KITA YANG PERNAH SAKIT

Kita yang pernah sakit,
macam-macam sakit yang pernah kita rasa,
ada sakit yang membawa penyakit,
sakit yang mendatangkan gembira pun turut ada yang merasa.

Sakit yang dirasa telah membuat kita berwaspada dan bersedia,
kita berkorban apa sahaja untuk sembuh daripada rasa sakit,
kita berikhtiar supaya kita tidak mendapat lagi apa-apa sakit,

Tapi kita lupa kepada sakit yang maha sakit,
kita tidak bersedia untuknya,
langsung kita tidak memikirkan betapa maha sakitnya dia,
seolah-olah sakit maha sakit bukanlah urusan terpenting untuk kita sedia merasainya,
sakit SAKARATUL MAUT menanti semua.

Tiada guna ada takaful dunia, takaful akhirat kita lupa untuk menabungnya.

DUDUK

Duduk  i'tikaf di masjid lebih baik,
duduk berzikir lebih baik,
duduk membaca al-Quran lebih baik,
duduk di majlis ilmu lebih baik,
duduk mengasihi menyayangi anak dan isteri lebih baik,

Duduk dan diam lebih  baik.
Duduk daripada jauhnya perkara syubahah amatlah lebih baik,
daripada duduk membikin amarah, memerah nafsu menjadi buas dan ganas.

Bila marah ajar dan paksa diri duduk,
Orang yang hebat, sabarnya lebih.
Orang berjihad, duduknya taqwa, berdirinya taqwa.





UCAPAN YANG BAIK ADALAH SEDEKAH

"Ucapan yang baik adalah sedekah". (Riwayat Al-Bukhari no. 662 & Muslim no. 669)
- Boleh juga ditelaah dalam Kitab RIYADHUS SOLIHIN karya Imam Nawawi -

Jadi bagaimana dengan kita? Adakah sebelum ini kita pernah mengetahui tentang hal ini?
Mungkin selama ini saya, anda dan kalian semua sering kali mengucapkan kata-kata yang baik kepada orang sekeliling kita, baik terhadap ibu bapa, isteri, anak-anak, adik beradik, saudara mara, kawan-kawan dan lain-lain, persoalannya, adakah kita lakukannya atas tuntutan agama dan kerana Allah serta Rasul Nya? Atau mungkin kita berkata-kata baik hanya kerana ingin mengurangkan konflik, mengambil hati, menjaga perasaan, dan sebagainya yang mana ianya hanya kerana manusia semata-mata? 

Nampaknya, aku perlukan ruang masa untuk muhasabah diri sebentar ...  Hingga bersua lagi di coretan hadapan.

MAKAN SEMUA HATI MERPATI

Di dalam hutan, sedang bermesyuarat sekumpulan binatang. Agenda mereka cukup besar, Raja Rimba mahu datang ke kawasan mereka. Dalam kelam kabut Sang Kancil membentangkan SOP program bagi meyambut kedatangan Raja Rimba, tiba-tiba Sang Anjing menyalak dan membantah serta merta.

Sang Anjing : Wang! Wang! Wang! Hoi, Sang Kancil! Engkau tahu tak kenapa Raja Rimba dijemput dan bersetuju datang ke mari ke sini? Boleh engkau jawab?

Sang Kancil : (Senyum sinis) Tolong la jawab!

Sang Anjing : Wang! Wang! Wang! Kawasan kita ni dah jadi sarang merpati! Membiak berpinak dah mereka kat sini! Itu ha yang kita orang nak bawa Raja Rimba ke sini, kasi makan hati semua merpati!

Sang Anjing : (Mengangguk kepala) Ooo, bukan nak halau pembalak kat sini?

Sang Anjing : Wang! Wang! Wang! urusan pembalak tu yang kesepuluh, yang terutama tahi merpati dah tak bersepah-sepah lagi kat sini. Ada engkau faham? Mana yang utama, mana yang terkemudian?

Sang Kancil : (Sinis) Ooo, barulah aku tahu! Maaf, selama ni aku tak pernah bergaul dengan geng karnivor.

Sang Anjing : Wang! Wang! Wang! (Meleleh-leleh air luirnya yang bernajis itu keluar, kerana terlalu riak dan besar kepala) Engkau dah tahu kan? Jadi lebih baik ikut saja SOP aku. Betul tak ketua?

Sang Kancil mula berwaspada, mula curiga. Dia sudah terjebak dengan geng karnivor. Dia juga mungkin jadi mangsa mereka sekiranya dia alpa.

PERSIMPANGAN MALAM




Antara persimpangan malam,
yang saban hari ditelusuri ramai,
sama melalui,
 tetap melangkahi, hingga kemati,
tanpa singgah, 
tanpa berfikir panjang. tiada pernah muhasabah.
Sarat dengan bebanan, kotoran dibawa beradu, nyenyak lena bersama kealpaan.
Tuhan Semesta Alam, dilupakan.
Yang senang dipayahkan,
yang palsu dibuat kesayangan.
Mimpi indah, bersanding anggun di atas sejadah,
kelu direnjis kepenatan.
Kaku tersipu bersama kemalasan.
Lidah tak pernah basah dengan huruf-huruf hijaiyah, air mata tak pernah ke tanah.
Terus larut bersama malam,
yang umpama tiada persimpangan dan selekoh.
Pasti rugi pabila rebah!


AMALAN KITA

Zikir masih kurang,.
Baca Quran masih kurang,.
Solat sunat masih kurang,.
Solat malam langsung tiada dalam diari amalan.

Senyum masih kurang,.
Bersedekah masih kurang,.
Menolong orang yang kesusahan masih kurang,.
Solat jemaah jarang-jarang datang.

Habis apa yang bertambah?
Semuanya kurang, semuanya jarang-jarang,
semuanya kadang-kadang.

Apa yang kita perbanyakkan dalam kehidupan seharian?
Dosa dan pahala bercampur-baur,
umpama segelas air jernih terpalit segelas nanah,
berkeladak di atas, dosa.
yang berkeladak di bawah, dosanya juga.

Memang kita kena akui, yang kita lemah iman,
dan kurang amalan soleh, amalan kebajikan.

DESIRAN KIPAS

Lantunan bunyinya yang menyamankan,
malah mengujakan.
Anginnya rawak untuk dikongsi ramai,
biar kuat desirannya, jangan tinggi bilnya,
untuk hidup nyaman bukannya percuma.

Desirannya dibayar, walau peluh kering tak sekata.
Jangan disia-siakan nyamannya,
walau anginnya menyapa di hujung rambut sahaja.

Zuhey : Mudah untuk difaham, tapi payah untuk diamalkan.

HOBI SAYA MENYEBARKAN KEBURUKAN PERIBADI SESEORANG

Dek terpengaruh dengan rentak dan budaya yang ditunjukkan oleh bapak-bapak sang politikus yang tak bermoral, semakin hari semakin bertambah anak-anak muda yang lantang  memaki, mencela, mengumpat akan keburukan peribadi seseorang. Bukan sekadar itu sahaja , bahkan dihebah dan disiarkan oleh mereka ke serata pelusok dunia.

 Semuanya buta!!! Buta hati dan buta agama!!!

Tak kisahlah yang dimaki itu dari kalangan pemimpin berhaluan kiri atau kanan, bila mana menyentuh peribadi mereka, itu bukan ajaran agama kita Islam. Kenapa perlu kita menambah-nambah lagi keburukan dan kecelaan yang ada pada peribadi mereka? Perlukah dicanang-canangkan, ditayangkan, didedahkan keburukan dan kecelaan peribadi mereka? Dari mana kita belajar semua ini kawan-kawan? Nak disandarkan kepada siapa? Rasulullah kah? Iman Syafie kah? Atau syaitan laknatullah?

Belajarlah Islam sebetulnya, dan belajarlah Islam dengan dengan iman dan taqwa. Islam sememangnya membenarkan kita menegur dan memperbetulkan kelemahan, keburukan dan kecelaan yang dilakukan oleh pemimpin. Tetapi ada cara dan ada batas-batasnya. Yang pasti, keburukan peribadi seseorang bukan boleh dicanang dan "dipromosikan" semenang-menangnya, lebih-lebih lagi jika dia adalah seorang muslim.

Hentikanlah segera penyakit suka menyebarkan dan menceritakan keburukan dan kecelaan peribadi seseorang secara umum, baik di FB, di BLOG, di Masjid, di ceramah-ceramah, di forum-forum atau di mana-mana sahaja. Terutamanya apabila status perkara tersebut belum lagi dijamin kesahihan dan kebenarannya. Berwaspadalah, kerana di akhir zaman ini ramai golongan fasik yang berkeliaran menyebarkan fitnah dan berita palsu.

Takutlah Allah. Moga Allah mengampunkan dosa saya dan dosa kita semua.

Zuhey: Jangan kritik urusan peribadi mereka, tapi kritiklah kepimpinan mereka.

WAHAI TANAH

Wahai tanah,
tidak sedarkah engkau, yang bahawa engkau adalah TANAH,
berlumut, berdaki, bernajis.

Wahai tanah,
dari mana datang mu, dan ke mana kembali mu,
ke langit atau ke laut?

Wahai tanah,
sedarkanlah akan oleh mu, yang sesunggungnya engkau adalah TANAH,
pasti kembali jua ke TANAH.

Wahai tanah,
sebaik-baik mu pasti akan juga ke TANAH,
sejahat-jahat mu sudah barang tentu akan ke TANAH,

Wahai tanah,
apakah jenis mu?
liat atau gambut?
bersediakah mu untuk dibajak dan digembur?
dengan cangkul yang tumpul.....

Zuhey: A'uzubillahi min zalik

IKTIBAR KURA-KURA (ii) & HIJRAH 1433

Rentetan dari kisah kura-kura (i), maka eloklah kiranya aku lontarkan pandangan aku tentang sikap kura-kura yang tidak wajar kita teladani. Mungkin anda tertanya, teruk sangatkah kura-kura ni? Hingga perlu dibincangkan setelus begini? Barang perlu kita ingat, bahawa setiap penciptaan yang telah dijadikan oleh Allah adalah untuk tujuan kita memikirkan tentang kehebatan kekuasaanNya, di samping itu setiap penciptaan tersebut tersiratnya seribu macam pengajaran yang boleh kita teladani untuk  kita lebih dekat dengan Allah.

Kura-kura, bila sahaja diancam atau rasa dirinya terancam, maka serta merta ia akan menyembunyikan dirinya ke dalam cengkerang kulitnya. Mengapa begitu? Untuk menyelamatkan diri. Mengapa ia tidak lari, tidak cuba melawan? Kerana cengkerang itulah satu-satunya senjata yang ia miliki. Jika ia melawan atau lari, pasti mati.

Sikap inilah yang tidak wajar kita teladani. Kita sebagai manusia, apabila ditimpa sesuatu masalah atau ujian dan sebagainya, perlukah kita bersikap sedemikian juga? Akal telah diberi, kenapa perlu bersikap takut untuk berikhtiar dan berjihad menyelesaikannya secara kental diri. Masalah dan ujian yang membelenggui manusia bukan tidak boleh diatasi. Paling lemah, dirikan solat dan merintihlah depan Ilahi, sesungguhnya kita lupa bahawa bantuan ghaib itu tersedia bagi hambanya  yang yakin 100 % kepadaNya. ALLAHUAKBAR.

Semoga Hijrah 1433 kali ini, memberi kita satu demensi baharu untuk kita melakukan satu pradigma ke arah yang lebih baik. Tekadkan dalam hati, tingkatkan iman dan amal supaya Allah sentiasa di sisi kita. Ingat, segala masalah, ujian dan menah perlu dihadapi, tidak dapat tidak kita tidak boleh larikan diri. Hadapilah dengan sabar, ikhtiar, dan tawakallah kepada Allah S.W.T sepenuh hati.

Zuhey: Salam Tahun Baharu Hijrah 1433 & Selamat Majukan Diri Dunia dan Akhirah.

KURA-KURA: APA YANG DAPAT KITA PELAJARI DARIPADA MEREKA? (i)

Semua tahu kura-kura. Betulkan? Kalau kat kampung kura-kura tiada harga, tetapi sebaliknya di bandar kura-kura ada harga. Betul tak ni? Jangan mengiyakan sahaja. Betulla, kura-kura di bandar letaknya di zoo, nak masuk dan melihatnya kena bayar. Kat bandar ada restoran haram menyediakan sajian daging kura-kura. Nak cuba? Selidiki agama kita dulu ya. Di bandar ada "Pet Shop', semua binatang yang boleh dibela boleh dibeli di sana. Anak harimau pun ada, itu pun yang patung aje. Kura-kura sememanglah ada.

Terlanjur dah "mengumpat" tentang sang kura-kura, naklah aku kongsikan persepsi aku tentang binatang ini. Apa yang mutlak, tak boleh disangkal tentang penciptaan kura-kura oleh Tuhan yang Esa. Baik tujuannya untuk ekosistem alam, biodiversiti, dan sebagainya. Secara implisitnya mungkin kita tak terfikir apa yang boleh dan tak boleh kita teladani daripada kura-kura. Apa dia ya?

Pertama, (YANG BOLEH) jika dilihat pada fizikal kura-kura, kita dapati binatang ini ada yang besar, ada yang kecil, ada yang cantik, ada buruk, ada yang berwarna menawan dan ada yang comot warnanya. Baunya? Mungkin deria bau anda lebih tajam daripada saya, cubalah. Bagaimana cara jalannya pula? Perlahan dan lambat! Semua ciri fizikal ini cuba kaitkan pula dengan kisah "Arnab dan Kura-Kura". Apa tauladannya?



(i) Sematkan dalam diri sifat merendah diri, tiada rugi sekirannya kita mengamalkannya. Hina dan mulia datang dari Allah S.W.T.
(ii) Sentiasa bersabar apabila dikeji dan dihina. Hebat itu tekun dan sabar.
(iii) Kelebihan atau kelemahan diri bukan syarat untuk mendabik dada atau berputus asa. Bersyukur dengan kelebihan diri, berusaha serta bersungguh-sungguh bagi memperbaiki kelemahan diri. Istiqamah perlu ada.

Lagi? mungkin perlu disambung pada artikel yang kedua... agar tak membosankan kita semua, maklumlah aku bukannya penulis yang prolifik, lebih baik sebelum mual..... ya, kita jumpa di lain masa.

LEMBU KORBAN VS SEKSUALITI MERDEKA

Malaysia, menjelang Sambutan Hari Raya Aidil Adha, lembu habis ditempah untuk dikorban kerana Allah Taala. Harga lembu sekarang pun boleh tahan, sesetengah tempat satu bahagian korban ada yang mencecah RM450. Tapi itu bukan suatu alasan untuk kita tidak berkorban. Kita hanya disyariatkan untuk mengorbankan haiwan, kecil sahaja berbanding dengan pengorbanan Nabi Ibrahim A.S yang mana beliau telah diperintahkan oleh Allah Taala untuk mengorbankan anak kesayangannya Nabi Ismail A.S. Inilah perbandingan iman kita dengan iman para nabi A.S, perbandingan tahap pergorbanan antara kita dengan mereka. Jauh besar bezanya. Moga dengan sekelumit usaha pengorbanan yang bersungguh-sungguh kita kerjakan ini dipandang oleh Allah dengan pandangan yang mulia.



Baik, berbalik kita tentang lembu-lembu korban, aku fikirkan lembu-lembu tersebut bahkan yang tersengih terselamat daripada dikorbankan lebih mulia daripada seluruh warga kerja Seksualiti Merdeka, lebih suci kehormatan mereka (iaitu lembu-lembu tersebut) daripada pengamal sek bebas yang wujud di Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya. Kenapa? Kerana yang jantannya, tak pernah aku terlihat (mahupun anda semua) mereka bercinta serta berdayung sesama jantannya. Yang betinanya tidak pernah bercium mulut sesama betinanya. Oh, hinanya mereka! Jijik dan terkutuknya amalan dan budaya songsong yang mereka anjurkan tersebut. Lembu pun ada harga. Makin hari makin meningkat nilainya. Lembu pun kenal mana jantan mana betinanya. Manusia sebegitu.... disondolnya semua. Oh, tidak!

Banjir telah pun menenggelamkan sebahagian bumi di Thailand sana, moga ianya tidak dialihkan kemari dek kerana murkanya Allah dengan perbuatan terkutuk warga Seksualiti Merdeka. Bersama-samalah kita tentang dan leburkan impian mereka. Islam agama kita.

Zuhey: Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha buat seluruh Muslimin dan Muslimat dan selamat menjalani ibadah korban.

BAHASA YANG HIDUP

Hidupnya bahasa bukan dek kerna namanya,
mekarnya ia bukan terpalit dek kehebatan bangsanya,
Ianya hidup kerana banyaknya ilmu yang mengalir daripada badannya,
bukan ilmu tani semata-mata, bukan ilmu bahasanya juga semata-mata,
lebih daripada itu,
mungkin boleh dibawa ke bulan serta,
biarlah ianya hidup di Marikh juga,
takkan selamanya di bendang di ladang sawit aja.

Apa digusar? Apa diburuk sangka?
Takut ekonomi merudum pula?
Pelabur bukannya buta bahasa. Siapa yang buta?
Tak perlu tamak dalam membaja kemodenan fana.
Bahasa jati kita, biar ia hidup 1000 tahun lagi hendaknya.

5 PENGAJARAN PADA HEMAT SAYA YANG DAPAT KITA PEROLEH DARIPADA RAMADHAN

1. Ibadah fardu hanya perlu dilaksanakan mengikut ketetapan Al-Quran dan As-Sunnah . Jangan ada sebarang penambahan mengikut akal dan hawa nafsu sendiri.
( Cnth: Ibadah puasa sebulan hanya boleh dilaksanakan di bulan Ramdhan sahaja)

2. Meraikan perbezaan/khilaf yang berkenaan perkara furu' (cabang/ranting) selagimana ianya ada nas yang sahih dan  mu'tabar. Tak perlu bertengkar dan bermusuhan disebabkannya.
(Cnth: solat sunat terawih ada 8, 20 dan 36)

3. Al-Quran perlu sentiasa dibaca, ditadabbur dan dihayati serta diamalkan secara total dalam kehidupan kita. Lipatkan usaha dan keupayaan daripada membaca kepada mentadabburkannya pula. Penghayatan dan pengamalannya bukan bersifat separuh-separuh dan pilih mana yang suka.

4. Setiap ibadah Khusus Allah telah menetapkan objektif utama pengamalannya.
(Cnth: solat- mencegah perkara keji dan mungkar, puasa- supaya setiap muslim lebih menjadi hamba yang bertaqwa (sila rujuk Al-Quran tentang ayat khusus berkenaan objektif tersebut))

5. Sentiasa bersihkan diri dan harta agar keberkatan daripada ALLAH S.W.T setiasa memayungi kehidupan kita.

WALLAHU'ALAM.
ﺯﻮﻫﻴﺮ ﺯﻴﻨﺎﻝ الفسبي

RM 3 YANG TERMAMPU: BULAN RAMDHAN BULAN BERSYUKUR



Tinggal di kota raya seperti KL, PJ, Subang, Shah Alam dan lain-lain amat amat mencabar. Cabarannya datang dari pelbagai cabang. Anda sendiri merasa, saya juga merasa.

Ramadhan yang lepas, aku ada beberapa kali ke pasar malam (campur sekali dengan Bazar Ramadhan). Nak di pendekkan cerita, suatu petang tersinggahlah aku di bahagian orang menjual daging. Jenguk kedai ni, jenguk kedai sana, nak cari daging lembut, harganya yang dibandingkan... pi mai, pi mai harganya tetap sama, RM 18 sekilogram. Baiklah, "bang, tolong bagi daging lembut ni sekilo," aku mula berurusan beli jual dengan penjual daging kedai yang dipilih. Dalam masa yang sama, berdiri di sebelah aku seorang ibu sedang mendukung seorang anak dan memimpin tangan seorang lagi anaknya. Memandang tepat ke arah daging yang bergantungan di kedai itu. Enam biji mata seakan-akan tidak berkelip bersungguh-sungguh menikmati memandang ke arah daging tersebut.

Aku serba salah jadinya, takut aku tersalah potong Q. Jadi aku pinta kepada penjual daging kedai tersebut untuk berurusan jual beli dengan perempuan beranak dua tersebut terlebih dahulu. "Ya kak, nak daging apa? Berapa kilo ya?" tanya penjual daging tersebut sambil terus mengambil pisau bagi digunakan untuk memotong daging yang tergantung itu. "Arr, boleh tak bagi akak RM 3 je." Kelihatan perempuan tersebut beria-ria mahukan daging dengan harga RM 3. Aku memandang penjual daging, dia pun turut memandang ke arah aku. Aku tengok diangkat tangannya yang kotor ke kepala dan digaru-garunya dengan menggunakan hulu pisau yang dipegangnya. Sekali lagi ditengoknya aku, lantas dialihnya pisau yang terpacak di udara yang ada di kepalanya itu lalu dicuba-cubanya untuk memotong daging yang tergantung tersebut. Beberapa kali dibuatnya gitu, agak-gaknya dia tidak tahu nak potong banyak mana bagi dijualnya dengan harga RM 3. Memang serba tak kena aku tengok gelagat penjual daging itu.

"Betul ke akak nak RM 3 daging ni?" Tanya penjual daging bagi memecah kebuntuan yang dibebaninya tadi. "Ya, akak memang nak sangat beli daging, RM 3 pun jadilah. Anak-anak akak dah lama tak merasanya. Tak sampai hati akak tengok diaorang bersusah payah berpuasa. Bila setiap kali berbuka, nasi dan ikan bilis je jadi santapan mereka ." Rintih dan rayunya buat hati aku menggeletar... bagai terkena kejutan eletrik tajam mencucuk-cucuk perasaan aku.

 ********************************************************************************
Akhirnya perempuan tersebut bersama anak-anaknya beredar dari kedai daging tersebut. Dari kejauhan, anaknya yang didukung menoleh dan melambai-lambai ke arah ku.... dia tersenyum. Aku pun tersenyum.


Zuhey: Sesungguhnya ramai insan yang kurang bernasib baik berada di sekiling kita. Bersyukurlah dengan kesenangan dan kelapangan yang Allah S.W.T kurniakan kepada kita. Amat amat perlu bersyukur!










PESANAN KEPADA PENJUAL-PENJUAL DI BAZAR RAMADHAN

Aku dengan rendah dirinya kali ini terpanggil untuk berkongsi rasa sebagai salah seorang daripada ribuan pelanggan juadah makanan yang dijual di bazar-bazar ramadhan. Berkongsi rasa... untuk manfaat bersama bagi keuntungan dunia dan akhirat sana


PERTAMA: Juallah juadah yang terbaik yang dapat anda sediakan. Janganlah cincai, tiada rasa, tiada tergamak untuk tekak menelannya.

KEDUA: Jagalah aurat dan pakaian anda. Jangan sampai orang ramai tergamak untuk membeli dek ngiur kepada aurat anda bukan kerana juadahnya.

KETIGA: Teruslah berniaga dengan mengambil endah halal dan haram, bersih dan kotor, azan dan iqamah, sedekah dan jariah.

Anda semua membantu kami, Insya Allah besar ganjarannya. Yang penting keuntungan dicari keredhaan Allah jangan dilupa. Salam kemaafan aku titipkan moga ramadhan lebih dijadikan bulan untuk menambah pahala, keampunan dan keberkatan Allah Yang Esa.

RAMADHAN YANG DIRINDUI

Di celah-celah rimbunan Sya'ban kita mengintainya Ramadhan. Yang pasti kunjung tiba jua akhirnya. Persoalannya dapatkah kita mendakapinya awal hingga ke penghujungnya? Maka hadirlah prasangka bahawa kita pasti dapat bermesra bersamanya buat sekian kalinya.

Alhamdulillah jika begitu kiranya, persiapan akan mula direncana. Baik yang muda baik yang tua. Yang upaya mahupun yang tidak berdaya. Tidak sabar untuk menemuinya. Wahai Ramadhan yang dicintai semua, pilihlah kami bersamamu. Jadikan kami peneman setiamu. Pagi, petang dan malam inginku dakapimu. Agar keredhaan dan keampunan Allah menghiasi tiap ketika kami menemanimu.

Zuhey: Selamat Menjalani Ibadah Puasa Ramadhan. Tingkatkan amalan, mudahan bertambah darjat iman.

KANAK-KANAK RIANG EPISOD 1

"Jom ikut aku!",paksa Zilzikri kepada kawan-kawannya. Yang lain nampak keberatan. Takut pun ada. "Gila apa idea si Zilzikri ni." Masing-masing berkata-kata dalam hati. "Jomlah, apa yang terkulat-kulat lagi tu!" paksa Zilzikri lagi. "Aku tanggung semuanya beres. Gerenti selamat punya." "Habis kalau kena tangkap macam mana?" Jamal persoalkan. "Aku bukannya takut, tapi ini kerja gila wei!" Tambahnya. "Sudahlah korang, harap badan je besar, tapi penakut la pulak!" Kutuk Zilzikri pada kawan-kawannya. "Ayah aku imam sini tau, tak naklah aku ikut idea bodoh kau tu Zik. Nanti tak pasal-pasal dapat dosa." Zam mencelah. Sememangnya dalam kumpulan tersebut dialah yang baik sekali. "Mungkin dia anak imam, sebab itulah dia macam baik je. Ah, pedulikan dia! Ayah aku pun berjanggut macam ayah dia juga. Aku pun baik juga. Bukan salah pun idea aku ni." Zilzikri cuba mencari pertimbangan samada ingin meneruskan ideanya itu atau tidak."Jom, aku yang mula!", kelihatan Zilzikri bingkas menaiki tangga surau lalu masuk ke dalamnya. Zam, Jamal, Kutak dan Bakar menggigill kesejukan dalam hujan di luar surau. Memerhati sahaja. "Gum! Gum! Gung!" Tiba-tiba bunyi berdentum yang amat kuat sekali. Semua yang di luar surau terkejut dan terus melompat bagai katak melulu masuk ke dalam surau. Zilzikri menoleh ke belakang sambil mengelak daripada diterpa.

Bersambung...

KITA YANG SAMA

Kita yang tersempit pabila menghadapi orang yang turut sama tersempit,
kita yang merasa pabila berhadapan dengan orang yang sama merasa,
hati berkobar-kobar untuk sama turut serta berkongsi rasa,
pabila keupayaan mengekang semangat kita,
bila mana kesusahan turut sama membelenggui kita,
usaha telah diperah sedayanya,
hanya doa,
hanya doa yang termampu,
hanya doa yang mampu mengganti wang ringgit,
kita yang sama.
Doa kami untuk kesejahteraan kamu...
Dunia dan Akhirat.

KOMA (,)

Terlalu banyak koma,
bersimpang siul kewujudannya dalam kehidupan harian manusia,
menghiasi tabiat manusia,
ditebas hilang seketika,
sesudah kenyang bertunas semula,
diracun mati yang ada,
sesudah berjaya, benih yang tertinggal mencampah seperti sediakala.

Koma yang dibela mahu yang disaka,
berselerak bergantungan di sesendi manusia,
mengusir sesemut yang manja,
membolot sesaraf otak kita,
membentuk jentera yang kebal bagi membenteng nafsu durjana.

Awas,
koma perlu diperangi segera!
Koma perlu dinyahtuba dari sesendi utama kita!