JADI GURU YANG SEBENAR-BENAR GURU

Sambil membaca buku, terlintas dalam benak fikiranku tentang pekerjaan yang telah bertahun-tahun aku lakukan ini. Adakah aku menjiwainya dengan sepenuh perasaanku? Atau sebaliknya?
Banyak kisah guru yang hebat yang pernah aku saksikan dengan mata telingaku sendiri. Mereka sememangnya hebat dan patut dimuliakan.
Namun begitu, terdapat juga sebilangan guru yang membuatkan aku berasa malu dengan sikap mereka. Tiada nilai sebagai seorang guru.
Kerja guru bukan kerja untuk menempa publisiti, mencari kekayaan, mengejar pangkat dan sebagainya. Kerja yang "low profile" ini memerlukan otak dan perasaan untuk bekerja selama 24 jam, bahkan kudrat juga perlu dibanting berbelas-belas jam lamanya.
Sekiranya anda para guru bekerja sekadar "cari makan", letaklah jawatan. Berilah peluang kepada mereka yang betul-betul berjiwa raga seorang guru. Carilah pekerjaan yang lebih sesuai dengan gaya "cari makan" anda tersebut.
Gambar yang aku kepilkan ini menunjukkan salah seorang daripada ribuan guru yang hebat. Gambar ini aku ambil pada awal tahun 2016 selepas tamat sesi persekolahan.
Seusai solat Zohor di surau sekolah, aku melihat seorang ustazah sedang tekun menyantuni seorang murid yang sedang belajar bersolat. "One to one", "face to face" and "heart to heart".
Aku bertanya kepada beliau adakah ini kelas intensif atau kelas berbayar? Jawab beliau, kelas kerana Allah Taala.
Maka dengan jawapan tersebut aku mengerti faham. Aku terasa amat malu kerana sepatutnya itulah yang perlu aku lakukan terhadap murid tersebut, bukannya beliau. Allah Akbar, hujan dihatiku.
Ini salah satu contoh kehebatan yang ditunjukkan oleh seorang yang disebut guru atau dieja G U R U atau dipanggil cikgu.
Pekerjaan guru pekerjaan yang mulia. Letaklah ia sesuai dengan martabatnya. Jangan sesekali merendahkannya.

POLEMIK PERIBAHASA HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI

Kita perlu sedar, kita perlu tahu bahawa peribahasa Melayu bukan hanya berlegar di Tanah Melayu, tetapi berkembang di serata alam Melayu di dunia ini, khususnya di Indonesia.
Dalam konteks ini, memang benar wujud pegar (burung) di kawasan padi (berdasarkan diskripsi tentang habitatnya), dan memang wujud amalan memagar sawah padi.

Sawah Zuhair
Amalan memagar sawah padi masih diteruskan di sebahagian tempat di Indonesia, tujuannya adalah untuk melindungi padi daripada serangan haiwan, khususnya tikus. Pagar ini bukan sembarangan pagar, atau "pagar bodoh". Pagar ini juga dibina khusus supaya dapat memerangkap tikus. Boleh google dan buat sedikit kajian tentang perkara ini.
Tetapi berbeda dengan pegar, burung ini sudah tidak kelihatan di sawah padi pada zaman ini. Jika ditanya kepada orang tua (pesawah) yang masih hidup pada zaman ini, mereka pun tidak tahu dan tidak kenal burung pegar ini.
Berkenaan makna pagar dan pegar dalam peribahasa tersebut tidak menjadi masalah, makna boleh dibentuk dan disuai padan berdasarkan pemikiran dan kognisi para pentaksir.
Oleh itu, secara realiti, peribahasa harapkan pagar, makan padi lebih relevan, tetapi kita juga tidak boleh menolak kemungkinan bahawa peribahasa harapkan pegar, pegar makan padi itu juga adalah benar.
Sehubungan itu, kajian yang mendalam perlu dijalankan bagi merungkaikan permasalahan ini, bukan "main cakap-cakap sahaja". Kajian tersebut perlulah bersifat tuntas; merentasi zaman dan sempadan.
Sawah Zuhair
Saya ingin menambah, apabila saya membaca karya-karya tulisan HAMKA, terutamanya Tenggelamnya Van Der Wijck, saya dapati bahawa selain suku Melayu, suku Minangkabau dan suku Mengkasar juga kaya dengan pantun dan peribahasa. 
Dalam buku tersebut, HAMKA memberitahu bahawa pantun "Pulau Pandan jauh di tengah" telah lama dipantunkan oleh nenek moyang bagi kedua-dua suku ini. Hal ini disebabkan Pulau Pandan berada di negeri Padang (sekarang ini berada dalam wilayah takluk Indonesia).
Selama ini, saya beranggapan bahawa pantun ini merupakan pantun suku Melayu, tetapi sangkaan saya tidak benar. Rupa-rupanya bukan hanya suku Melayu sahaja yang pandai berpantun dan berperibahasa, malahan suku yang serumpun dengan suku Melayu juga turut mahir dalam hal ini. 
Oleh itu, saya berpandangan bahawa bukan semua pantun dan peribahasa yang suku Melayu tuturkan berasal daripada suku Melayu dan dari Tanah Melayu. Begitu juga halnya bagi suku yang serumpun dengan suku Melayu. 
Pantun dan peribahasa merupakan pemikiran dan disebar luas melalui bahasa Melayu. Maka, boleh jadi peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi bukan berasal daripada pemikiran suku Melayu dan bukan dari Tanah Melayu. 
Atau mungkin ya, memang benar berasal daripada pemikiran suku Melayu dan dari Tanah Melayu?
Sawah Zuhair

Sawah Zuhair

Sawah Zuhair

BAHASA MELAYU MERUPAKAN BAHASA PERHUBUNGAN DI UNIVERSIT AWAM

Orang Menriq masih menggunakan bahasa Jedek sebagai bahasa pertama (B1) dalam kehidupan seharian mereka, begitu juga halnya dengan orang Mah Meri yang masih menggunakan bahasa Besisi sebagai B1. Apabila mereka turun ke pekan, mereka akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan. 

Secara rasminya, terdapat sekurang-kurangnya 18 suku dari etnik Orang Asli di Semenanjung Tanah Melayu. Mereka bertutur menggunakan bahasa Orang Asli atau disebut bahasa Melayu Asli. 

Di Sabah, dianggarkan terdapat 33 kumpulan pribumi, manakala di Sarawak terdapat 27 kumpulan pribumi.  Kesemua kumpulan tersebut berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan lebih 80 dialek etnik. Apabila mereka turun ke pekan, mereka juga menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan. 

Sekarang ini, boleh dikatakan ramai anak-anak orang asli atau pribumi atau bumiputera dari Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang memasuki universiti awam di Malaysia. Mereka inilah yang memberi keuntungan yang lumayan kepada pihak universiti, bukannya daripada pelajar luar negara. 

Sebelum memasuki universiti, anak-anak tersebut membesar dengan bahasa Melayu. Mereka hidup rukun, aman dan bersatu melalui perantaraan bahasa Melayu. Mereka inilah yang akan menjadi duta dan bentang kepada tanah air kita pada masa hadapan. 

Rasa cinta dan kasih terhadap negara hanya sanya dapat dipupuk melalui bahasa Melayu, kerana bahasa Melayu bukan sekadar bahasa, tetapi di dalamnya ada darah perjuangan nenek moyang, di dalamnya ada akal budi, di dalamnya ada budaya dan di dalamnya ada pertalian saudara senegara yang tidak ada dalam bahasa Inggeris.

Oleh itu, bahasa Melayu seharusnya menjadi bahasa perhubungan yang utama di universiti demi membina negara bangsa yang utuh untuk menjaga kelangsungan kemakmuran negara pada masa hadapan.

Melalui dasar seperti ini, secara tidak langsung pelajar-pelajar luar negara akan dapat mempelajari bahasa Melayu dan budaya masyarakat Malaysia dengan lebih mudah. Dari sinilah terserlahnya keunikan negara Malaysia. Kemudiannya keunikan tersebut akan disebar luas oleh pelajar-pelajar luar negara tersebut ke negara masing-masing. Sektor pelancongan Malaysia pasti akan berkembang subur melalui angin perkhabaran bahawa "Malaysia truly Asia".

Namun begitu, kepentingan bahasa Inggeris tidak boleh dinafikan. Bahasa Inggeris boleh dijadikan bahasa pengantar untuk wacana ilmu di universiti. Bahasa Inggeris juga dapat dijadikan wahana komunikasi untuk berkolaborasi dengan dunia akademik luar bagi proses penerokaan ilmu ke tahap yang lebih tinggi.

Inilah yang dinamakan "memertabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris (MBMMBI)". Sepatutnya, slogan ini bukan sekadar dilaungkan di sekolah rendah dan menengah, tetapi perlu juga dilaungkan di menara ilmu, iaitu universiti. 

Apa dijual apa dibeli, 
Mari sukat gantang Ali; 
Bahasa tak boleh dijual beli,
Dari hidup sampai mati.

Bukan sengaja saya berkain,
Saya berkain menutup tubuh;
Bukan sengaja saya bermain,
Saya bermain bersungguh-sungguh.

...
Saya berpandangan bahawa terdapat perbezaan takrif dan fungsi antara bahasa perhubungan dengan bahasa pengantar.

MAKNA PRAGMATIK DI BALIK TELEFILEM POK YA CONG CODEI

Saya cuba membuat sedikit ulasan tentang telefilem Pok Ya Cong Codei yang tular dan heboh dibicarakan oleh warga media sosial.
Berdasarkan dialog antara watak yang terdapat dalam telefilem tersebut, banyak potensi makna yang berunsur nasihat yang cuba disampaikan kepada para penonton.
Dalam telefilem tersebut, kita dapat melihat bahawa Pok Ya seorang yang hebat; dihormati kawan, digeruni lawan dan dipercayai oleh majikan.
Tutur bicara Pok Ya juga melambangkan beliau seorang yang hebat walaupun suka bercakap besar; tidak gentar terhadap musuh, tidak mengkhianati kawan dan berani kerana benar.
Namun hakikatnya, kehebatan tersebut hanya terserlah di luar rumah sahaja. Sedangkan di rumah beliau tidak hebat seperti yang disangkakan.
Sekalipun Pok Ya mampu menengking dan memarahi isterinya, tetapi isterinya berani melarikan diri daripada Pok Ya sewaktu beliau sibuk dengan urusan kerja di Kuala Lumpur.
Mengapa isteri Pok Ya berani berbuat demikian?
Mungkin Pok Ya bukan seorang suami yang hebat; yakni dari segi tenaga batin, kasih sayang, akhlak, agama dan lain-lain yang bersifat batiniah.
Telefilem Pok Ya Cong Codei dengan jelas ingin memberi mesej kepada kaum lelaki supaya jangan asyik dan terpersona dengan kehebatan jasmaniah yang ada, seolah-olah kehebatan tersebut boleh memberi kebahagiaan kepada isteri dan ahli keluarga.
Kaum lelaki jangan beranggapan bahawa kehebatan jasmaniah mampu menambat isteri di tiang rumah untuk selama-lamanya.
Sayangi isteri dan ahli keluarga dengan nilai agama bukan dengan kehebatan jasmaniah atau lahiriah semata-mata.

GURU YANG BAIK IALAH GURU YANG BERKATA TENTANG KEBENARAN



Seusai saya menunaikan Solat Maghrib di Masjid ini (gambar di bawah), saya sempat mendengar Kuliah Maghrib. 

Berkata penceramah, "guru yang baik ialah guru yang berkata tentang kebenaran."

Beliau memberi contoh, seorang pelajar bertanya kepada seorang guru agama tentang hukum merokok.

Jawab guru itu, "hukumnya haram."

Pelajar tersebut bertanya lagi, "saya pernah melihat ustaz merokok, apakah hukumnya?"

Balas guru tersebut, "hukumnya tetap haram. Saya merokok disebabkan kelemahan diri saya dan saya dalam proses meninggalkannya (berhenti merokok)".

AYAT PERINTAH BERSULAMKAN SINDIRAN!

Seorang kawan telah mengirimkan gambar poster tersebut kepada saya. Beliau bertanya kepada saya, di manakah letaknya nilai keindahan Islam dalam ayat tersebut? 


Seharian saya cuba memikirkan soalan tersebut. Saya juga tercari-cari di manakah letaknya nilai keindahan Islam dalam ayat tersebut, tetapi saya gagal menemuinya. 


Apa yang saya temui hanyalah ayat perintah yang bersulamkan sindiran. 

Ya, tidak dinafikan bahawa berlakunya pembaziran air ketika pengambilan wuduk. Perkara tersebut perlu ditegur dan dicegah. Seeloknya dengan cara yang berhemah atau berhikmah.

Oleh itu, sewajarnya bahasa yang digunakan untuk mencegah perbuatan tersebut haruslah mencerminkan keindahan Islam, iaitu mengandungi unsur kesantunan berbahasa.

Saya tidak menafikan ada kalanya lakuan niat pengucapan bagi sesuatu ujaran boleh berbentuk sindiran, tetapi dalam hal ini, yakni penulisan ayat dalam poster yang kekal lama, penulis seharusnya mengutamakan matlamat sosial pembaca daripada matlamat ilokusi penulis.

Yang dimaksudkan matlamat sosial pembaca ialah rasa dihormati, dikasihi, disantuni dan lain-lain.

Dengan cara memenuhi matlamat sosial pembaca, secara tak langsung matlamat ilokusi penulis (arahan, suruhan, nasihat, teguran dan lain-lain) dapat dicapai.

Pepatah Inggeris menyatakan bahawa "kill two birds with one stone", atau pepatah Melayu menyebut "sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terlampau", maksudnya ialah mencapai dua maksud sekali gus dengan melakukan satu kerja atau tindakan.

Pantai Cahaya Bulan (PCB)

Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, Kelantan.
Sebut PCB, pasti semua rakyat negeri Kelantan mengenalinya.
Nama asalnya ialah Pantai Cinta Berahi, kemudiannya ditukar kepada Pantai Cahaya Bulan oleh Allahyarham Tuan Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat (semoga Allah merahmati beliau) pada zaman 1990-an.
Namun begitu, menurut masyarakat setempat, nama dahulukala bagi pantai ini ialah Pantai Semut Api.
Terletak di Mukim Semut Api, jaraknya lebih kurang 10 kilometer dari Pusat Bandar Kota Bharu.
Dahulunya pantai ini cukup cantik dan bersih. Pasir pantainya gebu serta putih. Sekelilingnya dihiasi dengan pokok-pokok ru yang besar lagi rendang. Suasananya teduh dan nyaman.
Aku masih ingat ketika aku kanak-kanak, untuk berjalan kaki dari jalan raya ke persisir pantai jaraknya antara 700 meter hingga 900 meter.
Berbeza dengan sekarang, persisir pantainya sudah tiada, diganti dengan tembok batu-batu yang dijadikan penghadang daripada bedilan dan hakisan ombak.
Masih terbayang di mataku kubu-kubu Jepun yang terpacak di tengah-tengah pantai PCB. Kini kubu-kubu tersebut sudah hilang ditelan ombak.
PCB terbahagi kepada satu kepala dan dua sayap (aku punya definisi). Kepalanya terletak di pantai utama. Sayap pertama terletak di Pantai Kuda, manakala sayap kedua terletak di Muara.
Dahulunya, terdapat banyak perahu nelayan yang berlabuh dan bermukim di pantai ini, terutamanya di Pantai Kuda dan Muara.
Masih aku ingat, waktu petang merupakan waktu yang paling sibuk di pantai kerana para nelayan akan berlabuh bersama hasil tangkapan mereka. Pada ketika inilah, kelihatan kanak-kanak dan para remaja datang beramai-ramai untuk menolong menolak dan menarik perahu para nelayan naik ke pantai.
Selepas menolak dan menarik perahu-perahu tersebut, mereka akan menunggu para nelayan memunggah hasil tangkapan mereka naik ke darat, semasa proses tersebut berjalan, banyak ikan, udang dan sotong yang jatuh ke pasir atau gigi air. Inilah rezeki yang mereka tunggu, mereka akan memungutnya dengan penuh perasaan seronok dan riang untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.
Dahulunya juga, banyak kuda bermain di gigi air dan mandi di pantai ini, khususnya di Pantai Kuda. Pada setiap tahun akan diadakan acara berkuda di sana. Pelbagai jenis kuda yang boleh dilihat sewaktu acara tersebut.
Aku juga tidak ketinggalan untuk turut serta, jika bernasib baik aku dipelawa untuk menunggang dan memandikannya.
Selain itu, di pantai ini juga tempat berkumpul peminat wau dan layang-layang, pemancing ikan, penyandat sotong, pendikir barat, penjual ubat, dan lain-lain lagi.
Sebenarnya, banyak lagi cerita menarik tentang pantai ini yang boleh aku nukilkan untuk bacaan generasi yang akan datang, sama ada dari sudut budaya, makanan, masyarakat, permainan rakyat dan sebagainya, tetapi aku berhenti di sini dahulu untuk memberi ruang kepada sahabat-sahabat yang lain untuk menyambungnya. Mungkin selepas itu boleh dibukukan.











UJARAN LANGSUNG DALAM PERBUALAN

Mungkin ramai dalam kalangan kita tidak sedar bahawa ujaran yang kita gunakan tidak relevan dengan konteks perbualan dan tidak mampu memenuhi kehendak yang kita hajatkan.
Paling ketara ketika kita membuat penolakan terhadap perkhidmatan atau produk yang ditawarkan oleh pihak hotel, bank, syarikat insurans, konsultan kesihatan dan lain-lain lagi.
Melalui pemerhatian, saya dapati bahawa penolakan yang dibuat lazimnya menggunakan ujaran tak langsung, contohnya:
1) Saya sibuk.
2) Saya sedang bermesyuarat.
3) Saya sedang makan.
4) Boleh telefon saya pada waktu rehat, saya sedang bekerja sekarang.
5) dan seumpama dengannya.
Walhal, kita sebenarnya tidak berada dalam situasi seperti yang diujarkan. Kita sengaja mereka ujaran tersebut dengan harapan perbualan antara kita dengan peniaga tersebut segera ditamatkan dan peniaga tersebut tidak akan menghubungi kita lagi.
Malangnya, peniaga tersebut terus menelefon kita dan jawapan yang sama kita berikan sehinggalah pada suatu tahap kita terpaksa memaki hamun dan memarahi peniaga tersebut kerana kita beranggapan bahawa peniaga tersebut sepatutnya faham apa yang dimaksudkan oleh kita pada perbualan kali pertama, kedua atau ketiga.
Dalam hal ini, peniaga tidak bersalah. Mereka bekerja; mencari pelanggan untuk meningkatkan jualan syarikat mereka. Semakin banyak panggilan telefon yang dibuat, kemungkinan semakin banyak komisen yang akan diperoleh.
Kita sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana tidak bertutur secara jujur dan berterus terang.
Berikut amalan yang selalu saya lakukan apabila berhadapan dengan situasi seperti ini:
1) Pada awal perbualan, lazimnya peniaga (atau orang yang tidak dikenali) akan bertanyakan nama saya, contohnya;
"Assalamualaikum dan selamat pagi. Boleh saya bercakap dengan Encik Zuhair?", atau
"Encik Zuhairkah yang bercakap?"
Saya akan membalas salam tetapi tidak akan menjawab pertanyaan peniaga tersebut.
2) Sebaliknya saya akan bertanya;
"Siapakah yang bercakap dan dari mana?"
3) Seterusnya, peniaga tersebut pasti akan memberitahu nama dan syarikat atau agensi yang diwakilinya. Contohnya;
"Saya Siti dari Syarikat Insurans VWX."
4) Selanjutnya, peniaga tersebut akan meminta kebenaran saya atau terus memberi penerangan tentang produk atau perkhidmatan yang ingin dijual olehnya. Contoh;
"Boleh tak saya bercakap dengan Encik Zuhair tentang produk insurans yang syarikat kami ingin tawarkan secara percuma kepada keluarga Encik Zuhair?"
5) Pada saat inilah saya akan membuat pertimbangan serta keputusan dengan menggunakan ujaran langsung secara ringkas dan tepat. Berikut ujaran yang selalu saya gunakan;
"Maaf. Saya tidak berminat dan jangan hubungi saya lagi. Terima kasih. Assalamualaikum."
6) Kebiasaannya, peniaga akan terus meletakkan telefon atau cuba berunding atau membujuk saya lagi. Pada kali ini, saya akan mengeraskan sedikit suara saya dengan menggunakan ujaran yang sama.
Hasilnya peniaga tersebut akan faham dan tidak akan menelefon saya lagi untuk jangka masa yang lama (lazimnya begitulah).
Pelajarilah seni bertutur demi kesejahteraan hidup bersama.
...
Nasihat aku kepada pemilik data peribadi orang awam, Jangan kamu bermudah-mudah untuk menjual maklumat peribadi tersebut kepada syarikat yang berkepentingan. Haram.

MAKNA PRAGMATIK DI BALIK TELEFILEM POK YA CONG CODEI

Saya cuba membuat sedikit ulasan tentang telefilem Pok Ya Cong Codei yang tular dan heboh dibicarakan oleh warga media sosial.
Berdasarkan dialog antara watak yang terdapat dalam telefilem tersebut, banyak potensi makna yang berunsur nasihat yang cuba disampaikan kepada para penonton.
Dalam telefilem tersebut, kita dapat melihat bahawa Pok Ya seorang yang hebat; dihormati kawan, digeruni lawan dan dipercayai oleh majikan.
Tutur bicara Pok Ya juga melambangkan beliau seorang yang hebat walaupun suka bercakap besar; tidak gentar terhadap musuh, tidak mengkhianati kawan dan berani kerana benar.
Namun hakikatnya, kehebatan tersebut hanya terserlah di luar rumah sahaja. Sedangkan di rumah beliau tidak hebat seperti yang disangkakan.
Sekalipun Pok Ya mampu menengking dan memarahi isterinya, tetapi isterinya berani melarikan diri daripada Pok Ya sewaktu beliau sibuk dengan urusan kerja di Kuala Lumpur.
Mengapa isteri Pok Ya berani berbuat demikian?
Mungkin Pok Ya bukan seorang suami yang hebat; yakni dari segi tenaga batin, kasih sayang, akhlak, agama dan lain-lain yang bersifat batiniah.
Telefilem Pok Ya Cong Codei dengan jelas ingin memberi mesej kepada kaum lelaki supaya jangan asyik dan terpersona dengan kehebatan jasmaniah yang ada, seolah-olah kehebatan tersebut boleh memberi kebahagiaan kepada isteri dan ahli keluarga.
Kaum lelaki jangan beranggapan bahawa kehebatan jasmaniah mampu menambat isteri di tiang rumah untuk selama-lamanya.
Sayangi isteri dan ahli keluarga dengan nilai agama bukan dengan kehebatan jasmaniah atau lahiriah semata-mata.

Falsafah Pendidikan Bahasa Melayu

Salah satu konsep “pengembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu” yang diungkapkan dalam Falsafah Pendidikan Negara ialah yang berkaitan dengan penyepaduan bahasa Melayu dalam semua mata pelajaran atau ilmu yang diajarkan, kecuali mata pelajaran bahasa lain.
Konsep kesepaduan ilmu dan kemahiran yang melibatkan bahasa Melayu ini dengan sendirinya merobah gagasan dan pendekatan dalam pendidikan bahasa Melayu di sekolah-sekolah khususnya.
Dua strategi yang dilaksanakan untuk mengisi konsep kesepaduan yang berkaitan dengan bahasa Melayu ialah:
(a) melalui pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu, dengan berasaskan strategi 2P, iaitu penggabungjalinan dan penyerapan ilmu serta nilai murni;
(b) melalui mata pelajaran lain, dengan berasaskan gagasan Bahasa Melayu Merentas Kurikulum.
Baca artikel berikut untuk maklumat yang lebih mendalam: http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=910

KHAZANAH MELAYU

Gambar di bawah merupakan kamus kosa kata Melayu Inggeris yang berjudul Kitab Malayo yang disusun oleh FE pada tahun 1731.



Kosa kata bahasa Melayu yang dikumpulkan dalam kamus tersebut ditulis menggunakan tulisan roman.
Sebenarnya, terdapat banyak karya Melayu klasik (termasuklah karya yang bercitra Islamik) yang berada dalam simpanan pihak penjajah, terutamanya British.

Untuk mendapatkannya, sila layari laman sesawang berikut:

PERSEKOLAHAN PADA ZAMAN ABDULLAH MUNSYI DAN ALAT-ALAT MENGHUKUM MURID.

Secara ringkasnya, menurut Zahari A. Rashid (2008: 206-209) dalam karangan beliau yang berjudul Kenangan-Kenangan Abdullah Munsyi bahawa sistem persekolahan dahulu (1800-1840) tidak sistematik.

Pelajaran hanya tertumpu kepada belajar membaca dan menulis Al-Quran dan bahasa Arab.

Peraturan untuk memasukkan anak ke sekolah ialah ibu bapa akan datang menyembah guru dengan membawa sirih secarana, kuih muih sedulang dan membekalkan anak mereka dengan kalam resam, papan loh serta dakwat beras.

Anak akan diserahkan kepada guru dan terserahlah kepada guru untuk melakukan apa sahaja kepada anak tersebut untuk menjadi pandai. Hanya dua perkara sahaja yang tidak boleh dilakukan oleh guru, iaitu membutakan mata dan mematahkan kedua tangan kaki.
Pelbagai jenis hukuman dan alat yang digunakan untuk "menyeksa" murid-murid yang malas, jahat, ponteng sekolah, tidak menghormati ibu bapa dan berlaku biadab terhadap guru, antaranya ialah:

1) Melakukan singgang, iaitu tangan kiri memegang telinga kanan, tangan kanan memegang telinga kiri serta dikehendaki bangun dan duduk tanpa henti.

2) Kedua-dua kaki akan dipegang, ditunggangkan ke atas asap dari sabut kering, dan kadangkala dibubuh cili dalam api supaya berasa pedih.

3) Apit Cina digunakan untuk mengepit jari-jari.

4) Pinggang murid diikat dengan rantai besi dan disuruh memikul sekerat kayu berat mengelilingi sekolah.

5) Dirantai semalaman di dalam sekolah, dan lain-lain lagi.

Hukuman ini bukan terhad kepada anak orang kebanyakan sahaja, tetapi terpakai untuk anak raja dan anak bangsawan.

STRATEGI LAUTAN BIRU : PERLU DIWUJUDKAN ANTARA KPM DENGAN PDRM.

Strategi ini sebenarnya telah lama dipraktikan oleh orang-orang tua kita di kampung dalam melangsungkan "survival" kehidupan seharian mereka.


Contohnya, seorang pengusaha buah kelapa menggunakan kepakaran beruk untuk memetik buah kelapa. Dengan kaedah ini, pengusaha tersebut dapat menjimatkan tenaga dan masa dalam proses memetik buah kelapa. Beruk tersebut pula terbela dan tidak meliar mengganggu orang kampung.


Itu contoh yang mudah untuk difahami oleh umum. Dalam konteks zaman kini, strategi ini lebih kompleks serta pelaksanaannya lebih saintifik dan sistematik.Strategi ini diperkenal oleh dua orang pofesor, iaitu W. Chan Kim and Renée Mauborgne sekitar tahun 2005.


Rentetan itu, Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan National Blue Ocean Strategy (NBOS) pada tahun 2009.[Penulis tidak berhajat untuk mengulas lanjut tentang konsep dan pelaksanaan NBOS. Anda boleh menelaahnya secara mendalam di laman sesawang yang tercatat di akhir tulisan ini.]


Dalam memperkatakan tentang strategi ini dalam konteks dunia pendidikan, penulis merasakan perlu diwujudkan satu kerjasama yang erat antara KPM dengan PDRM dalam membentuk sahsiah, jati diri dan disiplin para pelajar.


Kedua-dua jabatan kerajaan ini perlu berkolaborasi bagi merangka satu pelan induk tentang kemenjadian disiplin para pelajar yang diselaras di peringkat kebangsaan. Pelan induk ini mengariskan tentang pendekatan, kaedah dan teknik yang sewajarnya digunakan untuk menangani salah laku para pelajar dan jenis hukum yang boleh dikenakan berpandukan undang-undang yang sedia ada.


Sekiranya Biro Tatanegara boleh ditubuhkan bagi menyemarakkan semangat kenegaraan dalam kalangan warganegara, maka tidak rugi andai kata pihak KPM dan PDRM menubuhkan satu unit khas untuk memberi kursus dan latihan kepada para guru disiplin dalam aspek "perundangan dan kepolisan persekolahan" bagi memantapkan tahap disiplin para pelajar.


Apa yang penting, pelan induk ini mestilah diseragamkan dan dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah. Pelan induk ini juga perlu dirangka dalam jangka masa yang panjang dan sentiasa "diaudit" sepanjang masa. Alangkah moleknya jika pelan ini turut dimasukkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.


Program PLKN telah membuktikan bahawa strategi lautan biru yang dilaksanakan oleh KPT dan ATM telah membuahkan kejayaan yang cukup cemerlang dalam memupuk semangat patriotisme, perpaduan, kesukarelaan dan integriti nasional.


Semoga usaha dan kejayaan tersebut dapat dicontohi oleh pihak KPM dan PDRM dalam membangunkan generasi masa hadapan yang berilmu dan beradab.Jangan pandang remeh masalah disiplin para pelajar kerana mereka pemimpin kita di masa hadapan. "Punah mereka, binasalahlah kita."



RUJUKAN :
https://www.blueoceanstrategy.com/malaysia-nbos/

SELAMAT BERSARA TAN SRI.


Sebagai orang awam, saya mengenali beliau sebagai Mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM ke-11. Secara peribadi, saya pernah berurusan dengan beliau khususnya dengan anak-anak beliau.

Saya pernah mengajar anak beliau di rumah, setiap kali beliau pulang daripada kerja, beliau tidak akan menggunakan pintu hadapan (pintu utama) sebaliknya menggunakan pintu belakang (dapur), apabila ingin naik ke bahagian atas rumah, beliau akan meminta izin dan memohon maaf kepada saya.

Pelik tetapi benar. Itulah beliau, seorang yang menghormati tetamu dan memuliakan guru kepada anak beliau. Kelibat beliau dan anak lelakinya selalu kelihatan di Surau Al-Mustaqimah Seksyen 7 dan Masjid Seksyen 7 Shah Alam, terutamanya solat Maghrib dan solat Isyak.

Orangnya santun dan sentiasa merendah diri. Gaya hidup beliau dan keluarga cukup sederhana dan ringkas. Ketika itu (sudah memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya) beliau dan isteri hanya memakai kereta Toyota Innova dan Toyota Vios, manakala anak-anak dewasa beliau memakai kereta Proton Satria dan Proton Aeroback (kedua-duanya model lama dan kelihatan usang).

Saya masih ingat tentang satu peristiwa di mana keluarga beliau meminta saya untuk membaca doa selamat di majlis kesyukuran yang beliau anjurkan. Seusai daripada majlis tersebut, isteri beliau telah memberi satu "sampul" berupa wang sebagai sedekah, tetapi saya menolak secara baik.
Ketika saya ingin masuk ke dalam kereta, beliau sendiri datang kepada saya dan menyerahkan sampul tersebut dan berkata "terimalah sedekah ini. Sampul ini bukannya rasuah." Kata beliau sambil ketawa.

Saya terpaksa menerimanya, dan selepas kejadian tersebut saya telah menolak beberapa kali permintaan keluarganya untuk membaca doa disebabkan perasaan malu.

Dalam bidang pekerjaan, saya hanya mengenali beliau melalui pembacaan di akhbar, media sosial dan internet sahaja. Tak banyak yang saya tahu tentang cara beliau bekerja, namun begitu melalui pengamatan saya, beliau merupakan seorang yang berprinsip dan bermaruah.

Selamat bersara Tan Sri Dr. Abu Kassim bin Mohamed. Teruskan perjuangan tuan. Semoga Allah memelihara dan merahmati tuan sekeluarga di dunia dan akhirat.

TARIKH FATHANI


Pernahkah anda mendengar nama Syeikh Daud al-Fathani? Beliau merupakan salah seorang ulama tersohor di Alam Melayu.

Banyak kitab yang telah dihasilkan oleh beliau. Dianggarkan sebanyak 60 buah kitab telah dihasilkan oleh beliau dan terdapat juga kitab atau manuskrip beliau yang masih belum dicetak hingga ke hari ini.

Beliau juga merupakan pentahqiq (penyunting) Kitab Sejarah Patani (Tarikh Fathani). Kitab asal karangan Syeikh Safuiddin ini dipercayai ditulis pada akhir kurun ke-15 atau awal kurun ke-16.

Kitab yang bertema pengkisahan Sejarah Tamadun Patani ini amat penting untuk dibaca oleh semua umat Islam kerana ianya bukan sahaja memberi maklumat tentang kewujudan kerajaan dan bangsa Melayu, bahkan turut memerikan perkembangkan agama Islam di Alam Melayu pada ketika itu.

Selain dari aspek kesusasteraan, kitab ini dianggap penting kerana ia merupakan karya asli ilmuan Melayu Islam terawal yang masih wujud.

Di samping itu, kitab ini berbeza dengan kitab kesusasteraan sejarah Melayu yang lain kerana kitab ini bukanlah kitab yang berbentuk hikayat. Kitab ini bersih daripada unsur mitos dan khurafat seperti kesaktian, dewa-dewi, alam kayangan dan lain-lain.

Mengapakah kitab ini bersih daripada unsur mitos dan khurafat? Kerana disebabkan kitab ini diulas dan dimurnikan oleh seorang ulama.

Oleh sebab itu, peranan ulama dan ahli agama diperlukan dalam semua disiplin ilmu. Dakwah mereka bukan hanya di pentas atau dalam penulisan kitab agama semata-semata, bahkan mereka perlu menyelusup masuk ke dalam semua bidang supaya syiar Islam dapat dikembangkan semaksimum yang mungkin.


RUJUKAN:

Mat Rofa Ismail. 2016. Malayonesia : Kerdipan bintang Melayu di langit Melayu. Shah Alam: Grup Buku Karangakraf Sdn. Bhd

UMMAT AL-MALAYU.

Untuk mengetahui tentang pengkisahan sejarah Tamadun Alam Melayu dari persepsi bangsa Arab, bacalah kitab ini. Judul asal kitab ini dalam tulisan Arab ialah Ummat Al-Malayu, karangan Saleh Jaudat, diterbitkan di Mesir pada tahun 1908.
Kitab ini dihasilkan oleh Saleh Jaudat atas dasar semangat persaudaraan dengan umat Islam di Alam Melayu khususnya dengan Tunku Mansor ibn Sultan Abdul Hamid Halim Shah, iaitu anak kepada Sultan Kedah pada ketika itu. Baginda Dilahirkan pada tahun 1889 dan mangkat pada tahun 1932.
Hasil daripada pembacaan kitab ini, kita akan dapat mengetahui banyak percanggahan maklumat tentang sejarah Tamadun Alam Melayu yang ditulis oleh sarjana Barat.
Siapakah yang benar dan siapakah yang silap? Anda sendiri boleh tentukan. Pastikan banyak membaca dan membuat kajian. Jangan bertaqlid dengan satu sumber semata-mata.

TUAN GURU HARUN DIN (TGHD)


Bohong jika saya katakan bahawa hati saya tidak terkesan dengan berpulangnya TGHD.

Bohong juga jika saya katakan bahawa saya tidak mahu menitip kata-kata terakhir bagi memuliakan beliau.

Nama TGHD cukup melekat di jiwa saya kerana beliau merupakan salah seorang guru yang pernah saya bertalaqqi sehingga tamat pengajian (Perubatan Islam).

Ketika itu (akhir tahun 90-an), Pengajian Perubatan Islam masih pada peringkat muda lagi, tidaklah mendapat sambutan hebat seperti sekarang.

Saya hampir berputus asa ketika mengikuti kelas beliau disebabkan beliau amat tegas, fokus dan berdisiplin dalam pengajaran.

Bacaan dan hafazan saya sering kali ditegur dan diperbaiki oleh beliau, terutamanya bacaan Surah Al-Fatihah.

Saya bukanlah seorang yang mempunyai kelebihan dalam bidang tajwid dan taranum Al-Quran berbanding dengan rakan-rakan yang lain.

Namun dengan dorongan dan motivasi daripada pembantu khas beliau, iaitu Dato' Dr. Ustaz Amran bin Kasimin, akhirnya berjaya juga saya menamatkan pengajian.

Masih terasa hangat lagi tapak tangan beliau di atas ubun-ubun saya.

Antara pesanan beliau yang masih terngiang-ngiang di telinga saya ialah:

"Dalam menjalani rawatan perubatan Islam, pengamal dan pesakit perlulah mempunyai hati yang bersih, memenuhi segala perintah-Nya dan takut untuk melanggar hukum-Nya, Insya Allah, barulah Allah akan menyembuhkan."

Mudah-mudahan segala ilmu yang TGHD sumbangkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia dapat dijadikan bekalan yang secukupnya untuk beliau bawa bertemu Allah SWT.

Semoga Allah mengampuni segala dosa arwah dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang soleh dan bertaqwa.

Kepada anak-anak didik TGHD, teruskan perjuangan kalian, berilmu dan berakhlaklah seperti beliau. Perbaikilah lompong-lompong yang ada berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.

Maafkan saya, kerana saya tidak terpilih untuk berjuang bersama kalian disebabkan ilmu dan akhlak saya belum semantap kalian.

THE PALACE OF PARLIAMENT ROMANIA DAN TRAGEDI MAUT FRANZ REICHELT

TILIK BUKU : Travelog Mr. Traveller.

Jikalau anda ingin menjelalahi dunia Eropah dengan menaiki kereta api, bacalah buku ini. 

Di dalam buku ini penulis telah berkongsi maklumat tentang cara untuk menggunakan keretapi bagi menakluki dunia Eropah dengan harga yang murah dan kaedah yang mudah.

Menelurusi buku ini dari bab ke bab akan membuat pembaca berasa kagum terhadap kegigihan, ketabahan dan disiplin yang ditunjukkan oleh penulis sepanjang perjalanan menjelajahi dunia Eropah dalam tempoh 15 hari.

Penulis juga ada menceritakan kisah bagaimana beliau mengerjakan ibadah solat sewaktu dalam pengembaraan tersebut. 

Beliau bersolat di hentian kereta api, di dalam kereta api, di dalam bilik hotel yang penghuninya terdiri daripada bukan Islam dan pelbagai lagi situasi. Sungguh hebat iman penulis.

Penulis ada mencatat banyak nama tempat dan kisah yang menarik, antara ialah The Palace Parliament dan Franz Reichelt.

Mari kita tilik.

The Palace Parliament terletak di Romania. Ia merupakan bangunan parlimen yang terbesar di dunia mengalahkan bangunan parlimen Amerika Syarikat, atau turut dikenali sebagai The Bicameral Legislature.

Berikut merupakan gambar The Palace Parliament:








Manakala di bawah merupakan gambar The Bicameral Legislature di Amerika Syarikat:


Selanjutnya, The Palace Parliament merupakan bangunan pentadbiran yang kedua terbesar selepas bangunan Pantegon di Amerika Syarikat.


Selain itu,  The Palace Parliament merupakan bangunan yang ketiga terbesar di dunia selepas bangunan Vehicle Assembly di Florida, Amerika Syarikat dan Temple of the Feathered Serpent di Teotihuacan, Mexico.

Gambar bangunan Vehicle Assembly Building:



Gambar bangunan Temple of the Feathered Serpent:



Bangunan The Palace Parliament bernilai 3 bilion Euro, menjadikannya antara bangunan pentadbiran yang paling mahal di dunia.

Dianggarkan sebanyak 3 juta USD diperlukan bagi setiap tahun untuk membayar kos pemanasan dan pencahayaan bangunan tersebut. Wah, banyaknya duit kerajaan mereka!

Apa yang pasti, bangunan ini 10 kali ganda lebih besar berbanding bangunan White House di Amerika Syarikat.

Jangan tertipu! Bangunan White House tidaklah gah seperti yang digembar-gemburkan oleh media barat. Panjang bangunan White House ialah 51.2 meter, mempunyai 6 tingkat dan berkeluasan 55,000 square feet sahaja.

Gambar bangunan White House di Amerika Syarikat:


Suatu masa nanti, semua bangunan ini akan runtuh menyembah Allah. Bagaimana dengan kita? Kembalilah mengingati-Nya.

Apa pula kisah Franz Reichelt? Jika pembaca ingin mengetahuinya, silalah tinggalkan pesanan di bawah, pasti kisahnya akan menyusul pada eposid seterusnya.

"Berah boh, jumpo lagi."

-----------------------------
Tajuk Buku : Travelog Mr. Traveller
Nama Penulis : Meor Farid Asyradi
Penerbit : Meor Farid Asyradi
Jumlah Muka Surat : 310
Tahun Terbit : 2015
Harga : SM RM25.00 SBH/SWK RM28.00



TAMAN NEGARA YOSEMITE DAN TAMAN NEGARA ARCHE

TILIK BUKU - Travelog Mr. Backpacker : Merentas Amerika.

Ketika membaca buku ini, pembaca pasti merasakan seolah-olah turut merentasi Amerika bersama penulisnya.

Sungguh menarik pengalaman yang dikongsikan oleh penulis. Beliau merentasi Amerika selama 25 hari bersama 2 orang rakannya dengan menaiki kereta sewa.

Perjalananan yang ditempoh oleh mereka sejauh 10,000 KM. Bayangkan betapa mencabar dan sukarnya pengembaraan mereka.

Pelbagai peristiwa yang dilalui oleh mereka, antaranya lemas di pantai Daytona dan ditangkap oleh polis koboi.

Mengujakan.

Di dalam buku ini tercatat nama Taman Negara Yosemite dan Taman Negara Acher. Ianya pasti menarik minat pembaca untuk mengetahui kedua-dua taman negera ini dengan lebih mendalam.

Mari kita tilik.

Taman Negara Yosemita merupakan antara 5 taman negara yang paling menarik dunia. Permandangan di taman negara ini amat indah dan mempersonakan.

Disebabkan taman negara ini sungguh luar biasa keajaibannya, dianggarkan seramai 3.8 juta pelancong datang berkunjung ke sini pada setiap tahun.

Keluasan Taman Negara Yosemita ini ialah 747, 956 ekar. Ia terletak di California dan telah digazetkan sebagai Kawasan Bersejarah Dunia oleh UNESCO.

Alangkah seronoknya jika dapat berkhemah dan memancing di sini.






Subhanallah, hebatnya ciptaan Allah.

Selanjutnya, gambar di bawah pula menunjukkan pemandangan yang terdapat di Taman Negara Arche. Ia terletak di timur Utah. Luasnya 76,679 ekar. Di sini terdapat lebih kurang 2,000 natural standstone arches. 

Yang pasti di sini tiada pokok durian.





Taman Negara Yosemite dan Taman Negara Arche merupakan sebahagian tempat yang telah dilawati oleh penulis buku ini semasa mengembara di Amerika.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kisah pengembaraan beliau merentasi Amerika, anda boleh membaca sendiri buku ini.

Ayuh, mari kita mendesa dunia melalui buku.

"Bereh boh, jumpo lagi."

...
Tajuk Buku : Travelog Mr. Backpacker : Merentas Amerika
Nama Penulis : Badrul Hisham
Penerbit : Badrul Hisham Bin Burhanuddin
Jumlah Muka Surat : 202
Tahun Terbit : 2016
Harga : SM RM25.00 SBH/SWK RM28.00