UMMAT AL-MALAYU.

Untuk mengetahui tentang pengkisahan sejarah Tamadun Alam Melayu dari persepsi bangsa Arab, bacalah kitab ini. Judul asal kitab ini dalam tulisan Arab ialah Ummat Al-Malayu, karangan Saleh Jaudat, diterbitkan di Mesir pada tahun 1908.
Kitab ini dihasilkan oleh Saleh Jaudat atas dasar semangat persaudaraan dengan umat Islam di Alam Melayu khususnya dengan Tunku Mansor ibn Sultan Abdul Hamid Halim Shah, iaitu anak kepada Sultan Kedah pada ketika itu. Baginda Dilahirkan pada tahun 1889 dan mangkat pada tahun 1932.
Hasil daripada pembacaan kitab ini, kita akan dapat mengetahui banyak percanggahan maklumat tentang sejarah Tamadun Alam Melayu yang ditulis oleh sarjana Barat.
Siapakah yang benar dan siapakah yang silap? Anda sendiri boleh tentukan. Pastikan banyak membaca dan membuat kajian. Jangan bertaqlid dengan satu sumber semata-mata.

TUAN GURU HARUN DIN (TGHD)


Bohong jika saya katakan bahawa hati saya tidak terkesan dengan berpulangnya TGHD.

Bohong juga jika saya katakan bahawa saya tidak mahu menitip kata-kata terakhir bagi memuliakan beliau.

Nama TGHD cukup melekat di jiwa saya kerana beliau merupakan salah seorang guru yang pernah saya bertalaqqi sehingga tamat pengajian (Perubatan Islam).

Ketika itu (akhir tahun 90-an), Pengajian Perubatan Islam masih pada peringkat muda lagi, tidaklah mendapat sambutan hebat seperti sekarang.

Saya hampir berputus asa ketika mengikuti kelas beliau disebabkan beliau amat tegas, fokus dan berdisiplin dalam pengajaran.

Bacaan dan hafazan saya sering kali ditegur dan diperbaiki oleh beliau, terutamanya bacaan Surah Al-Fatihah.

Saya bukanlah seorang yang mempunyai kelebihan dalam bidang tajwid dan taranum Al-Quran berbanding dengan rakan-rakan yang lain.

Namun dengan dorongan dan motivasi daripada pembantu khas beliau, iaitu Dato' Dr. Ustaz Amran bin Kasimin, akhirnya berjaya juga saya menamatkan pengajian.

Masih terasa hangat lagi tapak tangan beliau di atas ubun-ubun saya.

Antara pesanan beliau yang masih terngiang-ngiang di telinga saya ialah:

"Dalam menjalani rawatan perubatan Islam, pengamal dan pesakit perlulah mempunyai hati yang bersih, memenuhi segala perintah-Nya dan takut untuk melanggar hukum-Nya, Insya Allah, barulah Allah akan menyembuhkan."

Mudah-mudahan segala ilmu yang TGHD sumbangkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia dapat dijadikan bekalan yang secukupnya untuk beliau bawa bertemu Allah SWT.

Semoga Allah mengampuni segala dosa arwah dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang soleh dan bertaqwa.

Kepada anak-anak didik TGHD, teruskan perjuangan kalian, berilmu dan berakhlaklah seperti beliau. Perbaikilah lompong-lompong yang ada berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.

Maafkan saya, kerana saya tidak terpilih untuk berjuang bersama kalian disebabkan ilmu dan akhlak saya belum semantap kalian.

THE PALACE OF PARLIAMENT ROMANIA DAN TRAGEDI MAUT FRANZ REICHELT

TILIK BUKU : Travelog Mr. Traveller.

Jikalau anda ingin menjelalahi dunia Eropah dengan menaiki kereta api, bacalah buku ini. 

Di dalam buku ini penulis telah berkongsi maklumat tentang cara untuk menggunakan keretapi bagi menakluki dunia Eropah dengan harga yang murah dan kaedah yang mudah.

Menelurusi buku ini dari bab ke bab akan membuat pembaca berasa kagum terhadap kegigihan, ketabahan dan disiplin yang ditunjukkan oleh penulis sepanjang perjalanan menjelajahi dunia Eropah dalam tempoh 15 hari.

Penulis juga ada menceritakan kisah bagaimana beliau mengerjakan ibadah solat sewaktu dalam pengembaraan tersebut. 

Beliau bersolat di hentian kereta api, di dalam kereta api, di dalam bilik hotel yang penghuninya terdiri daripada bukan Islam dan pelbagai lagi situasi. Sungguh hebat iman penulis.

Penulis ada mencatat banyak nama tempat dan kisah yang menarik, antara ialah The Palace Parliament dan Franz Reichelt.

Mari kita tilik.

The Palace Parliament terletak di Romania. Ia merupakan bangunan parlimen yang terbesar di dunia mengalahkan bangunan parlimen Amerika Syarikat, atau turut dikenali sebagai The Bicameral Legislature.

Berikut merupakan gambar The Palace Parliament:








Manakala di bawah merupakan gambar The Bicameral Legislature di Amerika Syarikat:


Selanjutnya, The Palace Parliament merupakan bangunan pentadbiran yang kedua terbesar selepas bangunan Pantegon di Amerika Syarikat.


Selain itu,  The Palace Parliament merupakan bangunan yang ketiga terbesar di dunia selepas bangunan Vehicle Assembly di Florida, Amerika Syarikat dan Temple of the Feathered Serpent di Teotihuacan, Mexico.

Gambar bangunan Vehicle Assembly Building:



Gambar bangunan Temple of the Feathered Serpent:



Bangunan The Palace Parliament bernilai 3 bilion Euro, menjadikannya antara bangunan pentadbiran yang paling mahal di dunia.

Dianggarkan sebanyak 3 juta USD diperlukan bagi setiap tahun untuk membayar kos pemanasan dan pencahayaan bangunan tersebut. Wah, banyaknya duit kerajaan mereka!

Apa yang pasti, bangunan ini 10 kali ganda lebih besar berbanding bangunan White House di Amerika Syarikat.

Jangan tertipu! Bangunan White House tidaklah gah seperti yang digembar-gemburkan oleh media barat. Panjang bangunan White House ialah 51.2 meter, mempunyai 6 tingkat dan berkeluasan 55,000 square feet sahaja.

Gambar bangunan White House di Amerika Syarikat:


Suatu masa nanti, semua bangunan ini akan runtuh menyembah Allah. Bagaimana dengan kita? Kembalilah mengingati-Nya.

Apa pula kisah Franz Reichelt? Jika pembaca ingin mengetahuinya, silalah tinggalkan pesanan di bawah, pasti kisahnya akan menyusul pada eposid seterusnya.

"Berah boh, jumpo lagi."

-----------------------------
Tajuk Buku : Travelog Mr. Traveller
Nama Penulis : Meor Farid Asyradi
Penerbit : Meor Farid Asyradi
Jumlah Muka Surat : 310
Tahun Terbit : 2015
Harga : SM RM25.00 SBH/SWK RM28.00



TAMAN NEGARA YOSEMITE DAN TAMAN NEGARA ARCHE

TILIK BUKU - Travelog Mr. Backpacker : Merentas Amerika.

Ketika membaca buku ini, pembaca pasti merasakan seolah-olah turut merentasi Amerika bersama penulisnya.

Sungguh menarik pengalaman yang dikongsikan oleh penulis. Beliau merentasi Amerika selama 25 hari bersama 2 orang rakannya dengan menaiki kereta sewa.

Perjalananan yang ditempoh oleh mereka sejauh 10,000 KM. Bayangkan betapa mencabar dan sukarnya pengembaraan mereka.

Pelbagai peristiwa yang dilalui oleh mereka, antaranya lemas di pantai Daytona dan ditangkap oleh polis koboi.

Mengujakan.

Di dalam buku ini tercatat nama Taman Negara Yosemite dan Taman Negara Acher. Ianya pasti menarik minat pembaca untuk mengetahui kedua-dua taman negera ini dengan lebih mendalam.

Mari kita tilik.

Taman Negara Yosemita merupakan antara 5 taman negara yang paling menarik dunia. Permandangan di taman negara ini amat indah dan mempersonakan.

Disebabkan taman negara ini sungguh luar biasa keajaibannya, dianggarkan seramai 3.8 juta pelancong datang berkunjung ke sini pada setiap tahun.

Keluasan Taman Negara Yosemita ini ialah 747, 956 ekar. Ia terletak di California dan telah digazetkan sebagai Kawasan Bersejarah Dunia oleh UNESCO.

Alangkah seronoknya jika dapat berkhemah dan memancing di sini.






Subhanallah, hebatnya ciptaan Allah.

Selanjutnya, gambar di bawah pula menunjukkan pemandangan yang terdapat di Taman Negara Arche. Ia terletak di timur Utah. Luasnya 76,679 ekar. Di sini terdapat lebih kurang 2,000 natural standstone arches. 

Yang pasti di sini tiada pokok durian.





Taman Negara Yosemite dan Taman Negara Arche merupakan sebahagian tempat yang telah dilawati oleh penulis buku ini semasa mengembara di Amerika.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kisah pengembaraan beliau merentasi Amerika, anda boleh membaca sendiri buku ini.

Ayuh, mari kita mendesa dunia melalui buku.

"Bereh boh, jumpo lagi."

...
Tajuk Buku : Travelog Mr. Backpacker : Merentas Amerika
Nama Penulis : Badrul Hisham
Penerbit : Badrul Hisham Bin Burhanuddin
Jumlah Muka Surat : 202
Tahun Terbit : 2016
Harga : SM RM25.00 SBH/SWK RM28.00



PENGENALAN TILIK BUKU

Adakah anda mengetahui tentang resensi buku, bedah buku dan kritikan buku?

Disiplin ilmu ini mungkin kurang dibicarakan di Malaysia berbanding dengan negara jiran, iaitu Indonesia.

Tidak ramai penulis yang ingin menceburkan diri dalam bidang ini kerana ianya terikat dengan format tertentu dan tidak mendapat sambutan daripada pembaca.

Maka, aku terpanggil untuk membudayakan disiplin ilmu ini di Malaysia dengan melakukan beberapa pendekatan, kaedah dan teknik yang baharu.

Aku namakannya sebagai "Tilik Buku". Aku sengaja menggunakan perkataan tilik kerana ia membawa maksud melihat sesuatu dengan bersungguh-sungguh.

Dengan kata lain, Tilik Buku merupakan satu cara untuk meneliti isi kandungan sesebuah buku luar dari konteks penulisannya.

Meskipun Tilik Buku berbaur klasik dan konservatif, namun ianya bersifat moden dan santai.

Tilik Buku akan cuba memberahikan pembaca untuk membaca sesebuah buku dengan cara mengetengahkan maklumat paling menarik yang terdapat di dalam buku tersebut. Olahan dan kupasan tentang maklumat tersebut akan dibuat luar dari konteks apa yang ditulis oleh penulis asalnya [sekiranya mampu].

Perkara ini mungkin sesuatu yang baharu, namun aku percaya dengan cara ini aku akan dapat mengumpan pembaca untuk lebih berminat terhadap sesebuah buku dan secara tak langsung akan menyuburkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kita perlu sedar bahawa dunia penulisan dan penghasilan buku di Malaysia semakin rancak, ditambahkan lagi dengan kewujudan ramai penulis indie yang memasarkan buku mereka secara online.

Secara tak langsung ia memberi kesan negatif [sudut yang lain mungkin positif] kepada penerbit-penerbit buku yang sedia ada dan menyebabkan lambakan buku yang tidak terjual di pasaran.

Oleh itu, sama-samalah kita membantu industri penulisan dan penerbitan buku di negara kita dengan membeli dan membacanya. Kita mengetahui bahawa membaca merupakan jambatan ilmu.

Tanpa buku maka berkuranglah ilmu. Meskipun terdapat banyak e-book dan bahan bacaan dalam internet, tetapi cara dan budaya yang lama tetap perlu kita kekal dan pertahankan walaupun hari demi hari kita dihambat oleh kecanggihan teknologi.

***

Buku pertama yang aku akan tilik ialah Travelog Mr. Backpacker : Merentas Amerika hasil tulisan Badrul Hisham.


CIKGU LAMA MASIH BERBISA

Sungguh lama Coach Hey tidak melatih murid bermain bola sepak. Kali ini Coach Hey cuba melatih murid berkeperluan khas (MBK) pula.

MBK ialah murid yang belajar di Program Pendidikan Khas Integrasi yang ditempatkan di sekolah-sekolah terpilih.

Kali terakhir Coach Hey melatih murid bermain bola sepak ketika berada dalam Akademi Bola Sepak SKBJ Shah Alam Selangor.




Siapa kata MBK tidak berkebolehan untuk bermain bola sepak dan tiada bakat dalam bidang sukan yang popular ini?

Sebenarnya, gurulah yang perlu banyak memainkan peranan dalam usaha mencungkil bakat dan menajamkan kemahiran seseorang murid, khususnya dalam bidang sukan.

Di mana ada kemahuan, di situ ada kejayaan. Di mana ada kesungguhan, di situ ada keberhasilan.

SALAM KEMERDEKAAN DAN BERTEMU KEMBALI

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabatku semua.

Hampir setahun aku tidak menulis di sini. Mungkin tulisan ini sebagai permulaan untuk aku kembali aktif.

Beberapa hari yang lalu, aku telah membuat penilaian terhadap penulisanku pada masa yang lepas. Aku dapati bahawa penulisanku pada masa yang lepas banyak melanggar etika penulisan khususnya dari aspek tatabahasa dan lain-lain lagi. Aku mengakuinya dan memohon maaf atas kesilapan tersebut. Aku akan memperbaiki dan memperelokkannya pada masa hadapan.

Aku mula menulis di sini bermula pada tahun 2008. Pada awalnya, penulisanku lebih berbentuk kepada mendeklamasikan perasaan dan buah fikiranku. Terdapat juga artikel dan kertas kerja yang aku muat naik di sini hasil daripada penulisanku semasa belajar pada peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana. Semoga ia memberi manfaat kepada anda semua. Yang baik dikongsi, yang buruk mohon diperbetulkan.

Tanggal 31 Ogos 2016 merupakan hari memperingati Hari Kemerdekaan Tanah Melayu kali ke-59. Marilah kita sama-sama menghayatinya dengan penuh rasa keinsafan. Jadilah insan yang merdeka secocok dengan tuntutan agama. Peliharalah kemerdekaan ini untuk anak cucu kita pada masa hadapan. Jangan jual kemerdekaan ini semata-mata untuk kekal berkuasa atau hidup mewah atau sebagainya. Kemerdekaan ini milik mutlak semua rakyat Malaysia bukan kepunyaan individu atau organisasi tertentu.

Salam kemerdekaan dan bertemu lagi di lain masa.

TETAP SAMA

Akhirnya
penyudah manusia tetap sama:
mati.
Menunggu:
hari pembalasan
syurga
atau
neraka.
Sementara
atau kekal selama-lamanya.

AGAMAWAN PERLU CAKNA DAN PANDAI BERBAHASA.

Aku berasa khuatir dengan ketidakpekaan dan ketidakupayaan segelintir agamawan dalam berbahasa.

Sebagai contoh, ketika menerangkan cara-cara menunaikan solat gerhana, para iman sepatutnya menerangkannya secara tepat dengan menggunakan bahasa yang mudah dan ringkas.  Sekiranya tidak mampu, sediakan teks dan bacakannya.

Sudahlah penerangannya berbelit-belit payah, apabila ahli jemaah bertanya dijawabnya: "Kalau tak faham, ikut sahaja pergerakan imam!".

Apabila ada yang bertanya, maknanya ada yang tak faham. Apabila ada yang tak faham, begitukah jawapannya kepada soalan yang dikemukakan? Kalaulah begitu jawapannya, masyarakat tidak akan faham agama. Maka, bertambahlah "pentaqlid buta".

Sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu dibincangkan tentang penggunaan bahasa oleh agamawan. Cukup sekadar ini dahulu buat kali ini.

Aku mengkritik, bukan bermakna aku memusuhi dan membenci mereka.

MERDEKA! MAHU APA LAGI?

57 tahun berlalu,
mahu apa lagi?
Tunggu dajjal datang menjajah?

Belajar, bekerja dan beramal agama
sudah mudah, sudah ringgan, sudah santai
mahu apa lagi kita?

Mahu lagi mudah, lagi ringgan, lagi santai?
Lagi apa?
Mahu apa?

Ini bukan zaman Kerajaan Melayu Melaka,
ini zaman orang putih! kita ikut mereka!
Bergaya ala British daripada kain kapan hingga ke tudung periuk.

Merdeka katanya, tapi minda masih dijajah
lesung batu sudah tak diguna, sebab membazir masa,
masa terluang boleh ber'FB' boleh ber'whatsApp'.

Merdeka katanya,
hidup perlu berhibur, jangan terlalu keras
lagi apa? Mahu apa lagi kita?











KERAS DAN TEGAS DALAM BERDAKWAH
Elias Hj Idris
Sumber : http://ikanlepu.blogspot.com/2013/06/keras-dan-tegas-dalam-dakwah.html
Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Mas’ud Al Anshari r.a, dia berkata: “Seorang laki-laki berkata (kepada Nabi saw): “Wahai Rasulullah, hampir saja aku tidak mendapatkan (makna) solat yang kami diimami oleh si fulan kerana sangat panjang.”Maka aku (perawi) tidak pernah melihat Nabi saw marah dalam memberikan nasihat yang lebih keras daripada hari itu. Beliau bersabda :

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kalian telah membuat orang lari. Maka barangsiapa solat mengimami manusia hendaklah dia memperingan (solatnya) kerana di antara mereka ada orang yang sakit, lemah, dan orang yang memiliki keperluan.”(HR. Bukhari)


Al ’Allamah Al ’Ainy berkata dalam mengulas hadis di atas: “Pada hadis ini terdapat makna yang menunjukkan tentang bolehnya marah terhadap perkara-perkara agama yang diingkari.” (‘Umdatul Qari’ 2/107)


Pada riwayat Imam Bukhari yang lain dari Abi Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah saw pernah melihat seseorang yang menggiring seekor unta yang akan disembelih di Mekah. Nabi saw bersabda: “Naiki unta itu!”


Orang tersebut menjawab: “Sesungguhnya ini adalah unta yang akan disembelih di Mekah.”


Nabi saw bersabda: “Celaka kamu, naiki unta itu!” 


(Beliau menyatakan hal ini) pada kali yang ketiga atau kedua.


Syaikh DR. Fadll Ilahi berkata: “Perkataan Nabi saw kepadanya celaka kamu -- sebagaimana yang disebutkan Imam Qurthuby -- adalah pendidikan agar dia kembali kepada (perintah) Nabi saw bersamaan dengan jelasnya keadaan baginya bahawa tidak boleh terjadi pada diri seorang mukmin keraguan dan sikap menahan diri dari melaksanakan perintah Nabi saw. - (Al Lin wa Ar Rifq halaman 52)


Imam Ad-Darimi telah meriwayatkan dari Jabir r.a bahawasanya Umar bin Khathab ra. mendatangi Rasulullah saw dengan membawa satu naskah dari Taurat seraya berkata: “Ya Rasulullah, ini adalah satu naskah dari Taurat.” Kemudian dia diam. Setelah itu dia mulai membacanya. Wajah Rasulullah pun berubah.


Maka Abu Bakar r.a berkata: “Celaka engkau, apakah engkau tidak melihat wajah Rasulullah saw?" 


Umar menoleh kepada wajah Rasulullah saw seraya berkata: “Aku berlindung kepada Allah dari kemarahan Allah dan Rasul-Nya. Kami redho Allah sebagai Rab (kami), Islam sebagai agama (kami), dan Muhammad sebagai Nabi (kami).”


Maka Rasulullah saw bersabda: “Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, kalau seandainya Musa muncul di hadapan kalian niscaya kalian akan mengikutinya dan meninggalkanku. Sungguh kalian telah sesat dari jalan yang lurus. Kalau seandainya Musa itu hidup dan mendapatkan kenabianku niscaya dia akan mengikutiku.” (Sunan Ad Darimi nomor hadits 44, 1/95)


Imam Bukhari dalam sahihnya membuat 2 bab yang berkaitan dengan masalah ini.


Pertama, bab tentang marah dalam memberi nasihat dan pelajaran apabila dia melihat sesuatu yang dibenci.


Kedua, bab tentang perkara-perkara yang diperbolehkan marah padanya dan bersikap keras kerana perintah Allah Taala. Kemudian Imam Bukhari membawakan beberapa hadis yang menunjukkan bahawa Rasulullah saw marah dan bersikap keras ketika melihat sebahagian sahabatnya melakukan perkara-perkara yang dibencinya.


Demikianlah beberapa dalil dan hujjah dari Al Quran dan As-sunnah serta beberapa perkataan para ulama yang berbicara tentang sikap keras & tegas dalam dakwah. Tentunya masih banyak yang lainnya.


Sikap keras & tegas dalam dakwah dilakukan setelah sikap lemah lembut dan kasih sayang dalam dakwah tidak berhasil merobah orang-orang yang terus-menerus dalam kemungkaran. Syeikh Muhammad Amin Asy Syanqithi pernah berkata:“Ketahuilah bahwasanya dakwah ke jalan Allah (dilakukan) dengan dua cara; pertama dengan cara lemah lembut dan kedua dengan cara kekerasan. Adapun cara yang lemah lembut, iaitu berdakwah ke jalan Allah dengan hikmah dan memberikan nasihat yang baik. 


Apabila engkau berhasil dengan cara ini alangkah baiknya dan inilah yang diinginkan. Namun jika engkau tidak berhasil, gunakanlah cara kekerasan waima dengan pedang sampai hanya Allah sajalah yang diibadahi dan ditegakkan hukum-hukum-Nya, dilaksanakan perintah-perintah-Nya, serta ditinggalkan segala larangan-Nya.
LAKNAT ISRAEL

Laknat bagi mereka
membunuh jiwa-jiwa yang tak berdosa
merejam anak kecil dengan besi yang berbisa.

Laknat bagi mereka
kaum yang ingkar, sombong, keras kepala
bersifat binatang purbakala, ganas bermaharajalela.

Laknat akan membaham mereka
menunggu masa, yang hampir tiba
laknat bagi mereka, akhirat, terlebih dahulu di dunia.


BELUM PERNAH RASA BERTEMU

Ku tunggu...
Bertahun lamanya ku tunggu,
 semenjak baligh!
Belum ku ketemu..Mungkin aku yang leka...
Mungkin juga ia telah menjengok, tapi ku leka juga, bila masanya yang aku tak pernah leka, alpa?

Rugi. .. tiada untung hidup begini,
 tunggu tetap tunggu, menanti hanya meniti di bibir!
Bila masa kunjungannya, aku bermalasan dengan Si Leka Pak Alpa,
membiarkan penantianku rosak dan sia-sia!

1000 bulan sudah banyak berlalu takkala aku sedang berselimut dengan nafsu,
mungkin dengan dosa, mungkin juga dengan nafsu tidur durjana.

 Aduhai malam, aduhai sayang, bilakan boleh kita ketemu?













APABILA LUCAH MENJADI SANDARAN

Melampau! Itu yang dapat aku katakan apabila kempen PRU13 diwarnai dengan "kelucahan". Dari mana budaya ini dibawa masuk? Kenapa budaya kotor dan jahat ini boleh menular ke dalam arena politik Malaysia? Cuba korang fikir dan kaji.

Kalau dahulunya sinonim dengan budaya cacian makian, tetapi nampak gayanya itu belum cukup bagi mereka. Seolah-olah dengan "kelucahan" mereka dapat tempat, mereka dapat sokongan, mereka dapat undian!

Tidak kiralah di pihak mana, ini sudah MELAMPAU! Mula-mula memaki, kemudia melucah, lama-kelamaan membunuh pula boleh jadi! Terus terang aku katakan, samada yang melucah itu benar atau tidak, perbuatan tersebut tetap keji. Membuka aib manusia pekerjaan bangsat  (orang jahat; sila rujuk kamus dewan) namanya. Bila bangsat, tiada tempat dalam agama! Tiada tempat dalam masyarakat! Tidak layak untuk menjadi pemerintah apatah lagi menjadi pilihan ramai!

Ini akan menjadi sejarah! Dan ianya sudah menjadi sejarah, dengan fakta kempen PRU13 diwarnai kelucahan yang berani mati! Akan dibaca, akan dizikirkan kemudian hari oleh anak-anak yang sudah mula merasa sedap dengan kelucahan negarawan dan bangsawan terdahulu mereka.

Sekiranya anak aku bertanya dibelakang hari; "Ayah, kenapa dengan Malaysia waktu itu (2013: PRU13)? ... pasti bertambah bangsat mereka yang melucah itu!!!

AKU BERCINTA MEREKA JUGA

Cinta membuat hati sentiasa berdebar dan berbunga. Manusia gemar dengan cinta. Manis bercinta tersemat di hati dan takkan hilang begitu mudah sahaja. Manisnya, pahitnya, tidak seperti air hujan, meresap ke bumi hilang entah ke mana. Ianya tetap ada, walau masa di telan masa.



Zai : Awak, cuba tengok bulan di luar sana.
Fifi : Kenapa ya? Jab saya tengokkannya.
Zai : Malam ni bulan penuh. Cantik dengan cahayanya.
Fifi : Yelah, betul cakap awak! Hmmm ... Tapi kenapa tiba-tiba aje awak teruja dengan bulan? Macam tak biasa aje tengok bulan penuh mengambang?
Zai : Entahlah. Saya rasa malam ini bulan tak seperti biasa. Ada sesuatu yang sedang berlaku padanya. Awak percaya tak?
Fifi : Hehehe ... Awak nak kata yang bulan sedang berbicara dengan pungguk ya?
Zai : Boleh jadi. Boleh jadi betul apa yang awak teka tu. Dan ... awak rasa apa yang sedang mereka berdua sedang bicarakan? 
Fifi : Awak, manalah saya tahu. Lainlah kalau bulan tu saya, pungguk itu awak. Tentulah saya tahu ... Hehehe.
Zai : Hehehe ... Andaikan. Andai kata itulah kita, seronokkan? Pungguk mesti rindukan bulan. Bulan pula mesti cintakan pungguk. Betul tak awak?
Fifi : (Malu-malu) Eh, pandailah awak! Pungguk yang cintakan bulanlah! Bulan merinduinya aje!
Zai : Maknanya? ... (diam)
Fifi : (Diam juga) ...

Mungkin benar, mungkin meleset ... aku cuba mengarang sahaja. Dialog antara watak di atas mungkin babak pertama untuk mengukir kalimah cinta. Kalau lain dialognya, lainlah. Apa yang penting setiap niat ada lafaznya, terutamanya bab cinta ini. Oh, indahnya orang bercinta! 
Setuju? 


Mungkin aku terlebih berbunga untuk penampilan kali ini, apa pun motif utamanya bukanlah untuk ke arah cinta semasa manusia. Yang mustahaknya bagaimana hubungan cinta kita dengan Pencipta kita? Berdebarkah hati dan perasaan kita setiap kali bertemu denganNya (solat, sujud, doa). Pernah tak terdetik di hati kita yang berbunga ini perasaan rindu mendalam kepada Nya?

Oh, Tuhan ku! Aku lemah dalam mencintai mu.
Oh, Tuhan ku! Aku sering melupakan Mu.
Ampunkanlah diri ku.
Ampunkalah ...

DALAM HATI ADA CINTA

Dalam hati ada cinta,
cinta murni takkan ternoda,
cinta yang manis, tak perlukan coklat dan bunga,
cinta sejati sampai bila-bila,
cinta istimewa, berkongsi kita semua.

Cinta pada Allah, Cinta akan RasulNya

Menghidu Bau Bulan

Aku cuba menghidu bau bulan,
pelbagai rasa baunya,
ada manis di awalnya,
ada masin di tengahnya,
tak kurang juga kelat dan pedas di akhirnya.

Bagaimana menghidu boleh merasa?
Hidu dengan hidung atau telinga?
Bagi aku menghidu juga perlukan mata, otak, akal dan jiwa raga.

Menghidu bau bulan bairlah berpada,
akhirat jangan dilupa,
kubur hanya menerima keranda dan kain kapan sahaja.

Oh bulan, aku dapat menghidu bau mu!
Tak jauh, tak dekat, di mana-mana, setiap masa ...
bau mu sentiasa ada.

SEMANGAT RAMADHAN

Ada yang sebut ramadhan, ada juga yang sebut romadhon.. Tiada dosa pahala di situ.
Yang lebih utama adakah kita sempat bertemu dengannya untuk tahun ini?
Juga yang utama adakah kita betul-betul bersedia untuk melayannya dengan penuh ikhlas dan taqwa kepada Allah S.W.T?

Justeru pada bulan ramadhan, adalah menjadi tanggungjawab diri saya dan anda semua untuk berusaha ke arah mengabdikan diri kepada Allah S.W.T dengan lebih tekun dan dengan cara yang lebih baik iaitu mengikut sunnah rasulNya Muhammad S.A.W.

Bermula daripada penyediaan makanan sahur dan iftar hinggalah kepada perkara-perkara fardhu, semuanya adalah mengikut amalan Nabi Allah Muhammad S.A.W.

Bolehkah saya mengamalkan dan mempraktikkannya pada bulan ramadhan kali ini? Seterusnya istiqamah mengamalkannya pada bulan-bulan berikutnya, hinggalah ketemu semula ramadhan pada tahun yang akan datang? Allahu akbar. Sesungguhnya saya seorang insan yang imannya lemah, tiada daya melainkan taufiq, hidayah dan rahmat daripada Allah S.W.T.

Zilzikri : Kenapa dalam coretan-coretan yang aku nukilkan banyaknya dinyatakan soalan? Jawapannya ada pada orang yang suka berfikir dan cuba menjawabnya..

GELORA HATI

Gelora hati,
hanya pemilikNya yang tahu,
ingin ketemu, pasti.
Lebih daripada segan, lebih daripada malu,
takut sudah tentu.

Layakkah diriku?
berbaik sangka terhadapNya, pengubat gelora hati.

DUA HA' DUA H

Sewaktu menelusuri jalan pulang dari Kelantan ke Lembah Klang, corong suara kereta aku bingit dengan syarahan agama yang disampaikan oleh seorang ustaz jemputan sebuah stesen radio tempatan. Dengan kelucuan loghat kelantannya ternyata ustaz tersebut dapat menambat hati aku untuk terus layan syarahannya.

Dalam suasana memandu yang agak tegang dek kegilaan anak-anak muda yang baharu dapat kereta memotong depan dan belakang, kiri dan kanan bagaikan nyawa boleh dibeli timbang kati dikedai potong, sedikit sebanyak syarahan ustaz tersebut dapat menenangkan suasana yang tengah "sawan" tu . Apa yang aku dapat kongsikan, katanya;

Al Imam Ghazali ada berkata bahawa apabila seseorang pergi ke majlis ilmu, dia akan pulang bersama dua Ha' (H). Samada dia akan membawa Ha' yang pertama atau Ha' yang kedua.

Apakah dua Ha' tersebut?

Pertama; Hikayat, kedua; Hidayah.

Maknanya, jika seseorang pergi atau hadir ke sesebuah majlis ilmu dengan nawaitu yang salah, penuh kebendaan, maka dia hanya akan membawa pulang hikayat semata-mata. Yakni dia akan bercerita tentang kehebatan majlis tersebut, makan minum yang disediakan, gosip, kritikan dan komen terhadap keburukan dan kelemahan penganjur, penceramah dan sebagainya.

Sebaliknya, jika seseorang itu pergi atau hadir ke sesebuah majlis ilmu dengan nawaitu kerana Allah, maka dia akan pulang bersamanya membawa hidayah daripada Allah s.w.t. Tiada sebarang gosip, kritikan, dan komen yang liar, tiada sebarang adu domba, tiada sebarang cerita kehebatan kebendaan. Yang ada hanyalah ilmu yang benar, kebaikan dan manfaatnya.

Masya Allah. Kita tergolong dalam kalangan mana tu?