UJARAN LANGSUNG DALAM PERBUALAN

Mungkin ramai dalam kalangan kita tidak sedar bahawa ujaran yang kita gunakan tidak relevan dengan konteks perbualan dan tidak mampu memenuhi kehendak yang kita hajatkan.
Paling ketara ketika kita membuat penolakan terhadap perkhidmatan atau produk yang ditawarkan oleh pihak hotel, bank, syarikat insurans, konsultan kesihatan dan lain-lain lagi.
Melalui pemerhatian, saya dapati bahawa penolakan yang dibuat lazimnya menggunakan ujaran tak langsung, contohnya:
1) Saya sibuk.
2) Saya sedang bermesyuarat.
3) Saya sedang makan.
4) Boleh telefon saya pada waktu rehat, saya sedang bekerja sekarang.
5) dan seumpama dengannya.
Walhal, kita sebenarnya tidak berada dalam situasi seperti yang diujarkan. Kita sengaja mereka ujaran tersebut dengan harapan perbualan antara kita dengan peniaga tersebut segera ditamatkan dan peniaga tersebut tidak akan menghubungi kita lagi.
Malangnya, peniaga tersebut terus menelefon kita dan jawapan yang sama kita berikan sehinggalah pada suatu tahap kita terpaksa memaki hamun dan memarahi peniaga tersebut kerana kita beranggapan bahawa peniaga tersebut sepatutnya faham apa yang dimaksudkan oleh kita pada perbualan kali pertama, kedua atau ketiga.
Dalam hal ini, peniaga tidak bersalah. Mereka bekerja; mencari pelanggan untuk meningkatkan jualan syarikat mereka. Semakin banyak panggilan telefon yang dibuat, kemungkinan semakin banyak komisen yang akan diperoleh.
Kita sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana tidak bertutur secara jujur dan berterus terang.
Berikut amalan yang selalu saya lakukan apabila berhadapan dengan situasi seperti ini:
1) Pada awal perbualan, lazimnya peniaga (atau orang yang tidak dikenali) akan bertanyakan nama saya, contohnya;
"Assalamualaikum dan selamat pagi. Boleh saya bercakap dengan Encik Zuhair?", atau
"Encik Zuhairkah yang bercakap?"
Saya akan membalas salam tetapi tidak akan menjawab pertanyaan peniaga tersebut.
2) Sebaliknya saya akan bertanya;
"Siapakah yang bercakap dan dari mana?"
3) Seterusnya, peniaga tersebut pasti akan memberitahu nama dan syarikat atau agensi yang diwakilinya. Contohnya;
"Saya Siti dari Syarikat Insurans VWX."
4) Selanjutnya, peniaga tersebut akan meminta kebenaran saya atau terus memberi penerangan tentang produk atau perkhidmatan yang ingin dijual olehnya. Contoh;
"Boleh tak saya bercakap dengan Encik Zuhair tentang produk insurans yang syarikat kami ingin tawarkan secara percuma kepada keluarga Encik Zuhair?"
5) Pada saat inilah saya akan membuat pertimbangan serta keputusan dengan menggunakan ujaran langsung secara ringkas dan tepat. Berikut ujaran yang selalu saya gunakan;
"Maaf. Saya tidak berminat dan jangan hubungi saya lagi. Terima kasih. Assalamualaikum."
6) Kebiasaannya, peniaga akan terus meletakkan telefon atau cuba berunding atau membujuk saya lagi. Pada kali ini, saya akan mengeraskan sedikit suara saya dengan menggunakan ujaran yang sama.
Hasilnya peniaga tersebut akan faham dan tidak akan menelefon saya lagi untuk jangka masa yang lama (lazimnya begitulah).
Pelajarilah seni bertutur demi kesejahteraan hidup bersama.
...
Nasihat aku kepada pemilik data peribadi orang awam, Jangan kamu bermudah-mudah untuk menjual maklumat peribadi tersebut kepada syarikat yang berkepentingan. Haram.

MAKNA PRAGMATIK DI BALIK TELEFILEM POK YA CONG CODEI

Saya cuba membuat sedikit ulasan tentang telefilem Pok Ya Cong Codei yang tular dan heboh dibicarakan oleh warga media sosial.
Berdasarkan dialog antara watak yang terdapat dalam telefilem tersebut, banyak potensi makna yang berunsur nasihat yang cuba disampaikan kepada para penonton.
Dalam telefilem tersebut, kita dapat melihat bahawa Pok Ya seorang yang hebat; dihormati kawan, digeruni lawan dan dipercayai oleh majikan.
Tutur bicara Pok Ya juga melambangkan beliau seorang yang hebat walaupun suka bercakap besar; tidak gentar terhadap musuh, tidak mengkhianati kawan dan berani kerana benar.
Namun hakikatnya, kehebatan tersebut hanya terserlah di luar rumah sahaja. Sedangkan di rumah beliau tidak hebat seperti yang disangkakan.
Sekalipun Pok Ya mampu menengking dan memarahi isterinya, tetapi isterinya berani melarikan diri daripada Pok Ya sewaktu beliau sibuk dengan urusan kerja di Kuala Lumpur.
Mengapa isteri Pok Ya berani berbuat demikian?
Mungkin Pok Ya bukan seorang suami yang hebat; yakni dari segi tenaga batin, kasih sayang, akhlak, agama dan lain-lain yang bersifat batiniah.
Telefilem Pok Ya Cong Codei dengan jelas ingin memberi mesej kepada kaum lelaki supaya jangan asyik dan terpersona dengan kehebatan jasmaniah yang ada, seolah-olah kehebatan tersebut boleh memberi kebahagiaan kepada isteri dan ahli keluarga.
Kaum lelaki jangan beranggapan bahawa kehebatan jasmaniah mampu menambat isteri di tiang rumah untuk selama-lamanya.
Sayangi isteri dan ahli keluarga dengan nilai agama bukan dengan kehebatan jasmaniah atau lahiriah semata-mata.

Falsafah Pendidikan Bahasa Melayu

Salah satu konsep “pengembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu” yang diungkapkan dalam Falsafah Pendidikan Negara ialah yang berkaitan dengan penyepaduan bahasa Melayu dalam semua mata pelajaran atau ilmu yang diajarkan, kecuali mata pelajaran bahasa lain.
Konsep kesepaduan ilmu dan kemahiran yang melibatkan bahasa Melayu ini dengan sendirinya merobah gagasan dan pendekatan dalam pendidikan bahasa Melayu di sekolah-sekolah khususnya.
Dua strategi yang dilaksanakan untuk mengisi konsep kesepaduan yang berkaitan dengan bahasa Melayu ialah:
(a) melalui pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu, dengan berasaskan strategi 2P, iaitu penggabungjalinan dan penyerapan ilmu serta nilai murni;
(b) melalui mata pelajaran lain, dengan berasaskan gagasan Bahasa Melayu Merentas Kurikulum.
Baca artikel berikut untuk maklumat yang lebih mendalam: http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=910

KHAZANAH MELAYU

Gambar di bawah merupakan kamus kosa kata Melayu Inggeris yang berjudul Kitab Malayo yang disusun oleh FE pada tahun 1731.



Kosa kata bahasa Melayu yang dikumpulkan dalam kamus tersebut ditulis menggunakan tulisan roman.
Sebenarnya, terdapat banyak karya Melayu klasik (termasuklah karya yang bercitra Islamik) yang berada dalam simpanan pihak penjajah, terutamanya British.

Untuk mendapatkannya, sila layari laman sesawang berikut:

PERSEKOLAHAN PADA ZAMAN ABDULLAH MUNSYI DAN ALAT-ALAT MENGHUKUM MURID.

Secara ringkasnya, menurut Zahari A. Rashid (2008: 206-209) dalam karangan beliau yang berjudul Kenangan-Kenangan Abdullah Munsyi bahawa sistem persekolahan dahulu (1800-1840) tidak sistematik.

Pelajaran hanya tertumpu kepada belajar membaca dan menulis Al-Quran dan bahasa Arab.

Peraturan untuk memasukkan anak ke sekolah ialah ibu bapa akan datang menyembah guru dengan membawa sirih secarana, kuih muih sedulang dan membekalkan anak mereka dengan kalam resam, papan loh serta dakwat beras.

Anak akan diserahkan kepada guru dan terserahlah kepada guru untuk melakukan apa sahaja kepada anak tersebut untuk menjadi pandai. Hanya dua perkara sahaja yang tidak boleh dilakukan oleh guru, iaitu membutakan mata dan mematahkan kedua tangan kaki.
Pelbagai jenis hukuman dan alat yang digunakan untuk "menyeksa" murid-murid yang malas, jahat, ponteng sekolah, tidak menghormati ibu bapa dan berlaku biadab terhadap guru, antaranya ialah:

1) Melakukan singgang, iaitu tangan kiri memegang telinga kanan, tangan kanan memegang telinga kiri serta dikehendaki bangun dan duduk tanpa henti.

2) Kedua-dua kaki akan dipegang, ditunggangkan ke atas asap dari sabut kering, dan kadangkala dibubuh cili dalam api supaya berasa pedih.

3) Apit Cina digunakan untuk mengepit jari-jari.

4) Pinggang murid diikat dengan rantai besi dan disuruh memikul sekerat kayu berat mengelilingi sekolah.

5) Dirantai semalaman di dalam sekolah, dan lain-lain lagi.

Hukuman ini bukan terhad kepada anak orang kebanyakan sahaja, tetapi terpakai untuk anak raja dan anak bangsawan.

STRATEGI LAUTAN BIRU : PERLU DIWUJUDKAN ANTARA KPM DENGAN PDRM.

Strategi ini sebenarnya telah lama dipraktikan oleh orang-orang tua kita di kampung dalam melangsungkan "survival" kehidupan seharian mereka.


Contohnya, seorang pengusaha buah kelapa menggunakan kepakaran beruk untuk memetik buah kelapa. Dengan kaedah ini, pengusaha tersebut dapat menjimatkan tenaga dan masa dalam proses memetik buah kelapa. Beruk tersebut pula terbela dan tidak meliar mengganggu orang kampung.


Itu contoh yang mudah untuk difahami oleh umum. Dalam konteks zaman kini, strategi ini lebih kompleks serta pelaksanaannya lebih saintifik dan sistematik.Strategi ini diperkenal oleh dua orang pofesor, iaitu W. Chan Kim and Renée Mauborgne sekitar tahun 2005.


Rentetan itu, Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan National Blue Ocean Strategy (NBOS) pada tahun 2009.[Penulis tidak berhajat untuk mengulas lanjut tentang konsep dan pelaksanaan NBOS. Anda boleh menelaahnya secara mendalam di laman sesawang yang tercatat di akhir tulisan ini.]


Dalam memperkatakan tentang strategi ini dalam konteks dunia pendidikan, penulis merasakan perlu diwujudkan satu kerjasama yang erat antara KPM dengan PDRM dalam membentuk sahsiah, jati diri dan disiplin para pelajar.


Kedua-dua jabatan kerajaan ini perlu berkolaborasi bagi merangka satu pelan induk tentang kemenjadian disiplin para pelajar yang diselaras di peringkat kebangsaan. Pelan induk ini mengariskan tentang pendekatan, kaedah dan teknik yang sewajarnya digunakan untuk menangani salah laku para pelajar dan jenis hukum yang boleh dikenakan berpandukan undang-undang yang sedia ada.


Sekiranya Biro Tatanegara boleh ditubuhkan bagi menyemarakkan semangat kenegaraan dalam kalangan warganegara, maka tidak rugi andai kata pihak KPM dan PDRM menubuhkan satu unit khas untuk memberi kursus dan latihan kepada para guru disiplin dalam aspek "perundangan dan kepolisan persekolahan" bagi memantapkan tahap disiplin para pelajar.


Apa yang penting, pelan induk ini mestilah diseragamkan dan dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. Pelan induk ini juga perlu dirangka dalam jangka masa yang panjang dan sentiasa "diaudit" sepanjang masa. Alangkah moleknya jika pelan ini turut dimasukkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.


Program PLKN telah membuktikan bahawa strategi lautan biru yang dilaksanakan oleh KPT dan ATM telah membuahkan kejayaan yang cukup cemerlang dalam memupuk semangat patriotisme, perpaduan, kesukarelaan dan integriti nasional.


Semoga usaha dan kejayaan tersebut dapat dicontohi oleh pihak KPM dan PDRM dalam membangunkan generasi masa hadapan yang berilmu dan beradab.Jangan pandang remeh masalah disiplin para pelajar kerana mereka pemimpin kita di masa hadapan. "Punah mereka, binasalahlah kita."



RUJUKAN :
https://www.blueoceanstrategy.com/malaysia-nbos/

SELAMAT BERSARA TAN SRI.


Sebagai orang awam, saya mengenali beliau sebagai Mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM ke-11. Secara peribadi, saya pernah berurusan dengan beliau khususnya dengan anak-anak beliau.

Saya pernah mengajar anak beliau di rumah, setiap kali beliau pulang daripada kerja, beliau tidak akan menggunakan pintu hadapan (pintu utama) sebaliknya menggunakan pintu belakang (dapur), apabila ingin naik ke bahagian atas rumah, beliau akan meminta izin dan memohon maaf kepada saya.

Pelik tetapi benar. Itulah beliau, seorang yang menghormati tetamu dan memuliakan guru kepada anak beliau. Kelibat beliau dan anak lelakinya selalu kelihatan di Surau Al-Mustaqimah Seksyen 7 dan Masjid Seksyen 7 Shah Alam, terutamanya solat Maghrib dan solat Isyak.

Orangnya santun dan sentiasa merendah diri. Gaya hidup beliau dan keluarga cukup sederhana dan ringkas. Ketika itu (sudah memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya) beliau dan isteri hanya memakai kereta Toyota Innova dan Toyota Vios, manakala anak-anak dewasa beliau memakai kereta Proton Satria dan Proton Aeroback (kedua-duanya model lama dan kelihatan usang).

Saya masih ingat tentang satu peristiwa di mana keluarga beliau meminta saya untuk membaca doa selamat di majlis kesyukuran yang beliau anjurkan. Seusai daripada majlis tersebut, isteri beliau telah memberi satu "sampul" berupa wang sebagai sedekah, tetapi saya menolak secara baik.
Ketika saya ingin masuk ke dalam kereta, beliau sendiri datang kepada saya dan menyerahkan sampul tersebut dan berkata "terimalah sedekah ini. Sampul ini bukannya rasuah." Kata beliau sambil ketawa.

Saya terpaksa menerimanya, dan selepas kejadian tersebut saya telah menolak beberapa kali permintaan keluarganya untuk membaca doa disebabkan perasaan malu.

Dalam bidang pekerjaan, saya hanya mengenali beliau melalui pembacaan di akhbar, media sosial dan internet sahaja. Tak banyak yang saya tahu tentang cara beliau bekerja, namun begitu melalui pengamatan saya, beliau merupakan seorang yang berprinsip dan bermaruah.

Selamat bersara Tan Sri Dr. Abu Kassim bin Mohamed. Teruskan perjuangan tuan. Semoga Allah memelihara dan merahmati tuan sekeluarga di dunia dan akhirat.

TARIKH FATHANI


Pernahkah anda mendengar nama Syeikh Daud al-Fathani? Beliau merupakan salah seorang ulama tersohor di Alam Melayu.

Banyak kitab yang telah dihasilkan oleh beliau. Dianggarkan sebanyak 60 buah kitab telah dihasilkan oleh beliau dan terdapat juga kitab atau manuskrip beliau yang masih belum dicetak hingga ke hari ini.

Beliau juga merupakan pentahqiq (penyunting) Kitab Sejarah Patani (Tarikh Fathani). Kitab asal karangan Syeikh Safuiddin ini dipercayai ditulis pada akhir kurun ke-15 atau awal kurun ke-16.

Kitab yang bertema pengkisahan Sejarah Tamadun Patani ini amat penting untuk dibaca oleh semua umat Islam kerana ianya bukan sahaja memberi maklumat tentang kewujudan kerajaan dan bangsa Melayu, bahkan turut memerikan perkembangkan agama Islam di Alam Melayu pada ketika itu.

Selain dari aspek kesusasteraan, kitab ini dianggap penting kerana ia merupakan karya asli ilmuan Melayu Islam terawal yang masih wujud.

Di samping itu, kitab ini berbeza dengan kitab kesusasteraan sejarah Melayu yang lain kerana kitab ini bukanlah kitab yang berbentuk hikayat. Kitab ini bersih daripada unsur mitos dan khurafat seperti kesaktian, dewa-dewi, alam kayangan dan lain-lain.

Mengapakah kitab ini bersih daripada unsur mitos dan khurafat? Kerana disebabkan kitab ini diulas dan dimurnikan oleh seorang ulama.

Oleh sebab itu, peranan ulama dan ahli agama diperlukan dalam semua disiplin ilmu. Dakwah mereka bukan hanya di pentas atau dalam penulisan kitab agama semata-semata, bahkan mereka perlu menyelusup masuk ke dalam semua bidang supaya syiar Islam dapat dikembangkan semaksimum yang mungkin.


RUJUKAN:

Mat Rofa Ismail. 2016. Malayonesia : Kerdipan bintang Melayu di langit Melayu. Shah Alam: Grup Buku Karangakraf Sdn. Bhd

UMMAT AL-MALAYU.

Untuk mengetahui tentang pengkisahan sejarah Tamadun Alam Melayu dari persepsi bangsa Arab, bacalah kitab ini. Judul asal kitab ini dalam tulisan Arab ialah Ummat Al-Malayu, karangan Saleh Jaudat, diterbitkan di Mesir pada tahun 1908.
Kitab ini dihasilkan oleh Saleh Jaudat atas dasar semangat persaudaraan dengan umat Islam di Alam Melayu khususnya dengan Tunku Mansor ibn Sultan Abdul Hamid Halim Shah, iaitu anak kepada Sultan Kedah pada ketika itu. Baginda Dilahirkan pada tahun 1889 dan mangkat pada tahun 1932.
Hasil daripada pembacaan kitab ini, kita akan dapat mengetahui banyak percanggahan maklumat tentang sejarah Tamadun Alam Melayu yang ditulis oleh sarjana Barat.
Siapakah yang benar dan siapakah yang silap? Anda sendiri boleh tentukan. Pastikan banyak membaca dan membuat kajian. Jangan bertaqlid dengan satu sumber semata-mata.

TUAN GURU HARUN DIN (TGHD)


Bohong jika saya katakan bahawa hati saya tidak terkesan dengan berpulangnya TGHD.

Bohong juga jika saya katakan bahawa saya tidak mahu menitip kata-kata terakhir bagi memuliakan beliau.

Nama TGHD cukup melekat di jiwa saya kerana beliau merupakan salah seorang guru yang pernah saya bertalaqqi sehingga tamat pengajian (Perubatan Islam).

Ketika itu (akhir tahun 90-an), Pengajian Perubatan Islam masih pada peringkat muda lagi, tidaklah mendapat sambutan hebat seperti sekarang.

Saya hampir berputus asa ketika mengikuti kelas beliau disebabkan beliau amat tegas, fokus dan berdisiplin dalam pengajaran.

Bacaan dan hafazan saya sering kali ditegur dan diperbaiki oleh beliau, terutamanya bacaan Surah Al-Fatihah.

Saya bukanlah seorang yang mempunyai kelebihan dalam bidang tajwid dan taranum Al-Quran berbanding dengan rakan-rakan yang lain.

Namun dengan dorongan dan motivasi daripada pembantu khas beliau, iaitu Dato' Dr. Ustaz Amran bin Kasimin, akhirnya berjaya juga saya menamatkan pengajian.

Masih terasa hangat lagi tapak tangan beliau di atas ubun-ubun saya.

Antara pesanan beliau yang masih terngiang-ngiang di telinga saya ialah:

"Dalam menjalani rawatan perubatan Islam, pengamal dan pesakit perlulah mempunyai hati yang bersih, memenuhi segala perintah-Nya dan takut untuk melanggar hukum-Nya, Insya Allah, barulah Allah akan menyembuhkan."

Mudah-mudahan segala ilmu yang TGHD sumbangkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia dapat dijadikan bekalan yang secukupnya untuk beliau bawa bertemu Allah SWT.

Semoga Allah mengampuni segala dosa arwah dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang soleh dan bertaqwa.

Kepada anak-anak didik TGHD, teruskan perjuangan kalian, berilmu dan berakhlaklah seperti beliau. Perbaikilah lompong-lompong yang ada berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.

Maafkan saya, kerana saya tidak terpilih untuk berjuang bersama kalian disebabkan ilmu dan akhlak saya belum semantap kalian.

THE PALACE OF PARLIAMENT ROMANIA DAN TRAGEDI MAUT FRANZ REICHELT

TILIK BUKU : Travelog Mr. Traveller.

Jikalau anda ingin menjelalahi dunia Eropah dengan menaiki kereta api, bacalah buku ini. 

Di dalam buku ini penulis telah berkongsi maklumat tentang cara untuk menggunakan keretapi bagi menakluki dunia Eropah dengan harga yang murah dan kaedah yang mudah.

Menelurusi buku ini dari bab ke bab akan membuat pembaca berasa kagum terhadap kegigihan, ketabahan dan disiplin yang ditunjukkan oleh penulis sepanjang perjalanan menjelajahi dunia Eropah dalam tempoh 15 hari.

Penulis juga ada menceritakan kisah bagaimana beliau mengerjakan ibadah solat sewaktu dalam pengembaraan tersebut. 

Beliau bersolat di hentian kereta api, di dalam kereta api, di dalam bilik hotel yang penghuninya terdiri daripada bukan Islam dan pelbagai lagi situasi. Sungguh hebat iman penulis.

Penulis ada mencatat banyak nama tempat dan kisah yang menarik, antara ialah The Palace Parliament dan Franz Reichelt.

Mari kita tilik.

The Palace Parliament terletak di Romania. Ia merupakan bangunan parlimen yang terbesar di dunia mengalahkan bangunan parlimen Amerika Syarikat, atau turut dikenali sebagai The Bicameral Legislature.

Berikut merupakan gambar The Palace Parliament:








Manakala di bawah merupakan gambar The Bicameral Legislature di Amerika Syarikat:


Selanjutnya, The Palace Parliament merupakan bangunan pentadbiran yang kedua terbesar selepas bangunan Pantegon di Amerika Syarikat.


Selain itu,  The Palace Parliament merupakan bangunan yang ketiga terbesar di dunia selepas bangunan Vehicle Assembly di Florida, Amerika Syarikat dan Temple of the Feathered Serpent di Teotihuacan, Mexico.

Gambar bangunan Vehicle Assembly Building:



Gambar bangunan Temple of the Feathered Serpent:



Bangunan The Palace Parliament bernilai 3 bilion Euro, menjadikannya antara bangunan pentadbiran yang paling mahal di dunia.

Dianggarkan sebanyak 3 juta USD diperlukan bagi setiap tahun untuk membayar kos pemanasan dan pencahayaan bangunan tersebut. Wah, banyaknya duit kerajaan mereka!

Apa yang pasti, bangunan ini 10 kali ganda lebih besar berbanding bangunan White House di Amerika Syarikat.

Jangan tertipu! Bangunan White House tidaklah gah seperti yang digembar-gemburkan oleh media barat. Panjang bangunan White House ialah 51.2 meter, mempunyai 6 tingkat dan berkeluasan 55,000 square feet sahaja.

Gambar bangunan White House di Amerika Syarikat:


Suatu masa nanti, semua bangunan ini akan runtuh menyembah Allah. Bagaimana dengan kita? Kembalilah mengingati-Nya.

Apa pula kisah Franz Reichelt? Jika pembaca ingin mengetahuinya, silalah tinggalkan pesanan di bawah, pasti kisahnya akan menyusul pada eposid seterusnya.

"Berah boh, jumpo lagi."

-----------------------------
Tajuk Buku : Travelog Mr. Traveller
Nama Penulis : Meor Farid Asyradi
Penerbit : Meor Farid Asyradi
Jumlah Muka Surat : 310
Tahun Terbit : 2015
Harga : SM RM25.00 SBH/SWK RM28.00



TAMAN NEGARA YOSEMITE DAN TAMAN NEGARA ARCHE

TILIK BUKU - Travelog Mr. Backpacker : Merentas Amerika.

Ketika membaca buku ini, pembaca pasti merasakan seolah-olah turut merentasi Amerika bersama penulisnya.

Sungguh menarik pengalaman yang dikongsikan oleh penulis. Beliau merentasi Amerika selama 25 hari bersama 2 orang rakannya dengan menaiki kereta sewa.

Perjalananan yang ditempoh oleh mereka sejauh 10,000 KM. Bayangkan betapa mencabar dan sukarnya pengembaraan mereka.

Pelbagai peristiwa yang dilalui oleh mereka, antaranya lemas di pantai Daytona dan ditangkap oleh polis koboi.

Mengujakan.

Di dalam buku ini tercatat nama Taman Negara Yosemite dan Taman Negara Acher. Ianya pasti menarik minat pembaca untuk mengetahui kedua-dua taman negera ini dengan lebih mendalam.

Mari kita tilik.

Taman Negara Yosemita merupakan antara 5 taman negara yang paling menarik dunia. Permandangan di taman negara ini amat indah dan mempersonakan.

Disebabkan taman negara ini sungguh luar biasa keajaibannya, dianggarkan seramai 3.8 juta pelancong datang berkunjung ke sini pada setiap tahun.

Keluasan Taman Negara Yosemita ini ialah 747, 956 ekar. Ia terletak di California dan telah digazetkan sebagai Kawasan Bersejarah Dunia oleh UNESCO.

Alangkah seronoknya jika dapat berkhemah dan memancing di sini.






Subhanallah, hebatnya ciptaan Allah.

Selanjutnya, gambar di bawah pula menunjukkan pemandangan yang terdapat di Taman Negara Arche. Ia terletak di timur Utah. Luasnya 76,679 ekar. Di sini terdapat lebih kurang 2,000 natural standstone arches. 

Yang pasti di sini tiada pokok durian.





Taman Negara Yosemite dan Taman Negara Arche merupakan sebahagian tempat yang telah dilawati oleh penulis buku ini semasa mengembara di Amerika.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kisah pengembaraan beliau merentasi Amerika, anda boleh membaca sendiri buku ini.

Ayuh, mari kita mendesa dunia melalui buku.

"Bereh boh, jumpo lagi."

...
Tajuk Buku : Travelog Mr. Backpacker : Merentas Amerika
Nama Penulis : Badrul Hisham
Penerbit : Badrul Hisham Bin Burhanuddin
Jumlah Muka Surat : 202
Tahun Terbit : 2016
Harga : SM RM25.00 SBH/SWK RM28.00



PENGENALAN TILIK BUKU

Adakah anda mengetahui tentang resensi buku, bedah buku dan kritikan buku?

Disiplin ilmu ini mungkin kurang dibicarakan di Malaysia berbanding dengan negara jiran, iaitu Indonesia.

Tidak ramai penulis yang ingin menceburkan diri dalam bidang ini kerana ianya terikat dengan format tertentu dan tidak mendapat sambutan daripada pembaca.

Maka, aku terpanggil untuk membudayakan disiplin ilmu ini di Malaysia dengan melakukan beberapa pendekatan, kaedah dan teknik yang baharu.

Aku namakannya sebagai "Tilik Buku". Aku sengaja menggunakan perkataan tilik kerana ia membawa maksud melihat sesuatu dengan bersungguh-sungguh.

Dengan kata lain, Tilik Buku merupakan satu cara untuk meneliti isi kandungan sesebuah buku luar dari konteks penulisannya.

Meskipun Tilik Buku berbaur klasik dan konservatif, namun ianya bersifat moden dan santai.

Tilik Buku akan cuba memberahikan pembaca untuk membaca sesebuah buku dengan cara mengetengahkan maklumat paling menarik yang terdapat di dalam buku tersebut. Olahan dan kupasan tentang maklumat tersebut akan dibuat luar dari konteks apa yang ditulis oleh penulis asalnya [sekiranya mampu].

Perkara ini mungkin sesuatu yang baharu, namun aku percaya dengan cara ini aku akan dapat mengumpan pembaca untuk lebih berminat terhadap sesebuah buku dan secara tak langsung akan menyuburkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kita perlu sedar bahawa dunia penulisan dan penghasilan buku di Malaysia semakin rancak, ditambahkan lagi dengan kewujudan ramai penulis indie yang memasarkan buku mereka secara online.

Secara tak langsung ia memberi kesan negatif [sudut yang lain mungkin positif] kepada penerbit-penerbit buku yang sedia ada dan menyebabkan lambakan buku yang tidak terjual di pasaran.

Oleh itu, sama-samalah kita membantu industri penulisan dan penerbitan buku di negara kita dengan membeli dan membacanya. Kita mengetahui bahawa membaca merupakan jambatan ilmu.

Tanpa buku maka berkuranglah ilmu. Meskipun terdapat banyak e-book dan bahan bacaan dalam internet, tetapi cara dan budaya yang lama tetap perlu kita kekal dan pertahankan walaupun hari demi hari kita dihambat oleh kecanggihan teknologi.

***

Buku pertama yang aku akan tilik ialah Travelog Mr. Backpacker : Merentas Amerika hasil tulisan Badrul Hisham.


CIKGU LAMA MASIH BERBISA

Sungguh lama Coach Hey tidak melatih murid bermain bola sepak. Kali ini Coach Hey cuba melatih murid berkeperluan khas (MBK) pula.

MBK ialah murid yang belajar di Program Pendidikan Khas Integrasi yang ditempatkan di sekolah-sekolah terpilih.

Kali terakhir Coach Hey melatih murid bermain bola sepak ketika berada dalam Akademi Bola Sepak SKBJ Shah Alam Selangor.




Siapa kata MBK tidak berkebolehan untuk bermain bola sepak dan tiada bakat dalam bidang sukan yang popular ini?

Sebenarnya, gurulah yang perlu banyak memainkan peranan dalam usaha mencungkil bakat dan menajamkan kemahiran seseorang murid, khususnya dalam bidang sukan.

Di mana ada kemahuan, di situ ada kejayaan. Di mana ada kesungguhan, di situ ada keberhasilan.

SALAM KEMERDEKAAN DAN BERTEMU KEMBALI

Assalamualaikum dan salam sejahtera sahabatku semua.

Hampir setahun aku tidak menulis di sini. Mungkin tulisan ini sebagai permulaan untuk aku kembali aktif.

Beberapa hari yang lalu, aku telah membuat penilaian terhadap penulisanku pada masa yang lepas. Aku dapati bahawa penulisanku pada masa yang lepas banyak melanggar etika penulisan khususnya dari aspek tatabahasa dan lain-lain lagi. Aku mengakuinya dan memohon maaf atas kesilapan tersebut. Aku akan memperbaiki dan memperelokkannya pada masa hadapan.

Aku mula menulis di sini bermula pada tahun 2008. Pada awalnya, penulisanku lebih berbentuk kepada mendeklamasikan perasaan dan buah fikiranku. Terdapat juga artikel dan kertas kerja yang aku muat naik di sini hasil daripada penulisanku semasa belajar pada peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana. Semoga ia memberi manfaat kepada anda semua. Yang baik dikongsi, yang buruk mohon diperbetulkan.

Tanggal 31 Ogos 2016 merupakan hari memperingati Hari Kemerdekaan Tanah Melayu kali ke-59. Marilah kita sama-sama menghayatinya dengan penuh rasa keinsafan. Jadilah insan yang merdeka secocok dengan tuntutan agama. Peliharalah kemerdekaan ini untuk anak cucu kita pada masa hadapan. Jangan jual kemerdekaan ini semata-mata untuk kekal berkuasa atau hidup mewah atau sebagainya. Kemerdekaan ini milik mutlak semua rakyat Malaysia bukan kepunyaan individu atau organisasi tertentu.

Salam kemerdekaan dan bertemu lagi di lain masa.

TETAP SAMA

Akhirnya
penyudah manusia tetap sama:
mati.
Menunggu:
hari pembalasan
syurga
atau
neraka.
Sementara
atau kekal selama-lamanya.

AGAMAWAN PERLU CAKNA DAN PANDAI BERBAHASA.

Aku berasa khuatir dengan ketidakpekaan dan ketidakupayaan segelintir agamawan dalam berbahasa.

Sebagai contoh, ketika menerangkan cara-cara menunaikan solat gerhana, para iman sepatutnya menerangkannya secara tepat dengan menggunakan bahasa yang mudah dan ringkas.  Sekiranya tidak mampu, sediakan teks dan bacakannya.

Sudahlah penerangannya berbelit-belit payah, apabila ahli jemaah bertanya dijawabnya: "Kalau tak faham, ikut sahaja pergerakan imam!".

Apabila ada yang bertanya, maknanya ada yang tak faham. Apabila ada yang tak faham, begitukah jawapannya kepada soalan yang dikemukakan? Kalaulah begitu jawapannya, masyarakat tidak akan faham agama. Maka, bertambahlah "pentaqlid buta".

Sebenarnya banyak lagi perkara yang perlu dibincangkan tentang penggunaan bahasa oleh agamawan. Cukup sekadar ini dahulu buat kali ini.

Aku mengkritik, bukan bermakna aku memusuhi dan membenci mereka.

MERDEKA! MAHU APA LAGI?

57 tahun berlalu,
mahu apa lagi?
Tunggu dajjal datang menjajah?

Belajar, bekerja dan beramal agama
sudah mudah, sudah ringgan, sudah santai
mahu apa lagi kita?

Mahu lagi mudah, lagi ringgan, lagi santai?
Lagi apa?
Mahu apa?

Ini bukan zaman Kerajaan Melayu Melaka,
ini zaman orang putih! kita ikut mereka!
Bergaya ala British daripada kain kapan hingga ke tudung periuk.

Merdeka katanya, tapi minda masih dijajah
lesung batu sudah tak diguna, sebab membazir masa,
masa terluang boleh ber'FB' boleh ber'whatsApp'.

Merdeka katanya,
hidup perlu berhibur, jangan terlalu keras
lagi apa? Mahu apa lagi kita?











KERAS DAN TEGAS DALAM BERDAKWAH
Elias Hj Idris
Sumber : http://ikanlepu.blogspot.com/2013/06/keras-dan-tegas-dalam-dakwah.html
Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Mas’ud Al Anshari r.a, dia berkata: “Seorang laki-laki berkata (kepada Nabi saw): “Wahai Rasulullah, hampir saja aku tidak mendapatkan (makna) solat yang kami diimami oleh si fulan kerana sangat panjang.”Maka aku (perawi) tidak pernah melihat Nabi saw marah dalam memberikan nasihat yang lebih keras daripada hari itu. Beliau bersabda :

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kalian telah membuat orang lari. Maka barangsiapa solat mengimami manusia hendaklah dia memperingan (solatnya) kerana di antara mereka ada orang yang sakit, lemah, dan orang yang memiliki keperluan.”(HR. Bukhari)


Al ’Allamah Al ’Ainy berkata dalam mengulas hadis di atas: “Pada hadis ini terdapat makna yang menunjukkan tentang bolehnya marah terhadap perkara-perkara agama yang diingkari.” (‘Umdatul Qari’ 2/107)


Pada riwayat Imam Bukhari yang lain dari Abi Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah saw pernah melihat seseorang yang menggiring seekor unta yang akan disembelih di Mekah. Nabi saw bersabda: “Naiki unta itu!”


Orang tersebut menjawab: “Sesungguhnya ini adalah unta yang akan disembelih di Mekah.”


Nabi saw bersabda: “Celaka kamu, naiki unta itu!” 


(Beliau menyatakan hal ini) pada kali yang ketiga atau kedua.


Syaikh DR. Fadll Ilahi berkata: “Perkataan Nabi saw kepadanya celaka kamu -- sebagaimana yang disebutkan Imam Qurthuby -- adalah pendidikan agar dia kembali kepada (perintah) Nabi saw bersamaan dengan jelasnya keadaan baginya bahawa tidak boleh terjadi pada diri seorang mukmin keraguan dan sikap menahan diri dari melaksanakan perintah Nabi saw. - (Al Lin wa Ar Rifq halaman 52)


Imam Ad-Darimi telah meriwayatkan dari Jabir r.a bahawasanya Umar bin Khathab ra. mendatangi Rasulullah saw dengan membawa satu naskah dari Taurat seraya berkata: “Ya Rasulullah, ini adalah satu naskah dari Taurat.” Kemudian dia diam. Setelah itu dia mulai membacanya. Wajah Rasulullah pun berubah.


Maka Abu Bakar r.a berkata: “Celaka engkau, apakah engkau tidak melihat wajah Rasulullah saw?" 


Umar menoleh kepada wajah Rasulullah saw seraya berkata: “Aku berlindung kepada Allah dari kemarahan Allah dan Rasul-Nya. Kami redho Allah sebagai Rab (kami), Islam sebagai agama (kami), dan Muhammad sebagai Nabi (kami).”


Maka Rasulullah saw bersabda: “Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, kalau seandainya Musa muncul di hadapan kalian niscaya kalian akan mengikutinya dan meninggalkanku. Sungguh kalian telah sesat dari jalan yang lurus. Kalau seandainya Musa itu hidup dan mendapatkan kenabianku niscaya dia akan mengikutiku.” (Sunan Ad Darimi nomor hadits 44, 1/95)


Imam Bukhari dalam sahihnya membuat 2 bab yang berkaitan dengan masalah ini.


Pertama, bab tentang marah dalam memberi nasihat dan pelajaran apabila dia melihat sesuatu yang dibenci.


Kedua, bab tentang perkara-perkara yang diperbolehkan marah padanya dan bersikap keras kerana perintah Allah Taala. Kemudian Imam Bukhari membawakan beberapa hadis yang menunjukkan bahawa Rasulullah saw marah dan bersikap keras ketika melihat sebahagian sahabatnya melakukan perkara-perkara yang dibencinya.


Demikianlah beberapa dalil dan hujjah dari Al Quran dan As-sunnah serta beberapa perkataan para ulama yang berbicara tentang sikap keras & tegas dalam dakwah. Tentunya masih banyak yang lainnya.


Sikap keras & tegas dalam dakwah dilakukan setelah sikap lemah lembut dan kasih sayang dalam dakwah tidak berhasil merobah orang-orang yang terus-menerus dalam kemungkaran. Syeikh Muhammad Amin Asy Syanqithi pernah berkata:“Ketahuilah bahwasanya dakwah ke jalan Allah (dilakukan) dengan dua cara; pertama dengan cara lemah lembut dan kedua dengan cara kekerasan. Adapun cara yang lemah lembut, iaitu berdakwah ke jalan Allah dengan hikmah dan memberikan nasihat yang baik. 


Apabila engkau berhasil dengan cara ini alangkah baiknya dan inilah yang diinginkan. Namun jika engkau tidak berhasil, gunakanlah cara kekerasan waima dengan pedang sampai hanya Allah sajalah yang diibadahi dan ditegakkan hukum-hukum-Nya, dilaksanakan perintah-perintah-Nya, serta ditinggalkan segala larangan-Nya.
LAKNAT ISRAEL

Laknat bagi mereka
membunuh jiwa-jiwa yang tak berdosa
merejam anak kecil dengan besi yang berbisa.

Laknat bagi mereka
kaum yang ingkar, sombong, keras kepala
bersifat binatang purbakala, ganas bermaharajalela.

Laknat akan membaham mereka
menunggu masa, yang hampir tiba
laknat bagi mereka, akhirat, terlebih dahulu di dunia.