PEMEROLEHAN BAHASA KANAK-KANAK


Peranan Ibu Hamil Dalam Pembentukan Otak Bayinya
Oleh Muhammad Zuhair Zainal


Setiap pasangan ibu bapa mengimpikan untuk mendapatkan seorang anak yang sihat, cergas, pintar dan dapat berbahasa dengan baik. Sering kali kita melihat betapa terujanya ibu bapa yang baru melahirkan anak ingin mendengar anaknya bercakap. Bagi mereka yang mempunyai anak yang lambat dapat bercakap, ianya merupakan suatu debaran dan dugaan bagi mereka. Pelbagai cara dan kaedah dilakukan agar anak ini dapat bercakap dan berbahasa seperti anak-anak yang lain. Secara sainstifiknya aktiviti bercakap memerlukan bahasa. Bahasa merupakan intipati aktiviti manusia. Setiap kanak-kanak normal yang dilahirkan pasti dapat bertutur dan berbahasa.

Perbincangan mengenai pemerolehan bahasa oleh kanak-kanak telah pun diutarakan oleh ahli-ahli psikolinguistik. Menurut Chomsky (1965), setiap manusia lahirnya dilengkapi alat pemerolehan bahasa. Chomsky menamakan alat ini LAD atau Language Acquisition Device. LAD inilah yang membezakan manusia dengan haiwan. LAD ini terletak di dalam bahagian minda dan otak manusia. Oleh itu otak sebenarnya memainkan pengaruh yang besar dalam pembentukan LAD yang baik. Faktor ibu semasa mengandung amat penting dalam pembentukan otak bayinya. Semasa di dalam kandungan, otak bayi mula terbentuk seawal hari yang ke-27 kehamilan. Pada masa ini, pertumbuhan otak berlaku dengan cepat, di mana sel-sel otak berkembang pada kadar 250,000 sel per minit. Sel-sel otak memerlukan pemakanan dan rangsangan yang betul untuk memastikan perkembangan otak yang optimum.


Para doktor menyarankan kepada ibu-ibu yang mengandung agar mengambil pemakanan yang sihat dan seimbang bagi tumbesaran anak dan otaknya. Sebagai contoh pengambilan asid folid dan asid lemak (EFA). Pengambilan EFA amat penting sewaktu hamil kerana bahan ini membantu dalam perkembangan otak bayi, mata dan sel sarafnya. EFA mengandungi asid linoleic dan acid alphalilolenic. Minyak sayuran seperti minyak jagung, minyak kacang soya, minyak matahari, kekacang adalah sumber yang baik untuk membekalkan EFA yang diperlukan oleh tubuh ibu untuk disalurkan kepada bayi.


Manakala Asid folid pula ialah vitamin B yang penting untuk mengekalkan kesihatan ibu dan kandungannya. Dalam beberapa minggu yang pertama, bahan ini amat diperlukan untuk perkembangan saraf utama bayi. Ini kerana, kekurangan asid folid akan mengganggu perkembangan otak bayi. Majlis Penasihat Pengambilan Nutrien Malaysia (2005) menyatakan wanita yang berumur 19 tahun ke atas memerlukan 400 ug folik sehari. Semasa hamil, wanita hamil memerlukan 600 ug untuk memenuhi keperluan diri dan bayi. Sebagai tambahan, digalakkan juga untuk mengambil makanan asid folik sebanyak 400 ug mg sehari untuk
sebulan pertama kehamilan untuk mengurangkan risiko mendapat bayi NTD (Neural Tube Defects). Makanan yang kaya dengan asid folid ialah seperti sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, brokoli dan kubis Brussels. Buah-buahan seperti oren, pisang, avocado dan anggur. Makanan yang diperkayakan seperti roti dan bijirin juga mengandugi asid folik. Tetapi awas, harus diingat bahawa hati dan produk hati seperti adunan daging dan lain-lain adalah tinggi kandungan folik di dalamnya. Jadi ianya tidak disarankan untuk ibu hamil kerana boleh mengakibatkan risiko terjadinya listeriosis (jangkitan daripada makanan yang mengandungi listeria), sejenis penyakit di mana boleh membawa maut terhadap bayi di dalam kandungan.
Pada masa sekarang juga, terdapat ubat serta susu yang dijual di pasaran yang dapat membantu perkembangan dan kecerdasan otak bayi semasa dalam kandungan. Seelok-eloknya untuk mengambil bahan ini, para ibu perlulah terlebih dahulu mendapatkan khidmat nasihat para doktor yang pakar terlebih dahulu.


Banyak penyakit ketika hamil disebabkan oleh pemakanan yang tidak seimbang. Ini kerana makanan yang seimbang dapat melindungi ibu dan bayi daripada menghadapi masalah yang membahayakan. Salah satu daripadanya ialah kecacatan pada otak bayi. Tumbesaran otak yang terbantut juga mungkin akan menyebabkan bayi yang dilahirkan kurang cerdas ataupun hiperaktif. Hal ini disebabkan oleh kerana tugas-tugas mengawal badan dikawal selia dan dijana oleh otak Setiap otak manusia terbahagi kepada dua bahagian iaitu hemisfera kanan dan hemisfera kiri. Hemisfera kiri mengawal badan sebelah kanan dan ianya mendominasi fungsi bahasa, operasi-operasi logik, analatik dan matematik. Manakala hemisfera kiri pula bertugas mengawal badan sebelah kanan dan ianya mendominasi fungsi emosi, mengecam muka, dan mengawal struktur benda. Kedua-dua bahagian ini amat penting bagi manusia.
Menurut pakar perubatan, semasa dalam kandungan pada minggu ke-18, bayi sangat aktif bergerak. Bayi juga dikatakan mula peka terhadap bunyi-bunyian daripada luar. Pada minggu ke-22 bayi mungkin mula berhubung dengan ibunya melalui tendangan ataupun gerakan yang dilakukan. Minggu ke-23 dan ke-24 bayi tersebut sudah boleh mendengar kata-kata ibunya dengan jelas. Manakala pada minggu ke-31, otak bayi dikatakan masih dalam proses perkembangan tetapi semakin laju dan bayi sekarang boleh mendapat dan memproseskan maklumat dengan cepat.


Minggu-minggu inilah dikatakan masa yang tebaik bagi para ibu untuk berinteraksi dan merangsangkan otak bayinya. Saat ini hubungan bayi dan ibu amat akrab. Ibu digalakkan sentiasa bercakap dengan bayi dalam kandungannya. Selain aspek pemakanan yang sihat dan seimbang, gaya hidup ibu juga mempengaruhi perkembangan otak bayi. Bersenam, membaca, mendengar muzik dikatakan dapat mempengaruhi genetik otak bayi yang baik dan cerdas.


Aspek penjagaan fizikal juga harus diutamakan. Pastikan kesihatan diri dan bayi dalam kandungan terjamin sehingga bayi tersebut dilahirkan. Kerja-kerja berat seperti kerap turun naik tangga dan mengangkat barang berat harus dielakkan, ianya boleh membahayakan kandungan.


Menurut Islam, selain penjagaan daripada aspek pemakanan, gaya hidup dan fizikal, persedian jiwa dan mental perlu dimantapkan. Para ibu yang hamil diminta agar sentiasa berdoa kepada Tuhan yang Esa agar diri dan anak yang dikandung dipelihara selamat daripada sebarang gangguan dan kejahatan. Banyakkan membaca Al-Quran terutama Surah Luqman kerana surah ini elok diamalkan dengan niat ingin memperolehi anak yang soleh dan punyai minda yang cerdas serta bijak sepertimana Luqmannul Hakim.


Didikan anak-anak bermula sejak dalam kandungan lagi. Pengalaman dan perasaan seorang ibu sewaktu mengandung mempunyai pengaruh yang besar terhadap minda, sikap dan jiwa anak-anak yang bakal dilahirkan. Seorang ibu yang kerap bergaduh tatkala mengandung dikhuatiri akan membentuk generasi yang kasar dan ganas. Sebaliknya, ketenangan jiwa ibu sewaktu mengandung sangat membantu dalam membentuk peribadi yang tenang pada diri anak-anak kelak. Kecerdasan minda dan akal anak-anak juga ada kaitan dengan kecerdasan minda dan akal ibunya ketika mengandung.


Oleh itu alat LAD yang dikatakan berada secara semula jadi dalam minda dan otak bayi yang dilahirkan pasti ada hubung kaitnya dengan ibu yang mengandungnya. Dikatakan bahawa alat LAD ini telah membolehkan bahasa pertama atau bahasa ibunda dapat dikuasai dengan mudah oleh semua kanak-kanak normal. Proses pemerolehan pengetahuan bahasa pertama juga dikatakan tidak memerlukan apa-apa bentuk pendidikan formal. Di dalam alat pemerolehan bahasa semula jadi ini dikatakan wujud pengetahuan bahasa semula jadi. Pengetahuan bahasa yang bersifat semula jadi ini dikatakan wujud dalam akal budi manusia secara genetik dalam bentuk pengetahuan nahu yang bersifat universal atau sejagat. (Zulkifley Hamid : 2004) Secara ringkasnya proses pemerolehan bahasa kanak-kanak dibentuk oleh 4 peringkat.
1. Vokalisasi (bebelan)
2. Pertuturan satu Kata (holofrasa)
3. Pertuturan dua dan tiga kata (telegrafik)
4. Perkembangan Ayat-Ayat
Kompleks.

Jelas terbukti bahawa ibu yang hamil memainkan peranan yang penting dalam pembentukan serta perkembangan otak bayinya. Ini kerana otak adalah merupakan salah satu bahagian dalam tubuh manusia yang sangat penting. Pembentukan otak selama pertumbuhan janin dalam rahim, diawali dengan timbulnya sejumlah sel otak yang masih terpisah-pisah. Pembentukan sel otak terbentuk daripada bahan yang tinggi mutunya. Oleh itu ibu yang hamil perlulah memastikan dan meneliti segala aspek baik dari segi pemakanan, gaya hidup, kesihatan dan sebagainya, agar kesemua aspek ini dapat menyumbangkan bahan yang bermutu tinggi dalam pembentukan sel-sel otak bayi dalam kandungannya. Dengan pertumbuhan otak yang sihat dan sempurna sifatnya semasa dalam rahim, pasti bayi yang dilahirkan mempunyai otak dan minda yang cerdas dan pintar, seterusnya dapat menjalani proses pemerolehan bahasa dengan baik dan mudah suatu masa kelak.

Mentari Muncul Lagi...


Biar usang di tembok flat milik sendiri,
asalkan dapat ku menikmati
sinar mentari dengan penuh keinsafan diri,
hadir bersama cahaya yang berseri
penuh ikhlas menjamahi kulit kasar
buruh yang sedang menghitung nasib diri.
Tiada sesalan tiada keluhan,
hanya ku pinta mentari sentiasa bersinar
menerangi dan menemani
siang hari ku
agar ku salai kulit ku,
ku rentungkan tapak tangan kaki ku,
ku gelegakkan ubun-ubunku,
biar keperitan menjadi kematu,
yang hadir kemanisan bertalu-talu
menjadikan ku hamba yang
tabah, sabar dan cekal
mengharungi segala ujian
di lopak denai hina yang fana ini.

TULISAN KU MEMAKAN DIRI

Umpama saka yang keji,
menghambat diri ke setiap denai yang ku lalui,
mungkin keangkuhan diri,
bagai magnet tulisan ku terpatri,
berlumut mengakari setiap perilaku,
mengawasi tutur kata yang berbaur hina,
menghukum segala ketakburan diri,

Hidup...tulisan ku tiada berjasad tapi bernyawa,
memberi pengajaran dan nasihat
buat sang penasihat yang alpa,
yang hanya pandai bertinta,
yang hanya pandai berbicara,

Darah ku bukan lagi berwarna merah,
kulit ku bukan lagi mengalir peluh masin,
segala-galanya telah berubah,
tulisan ku telah mula meresapi,
menyusuri bebuluh salur urat ku,
memalu gegendang telinga ku,
paluan amaran pertama sedang meneriak
mengaum ganas merobek hati jiwa ku,
memaku tulang-tulang rapuh ku...

Agar...
ku bertaubat dengan sebenar-benar taubat,
mensyukuri segala nikmat yang telah ku kufuri,
mentaati segala perintah yang telah ku ingkari,
moga aku mengerti
akan maksud tujuan
kejadian diri sebagaimana
Allah kehendaki

GUGUSAN AIR MATA KU HANYA KU REMBESKAN BUAT ALLAH YANG MAHA ESA

Ingin ku ratapi,
tapi imanku masih berfungsi,
inginku tangisi,
tapi ku percaya bukan itu redha caranya,
ingin ku melarikan diri,
tapi akhirat tetap ku akan tempuhi.

Walaupun lautan manusia bersimpati,
tetap ujian ini, aku bertiga yang bersendiri,
sememangnya aku teramat ingin
merintih..menangisi..
agar semua
lautan manusia mendengar kesedihan hatiku ini,
sebak dan sayu
terpukul dengan ujian yang dikurniakan oleh Ilahi.

Namun ku bendung,
ku sejatkan air mata ku,
ku jaga kesucian air mata ku,
hanya untuk Allah ku titiskannya,
ku belai hatiku, penuh rendah diri,
inilah hakikat diri yang perlu ku yakini,
Allah sedang menguji,
Allah sedang memerhati,
ketabahanku..kesabaranku..
keimananku..ketaqwaanku..
betapa ku redha dan besyukur
meskipun anak yang dikurniakan
tidak sempurna untuk menikmati alam
dunia sementara ini.

TABLIGH

"Tabligh"
Suatu nama yang disandarkan pada suatu usaha,
menggilap iman, mempertingkatkan ketaqwaan,
membasmi mungkar, memperkasakan ukhwah fillah.

Apa yang salah dengan mereka?
sehingga ada segolongan ulama dan lebai malang mencerca mereka?
jangan dilihat pada jubah rambut sugi serabai mereka,
seharusnya kita menilai niat luhur agenda mereka,
mereka adalah lebih baik daripada kita,
sekurang-kurangnya mereka membela amalan Rasulullah,
meskipun ada yang tempang dan carca merba.
(ini yang sebetulnya kita memperbetulkannya)

Dakwah memang pelbagai cabang,
itu cara mereka jangan kita sekali-kali memandang hina,
bukan mereka mengajak ke jalan-jalan neraka,
usahlah kita gusar dan berbulu mata melihat kehadiran mereka,
sepatutnya kita muslim cuba membantunya,
dengan apa jua cara dan kudrat yang ada,
cukuplah kita yang berbuat dosa,
mengutuk dan memperlekehkan method dakwah mereka.

Wahai ulama dan cerdik pandai,
jangan pandai berceramah dan mengeluarkan hukum semata-mata,
sekiranya ada usrah dakwah yang terkurang garam dan gula,
tolong belikan, sendiri masak sendiri rasa,
agar semua muslim dapat manfaatnya,
chef tua, chef muda bergabung tenaga dan idea,
merencah dakwah Islamiah,
mengamalkan sunnah Rasullah,
bagi menghidupkan kembali syiar Islam,
yang sudah usang dan pudar
di sarwajagat mata dunia.

NILAI POLITIK YANG TERNODA

Ke mana hilang nilai kesucian politik negara?
ternoda dan sedang diperkosa,
setiap inci bangsa, negara rakus dijilat dan diraba,
penuh bernafsu oleh mereka yang punyai penyakit kusta,
kerana kusta bahasa, agama dan negara dijadikan pengerasnya.

Segelintir cuma yang berhati mulia,
itu pun bagai lalang menunggu mangsa,
diracun dan diragut oleh omnivor pengamal demokrasi nista,
mana perginya nilai luhur dan amanah raya,
yang jadi teras dan sauh pejuang dahulu kala.

Hormatilah pendeta bahasa, hormatilah tok guru agama,
jangan mereka disembelih dan diperhamba,
sesungguhnya keringat dan akal mereka
amat tinggi karamahnya untuk tamadun kita.

Suburkan kembali nilai-nilai mulia,
nilai mulia tidak perlu didemokrasikan,
demokrasi seutamanya...
yang perlu disusukan dengan nilai mulia...
bukan dengan nafsu dan logika semata-mata.

DUGA + AN = Dugaan

Kadang-kadang manusia menduga kita dengan pujian,
maka kita mula berbangga.
Kadang-kadang manusia menduga kita dengan makian,
maka kita mula berdendam.
Berbangga dengan pujian, kita menghampiri kekufuran.
Berdendam kerana makian orang, kita yang kecundang.
Duga manusia tidak sehebat dugaan tuhan.
Berwaspadalah apabila manusia menduga.
Bersabarlah bila tuhan memberi kita dugaan Nya.

KESEMPURNAAN MILIK ALLAH

Hati ku seakan hilang,
musnah lumat dimamah syaitan,
mahu goyangkan iman dan kepercayaan ku,
terhadap kepergantungan ku kepada tuhan,
Berambus engkau wahai syaitan,
Keyakinan ku tetap akan ku pertahankan.

Sempurna itu anugerah tuhan,
jangan dibolak balik dengan kegusaran,
hanya Allah yang mencipta kesempurnaan,
Kun Fa Ya Kun dengan perintah tuhan,
kesempurnaan jadi, kesempurnaan hilang.

Wahai jiwa yang bernafsu,
diamlah kamu sebagai makhluk tuhan,
jangan cuba merosakkan iman ku,
jangan diperdaya oleh syaitan,
tenteramlah kamu bersama iman,
yakinlah kamu akan Kudrat Tuhan mu.

Wahai Allah tuhan yang Maha Sempurna,
hempuskanlah nikmat kesempurnaan,
kepada ku, isteri ku juga bayi dalam kandungan,
segala keputusan akan ku terima,
hanya ku pohon Engkau kabulkan permintaan ku,
Anugerahkan...Limpahkan...Palitkan...Sisipkan
khususnya kepada bayi dalam kandungan
Kesempurnaan yang berkekalan.
Amin.
KU MENCARI CINTAMU

Ketika diri ini membuka tirai
Melakar kata
Melayar rasa…
Begitu terasa diri ini kerdil pada pandangan Maha Esa
Sering diri ini bertanya…
Siapa aku di sisiNya Yang Maha Kuasa…

Ketika pula diri ini menadah tangan
Memohon doa…
Penuh pengharapan…
Seakan malu pada Pencipta diri
Kerana dosa membaluti jasad ketika ini…

Bila mana diri ini letih dan
Hilang pergantungan…
Bila mana tangisku berpanjangan dan
Hatiku dalam kedukaan…
Bila mana ku merasakan hidupku ketingalan dan
Masa telah meninggalkan…
Dia setia bersamaku…


Dia tahu betapa aku telah sedaya upaya mencuba…
Dia mengira setiap titisan air mataku dan
Dia tidak jemu mendengar padaku…
Aku malu padaMu ya Allah…
Aku hanya insan penuh dosa…
Betapa aku kerdil di sisiMu ya A’zim…
Betapa mulianya diriMu ya Latif

Saat ini…
Bagaimanakah pula dengan diriku??
Adakah aku akan setia padaMu??
Sujud hanya untukMu??
Hidup dan mati hanya keranaMu??

Wahai Allah…
Berilah aku kesempatan waktu
Untuk menebus manik-manik dosa
Dan hidup hanya untuk cintaMu
Jika itu yang bakal ku peroleh ya Allah…
Aku tidak akan pernah...
Berpaling dariMu…
Sungguh!!!

epah080190

SIAPA SEBENAR MELAYU

Aku bukan mahu menjadi penderhaka bangsa,
bukan ku mahu jadi pengkhianat nusa,
cuma aku meluah bicara,
meluat terhadap mereka yang mengaku Melayu,
tapi lidah berkudis rakus menghisap darah sesama sebangsa.

Siapa Melayu, siapa yang palsu?
kenapa Melayu sesama Melayu berseteru?
Sultan dicerca, semua jadi murai yang tercabut ekor.
Kenapa tak menjadi harimau jadian,
siang keris dihunuskan, malam taring yang jadi tombaknya.

Aku Melayu, tiada kuasa, tiada senapang,
di luar sana ramai Melayu, ada kuasa, ada wang,
di luar sana ramai juga Melayu, tapi cuma DNA sahaja jadi pengenalan.
di luar sana ramai juga Melayu palsu, mencari mangsa menunggu peluang.

Tak perlulah kita berseteru wahai Melayu,
marilah kita bersatu berdamai,
masih banyak lagi sawah yang perlu kita bajak dan tuai,
ketepikan pangkat, parti dan fahaman,
Esok kenduri sama-sama kita bergembira,
Di masjid kita berdoa,
Insya Allah, Tuhan akan kurniakan kita ganjaran,
Hidup aman sentosa senang dan tenteram.

DADIH BUAT DIRI KU TERSENTUH


Situasi: Di Sebuah Masjid Universiti Tempatan ; Hari Jumaat

Di kaki jalan jadi medan,
hari jumaat pasti lumayan,
anak-anak membantu,
ayah khusyuk berdoa,
panas hujan tidak perlu dipedulikan,

Walau RM1 perlu dibayar,
pernah tak kita bersyukur?
ada manusia berusaha keras,
tanpa peduli perkara yang remeh,
demi keluarga, muka direndahkan.
Aku berbumbung, mereka berpanas,
mereka keletihan, aku kesegaran,
Aku yang tersentuh, mereka tetap dengan senyuman,
Dadih mereka aku telan, ekonomi islam mereka janakan,
dadih yang kecil, rupanya terselit seribu KENIKMATAN.
Zuhey : Nikmat yang paling besar ialah nikmat Iman dan Islam



SI DURJANA YANG BERPOLITIK

Ramai durjana yang sedang berpolitik,
di belakang mereka beratus lanun menunggu masa,
untuk menyamun dan merompak,
harta rakyat dibaham mereka,
harta anak yatim disonglak mereka,

Kepentingan diri dan parti jadi DASAR utama,
manis mulut bak kilang gula,
tebu ditanam di segenap pelosok desa dan kota,
akibatnya rakyat mati disebabkan RACUN gula dan tebu mereka,

Lompat kiri, lompat kanan,
tabiat kanggaro jadi amalan,
ke mana hilang otak dan akal yang Tuhan bekalkan,
takkan digadai demi suatu pangkat dan jawatan yang hina di sisi Tuhan?

Sedarlah wahai si durjana di dalam sana,
berpolitiklah kamu seperti manusia yang bermoral dan beriman,
belalah rakyat, kayakan semua,
bantu si miskin, pulihkan akhlak remaja belia,

Allah itu tuhan yang Maha Perkasa,
segala pertimbangan kamu dalam pengetahuanNYA,
jangan disebabkan kamu,
kami semua mendapat bala petaka...

KERANGKA PEMIKIRAN KITA

Siapa kita? Tengoklah pada kerangka pemikiran kita...
Kita mesti tertanya-tanya apa itu KERANGKA PEMIKIRAN?
kita juga mungkin terkial-kial untuk merumus corak kerangka pemikiran kita?
Pada masa sekarang, tidak semestinya orang timur condong untuk berfikiran secara orang timur seperti nenek moyang mereka, begitu jugalah sebaliknya orang barat

Apa yang penting sangat tentang kerangka pemikiran ini? Siapa yang peduli?
Apa yang pincang dengan barat? Apa yang mulia dengan timur?
Mungkin kita perlu sama-sama merenung sejenak, fikir sedalam-dalamnya tentang permasalahan ini..demi kebaikan masa depan generasi kita yang bakal untuk menerusi perjuang kita membela bangsa, bahasa dan agama.

zuhey : Aku pun amat khuatir tentang kerangka pemikiranku! Seperti lalang dihujung sabit, penuh lumpur bersalut racun, akar berserabut menjadi rumah bagi cacing dan semut.

INSPIRASI DUNIA

Di sini bermula tamadun dunia,
jatuh dan bangunnya suatu bangsa,
mekar bahasa dan budaya,
adalah kerna dia,
Wanita yang menjadi inspirasi dunia,
punyai anugerah istimewa dari Tuhan yang Maha Esa.

Ibu kepada makhluk bernyawa bernama manusia,
Anak kepada insan yang dilahirkan sebagai ibu bagi manusia,
darjatnya tinggi di sisi manusia,
kasihnya ditagih oleh seluruh manusia.

Adakah kita menghargai kehadirannya?
Ataupun kita sekadar seronok dengan kelahirannya,
meratapi kasihnya takkala Tuhan memanggilnya,
Ataupun sekadar tersenyum bangga takkala diijabkabul denganya?

Adapun kiranya ya Allah,
Kamu jadikanlah ibu ku, ibu dan isteri yang solehah,
jadikanlah isteri ku, isteri dan ibu yang solehah,
anak-anak perempuan ku, sebagai anak, isteri dan ibu yang solehah.

SEDALAM MANAKAH CINTA DAN KASIH KITA TERHADAP BAHASA DAN BUDAYA KITA?

Adakah kita orang di bawah ini peduli tentang bahasa dan budaya kita? Orang atas? Biarlah mereka dengan labu-labunya. Kita belum sampai lagi di atas sana!
Siapa lagi yang harus bertanggungjawab untuk mencintai dan kasih terhadap bahasa dan budaya kita? Itu pun kalau bukan kita...

Orang atas? Biarlah mereka dengan falsafah, teori-teori, prinsip dan rumus mereka! Kita belum sampai pada tahap kehebatan ilmu mereka?
Tanyalah diri kita betapa kita sayang pada bahasa dan budaya kita. Bukan orang atas sana yang perlu kita bertanya. Mereka banyak soalan dan masalah yang perlu diselesai dan diteorikan.
Biarkanlah bahasa dan budaya yang pasrah, asalkan bangsa dan negara maju di pentas dunia!

Aku ada maruah dan aku punyai bahasa serta budaya! Tidak ku hairan terhadap kemajuan yang tiada peri kemanusiaan terhadap bahasa dan budaya. Suatu masa pasti akan lahir ramai si JEBAT yang BELOT mempertahankan bahasa dan budaya mereka! Adakah kita akan menjadi KONCO-KONCO Si Jebat atau Si Tuah yang setia pada Raja?

AKU YANG CERGAS SATU MASA DAHULU

Seingat aku, sudah berpuluh-puluh (mungkin beratus) kawasan hutan yang punyai sungai, jeram dan air terjun pernah ku terokai. Tidak kirala tempat tersebut pernah orang masuk atau tidak, kebanyakannya ku bermalam di sana. Memang banyak sangat cerita sekiranya hendak dikarang.
(IZINKAN AKU BERBAHASA PASAR)
Aku ni boleh kata giler sangat ngan aktiviti lasak. Pantang hujung minggu dan cuti, telonjat-lonjatla jawabnye. Partner aku dah tentu Cikgu Iskandar (CIO). Dengan berkudakan Jeep lamenye kami redah je hutan, sungai, jeram, ladang sawit, ladang getah dll untuk suatu kepuasan. Memang puas! Pernah sekali semasa kudanyer menuruni highway KARAK, sekali brek kuda ni terputus da! Nasib baiklah dengan kepakaran yang ada pada CIO selamat jua akhirnya kami melepasi highway KARAK tu, kalau tidak gaung KARAK tula jadi kubur kami. Huhuhu! Paling best skali, pengalaman mandikan gajah di pahang tahun 2003, gajah memang suka berak dalam air! hahaha, nasiblah aku tak tertelan air kat situ! Tasik Kenyir, antara kegemaran ku. Sana memang syurga ikan beb! Satu hari 300 ekor ikan lampang pasti dapat! Taman Negara Pahang, kuala Koh, Taman Legenda Gunung Ledang, Tekam, Sungkai, Ngiri Kelantan, Gunug Stong Kelantan, Taman Negara Gunung Kinabalu, Gua Senyum, Gua Kota Gelangi, banyak lagi la tempatyer. Yang pasti pengalaman tersebut amat bermakna bagi diri ku. Banyak pengetahuan dan ilmu yang dapat aku timba DI SANA. Terima Kasih CIO, sesungguhnya anda seorang teman yang selalu tenang, riang dan penuh ilmu di dada. Terima Kasih bebanyak kerana sudi berkongsi bersama dengan saya.

Dosa Itulah Yang Sering Kita Ulang

Sudah penat ku melakukan dosa,
sampai bila dosa yang sama ingin ku ulang,
sudah tertutupkah pintu hidayah daripada Tuhan,
hingga ku sendiri tidak berdaya melawannya!

Jika dihitung masa harianku penuh dengan dosa,
ke mana pergi semua pahala?
Asyik dosa, dosa, dosa dan lagi-lagi dosa!
Semacam dosa itu pula pahala?

Biarlah ku melihat pada dosa ku,
kerna ku kira pahala ku tidak seberapa,
Tidak seberapa pahala tidak bermakna ku ini Sang Leka!
Sang Leka pasti dia tidakkan peduli tentang dosanya!

Esok ku harap dosa ku diampunkan.
Esok Ku harap dosa ku dihapuskan.
Esok ku harap dosa ku banyak...
Banyak yang dihapus dan diampunkan!

Belajar kerna ilmu atau.......?

Seharian kita mentelaah buku,
berbulan-bulan kita menggalas buku,
tahun demi tahun kita menyimpan buku,
sudah pasti ilmu belonggok membusu di dada.

Tapi betulkah ilmu itu yang kita kejar?

Atau DG41 yang menjadi keutamaan kita?

Mungkin pangkat yang lebih utama?

Aduh sememangnya siapa saja pasti kecelaruan
bila memikirkannya,
Hidup mesti diteruskan juga,
tanpa ilmu pasti kita hidup meraba-raba,
tapi...
tanpa DG41 dan pangkat kita mungkin hidup
biasa tanpa berjenama.

Kan Ku Kongsi Kesenangan Ku

Sayu dan hiba bila daku lihat pada insan-insan yang daif mahupun yang hidup sederhana serba kekurangan, lebih-lebih lagi mereka yang hampir dengan diriku. Entah bagaimana mereka akan menempuhi kehidupan di hari ke hadapan dengan apa yang mereka ada. Pada siapa mereka harapkan? Adakah mereka boleh merasai nikmat hidup seperti yang ku kecapi sekarang? Bilakah masanya semua ini akan mereka kecapi? Dalam kehidupan mereka sebegitu, aku masih lagi hidup dalam keborosan, pembaziran. Berlagak mewah dan penuh angan melangit berbaur kesombongan. Ya Tuhan ajarilah daku dengan ksyukuran. Kurniakanlah kepada insan-insan yang ku sayang dengan kehidupan yang bahagia, senang dan berkat. Andainya daku berjaya dan menjadi seorang yang punyai kesenangan kewangan, Insya Allah akan ku kongsi bersama mereka semuanya semata-mata untuk mendapat keredhaan Mu ya Tuhan.

makanlah kita

apa yang kita makan?
adakah baik untuk kesihatan?

apa yang kita makan?
adakah halal di sisi tuhan?

jangan kita makan
makanan yang kurang kesihatan

jangan kita makan
makanan yang diperolehi daripada hasil haram

makan lah dengan cara sopan
patuhilah adab makan

pastikan kebersihan makanan
utamakan kesucian