikuti dengan kemunculan gelombang rock, tetapi tidak sehebat penangan Black Metal yang nyata menyesatkan pegangan remaja beragama Islam.

Amalan gaya hidup dengan seks bebas, meminum darah, menghalalkan arak dan paling tragis sanggup mengoyak, memijak dan membakar Al-Quran adalah perbuatan paling hina dalam tamadun masyarakat Islam. Dalam hal ini, siapa harus dipersalahkan? Apatah lagi baru-baru ini negara digemparkan dengan usaha pihak tertentu cuba menganjurkan konsert Black Metal yang nyata menolak pegangan agama di dunia. Pada September lalu media antarabangsa melaporkan dua remaja perempuan berusia 14 tahun membunuh diri bersama-sama dengan terjun dari tingkat 17 sebuah bangunan di pinggir Paris. Keadaan itu mula menimbulkan kebimbangan mengenai pengaruh muzik Black Metal yang memuja keganasan dan kematian. Kedua-dua remaja itu dikatakan terpengaruh dengan pergerakan Goth. Nota yang ditemui dalam kocek seorang remaja itu berbunyi: “Hidup tiada makna.” Kejadian itu juga menjadi suatu kebimbangan apabila ada remaja mula meninggalkan kehidupan normal dan tertarik dengan kematian. Ia menjadi wabak menakutkan.

Jika diteliti dan diamati secara mendalam sememangnya berhibur tidak salah dari segi agama dan sosial, malah jika hiburan yang dipilih tersebut dapat mendatangkan manfaat kepada individu seharusnya ianya dianggap sesuatu kelakuan yang bermoral, tetapi jika hiburan yang dipilih menyalahi dan menghina agama dan adat, maka pelaku tersebut dianggap tidak bermoral. Ini kerana mengikut teori kemoralan sosial, seseorang individu tidak diklasifikasikan bermoral jika ianya melanggar peraturan masyarakat. Ini kerana peraturan masyarakat terdiri dari tatasusila, tatahukum atau tatatertib masyarakat dan biasanya juga dimaksudkan sebagai tradisi, norma, kebiasaan atau adat, kot, nilai dan patang larang masyarakat. Mengikut teori kemoralan sosial juga sesebuah komuniti atau masyarakat ada perkara yang dizinkin dan ada pula yang ditegah. Jadi kegiatan penggemar muzik yang keterlaluan seperti Black Metal, Hip Hop, Punk, Skin Head adalah bertentangan sama sekali dengan amalan masyarakat khususnya masyarakat melayu yang kuat berpegang teguh kepada nilai-nilai ajaran agama suci Islam. Amalan mereka seperti amalan gaya hidup dengan seks bebas, meminum darah, menghalalkan arak dan paling tragis sanggup mengoyak, memijak dan membakar Al-Quran adalah perbuatan paling keji dalam tamadun masyarakat Islam. Mereka bukan sahaja tidak bermoral malah menghina agama, bangsa dan adat mereka sendiri.

Satu persoalan perlu ditimbulkan. Adakah pengikut ajaran Black Metal ini berpegang kepada Teori Egoisme. Seorang egois yang terkenal iaitu Friendrich W. Nietzshe menyatakan bahawa individu perlu menjadi tuan bukannya hamba kepada kod etika, peraturan dan undang-undang moral. Ini kerana Nietzsche berpendapat bahawa kemoralan sosial telah merendahkan martabat manusia kepada tahap hamba abdi atau seperti binatang gembala. Teori ini menekan betapa individu perlu mementingkan diri sendiri sahaja dan tidak mengambil kira kebajikan dan kepentingan orang lain, dengan lebih tepat individu mestilah mengutamakan keuntungan bagi diri sendiri.

Walaupun terdapat percanggah diantara pengamal teori kemoralan sosial dan teori egoisme, pada hemat pengkaji, kelakuaan dan amalan-amalan yang dijalankan oleh ahli pengemar muzik keterlaluan ini adalah dijustifikasikan sebagai tidak bermoral. Alasan paling kukuh yang dapat diberi adalah masyarakat kita lebih cenderung untuk mementingkan adat dan tradisi mereka sendiri dari mementingkan hak peribadi. Penyataan ini disokong oleh pepatah melayu seperti “biar mati anak, jangan mati adat’, dan “takkan hilang Melayu di dunia”. Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang kuat berpegang pada ajaran dan peraturan agama Islam. Islam itu sendiri mementingkan pengikutnya taat kepada pemimpin serta menghormati adat-adat sesebuah masyarakat, selagi mana pemimpin dan adat tersebut tidak menyalahi syariat. Ini kerana dalam menentu hukum syariat itu sendiri, selain Al-guran, hadis, Qias, ijmak ulama’, adat sesebuah masyarakat juga diambil kira.

Jika dihalusi secara teliti, kegiatan ahli penggemar muzik yang keterlaluan ini banyak terdorong ke arah melakukan perbuatan yang melanggar norma nilai murni masyarakat. Mereka cuba melarikan diri mereka dari peraturan dan adat yang diamalkan oleh masyarakat. Mereka beranggapan bahawa peraturan dan adat yang diamal oleh masyarakat sejak turun temurun sudah tidak bersesuai dengan rentak dan gaya hidup masa kini yang lebih menjurus kepada kebebasan individu. Kepuasan diri perlu dimaksimum semungkinnya agar hidup lebih bermakna, tidak hairanlah ahli penggemar muzik yang keterlaluan menghalalkan pergaulan bebas, meminum arak, muzik menjadi pujaan mereka, memakai subang dimulut dan dihidung serta sanggup membakar Al-Quran meskipun perbuatan tersebut secara terang-terangan menghina Agama Islam. Wajarlah kiranya perbuatan mereka ini dianggap tidak bermoral dan tidak bertamadun. Tetapi sebaliknya jika mereka menjadikan pertubuhan mereka sebagai tujuan untuk mengembangkan industri muzik serta muzik yang mereka perdenggarkan tersebut mengandungi unsur nilai-nilai murni, maka perbuatan mereka boleh dianggap bermoral dan dapat mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada semua terutamanya golongan remaja.

Di Malaysia, pengaruh Black Metal ibarat bom jangka. Pada bila-bila masa kejadian seperti itu boleh berlaku jika tiada tindakan keras daripada pihak berkuasa dari awal. Malah, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak berkuasa bertindak terhadap ahli Black Metal sebelum akhlak buruk mereka mempengaruhi remaja lain. Tiada guna melakukan pemantauan sahaja, tetapi tidak cuba menghapuskan akar umbi merebaknya gejala songsang berkenaan yang menggunakan pengaruh muzik. Usaha memulihkan akidah kalangan pengikut kumpulan itu perlu ditangani segera melalui pendekatan penuh hikmah dan bijaksana. Mereka perlu diberi pendedahan, penerangan dan penjelasan mengenai akibat dan padah perbuatan syirik yang bercanggah dengan syariah serta akidah. Cara terbaik adalah dengan cara mengumpulkan mereka di sebuah tempat khas dan masa tertentu untuk memberikan suntikan keinsafan serta peringatan bahawa perbuatan mereka merosakkan diri sendiri, pegangan agama dan akidah,”

Tindakan lebih drastik perlu dilakukan untuk membendung aktiviti tidak berfaedah itu daripada terus berkembang dan merosakkan pemikiran remaja.Satu cara paling berkesan yang mampu menangani jejak penggemar muzik yang keterlaluan seperti Punk, Black Metal, Skin Head di negara ini atau sekurang-kurang menghilangkan cengkamannya ialah melalui penguatkuasaan undang-undang. Pengikut fahaman itu dicadangkan didakwa di mahkamah atas kesalahan jenayah syariah (perbuatan menghina al-Quran) apabila didapati masih enggan mematuhi ajaran Islam selepas diberikan kaunseling. Namun, pelaksanaan undang-undang bukan satu kerja senang, seperti mudah apabila bercakap, sebaliknya pihak berkuasa agama perlu bergerak dari sekarang agar ‘barah’ tidak merebak sehingga membusuk.

4.2 Teori Teleologi : Utilitarianisme dan Egoisme.

Kemajuan teknologi kini telah cenderung untuk menghasilkan pelbagai ciptaan yang canggih dan hebat. Pelbagai ciptaan telah dicipta bagi memudahkan kehidupan seharian manusia. Antaranya ialah komputer, telefon bimbit, video kamera dan sebagainya. Secara lansungnya ianya telah memberi ruang kepada manusia untuk menguasai kepakaran teknologi itu sendiri. Satu contoh ialah, kini telah muncul berjuta-juta laman web yang dicipta oleh manusia disebabkan oleh kepakaran mereka dalam bidang komputer dan teknologi maklumat. Kepakaran mereka ini banyak menyumbang ke arah kebaikan sejagat. Jika laman web yang dibina tersebut adalah untuk menyediakan pelbagai maklumat yang berfaedah seperti maklumat pendidikan, maklumat perniagaan, maklumat komunikasi dan sebagainya maka ianya boleh dikata sebagai suatu aktiviti yang bermoral. Ini adalah bersesuaian dengan etika Utilitarianisme yang berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu sepatutnya melakukan tindakan yang akan menghasilkan kebaikan yang paling banyak kepada setiap orang kebahagian yang paling banyak kepada sejumlah insan yang paling ramai. Tetapi sebaliknya jika ianya boleh mendatangkan kebencian dan kemarahan orang ramai maka pengcipta laman web tersebut boleh dikatakan tidak bermoral, seperti contoh membina laman web yang berbaur fitnah, menghina sesuatu agama, membuat kenyataan palsu, dan sebagainya. Ini kerana menurut teori utilitarianisme insan yang bermoral adalah insan yang cuba meminimumkan kesakitan dan memaksimumkan keseronokan.

Kemunculan teknologi maklumat telah melahirkan ramai insan yang berdaya saing, baik dari segi ilmu pengetahuan dan kepakaran. Maka tidak hairanlah ramai insan sekarang yang berpegang kepada teori egoime. Ini kerana untuk memperolehi kecekapan dan kemajuan, egoisme mencadangkan yang lemah mesti dieksploitasi dan manusia tidak perlu berpersatuan, berorganisasi atau taat kepada autoriti. Bimbingan atau panduan tingkah laku moral yang dianjurkan oleh egoisme ialah indivialisma, iaitu peraturan hendaklah bersifat individualistik dan sesiapa yang mematuhi peraturannya sendiri akan menjadi cekap, maju, kuat, berkuasa dan sebagainya. Hakikat ini dapat dilihat apabila ketika ini telah lahir ramai hacker dalam jaringan internet dunia. Mereka ini adalah sekumpulan penceroboh yang boleh memasuki ke dalam komputer orang lain secara suka hati mereka. Pelbagai tujuan dan motif aktiviti yang dijalankan oleh mereka, ada sesetengah daripada mereka hanya ingin berseronok dan memcuba kekuatan sistem pertahanan mereka. Jika tujuan mereka adalah untuk menjadi kuat serta mencari kuasa bagi mengukuhkan kedudukan mereka sebagai hacker yang dihormati, maka menurut teori egoisme mereka adalah bermoral. Sebaliknya jikalau kekuasan yang mereka miliki adalah semata-mata untuk merosakkan dan memusnahkan sebarang perisian yang terdapat dalam jaringan internet mahu pun komputer serta bertujuan untuk menganggu keperibadian maklumat seseorang individu yang terdapat dalam komputer dengan hasrat khianat dan dengki, maka perbuatan ini boleh dijustifikasikan tidak bermoral.

4.3 Teori Deontologi : Prinsip Kewajipan.

Kita sering kali digembar-gemburkan dengan kemunculan teknologi senjata yang amat canggih oleh negara-negara yang maju, seperti Amerika, Rusia, Jerman, Jepun dan Britian. Negara-negara tersebut berlumba-lumba dalam memajukan sistem pertahanan mereka dengan mencipta senjata-senjata serta jentera pertahanan yang baru dengan bantuan kecanggihan teknologi maklumat masa kini. Apa yang meyedihkan ada sesetengah negara menggunakan kehebatan senjata serta jentera pertahanan mereka untuk menawan sesebuah negara sehinggalah tercetusnya peperangan. Seperti contoh pencerobohan tentera Amerika ke atas Iraq dan Afganistan baru-baru ini. Dapat kita saksikan kehancuran negara Iraq dan Afganistan yang telah dihujani dengan berjuta-juta peluru dan bom sehingga mengorbankan beribu-ribu nyawa yang tidak berdosa. Adakah perbuatan sebegini dikira bermoral? Adakah perbuatan sebegini dikira berperikemanusian? Adalah wajar menurut teori deontologi menerusi prinsip kewajipan bahawa mereka yang sukakan peperangan adalah mereka yang dikategorikan sebagai tidak bermoral. Ini kerana prinsip kewajipan menegasankan bahawa “ kemanusian hendaklah sentiasa menjadi matlamat, bukan alat perlakuan seseorang individu”. Jika diteliti sememangnya peperangan menjadikan manusia hanya alat apabila terbukti akan berlaku kehilangan nyawa manusia akibat bom dan peluru dilepaskan baik dari jarak jauh ataupun dekat, mahupun dari udara, darat, lautan yang menembusi dan menhancurkan jasad-jasad manusia. Pengamal peperangan disifatkan penjahat dan tidak bermoral dan tindakan mreka perlu dikutuk. Tetapi sebalik berlaku, jikalau penciptaan senjata dan jentera pertahanan adalah bertujuan untuk menjaga keamanan sesebuah negara serta untuk berkongsi teknologi senjata yang baru dengan sesebuah negara maka aktiviti ini boleh dipandang sihat dan bermoral. Ianya bukan sahaja boleh menjamin keamanan sesebuah negara malah ianya boleh mengeratkan lagi perhubungan sesebuah negara demi kehormatan dan kedaulatannya.

M.Z.Z.M

5.0 Penutup

5.1 Kesimpulan

Kemajuan teknologi kini boleh mencorak dan mengubah perkembangan seseorangan individu. Seseorang yang ketinggalan dalam arus perkembangan dunia masa kita boleh pada bila-bila masa sahaja memperbaiki dirinya dengan bantuan kecanggihan teknologi maklumat. Manusia juga boleh menjadi lebih bermoral dengan mengaplikasikan teknologi yang pada dirinya menerusi cara yang betul. Tetapi jika kecanggihan teknologi diguna pakai kea rah keburukan dan membentuk pelbagai kejahatan, kehancuran, kezaliman dan keaiban pada diri sendiri, bangsa dan negara maka manusia tersebut akan dipandang tidak bermoral malah patut dikeji dan dihukumkan. Oleh itu kita perlulah menggunakan kemudahan teknologi yang ada dengan cara yang bertepatan. Bagi mengimbangkan diri kita dari pengaruh teknologi maklumat yang semakin hari semakin memuncak kita seharuslah menggunakannya menerusi prinsip jalan tengah yang dikemukan oleh etika keperibadian mulia yang diketengahkan oleh Aristotle. Jalan yang tengah adalah sesuatu yang tidak berlebihan dan tidak juga terlalu kurang.. Seseorang insan itu perlulah bertindak dengan cara yang betul, berkelakuan pada kadar yang sederhana dan pertengahan. Oleh itu marilah sama kita menjadi insan yang dijustifikasikan bermoral tanpa menolak dan mennyisihkan kemudahkan teknologi yang ada kini untuk kepentingan bersama.

Bibliografi

Abdullah Hassan. (1997). Isu-isu Pembelajaran dan Pengajaran BM. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Rahman Md. Aroff. (1999) Pendidikan Moral : Teori Etika dan Amalan Moral. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Asraf. (1996). Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa. Kuala Lumpur.

Mc. Auley Jack G. (1992). Komunikasi Antara Manusia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka (penterjemah : Mohd Safar Hashim dan Fatimah)

Mohd Nawi Abdullah (1996). Peranan Islam Dalam Masyarakat Melayu. Selangor:

ALBAZ Publishing & Distribution Sdn. Bhd.

Prof. Madya Mohamad Md. Yusuf.. (Ogos). Dasar Pengiklanan Negara dan Wawasan 2020. Dalam Dr. Azman Azwan Azmawati (Pengerusi), Amalan Media Dan Wawasan 2020 Kewartawanan. Seminar Pemikir Media dan Wawasan 2020 anjuran Pusat Pengajian Komunikasi (PKK) Universiti Sains Malaysia dan Kumpulan Utusan

Tan Sri Mohamed Hasim Ahmad Makaruddin. (Ogos 2005). Peranan Media Kepada Wawasan 2020. Dalam Dr. Azman Azwan Azmawati (Pengerusi), Amalan Media Dan Wawasan 2020 Kewartawanan. Seminar Pemikir Media dan Wawasan 2020 anjuran Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia dan Kumpulan Utusan.

Utusan Malaysia (2005) Jangan terperangkap “zon memabukkan”, 3 ogos 2005, ms. 7.

Utusan Malaysia (2005) Reaksi Program Realiti TV, 3 Ogos 2005, ms. 7.














Linguistik (Kesusateraan)

1.0 Pendahuluan

Manusia tidak dapat dipisahkan daripada bahasa. Sejarah telah membuktikan bahasa, manusia sejak berzaman menggunakkan dan berminat menkaji bahasa. Ini kerana bahasa merupakan satu komponen yang penting dalam kehidupan manusia selain daripada keperluan-keperluan asas yang lain. Dengan bahasa manusia boleh berkomunikasi, bersatu padu, berkuasa dan bertamadun.
Manusia juga berusaha menkaji asal-usul bahasa dan juga dari aspek penggunaan seperti, puisi, nyanyian, doa, pidato dan sebagainnya.


1.2 Objektif

Berdasarkan tajuk kertas kerja ini “Kesusasteraan dan Linguistik”, objektif yang digariskan adalah seperti berikut:
Menyatakan pengenalan ilmu kesusasteraan dan ilmu linguistik.
Mengenal pasti hubungan di antara kesusasteraan dan linguistik.
Mengenal pasti kepentingan kesusasteraan dan linguistik kepada masayarakat.

1.3 Kaedah

Kaedah yang digunakan dalam usaha menyiapkan dan memurnikan kertas kerja ini adalah dengan penggunaan kaedah perpustakaan iaitu dengan buku-buku ilmiah berkaitan dengan kesusasteraan dan linguistik, jurnal, artikel, majalah dan kertas-kertas kerja.

1.4 Batasan

Kertas kerja ini akan meneliti dan memfokuskan perbincangan mengenai ilmu kesusasteraan dan ilmu linguistik secara umum. Untuk maksud pembatasan kajian, perbincangan dihadkan kepada pada kesusasteraan Melayu dan kajian linguistik di Malaysia.


Perkembangan Ilmu Kesusasteraan

Menerusi catatan sejarah bahawa pemikiran kesusasteran telah melalui proses sejarah yang amat panjang. Pemikiran tentang kesusasteraan bermula sejak lebih kurang 400 sebelum Mesihi ( Ali Ahmad , 1994) , iaitu apabila Plato, ahli falsafah Yunani, memperkatakan sastera sebagai hasil peniruan terhadap alam semesta. Pandangan beliau diperbaiki Oleh Aristotle, iaitu muridnya, yang kemudiannya mendapat ikutan dan ubahsuaian oleh pemikir dari Rom seperti Horece dan seterusnya mempengaruhi sebahagian pandangan-pandangan mutakhir. Pembaikan terhadap pandangan yang lama dan pembentukan fikiran baru menjadi landasan kepada pengkhususan yang amat ketara.

Manakala di tanah air kita Malaysia, kesusasteraan yang wujud adalah hasil dari tinggalan zaman lampau. Walaupun terdapat sesetengah pandangan yang membuat pembahagian terhadap kesusasteran Melayu sama ada lama atau baharu, ianya hanya merupakan kajian ilmu pengetahuan tentang sastera. Ia tidak bermaksud untuk memisahkan antara lama dan baru itu dari segi nilainya, hanya sekadar membuat perbandingan antara keduanya.

Mengikut pembahagian yang dibuat oleh ahli-ahli bahasa dan budaya umumnya, yang dikatakan kesusasteraan Melayu lama adalah hasil-hasil sastera yang telah sedia wujud sebelum zaman Abdullah Munsyi. Permulaan kesusasteraan Melayu lama yang dapat dikesan dengan jelas ialah sekitar tahun 1500, iaitu setelah agama Islam masuk ke alam Melayu.
Hasil-hasil kesusasteran lama sebelum tahun 1500 merupakan sastera lisan. Belum ada hasil kesusasteraan yang ditulis, ianya berkembang melalui pertuturan atau penceritaan dari mulut ke mulut. Orang-orang yang mengetahui tentang sastera, disebut sebagai tukang cerita yang digelar penglipur lara. Antara tokoh pencerita yang amat terkenal ialah Pawang Ana. ( Asmad, 1990).

Bidang Pengajian Kesusasteraan

Menurut Ali Ahmad (1994) terdapat bidang bidang utama dalam pengajian kesusasteraan dan dua subbidangnya. Tiga bidang utamanya ialah seperti berikut:

1. Teori Kesusasteraan

Teori Kesusasteran berkaitan dengan pengajian tentang prinsip-prinsip kesusasteraan, pengkelasannya; atau dengan kata lain, pandangan bahawa kesusasteraan itu mempunyai susunan, dan untuk memahami susunannya memerlukan peraturan-peraturan yang digubal setelah melihat ciri-ciri yang umum, yang khusus, dan yang tersendiri.

2. Kritikan Kesusasteraan.

Melihat sastera yang khusus, iaitu karya terpilih untuk dinilai kedudukannya sama ada berjaya atau tidak, kukuh atau lemah.

3. Sejarah Kesusasteraan

Melihat karya sastera dari sudut kronologi atau perkembangan dari semasa ke semasa.

Manakala subbidangnya adalah seperti berikut;

1. Kesusasteraan Rakyat

Kesusasteraan rakyat, atau dalam bahasa Inggeris dinamakan folklore, merupakan satu bidang pengajian tentang sastera warisan yang disampanikan secara lisan.

2. Kesusasteraan Bandingan

Paksi bagi kajian kesusasteran bandingan ialah teori dan permasalahan genre dalam sastera dua masyarakat atau lebih

Bentuk Kesusasteraan Melayu


Menurut Asmad (1990) bentuk kesusasteraan Melayu terbahagi kepada dua bentuk iaitu bentuk prosa dan bentuk puisi. Dari segi corak dan isinya ianya dibahagikan pula kepada prosa lama, prosa baru; puisi lama dan puisi baru. Terdapat juga ahli-ahli bahasa yang menggunakan istilah satera klasik dan sastera moden.

Puisi

Puisi lama adalah terdiri daripada:

1) Mantera
2) Jampi
3) Pantun
4) Syair
5) Gurimdam
6) Seloka
7) Talibun
8) Nazam
9) Masnawi
10) Kut’ah
11) Rubi’ah
12) Bahasa berirama

Dari segi bentuknya terdapat juga beberapa jenis ragaman bahasa yang berunsurkan puisi yang dikenali sebagai:

1) Peribahasa
2) Perumpamaan
3) Bidalan
4) Pepatah
5) Perbilangan
6) Bahasa kiasan
7) Simpulan bahasa

Menurut Asmad (1990) lagi ragaman bahasa yang tersebut di atas ada yang tidak memenuhi cirri-ciri yang lengkap sebagai karya puisi. Ianya boleh digolongkan dalam satu kumpulan yang dinamakan sebagai bunga bahasa. Manakala Puisi Melayu baru ialah sajak.

Prosa

Prosa lama atau prosa klasik Melayu adalah terdiri daripada:

1) Cerita-cerita rakyat
2) Sastera epik
3) Sastera sejarah
4) Sastera roman

Terdapat pengkaji-pengkaji sastera membahagikan karya prosa lama itu kepada jenis-jenis, iaitu :

1) karangan-karangan yang berhubung dengan agama Islam.
2) sastera yang bercorak kebangsaan.
3) Sastera yang berasal daripada sastera asing
4) Cerita-cerita berbingkai.
5) Cerita-cerita binatang.
6) Cerita-cerita penglipur lara.
7) Cerita-cerita jenaka.
8) Cerita-cerita panji dan hikayat.

Bagaimanapun pembahagian tersebut bukanlah mutlak, ianya boleh dibahagikan mengikut pendapat dan pengertian masing-masing. Paling penting, berbagai-bagai bentuk karya prosa lama tersebut merupakan perbendaharaan kesussateraan Melayu yang diwarisi daripada masyarakat zaman silam. Sebahagian daripadanya merupakan karya klasik Melayu yang amat berharga.

Dari segi bentuk dan isi prosa baru berbeda daripada prosa lama atau prosa klasik. Dua bentuk yang utama dalam prosa baru ialah novel dan cerpen. Istilah novel baru dipakai dalam kesusasteraan Melayu, ianya mula diperkenalkan dalam tahun 50-an. Sebelum itu istilah novel lebih dikenali sebagai cerita roman.

Satu lagi bentuk yang boleh digolongkan dal;am prosa baru ialah penulisan drama. Drama adalah seni lakonan.Seni lakon bangsawan pada masa dahulu tidak memakai skrip seperti lakonan drama kini. Cerita dalam lakonan drama ditulis dalam bentuk prosa yang dinamakan skrip drama.. Perkembangan drama menjadikan skrip drama mempunyai beberapa nama iaitu skrip nama pentas, skrip drama radio, skrip darama televisyen dan skrip filem.

Kepentingan Kesusasteraan
Kesusasteraan itu sangat dekat dengan kehidupan kita kerana menjadi bahan utamanya adalah manusia dan lingkungannya dan persoalan yang diutarakan pula adalah persoalan yang berhubungan rapat dengan manusia dan kehidupan. Dibantu oleh daya kreatif pengarang, kesusasteraan adalah cermin kehidupan atau pentafsiran kehidupan manusia. (Nur’Ainy Ali, 2004). Jika dikaji dan diselidiki secara mendalam, terdapat banyak kepentingan dan sumbangan kesusasteraan terhadap kita semua. Antara kepentingan dan sumbangan kesusateraan adalah seperti berikut:

1. Kesusasteraan adalah alat perantaraan ampuh yang memainkan peranan penting dalam mengeratkan lagi perhubungan dan pertalian antara masyarakat serta mengeratkan perhubungan dan persefahaman antara satu bangsa dengan bangsa yang lain. Ini adalah kerana dalam karya kesusasteraan itu terdapat nilai-nilai yang dianuti dan cara hidup sesuatu bangsa.
2. Kesusasteraan selain berfungsi untuk mendidik, juga dilihat sebagai berfungsi membersihkan diri jiwa manusia atau penawar jiwa.
3. Gambaran atau ciri-ciri ketaatan dan kepimpinan masa lampau dalam masyarakat Melayu ditinjau di luar hubungan sejarah dapat digali daripada sumber kesusasteraan terutama kesusasteraan klasik.
(Nur’Ainy Ali, 2004).
4. Bidang kesusasteraan mengajar kita untuk mengerti hakikat hidup beragama dan sejarah setiap rumpun bangsa Melayu dan lain-lainnya
5. Bidang kesusasteraan menguji kekuatan minda kita sebagai pemikir dan pengkritik yang konstruktif dan sistematik tentang kehidupan yang dapat dikesan dalam sesebuah karya.
6. Dalam konteks ilmu, kesusasteraan adalah sebuah disiplin ilmu yang menjana, mengasah, mencanai, membentuk akal dan fikiran manusia supaya kreatif dan imaginatif. Digabung pula dengan ilusi, fantasi serta bakat, pengalaman, unsur, misteri, rasa, kepekaan, minat dan kecenderungan terhasillah gambaran seni yang cukup halus dan suci. (Noriah Taslim, 2004)
7. Sejak beribu-ribu tahun yang lalu peranan sastera dalam pembagunan tamadun dan budaya manusia sudah teriktiraf. Sastera muncul sebagai melahirkan keinginan manusia primitive untuk mengatasi dan mengubah alam sekitarnya (Fisher, 1963) dan juga untuk membangunkan kesedaran kekelompokan, kewujudan kolektif yang merupakan permulaan kepada hidup bermasyarakat.
Kepentingan Linguistik

Linguistik adalah ilmu mengkaji bahasa. Kajian linguistik pula untuk melihat bentuk bahasa bahasa dan ada juga kajian yang meliputi perkaitan antara bahasa dan penutur serta masyarakat sekeliling. Jadi semestinya linguistik mempunyai kepentingan dan memberi sumbang yang tersendiri kepada masyarakat, lebih-lebih lagi kepada pengguna sesuatu bahasa. Antara kepentingan dan sumbangannya adalah seperti berikut:

1. Kegunaan ilmu linguistik ialah untuk menghuraikan segala aspek bahasa terutama sekali berkaitan dengan struktur dan sistem dalam sesuatu bahasa
2. Kajian linguistik memberi pemahaman kepada masyarakat tentang cirri- ciri bahasa dan peranan yang boleh dimainkannya. Contohnya untuk pembangunan sesebuah negara yang akan atau baru merdeka, satu bahasa perlu diangkat sebagai bahasa rasmi untuk berfungsi sebagai bahasa pembangunan dan pembagunan. Dalam hal ini juga, bahasa tersebut dapat digunakan sebagai alat untuk menyatupadukan rakyat yang bersifat pelbagai kaum
3. Seorang kaunselor, selain memerlukan pengetahuan yang baik dalam bidang tersebut, mereka perlu mahir dan mengetahui selok belok ayat dan perkataan yang sesuai bagi mempengaruhi pesakit atau pelanggan mereka.
4. Kepada juru bahasa ataupun penterjemah, mereka perlu mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang baik dalam bidang linguistik. Ini kerana penterjemahan akan melibatkan factor bahasa dan kebudayaan. Untuk itu, kedua factor ini mesti dipertimbangkan supaya hasil terjemahan dapat disampaikan dengan maksud yang sejelas-jelasnya.
5. Kajian linguistik berguna secara khusus kepada orang-orang yang terlibat dengan bahasa, seperti guru dan perancang bahasa. Kepada guru-guru bahasa, pengetahuan tentang ciri-ciri bahasa seperti struktur dan sistemnya akan memudahkannya memberikan huraian serta penjelasan aspek-aspek bahasa yang diajar kepada para pelajar. Umpamanya dalam struktur susunan bunyi, aspek sebutan, perkataan atau ayat bahasa Melayu.
(Nor Hisham Osman, 2001)

Hubungan antara Kesusasteraan dan linguistik.

Para sarjana sastera dan bahasa berpendapat bahawa, sastera dan linguistik adalah seiring, sejalan dan sehaluan sejak berabad-abad lamanya, kerana kajian puisi pada zaman Aristotle (384-322 S.M). menjadi salah satu cabang kajian tatabahasa ( M. Simanjuntak, 1979) Malahan pada abad ke-18, retorik dan puisi digabung dalam satu disiplin (C.W. Hayes, 1969). Pada pertengahan abad ke-20, hubungan yang erat di antara bahasa dengan sastera diberi perhatian dengan bersungguh-sungguh oleh ahli linguistik Barat seperti John Spencer, James P. Thorne, I.A. Richards, Richard Ohmann, Nils Eric Enkvist, Michael J. Gregory dan lai-lain lagi. Dalam masa lebih kurang satu dekat kebelakangan ini, tumbuh aras baru dalam linguistik yang ada hubungannya dengan sastera, iaitu linguistik teks seperti yang dikemukakan oleh Van Dyk (1972), Dressler (1972) serta Beaugrand dan Dressler (1981)
Menurut Shahnon Ahmad (1991), dalam kesusasteran, bahasa menjadi alat yang sering dilentur-lentur untuk menyatakan emosi dan perasaan yang pelbagai peringkat juga tentang kesan-kesan daripada emosi itu. Pengarang yang kreatif akan cuba menggunakan bahasa seluas mungkin meliputi pemilihan sintaksis, diski, ungkapan-ungkapan yang khusus dan meluaskan penggunaan bahasa-bahasa kiasan untuk mencapai kesan seberapa maksimum yang boleh dan. Dalam kesusasteraan juga pengarang akan memberi tugas yang lebih luas kepada bahasa dengan beberapa kuasa baru dalam menyatakan perasaan, situasi, perwatakan dan sebagainya. Pengarang juga mungkin mencipta kata-kata yang beraneka erti sifatnya untuk memperkayakan kuasa pengucapan bahasa.
Bahasa yang digunakan dalam karya sasatera sesuatu masyarakat tetaplah dalam lingkungan bahasa masyarakat tersebut. Hal ini demikian kerana sastera merupakan salah satu aspek komunikasi masyarakat. Oleh sebab itu bahasa dalam satera masih tetap berdasar pada aturan-atarun bahasa umum (M.S. Hutagalung, 1968). Daripada kacamata linguistik, aturan-aturan bahasa umum yang disebut itu dikenal sebagai tatabahasa. Dalam hubungannya dengan kewujudan bahasa, tatabahasa mencerminkan sistem sesuatu bahasa. Teori linguistik Transformasi Generatif mengatakan bahawa tatabahasa ialah himpunan rumus-rumus yang menerbitkan jumlah ayat gramatis yang tidak terbatas dalam sesuatu bahasa.
Walaupun kesusasteraan banyak menerokai bidang pemakaian bahasa dalam berbagai-bagai gaya untuk menerangkan berbagai-bagai situasi namun ianya tetap tertakluk kepada tatabahasa yang betul. Sekalipun kebebasan yang luas diberi dalam penggunaan gaya bahasa sastera, ianya tetap dikawal daripada melanggar peraturan-peraturan tatabahasa yang diterima ramai. Dalam pemakaian bahasa bagi penciptaan karya sastera kebebasan hanya diberi dalam bidang gaya sahaja bukannya dalam aspek tatabahasa. Hakikat ini dikukuhkan lagi oleh Umar Junus (1968) yang berkata, “ kelainan yan pada bahasa dalam sastera yang “biasa” bukanlah kelainan sistem, tetapi perbedaan pemilihan pola-pola yang ada.” Baharuddin Zainal (1974) juga berpendapat bahawa walaupun dalam tulisan kreatif penulis mencipta dan mneghasilkan sesuatu yang asli dan unik, tetapi ia tidak pula memperlakukan bahasa dengan sewenang-wenangnya. Betapa pun kreatif dan imaginatifnya dia, namun dia tidak boleh menyimpang jauh daripada pola-pola bahasa yang diterima oleh masyarakatnya.
M.Z.Z.M

Budi Bahasa

Mana budi bahasa kita,
pupus atau terkubur ditelan masa.

Bukan susah nak berbudi bahasa,
tak perlu pakai duit mahupun tenaga.

Usah berkira dengan siapa kita bersua,
bersikap positif dalam hubungan sesama kita.